Penang South Islands (PSI, dahulunya Penang South Reclamation, PSR) merupakan sebuah rancangan projek yang melibatkan tebus guna tanah di kawasan selatan Pulau Pinang, Malaysia oleh pihak kerajaan Pulau Pinang. PSI dirancang sebagai pelan menerbitkan tiga pulau buatan merentasi perairan selatan pulau untuk membiayai pelan pembangunan kerajaan negeri. Projek ini dijangka siap pada 2040-an dengan kos jangkaan sebanyak RM46 bilion.

Penang South Islands
Maklumat umum
JenisTebus guna tanah
LokasiPulau Pinang, Malaysia
PembiayaanRM46 bilion (jangkaan)
PengurusanKerajaan Pulau Pinang
Permukaan1,821.085 hektar

Sungguhpun begitu, projek ini mendapat tentangan oleh pelbagai pihak berikutan kesan PSR terhadap ekosistem tapak penambahan serta kesan sosioekonomi penduduk sekitar yang banyak bergantung kepada kawasan perairan terlibat.[1]

Latar belakang sunting

PSI merupakan sebuah projek yang melibatkan pembentukan tiga buah pulau buatan berkeluasan 1,821.085 hektar yang merentasi kawasan perairan di selatan Pulau Pinang. Atas kertas, kerajaan negeri merancang PSI sebagai medium pembiayaan pelan sistem pengangkutan negeri, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dijangka bakal mengurangkan masalah kesesakan jalan raya di situ. Kebanyakan kerja perancangan dan pembinaan PSI diuruskan oleh sebuah firma khas, SRS Consortium di bawah pegangan majoriti syarikat kejuruteraan utama Malaysia, Gamuda Berhad dengan kadar 70% pemilikan.[2] Selebihnya lagi diuruskan oleh kerajaan negeri menerusi syarikatnya, Penang Infrastructure Corp Sdn Bhd.[3]

Secara keseluruhan, projek PSI bakal menelan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM46 bilion. Kerajaan Pulau Pinang meluluskan rancangan PSI pada 2015, dan dijangka siap pada 2040-an.[4] Berdasarkan kenyataan rasmi oleh SRS, PSI dijangka menguntungkan terhadap kerajaan negeri sebanyak lebih RM70 bilion menerusi pelaburan langsung asing, dan sumbangan KDNK berjumlah anggaran RM100 bilion serta membuka kira-kira 300,000 peluang pekerjaan dengan sekurang-kurangnya separuh adalah pekerjaan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.[3] Menurut wakil Gamuda, PSI dijangka dapat menjadi setaraf kawasan Teluk Marina di Singapura serta bandar raya Dubai selaku pusat perniagaan dan pelancongan yang pesat.[5]

Dengan usul perancangan dibentangkan pada 2015, pihak kerajaan negeri terpaksa menunda projek itu pada Mei 2016 akibat penentangan orang awam sambil menunggu kelulusan laporan pengurusan alam sekitar (EIA) PSI oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).[5] Pada 2019, kerajaan negeri akhirnya mendapat kelulusan bersyarat untuk meneruskan PSR. Walau bagaimanapun, permulaan projek PSI terganggu lagi tatkala kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP tumbang pada Februari 2020 akibat kesukaran memperoleh dana daripada kerajaan persekutuan yang beralih kuasa.[6] Pada Julai, projek PSI disahkan tidak diluluskan oleh kerajaan baharu negara dengan tolaknya EIA oleh JAS.[7] Pada April 2021, pihak kerajaan negeri terpaksa menunda projek itu sekali lagi sementera laporan pengurusan projek masih belum diluluskan oleh jabatan itu.[8] Berhadapan dengan gelombang bantahan baharu pada Jun, kerajaan Pulau Pinang bertegas untuk meneruskan projek itu, dengan merujuk kepada potensi pulangan yang bakal diperoleh melalui projek tersebut, dan menjamin projek ini akan dibangunkan secara mampan.[9]

Isu sunting

Program ini memperoleh kecaman hebat dalam kalangan pelbagai pihak, terutamanya pertubuhan-pertubuhan sivil atas hujah impak negatif yang bakal dibawa oleh PSI, terutamanya daripada aspek alam sekitar serta sosioekonomi penduduk tempatan. Selain itu, pihak politik seperti wakil UMNO dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) turut membbantah PSI dengan menyatakan bahawa projek itu sudah lari daripada tujuan asal dan dilihat lebih mementingkan pihak-pihak tertentu.[10] Tambahan pula, masalah ketelusan pengurusan projek sesama kerajaan negeri dan SRS juga dipersoalkan.[11]

Ancaman geografi dan ekosistem sunting

Presiden Sahabat Alam Malaysia pula berkata bahawa PSI akan menukarkan ciri hidrologi dan geomorfologi (bentuk muka bumi) pesisiran kawasan terlibat serta menggalakkan hakisan tanah dan enaptimbus di kawasan lain.[12] Ancaman kerosakan ekosistem setempat juga diberi perhatian; tumpuan diberikan terhadap ancaman-ancaman termasuk penghapusan kawasan terumbu karang serta kawasan pendaratan penyu lipas, pencemaran perairan dan pelepasan gas rumah hijau apabila rancangan PSI diteruskan.[13]

Ancaman sosioekonomi sunting

Selain ancaman terhadap ekosistem, PSI juga ditentang kerana dikatakan bakal memberi ancaman terhadap penduduk kawasan selatan Pulau Pinang yang bergantung kepada kawasan perairan terlibat bagi tujuan sara hidup melalui sektor perikanan. Sebuah laporan menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 87 spesies ikan, termasuk yang berkepentingan dalam perikanan setempat akan terancam.[14] Selain itu, para nelayan juga membantah pampasan oleh kerajaan negeri yang dilihat tidak setimpal dengan ancaman terhadap industri perikanan mereka.[15] Walau bagaimanapun, pihak kerajaan menjamin bahawa sektor perikanan tidak akan terjejas, dan pihak pembangun akan membenarkan sektor perikanan dilakukan sepanjang proses tebus tanah. Sesetengah orang nelayan juga mendukung PSI dengan merujuk kepada potensi bermanfaat terhadap generasi muda mereka.[16]

Kesan demografik dan politik sunting

Pihak PAS menambah hujah bahawa PSI bakal melenyapkan demografi kaum Melayu di kawasan itu, dan menekankan PSI sebagai bukti hilang kepercayaan rakyat serta "keangkuhan" dalam para pemimpin negeri yang terdiri daripada ahli Parti Tindakan Demokratik, DAP.[17][18] PSI juga didakwa bakal membawa masuk penduduk asing dalam jumlah yang besar, dan berpotensi menguatkan lagi sokongan dan undian terhadap DAP di Pulau Pinang.[6]

Reaksi sunting

Pada 2019, sebuah protes oleh badan-badan masyarakat sivil seperti wakil nelayan diadakan di hadapan bangunan Parlimen Malaysia sebagai gesaan pembatalan PSI serta kajian semula PTMP.[19] Pada Jun, PSI menarik perhatian awam apablia dibantah secara terbuka oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang menyatakan kebimbangan terhadap rancangan dan kesan PSI serta PTMP. Susulan itu, petisyen-petisyen dilancarkan di atas talian untuk membantah PSI dengan sambutan yang menggalakkan, dengan jumlah penandatangan mencapai ratusan ribu orang.[20]

Rujukan sunting

  1. ^ Nasution, Khoo Salma (12 Mei 2021). "Penang South Reclamation - Who does it serve?". New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 15 Julai 2021.
  2. ^ Muhammad, Hazwan Faizal (25 Mac 2021). "SPV Gamuda bangunkan projek Pulau A". Berita Harian. Dicapai pada 20 Julai 2021.
  3. ^ a b Dzulkifly, Danial (22 Mei 2021). "SRS Consortium rebuts 'double dipping' claim in Penang South Reclamation deal, insists state to benefit from man-made islands". Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 Julai 2021.
  4. ^ Ferrarese, Marco. "One island is enough for Penang". Nikkei Asia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 16 Julai 2021.
  5. ^ a b Md Nasir, Siti Sofia (2 Mac 2019). "'Tiga pulau' bakal saingi Marina Bay". Berita Harian. Dicapai pada 20 Julai 2021.
  6. ^ a b "Apa agenda DAP di sebalik projek mega Pulau Pinang?". Harakahdaily. 27 Mei 2021. Dicapai pada 20 Julai 2021.
  7. ^ "Projek Tambak Laut di Pulau Pinang tidak boleh dimulakan". Berita RTM. 23 Julai 2020. Dicapai pada 16 Julai 2021.
  8. ^ Ismail, Khuzairi (11 April 2021). "Masih tunggu EMP, kerja tambak laut tunda lagi ke hujung Mei, awal Jun". Utusan Malaysia. Dicapai pada 16 Julai 2021.
  9. ^ Bernama (9 Jun 2021). "Walau terima bantahan, Pulau Pinang tetap teruskan projek tambak laut". Malaysia Now. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  10. ^ BERNAMA (Mei 2021). "Pulau Pinang Digesa Batalkan Projek Tambak Laut". UMNO Online. Dicapai pada 20 Julai 2021.
  11. ^ Mah Hui, Lim (7 Jun 2021). "Gamuda – double dipping or triple dipping?". Aliran (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 Julai 2021.
  12. ^ Mohamed Idris, S. M (3 Februari 2016). "Apakah yang dipertaruhkan dalam projek tambak laut di Pulau Pinang". Sahabat Alam Malaysia. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  13. ^ "Pulau Pinang: Tambak Laut untuk siapa?". Parti Sosialis Malaysia. 21 Jun 2019. Dicapai pada 20 Julai 2021.
  14. ^ Mat Nawi, Che Abdullah (16 Jun 2021). "Isu PSR: Apa sebenarnya?". Harakahdaily. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  15. ^ Zulkiffli, Zuhainy (21 Januari 2021). "Mana hak nelayan, batalkan projek pulau buatan". Harian Metro. Dicapai pada 20 Julai 2021.
  16. ^ "Aktiviti nelayan tidak terjejas". Sinar Harian. 2 Julai 2021. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  17. ^ "Orang Melayu paling terkesan projek PSR". Harakahdaily. 23 Jun 2021. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  18. ^ "PSR bakal lenyap banyak kampung Melayu di Pulau Pinang". Harakahdaily. 10 Jun 2021. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  19. ^ "Jangan taburkan pasir dalam periuk nasi nelayan! – Protes tolak tambak di depan Parlimen". Parti Sosialis Malaysia. 11 Julai 2019. Dicapai pada 16 Julai 2021.
  20. ^ "Clamour to scrap Penang South Reclamation grows louder". Aliran (dalam bahasa Inggeris). 6 Jun 2021. Dicapai pada 19 Julai 2021.