Jaafar bin Haji Muhammad

Dato' Jaafar bin Haji Muhammad DK SPMJ CMG (1838 – 3 Julai 1919) merupakan Menteri Besar Johor yang pertama. Sultan Abu Bakar telah melantiknya menjadi Menteri Besar pada tahun 1886.


Jaafar Haji Muhammad

DK I, SPMJ (Johor); CMG (UK)
Menteri Besar Johor pertama
Dalam jawatan
1886 – 3 Julai 1919
SultanSultan Sir Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah (1886–1895)
Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur (1895–1959)
Digantikan olehDato' Mohamed Mahbob
Butiran peribadi
Lahir1838
Teluk Belanga, Singapura, Negeri-Negeri Selat
Meninggal dunia3 Julai 1919(1919-07-03) (umur 80–81)
Bukit Senyum, Johor Bahru, Johor
Tempat persemadianMakam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor
PasanganAishah (Esah) Ibrahim
Maimunah
Wan Emon Abu Talib
Datin Rogayah Hanim
Datin Selamah Ambak
Anak-anakDato' Mustapha Jaafar
Dato' Abdullah Jaafar
Dato' Onn Jaafar
Dikenali keranaMenteri Besar Johor pertama

Keluarga sunting

Beliau dilahirkan dalam tahun 1838 di Teluk Belanga, Singapura, dan mendapat pendidikan Melayu dan Inggeris. Beliau adalah berketurunan Bendahara Paduka Raja Johor dan Bendahara Kerajaan Melaka. Tiga anaknya menjadi Menteri Besar Johor.

Beliau mempunyai lima isteri iaitu Aishah (Esah) binti Ibrahim, Maimunah, Wan Emon binti Abu Talib, Datin Rogayah Hanim dan Datin Selamah Ambak.

Anaknya, Dato' Abdullah Jaafar juga menjadi Menteri Besar Johor ke-3. (September 1923 – 1928). Dato' Abdullah ialah anak Wan Emon. Dato' Abdullah 'berbeza pendapat' dengan Sultan lalu mengundurkan diri dan tinggal di Singapura. Selepas itu Dato' Mustapha Jaafar menjadi Menteri Besar Johor dari 16 September 1928 – 23 November 1931. Mustapha ialah anak Jaafar dengan isteri pertamanya Esah binti Ibrahim.

Anak saudaranya, Dato' Abdul Hamid Yusof, anak kepada abang Jaafar Muhammad menjadi Menteri Besar Johor ke-5. Menteri Besar ke-6 ialah Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Majid anak kepada Ungku Abdul Majid Temenggong Daeng Ibrahim dengan Rogayah Hanim. Rogayah Hanim adalah janda Ungku Abdul Majid yang merupakan adinda kepada Sultan Abu Bakar.

Anaknya, Dato' Onn Jaafar menjadi Menteri Besar Johor ke-7 (1 Jun 1947 – 18 Mei 1950). Beliau juga merupakan pengasas UMNO dan hampir menjadi Perdana Menteri Malaysia jika tidak kerana isu kerakyatan jus soli.

Anak perempuannya Hasnah (Cik Dara) Dato' Jaafar menjadi isteri ketiga Sultan Ibrahim. Cucunya Azah Aziz merupakan anak kepada Azizah Jaafar dan isteri Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz.

Kerjaya sunting

Beliau mulai berkhidmat dengan kerajaan negeri Johor ketika berumur 16 tahun, sebagai Pelatih Kerani di Pejabat Menteri kepada Temenggong Daeng Ibrahim. Dalam tahun 1856 beliau telah dilantik sebagai Kerani Besar di Pejabat Menteri, dan kemudiannya beliau terus memangku jawatan Dato' Menteri sehingga tahun 1882, dan kemudian terus dilantik sebagai Menteri Besar Johor oleh (Maharaja) Sultan Abu Bakar.

Perlantikan Dato' Jaafar Haji Muhammad sebagai Menteri Besar ini adalah merupakan peristiwa bersejarah bagi negeri Johor, kerana inilah julung-julung kalinya seorang Menteri Besar dilantik dalam pentadbiran kerajaan Johor Moden.

Beliau ialah pengiring Maharaja Abu Bakar dalam lawatan pertamanya ke Eropah pada tahun 1876. Ketika memegang tugas sebagai Menteri Besar, beliau pernah memangku tugas Sultan Johor untuk menjalankan pentadbiran negeri, ketika baginda keluar negeri. Pada tahun 1904 beliau telah dilantik oleh Sultan sebagai Pemangku Raja.

Tugasnya yang terpenting ialah memimpin negeri serta menjalankan pentadbiran negeri. Beliau adalah seorang yang berani dan bersemangat waja dalam menjalankan tugasnya.

Mementingkan pelajaran sunting

Dato' Jaafar mementingkan pelajaran terutamanya pendidikan Barat, agama Islam dan kebudayaan Melayu. Beliau menetap di istana Bukit Senyum yang terletak berhadapan dengan Selat Johor/Selat Tebrau. Anak-anaknya dimestikan membaca Hikayat dan Syair, sastera dan puisi Inggeris disamping itu mengaji al Quran dan mempelajari makanan dan pakaian Melayu. Sejak 1891, rumah itu mempunyai tutor iaitu seorang perempuan Inggeris dari Singapura bernama Nanny. Guru tersebut dijemput dengan kuda dari Woodlands dan menyeberang Selat Johor dengan feri dan menaiki beca ke Bukit Senyum. Seorang mualim/guru buta bernama Sheikh Salimi mengajar agama Islam. Kemudian Cikgu Sharifah Enson dari Johor Bahru mengajar tulisan Jawi dan membaca al Quran.[perlu rujukan]

Anak-anaknya diajar alat muzik seperti biola, gambus dan tabla serta maruas iaitu sejenis gendang kecil. Mereka membentuk kumpulan Ghazal dan membuat persembahan di sekitar Johor Bahru. Seorang tukang masak dari Turki memperkenalkan masakan Timur Tengah seperti 'harisa'. Tukang masak India, Thambi Shah memperkenalkan nasih beriyani kepada British yang berkhidmat di Johor diwajibkan memakai pakaian rasmi kerajaan Johor. Bendera Union Jack, iaitu bendera kerajaan British, haruslah dikibarkan lebih rendah daripada bendera negeri Johor. Di samping itu, semua surat-menyurat mestilah ditulis dalam Bahasa Melayu.[perlu rujukan]

Pada 1904, Jaafar diarahkan oleh Sultan Johor menjadi Pemangku Raja dan meraikan Putera Arthur (of Connaught) ke Tanah Melayu. Pada 1889, Duke Sutherland mengadap Sultan Johor dan perbualan itu dirakamkan oleh Florence Caddy.

Pentadbiran sunting

Pegawai British di Negeri Selat berpejabat di Singapura menganggap Dato' Jaafar sebagai seorang yang tegas atau straight forward man. Dato' Jaafar bersama Dato' Sri Amar DiRaja Abdul Rahman Andak menentang cita-cita British menakluk negeri Johor sehingga terjadi sedikit keretakan hubungan dengan Sultan. Sebenarnya Sultan Johor mahu menerima seorang penasihat atau General adviser pada 1910 kerana kalau Setiausaha Negeri jatuh sakit, tiada siapa lagi akan menasihati baginda.[2]

Gabenor Negeri-Negeri Selat beberapa kali cuba membawa Johor di bawah kawalan British sebagaimana Singapura. Mereka tidak menemui sebarang bukti pemerintahan buruk, tidak terdapat konflik atau persengketaan untuk mewajarkan campur tangan. Pada 1885, Gabenor Negeri-Negeri Selat, Cecil Clementi Smith telah memantau penjara, kerja-kerja awam, dan jabatan-jabatan kaji selidik di Johor. Beliau melaporkan kepada Pejabat Tanah Jajahan bahawa terdapat "organisasi baik", "memuaskan kemajuan", dan kerja-kerja" mengagumkan dilakukan" oleh pegawai-pegawai dan kerani Melayu. Dalam erti kata lain, tidak ada bukti salah atur untuk mewajarkan perlantikan Residen British.

Faktor utama ialah pentadbir Johor yang tidak buta huruf. Mereka mendapat pendidikan Melayu dan pendidikan Barat dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Bagi mengenang jasa dan bakti beliau kepada kemajuan negeri Johor, baginda Sultan telah menganugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) kepada beliau.

Meninggal dunia sunting

Beliau meninggal dunia pada 3 Julai 1919 di rumahnya di Bukit Senyum dan telah disemadikan dengan penuh istiadat di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor.

Sebuah sekolah iaitu "Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Jaafar" telah ditubuhkan di sebelah Istana Bukit Senyum iaitu kediaman Dato' Jaafar sempena jasa dan sumbangan beliau kepada Johor.

Darjah kebesaran sunting

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Abdul Rahim Ramli (19 Jun 2010). "Syarat Ketat Anugerah Datuk Johor". mStar Online. Dicapai pada 12 Ogos 2021.
  2. ^ Datuk Jaafar Mohamad, Menteri Besar Johor pertama
  1. ^ Panggilan "Yang Berhormat" dikhaskan untuk penerima gelaran Dato' yang dianugerahkan oleh Sultan Johor Darul Ta'zim.[1]
  • Biografi Dato' Onn - Hidup Melayu, by Anwar Abdullah


Penyandang Terdahulu Menteri Besar Johor
1882Julai 1890
Penyandang Kemudian
Yang Pertama Mohamed Mahbob