Lari (juga dikenali dengan judul bahasa Inggeris: The Run) ialah sebuah filem aksi Malaysia 2013.[1] Ia diarahkan dan ditulis oleh Ahmad Idham dan diterbitkan oleh Excellent Pictures dan Film Frame Productions, dibintangi oleh Aaron Aziz, Dira Abu Zahar, Erry Putra, Erin Malek dan Hazama.[2] Filem ini ditayangkan pada 6 Jun 2013 dan menerima ulasan positif.[3][4]

Lari
PengarahAhmad Idham
PenulisAhmad Idham
Lakon layarAhmad Idham
Dihasilkan oleh
  • Azlan Shah Jaffril
  • Ahmad Idham
Dibintangi
Disunting olehShamsul Zain
Syarikat
penerbitan
Tarikh tayangan
  • 6 Jun 2013 (2013-06-06) (Malaysia)
Masa tayangan
79 minit
NegaraMalaysia
Bahasa

Sinopsis sunting

Khalif (Aaron Aziz) merupakan seorang bekas askar yang tidak lagi berkhidmat dalam bidang ketenteraan. Dia telah mendapat berita yang mengejutkan berkenaan bapanya yang telah meninggal dunia akibat dibunuh. Semuanya bermula, apabila Khalif pulang ke kampung, dan melihat orang ramai berada di rumahnya. Bila dihampiri, dia mengetahui bahawa bapanya telah dibunuh oleh sindiket, manakala adiknya, Ina (Erin Malek) telah dilarikan oleh mereka, kerana membalas perjanjian yang tidak jadi antara bapanya dan kumpulan sindiket berkenaan. Berdasarkan pengalaman yang pernah diperolehnya daripada perkhidmatan ketenteraan dahulu, naluri Khalif ingin mengetahui apa yang sebenarnya terjadi kepada keluarganya. Ini menyebabkan dia mula menyiasat apa yang berlaku, dan mula menemui petunjuk kepada kejadian tragik tersebut.

Dalam masa yang sama KJ (Erry Putra) tidak menyenangi kehadiran Khalif di kampung itu, kerana masih berdendam dengan kejadian yang berlaku dahulu, di mana Khalif merupakan buah hati isterinya Maya (Dira Abu Zahar). Kepulangan Khalif juga membuat Maya cukup bersimpati dengan apa yang terjadi, dia tekad mahu membantu Khalif dalam menyelesaikan masalah tersebut. Pertemuan itu menyebabkan KJ semakin membenci Khalif. Petunjuk mengenai kejadian tragik itu membawa Khalif memulakan perjalanan dalam mencari jawapan. Ketika tiba di Stesen Keretapi Ipoh, Khalif merasakan kehadiran ahli sindiket, menyebabkan berlakunya pergaduhan dan dia cuba untuk melarikan diri. Dia terserempak dengan seorang pemandu teksi Taugeh (Hazama), yang memang telah lama mempunyai impian untuk menjadi seorang wira.

Sejak itu, Khalif dan Taugeh bergandingan dalam mencari jawapan kepada apa yang berlaku terhadap bapanya dan juga Ina. Kepulangan Khalif dan Taugeh ke kampung semula, telah menyebabkan Maya ingin bersama mereka untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Ketika itu juga, Khalif mendapat petunjuk bahawa sindiket itu didalangi oleh penyeludup dari Selatan Thailand dengan rakan subahat iaitu KJ. Ini telah menyebabkan Khalif bersemuka dengan KJ untuk mengetahui di mana Ina disembunyikan. Akhirnya KJ memberitahu mengenai hal sebenar.

Khalif, Taugeh dan Maya telah menuju ke sempadan dengan niat untuk melepaskan Ina dari cengkaman sindiket itu. Di situ, Khalif mengetahui bahawa adiknya telah dijadikan pelacur oleh sindiket penyeludupan manusia. Pelbagai rintangan telah dihadapi oleh Khalif, Taugeh dan juga Maya dalam usaha melepaskan Ina. Akhirnya, Ina berjaya diselamatkan daripada sindiket penyeludupan manusia tersebut, manakala hubungan antara Maya dan Khalif kembali terjalin. Taugeh pula terus menjadi teman kepada Khalif.

Pelakon sunting

  • Aaron Aziz sebagai Khalif – Bekas tentera yang baru ditamatkan dan kini misi mencari adiknya sendiri, Ina. Juga suami kepada Maya.[5]
  • Dira Abu Zahar sebagai Maya – Bekas isteri kepada Khaliff, namun dia telah berkahwin dengan KJ.[5]
  • Erry Putra sebagai KJ – Seorang ketua sendiket yang cuba merosakkan ahli keluarga Khaliff, namun dia telah dituduh oleh Khaliff. Juga suami kepada Maya.
  • Erin Malek sebagai Ina – Ina merupakan adik Khaliff, yang telah diculik oleh KJ dengan geng-gengnya.[5]
  • Hazama sebagai Taugeh – Seorang pemandu teksi yang selalu menolong Khaliff dalam kesusahan, namun dia juga membuat beraksi.
  • Rahhim Omar sebagai Pak Mat – Bapa kepada Khaliff dan Ina, yang telah dibunuh oleh Thanapon.
  • Shukri Yahaya sebagai Zakuan – Kawan baik Khaliff.
  • Azlan Komeng sebagai Konco KJ
  • Simon Kook sebagai Rafie
  • Mike B sebagai Thanapon – Pemilik kelab yang tempat Ina diculik, tetapi telah ditembak mati oleh Border Patrol Police semasa Thanapon mengejar Ina, Maya, Taugeh dan Khaliff daripada kawasan tersebut.

Penerbitan sunting

Idea untuk filem ini telah dicadangkan oleh pengarahnya, Ahmad Idham pada 2010 apabila beliau mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan skripnya.[1] Menurutnya, kerana kebuntuan idea, beliau terpaksa berhenti menulis skrip filem ini.[1] Namun, Idham berjaya menyiapkannya semasa beliau dan keluarganya mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah pada April 2012. Idham juga berkata, syarikatnya Excellent Pictures memperuntukkan RM500,000 hingga RM600,000 hanya untuk babak aksi sahaja.[1] Beliau juga ingin lari daripada isu gangsterisme yang sering dikaitkan dengan filem aksi, dengan mengangkat isu pemerdagangan manusia. Malah, aksi yang dipamerkan bukan calang-calang apabila beliau menggunakan sentuhan pengarah aksi bagi filem aksi Thailand yang terkenal, Ong Bak. Dalam temuramah bersama Sinar Harian, beliau berkata:

"Saya nak lari daripada gangsterisme, jadi saya cipta satu isu yang lebih membina, matang dan universal. Jadi, dari situ timbulnya isu pemerdagangan manusia. Untuk aksi sahaja, sebanyak RM500,000 hingga RM600,000 diperuntukkan. Lari adalah pertaruhan saya paling berisiko sebab kos keseluruhannya RM2.5 juta. Kos filem Excellent yang paling tinggi,"

Idham juga berkata beliau melakukan perubahan pada enam babak bagi mendapatkan klasifikasi P13 sambil menyifatkan Lari merupakan karya beliau yang paling berisiko kerana kos keseluruhannya RM2.5 juta, iaitu kos yang paling tinggi diperuntukkan oleh syarikatnya.[1][6]

Keluaran sunting

Lari ditayangkan pada 6 Jun 2013 di pawagam seluruh negara. Ia juga dipasarkan di luar negara dengan judul bahasa Inggeris, The Run dan dipertontonkan di Marche Du Film, Festival Filem Cannes ke-66.[7][8][9]

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e Nina Farzuin Md. Sharom (11 Oktober 2012). Filem Lari angkat isu 'perdagangan manusia' Sinar Harian. Dicapai pada 9 Julai 2017.
  2. ^ Nina Farzuin Md. Sharom (11 Oktober 2012). Pelakon Lari kongsi pengalaman Cinema Online (11 Jun 2013). Dicapai pada 9 Julai 2013.
  3. ^ Raziatul Hanim A. Rajak (17 Mei 2013). Lari padat aksi Sinar Harian. Diperoleh pada 10 Julai 2013.
  4. ^ Kemalia Othman (7 Jun 2013). 'Lari' Penuh Aksi Pertarungan Diarkibkan 2017-10-05 di Wayback Machine mSTAR Online. Diperoleh pada 10 Julai 2013.
  5. ^ a b c Raziatul Hanum A. Rajak (19 Mei 2013). Lari cabaran besar buat Aaron, Dira dan Erin Sinar Harian. Diperoleh pada 20 Mei 2013.
  6. ^ Lari tiada isu dengan Finas Kosmo! (22 Mei 2013). Dicapai pada 9 Julai 2013.
  7. ^ (HIBURAN) Filem ” LARI ” bakal berlari ke FESTIVAL FILEM CANNES Galaksi Media. 17 Mei 2013.
  8. ^ Kemalia Othman (17 Mei 2013). Filem Lari ditayang di Festival Filem Cannes Perancis mSTAR Online. Diperoleh pada 17 Mei 2015.
  9. ^ 'Lari Macam Filem 'Taken', Ahmad Idham Anggap Satu Pujian Malaysian Digest. Diperoleh pada 17 Mei 2015.

Pautan luar sunting