Banjir Malaysia Mac 2023

Sebuah kejadian banjir besar telah berlaku di Sarawak, Sabah dan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia pada akhir Februari hingga awal Mac 2023. Bencana ini berlaku susulan hujan lebat berterusan yang bermula pada 26 Februari lalu mengakibatkan banjir di beberapa negeri.[1] Negeri yang paling teruk terjejas ialah Johor dengan lebih 34 ribu orang terpaksa dipindahkan.

Banjir Malaysia Mac 2023
Tarikh – 
Tempoh28 Februari - kini
TempatSarawak (Kuching, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei)
Sabah (Tongod, Kota Marudu)
Johor
Negeri Sembilan (Tampin, Jempol, Kuala Pilah)
Melaka (Alor Gajah, Jasin)
Pahang (Rompin, Maran, Raub, Jerantut, Pekan, Bera, Temerloh)
Selangor (Petaling)
Kematian6
Dipindahkan40000+

Kawasan terjejas sunting

Sarawak sunting

Pada pagi 28 Februari, dua pusat pemindahan telah dibuka di daerah Bau, Kuching melibatkan 17 mangsa dari tujuh keluarga.[2] Pada pagi 1 Mac, mangsa yang dipindahkan terus meningkat kepada 278 orang daripada 65 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan.[3] Banjir di Sarawak mulai pulih apabila hanya 14 orang yang masih dipindahkan di Sarikei pada 3 Mac.[4]

Sabah sunting

Lewat malam 28 Februari, dua pusat pemindahan telah dibuka di Kota Marudu dan Tongod menempatkan 464 orang mangsa banjir daripada 166 keluarga. 377 orang daripada 149 keluarga dipindahkan di Kota Marudu manakala 87 orang daripada 17 keluarga dipindahkan di Tongod.[5] Banjir di Sabah pulih sepenuhnya pada 2 Mac setelah pusat pemindahan terakhir di Tongod ditutup.[6]

Johor sunting

Pada 1 Mac, 21 pusat pemindahan telah dibuka sejak jam 1 pagi menempatkan 1,591 orang daripada 560 keluarga di empat daerah. Segamat menjadi daerah yang paling terjejas diikuti Johor Bahru, Kluang dan Kota Tinggi.[7] Mangsa banjir di Johor terus bertambah kepada sembilan ribu orang pada malam itu dengan semua daerah telah terjejas.[8] Pada 2 Mac, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan terus bertambah kepada 24 ribu orang yang ditempatkan di 177 pusat pemindahan.[9] Pada 3 Mac, mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 34,849 orang.[4]

Pahang sunting

Pada 1 Mac, empat pusat pemindahan telah dibuka di Rompin dan Maran melibatkan 171 orang dari 49 keluarga.[10] Jumlah mangsa banjir yang telah dipindahkan meningkat kepada 293 orang dengan tiga daerah baharu terjejas iaitu Jerantut , Pekan dan Raub.[8] Pada 2 Mac, jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat kepada lebih 1000 orang yang ditempatkan 25 pusat pemindahan.[9] Pada 3 Mac, jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 2,186 orang di 21 pusat pemindahan dengan Temerloh menjadi daerah baharu terjejas.[4]

Negeri Sembilan sunting

Pada 1 Mac, pusat pemindahan pertama telah dibuka di Tampin menempatkan 29 orang disusuli pembukaan lagi dua tempat pemindahan di Jempol.[11] Sebanyak sembilan pusat pemindahan telah dibuka dengan Kuala Pilah menjadi daerah terbaharu terjejas dengan dua pusat pemindahan dibuka.[12] Pada 2 Mac, satu lagi pusat pemindahan telah dibuka dengan jumlah mangsa banjir di Negeri Sembilan meningkat kepada 760 orang.[9] Pada 3 Mac, jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan kepada 938 orang daripada lebih 1000 orang sebelumnya.[4]

Melaka sunting

Negeri Melaka mula terjejas akibat banjir pada 1 Mac dengan 22 mangsa banjir dipindahkan ke dua pusat pemindahan di Jasin dan Alor Gajah.[13] Pada 2 Mac, mangsa banjir di Melaka meningkat sedikit kepada 67 orang pada sebelah pagi namun jumlah mangsa banjir berkurangan semula kepada 49 pada petangnya.[14] Pada 3 Mac, mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 204 orang di lima pusat pemindahan.[4]

Kematian sunting

Korban pertama bencana ini dilaporkan di Kluang, Johor pada 1 Mac setelah dihanyutkan arus deras.[15] Korban kedua merupakan seorang kanak-kanak lelaki yang lemas setelah dihanyutkan arus deras tali air di Pekan, Pahang pada 2 Mac.[16] Korban ketiga dan keempat pula merupakan dua orang warga emas yang ditemukan lemas pada 2 Mac di rumah mereka yang ditenggelami air di Segamat, Johor.[17] Korban kelima merupakan seorang warga emas yang ditemukan maut dipercayai akibat lemas di dalam kereta miliknya yang dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Rompin, Pahang pada 3 Mac.[18] Korban keenam pula merupakan seorang warga emas yang ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam longkang di Segamat pada 3 Mac.[19]

Kesan sunting

89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kluang dan Segamat tidak dapat menduduki peperiksaan itu akibat terkandas kerana banjir. Terdapat juga calon yang terjejas apabila terpaksa menumpang di pusat peperiksaan yang lain menyebabkan peperiksaan dimulakan lewat.[20]

Rujukan sunting

  1. ^ "Hujan berterusan di timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah". Kosmo. 23 Februari 2023. Dicapai pada 1 Mac 2023.
  2. ^ Nuzuluddin Abdul Razak (28 Februari 2023). "Sarawak buka dua PPS, trend air menaik". Astro Awani. Dicapai pada 1 Mac 2023.
  3. ^ Bernama (1 Mac 2023). "Jumlah mangsa meningkat kepada 278 orang". Astro Awani. Dicapai pada 1 Mac 2023.
  4. ^ a b c d e "Banjir lima negeri bertambah buruk, 38,120 mangsa berada di PPS". Sinar Harian. 3 Mac 2023. Dicapai pada 4 Mac 2023.
  5. ^ "464 mangsa dipindahkan akibat banjir di Sabah". Sinar Harian. 1 Mac 2023. Dicapai pada 1 Mac 2023.
  6. ^ "Mangsa banjir di 4 negeri meningkat, lebih 31,000 mangsa di PPS". Harian Metro. 2 Mac 2023. Dicapai pada 3 Mac 2023.
  7. ^ Mohamed Farid Noh (1 Mac 2023). "Johor mula dilanda banjir, 1,591 mangsa dipindahkan di 21 PPS". Berita Harian. Dicapai pada 1 Mac 2023.
  8. ^ a b Bernama (1 Mac 2023). "Lebih 9000 mangsa banjir di enam negeri ditempatkan di PPS". Astro Awani. Dicapai pada 2 Mac 2023.
  9. ^ a b c Astro Awani (2 Mac 2023). "Mangsa meningkat 26,685 di enam negeri pagi ini". Astro Awani. Dicapai pada 2 Mac 2023.
  10. ^ Nik Amirulmumin Nik Min (1 Mac 2023). "171 mangsa banjir dipindahkan di Pahang". Sinar Harian. Dicapai pada 1 Mac 2023.
  11. ^ Shuhada Abdul Kadir (1 Mac 2023). "Tiga PPS diaktifkan di dua daerah N.Sembilan". Astro Awani. Dicapai pada 1 Mac 2023.
  12. ^ Nor Ainna Hamzah (1 Mac 2023). "Sembilan PPS dibuka di Negeri Sembilan". Kosmo. Dicapai pada 1 Mac 2023.
  13. ^ Mohamad Fazrul Abdul Majid (1 Mac 2023). "22 mangsa banjir Melaka dipindahkan ke PPS". Melaka Hari Ini. Dicapai pada 1 Mac 2023.
  14. ^ 2 Mac 2023. "Mangsa banjir di lima negeri terus meningkat". Sinar Harian. Dicapai pada 2 Mac 2023.
  15. ^ Zulhisham Isahak (1 Mac 2023). "Lelaki hanyut bersama kereta, korban pertama banjir di Johor". Sinar Harian. Dicapai pada 2 Mac 2023.
  16. ^ Mohd Rafi Mamat (2 Mac 2023). "Mayat kanak-kanak mangsa lemas banjir ditemui". Dicapai pada 2 Mac 2023.
  17. ^ Ahmad Ismail (2 Mac 2023). "Dua warga emas tinggal sendirian, lemas dalam banjir". Dicapai pada 2 Mac 2023.
  18. ^ "Warga emas ditemui maut dalam kereta selepas banjir". Berita Harian. 3 Mac 2023. Dicapai pada 3 Mac 2023.
  19. ^ Ahmad Ismail (4 Mac 2023). "Empat kematian akibat banjir di Johor". Berita Harian. Dicapai pada 4 Mac 2023.
  20. ^ Mohamed Farid Noh (1 Mac 2023). "89 calon SPM terkandas, tidak dapat duduki peperiksaan". Berita Harian. Dicapai pada 1 Mac 2023.