Tangkap Basah

(Dilencongkan daripada Filem Tangkap Basah)

Tangkap Basah merupakan filem terbitan Merdekascope pada tahun 1963 di Ulu Klang, Selangor, Malaysia.

Tangkap Basah
PengarahSalleh Ghani
DibintangiMustapha Maarof
Kasma Booty
Mahmud Jun
Nyak Othman
Mak Dara
SinematografiHitam - putih
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehShaw Organisation
Tarikh tayangan
1963
Negara Malaysia
BahasaMelayu

Pengarah

sunting

Filem ini diarahkan oleh Salleh Ghani pada tahun 1963. Filem ini merupakan filem kedua arahannya di Studio Merdeka.

Ringkasan

sunting

Templat:Spoiler Filem ini mengisahkan tentang Mawar, (Kasma Booty) seorang gadis kampung yang sering diganggu oleh Jelatang, (Mahmud June) dengan rakan-rakannya. Desa, (Mustapha Maarof) sering membantu Mawar sehingga dia menaruh hati terhadap gadis itu. Walaupun umur Mawar lebih tua dari Desa, dan Desa menganggapnya sebagai seorang kakak. Manakala Bakong pula, (Mak Dara) ibu kepada Desa tidak mengizinkan Desa keluar dari rumah selepas ditangkap kerana bergaduh dengan Jelatang. Pada suatu malam, Mawar telah pergi ke rumah Desa untuk berjumpa dengan Bakong bagi menjelaskan perkara selanjutnya agar Desa tidak dihukum seperti itu. Tetapi pergerakan Mawar telah diekori oleh geng Jelatang, sewaktu Mawar dan Desa sedang berbual-bual di luar rumah, mereka telah ditangkap dan dihadapkan ke rumah Tok Penghulu, (Nyak Othman).

Setelah mendengar penjelasan kedua-dua belah pihak, tok penghulu membuat keputusan untuk menikahkan antara Desa dan Mawar pada malam itu juga. Keluarga mereka tidak bersetuju tetapi arahan tok penghulu mesti dipatuhi. Selepas mereka dinikahkan, keluarga masing-masing telah mengusir mereka dari rumah. Pasangan mempelai ini dicemuh dan diejek oleh orang-orang kampung kerana peristiwa hitam tersebut. Mereka digelar pengantin tangkap basah. Mereka membawa diri ke tempat baharu dan jauh dari orang kampung, mereka mendirikan sebuah pondok tetapi pondok tersebut telah dirobohkan oleh Jelatang dan rakan-rakannya. Mereka telah diusir keluar dari kampung. Sewaktu Desa sedang mencari kayu api, dia telah terjatuh ke dalam telaga. Orang kampung telah menyelamatkan Desa dan menghantarnya pulang ke rumah Bakong. Sementara itu, Mawar yang kerisauan dan tiada tempat berteduh sering meminta pertolongan pada orang kampung namun dia tetap dihalau dan dicemuh.

Bapa Desa telah ternampak Mawar tertidur di luar rumahnya lalu dijemputnya Mawar tinggal bersamanya. Bakong mengetahui perkara ini, lalu dihalaunya Mawar tetapi hal ini telah dilarang oleh suaminya. Keesokkan harinya, bapa Desa telah berjumpa dengan bapa Mawar, dan ingin memberitahu bahawa Mawar dan Desa dalam keadaan sihat dan selamat di bawah jagaannya tetapi bapa Mawar berkeras hati tidak mahu menerima Mawar sebagai anaknya lagi. Akhirnya kedua-dua mereka bertengkar dan bergaduh. Sementara itu, Mawar pula sering dibuli oleh Bakong dan Melati, (Rosemawati) adik kepada Desa. Pada suatu hari, Jelatang dan rakan-rakannya merancang untuk memerangkap Mawar agar dia dan Mawar ditangkap berkhalwat. Perancangan tersebut berjaya. Kali ini, Mawar telah ditangkap basah buat kali kedua.

Mawar merayu-rayu mengatakan dia tidak bersalah. Tetapi keluarganya tidak menyebelahi kepada Mawar. Tok penghulu kebingungan dan tidak dapat berbuat apa-apa keputusan memandangkan Desa belum kembali ke kampung. Desa menjadi berang selepas mengetahui bahawa isterinya ditangkap berkhalwat dengan Jelatang sepanjang pemergiannya. Desa berkeras hati tidak memaafkan perbuatan Mawar. Tiba dihari perbicaraan, berbagai cadangan diutarakan. Akhirnya keputusan dimuktamadkan, Jelatang dihukum rotan 20 kali sebatan manakala Mawar dihukum denda membayar seekor kerbau dan dirotan 20 kali sebatan. Pada awalnya Mawar akan dihukum rejam batu sampai mati. Tetapi hukumannya diringankan. Tetapi rakan-rakannya Jelatang berpakat untuk membebaskan ketuanya sebelum hari hukuman dijalankan. Perancangan tersebut berjaya.

Tok penghulu mengarahkan orang-orang kampung agar segera menangkap Jelatang dan rakan-rakannya. Desa berjaya menangkap Jelatang dan mereka berpadu tenaga sebelum Jelatang dihadapkan kepada tok penghulu. Jelatang akhirnya membuat pengakuan bahawa dia yang bersalah dan Mawar tidak bersalah. Jelatang berbuat demikian kerana cemburu terhadap Desa. Jelatang tetap dihukum keesokkan harinya. Manakala Mawar pula dibebas dan dilepaskan oleh tok penghulu. Bakong dan ayah Mawar juga telah insaf dan meminta maaf kepada Mawar di atas perbuatan mereka selama ini. Mawar akhirnya kembali kepada Desa, suaminya.

Templat:Endspoiler

Pelakon

sunting

Pautan luar

sunting
  1. http://www.filemkita.com/filem/t/tangkap_basah_01.html