Arjuna ialah sebuah siri televisyen Malaysia bergenre epik fantasi terbitan KRU Studios untuk tayangan di slot Aksi TV3. Inilah keluaran siri TV ketiga untuk TV3 dalam sejarah KRU.

Arjuna
PengarahElmy Khalim
Dibintangi oleh
Remy Ishak
Riz Amin
Nora Danish
Erry Putra
Negara asal Malaysia
BahasaMelayu
Bilangan episod26
Penerbitan
PenerbitNorman Abdul Halim
Edry Abdul Halim
Yusry Abdul Halim
Syarikat penerbitan
KRU Studios
Penyiaran
Saluran asalTV3
Siaran asal31 Mei 2010

Musim 1

sunting

Adipura mewarisi Pedang Citra Dewata dan permata saktinya dari mahaguru Pendita Dzulkarnain yang mengetepikan dua orang pengikut lain iaitu Grakus dan Gempita. Ini menyebabkan Grakus dan Gempita dengki lalu merebut pedang tersebut dengan Adipura secara kekerasan. Adipura memisahkan dan menyerahkan penjagaan dua anakandanya, iaitu Arjuna beserta permata Citra Dewata kepada sepasang keluarga nelayan, dan Sutera kepada Satria Aduka, demi menjauhkan mereka daripada bahaya. Dalam pertempuran akhir dengan Grakus dan Gempita, permaisuri Adipura ditikam oleh penjahat-penjahat itu, menyebabkan Adipura patah hati lalu membunuh diri kerana tidak sanggup berpisah dengan isteri tersayang, mujurlah permata sakti yang tercabut dari Pedang Citra Dewata tidak jatuh di tangan Grakus dan Gempita.

18 tahun kemudian, setelah membesar dalam jagaan keluarga nelayan dan giat berlatih silat, Arjuna mula menyedari asal-usulnya semenjak tidak sengaja menunjukkan kuasa sakti untuk menyembuh lawan yang kecederaan, sehingga menarik perhatian Pendita Dzulkarnain, Satria Aduka dan juga Grakus yang boleh mengesan sakti dari jauh. Grakus menghantar bala tentera untuk menyerang kampung nelayan Arjuna untuk memburunya, dan ini menyebabkan ibu bapa angkatnya terkorban. Ekoran itu, Satria Aduka membawa Arjuna ke tempat perlindungannya untuk melanjutkan penguasaan silat serta menyertakannya dalam Perikatan Pendekar Sakti yang juga dianggotai oleh Suria, Sutera dan Jati, seorang tabib dan 'pakar hutan'.

Dalam permulaan perjalanan ke Bandar Diraja untuk berjumpa dengan Pendita, Sutera dilarang turut serta. Satria Aduka, Arjuna, Sutera dan Jati berehat di Kampung Teratai di mana mereka bertemu dengan seorang taulan Satria, iaitu Megat Rab'i, tetapi Rab'i rupa-rupanya berpihak dengan Grakus untuk memerangkap dan meracuni mereka. Mujurlah Sutera curi keluar dan sempat menyembuhkan mereka berempat, lantas dibenarkan turut serta dalam kembara.

Setibanya di permastautinan Pendita Dzulkarnain di Bandar Diraja, Arjuna dan lain-lain melanjutkan lagi latihan waja diri sebagai persiapan berdepan dengan Grakus. Di situ, mereka melayan gangguan kumpulan Andika, anak tunggal Hambali, seorang jiran Pendita, dan Murni, seorang pengamal sihir hitam. Bersusah-payah Pendekar Sakti memastikan kebersihan nama mereka di depan keluarga Hambali, akhirnya Andika direstui menyertai Pendekar Sakti. Dalam senyap, Murni yang bersekongkol dengan Grakus menggunakan sihir hitam untuk meracuni Pendita dan cucunya, Cempaka dari jauh. Ini juga dipatahkan oleh Pendekar Sakti yang membolehkan Murni kembali ke pangkal jalan.

Dalam persiapan akhir sebelum berdepan dengan Grakus, Pendita menghadiahkan sehelai kain emas penghalimunan kepada Satria Aduka, manakala Arjuna diarah bertakafur di hutan untuk meningkatkan kuasanya, di mana dia terbayangkan asal-usulnya yang sebenar dan ancaman yang menantinya, sehingga dia dikejutkan oleh khabar Pendita Dzulkarnain nazak akibat keracunan sihir Grakus. Malangnya, Pendita tidak dapat diselamatkan, tetapi dia sempat menurunkan amanat terakhir kepada Satria untuk menjaga cucunya selepas pemergiannya.

Tanpa membuang masa meratapi kematian ketua mereka, para Pendekar Sakti bertolak ke sarang Grakus (yang tersimpan Pedang Citra Dewata) melalui Hutan Hitam. Di dalam hutan itu, mereka berdepan dengan ancaman bahaya yang berbentuk khayalan yang menodai pancaindera mereka sehingga menyebabkan mereka berpecah-belah dan hampir sesat jalan. Dalam kekalutan ini, Cempaka yang memegang permata Citra Dewata ditawan oleh askar Grakus lalu dibawa ke sarang untuk berdepan dengan penjahat itu yang mendedahkan asal-usul sebenar Cempaka sebagai puteri Adipura dan dinda Arjuna.

Pendekar Sakti yang lain berjaya menjumpai sarang Grakus dan bersatu semula di dalamnya, sambil menumpaskan orang-orang suruhan terpenting Grakus di dalamnya. Dalam pertempuran terakhir mereka di dalam sarang, Arjuna melawan Grakus bersendirian demi Pedang Citra Dewata dan permatanya. Kesudahan pertempuran kemuncak ini memihak kepada para Pendekar Sakti, maka Arjuna berjaya menjulang pedang dan permata sakti warisan ayahandanya.

Musim 2

sunting

Satria Aduka melantik Arjuna sebagai ketua baru Perikatan Pendekar Sakti sebagai memenuhi amanat terakhirnya sebelum bersara. Perjuangan Arjuna belum selesai di sini kerana rakyat jelata berdepan dengan ancaman baru, apabila Bandar Diraja diancam oleh gerombolan Man Karai sambil dilanda oleh suatu wabak yang boleh menyebabkan penghidapnya menjadi mayat hidup. Kedua-dua ancaman ini sama puncanya, iaitu Gempita, sekutu Grakus yang berpisah dengannya tidak lama selepas tumpasnya Adipura, kerana Grakus diamanahkan untuk menjaga pedang Citra Dewata sehingga permatanya dicari.

Kali ini, para Pendekar Sakti berjuang tanpa Satria Aduka dan Jati (yang hendak menjaga ibunya yang uzur), tetapi ada sekutu baru untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh mereka berdua. Mula-mula, mereka bertemu dengan Mas Ayu, seorang taulan Andika yang bergegas mendapatkan pertolongan mereka untuk menyelamatkan Andika daripada cengkaman Man Karai. Pada malam selepas usaha menyelamatkan Andika, Arjuna dalam mimpi terbayangkan Pendeta Lestari yang mengaku dirinya taulan Pendeta Dzulkarnain dan menyeru mereka semua agar berjumpa dengannya. Selepas itu, giliran Mas Ayu yang diculik, dan Andika membalas budi bersama pendekar yang lain dengan menyelamatkannya jua. Nampaknya Mas Ayu berguna kepada Para Pendekar Sakti kerana dia kenal akan Pendeta Lestari, lalu bertindak sebagai pemandu mereka ke pondok Pendeta Lestari.

Dalam perjalanan ke tempat Lestari, mereka terpaksa melalui Padang Jarum Emas, sebuah kawasan terlarang yang dijaga ketat oleh pasukan penjaga pimpinan Panglima Kebal. Di situlah mereka berjumpa dengan Bebon, seorang tabib seperti Jati yang ditangkap oleh Panglima Kebal kerana cuba mencuri petik tumbuhan 'jarum emas' di situ. Arjuna terpaksa menjayakan pertarungan dengan Panglima Kebal untuk membebaskan Bebon yang ketika ini dalam keadaan cedera. Sehari semalam perjalanan mereka, akhirnya sampai jua di tempat Pendeta Lestari. Di sini para Pendekar Sakti menghabiskan beberapa hari melanjutkan latihan silat dan penguasaan sakti mereka sambil menunggu Bebon sembuh. Sementara itu, Bebon menjumpai senaskhah kitab kecil yang menceritakan harta karun di sarang Gempita, lalu membawanya bersamanya dengan curi-curi apabila para Pendekar Sakti mula bertolak ke arah sarang Gempita bersama Mas Ayu.

Sekali lagi para Pendekar Sakti diserang hendap oleh Puak Sumpit kerana disangka menceroboh wilayah mereka. Mereka semua disumpit hingga pengsan lalu dibawa ke kurungan dalam kampung mereka, kecuali Bebon. Apapun, mereka berjaya melepaskan diri dengan syak wasangka bahawa Bebon memerangkap mereka, sehingga perselisihan faham mereka dileraikan apabila ketua puak Sumpit, Tok Batin, memberi sambutan kehormat kepada Arjuna; rupa-rupanya Bebon merupakan ahli puak itu. Tok Batin sempat menceritakan bahawa Gempita mengganas dengan cara yang "lembut", apatah lagi bapa Bebon, iaitu Beron pernah pergi melawannya tanpa balik lagi.

Sutera menyimpan rasa curiga terhadap Mas Ayu yang sekejap ada, sekejap tiada bersama para Pendekar Sakti dalam perjalanan mereka, terutamanya hilang tanpa sebab pada waktu malam. Kesangsiannya terjawab apabila Mas Ayu menjelma menjadi bentuk jembalang dan menyerang mereka di kampung Sumpit pada waktu malam, disangka dirasuki oleh ilmu hitam Gempita. Setelah para pendekar beredar dari kampung Sumpit, barulah mereka sedar bahawa wajah hodoh Mas Ayu bukan sekadar sumpahan, tetapi merupakan tanda bahawa dia merupakan musuh dalam selimut hantaran Gempita untuk menghendap perjuangan mereka.

Kesan campur tangan Mas Ayu, perikatan Pendekar Sakti keretakan kerana Andika bertikam lidah dengan yang lain kerana Mas Ayu. Ini menyebabkan mereka berlawan sesama sendiri sehingga kuasa jahat Gempita mengambil kesempatan untuk memisahkan ketua mereka, Arjuna, daripada yang lain-lain. Dengan itu, para pendekar sedar akan kesilapan diri, tetapi Andika pula meninggalkan rombongan dengan penuh rasa serba salah kerana terlalu mempercayai Mas Ayu. Terpaksalah Suria, Sutera, Cempaka dan Bebon mencari Arjuna dan Andika sampai dapat agar boleh terus berjuang.

Ketika terpisah jauh daripada para sahabatnya, Arjuna berjumpa dengan Puteri Nur Nilam Sari, pembesar orang bunian yang mengingatkan Arjuna akan seketul batu emas dalam sarang Gempita (yang diburu oleh Bebon) dan kuasanya yang amat diperlukan untuk menewaskan Gempita. Kemudian, Arjuna bertembung dengan lembaga ayahanda kandungnya, Adipura, yang menjelma di alam fana dengan tujuan memperkuat ketabahan dan kemahiran berlawan anakandanya. Selepas itu, Arjuna menyerap pengalaman hebat itu dalam sanubarinya untuk mencari jalan ke arah sarang Gempita.

Arjuna memasuki sarang Gempita tidak sama masanya dengan sahabat handainya yang tiba di gerbang masuknya secara berlima, tetapi oleh sebab pintu masuk sarang itu ada empat, maka mereka berlima pula terpaksa berpecah untuk mencari jalan yang betul. Bebon mengambil kesempatan untuk memburu batu emas dengan harapan mencari bapanya sampai dapat, tak kira hidup atau mati (kerana batu ini dipercayai boleh menghidupkan kembali yang mati); manakala yang lain-lain cuba mencari Gempita. Akhirnya, Arjuna bergabung semula dengan Suriaa, Andika, Sutera dan Cempaka, dan juga bersemuka dan berlawan dengan Gempita, walaupun tanpa bantuan batu emas. Bebon membawa batu emas itu keluar dari sarang, tetapi disuruh oleh roh bapanya yang sudah lama mati, untuk menghulurkan bantuan batu emas kepada para pendekar.

Sebaik sahaja menerima batu emas itu, Arjuna akhirnya berjaya menghapuskan Gempita dengan lebih mudah, sementara Andika bertempur dengan bekas kekasihnya, Mas Ayu, tanpa keraguan hati. Akhirnya Mas Ayu kecundang, tetapi dia sempat bermaafan dengan para Pendekar Sakti sebelum pergi buat selamanya. Dengan inilah berakhirnya perjuangan Perikatan Pendekar Sakti melawan kuasa kejahatan Gempita dan Grakus. Akan tetapi, bertahun-tahun kemudian setelah hidup secara aman, Arjuna sempat melamar Cempaka sebelum diganggu oleh suara mengancam dari Azrael (penyuruh Grakus dan Gempita).

Pelakon

sunting

Episod

sunting

Rujukan

sunting

Pautan luar

sunting
TV3: Aksi, Isnin 9.00 malam
Sebelumnya Arjuna
(31 Mei 2010 – )
Berikutnya
Jidin No Ordinary Family