Mandi Safar merupakan satu perayaan dahulu pernah diadakan banyak masyarakat Melayu khususnya di Semenanjung Melayu (dalam negeri-negeri Melaka[1], Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak[2]), Kepulauan Riau bahkan sejauh Kalimantan Barat. Temasya ini mendapat namanya dari pengadaan setiba bulan Safar yang kedua dalam kalendar Islam di mana hari Rabu terakhir bulan ini menjadi tumpuan orang ramai bermandi-manda di pantai laut dengan tujuan kononnya menolak bala meskipun tidak berasas dalam agama Islam sendiri;[3] namun ada juga yang mengambil peluang ke pantai untuk tujuan lebih sekular seperti berkelah.[4]

Sejarah

sunting

Ada sejarawan yang mencadangkan kemungkinan acara ini wujud dari pengetahuan masyarakat Melayu kuno terhadap adat permandian dilakukan orang Tamil Madurai selatan benua India mengucap rasa syukur dengan banjirnya sungai Vaiyai pada musim monsun di sana sebelum diterapkan unsur agama Islam dipeluk kesultanan Melaka berzaman-zaman kemudian. Hal ini turut dikukuhkan tanggapan ia dirayakan sebagai menyatakan kesyukuran kononnya kerana Nabi Muhammad telah sembuh daripada sakit yang amat berat melalui suatu permandian seperti ini.[5]

Ada pendapat yang menganggap bulan Safar sebagai suatu bulan Nahas atau bulan Bala kerana di dalam bulan ini terutamanya pada hari Rabu terakhir, Allah banyak menurunkan bala kepada makhluknya di dunia ini. Oleh itu orang-orang tua sering mengingatkan anak cucu mereka agar berhati-hati ketika melakukan sebarang pekerjaan. Oleh kerana wujud kepercayaan seumpama ini, maka upacara perkahwinan, pertunangan dan majlis keraian tidak dilalukan pada bulan tersebut kerana dipercayai jodoh teruna dan dara tidak berkekalan.

Pengadaan

sunting

Antara tempat yang dicatatkan tersaksi berlakunya acara mandi-manda ini termasuklah Morib di Selangor, Bagan Luar di Pulau Pinang serta Port Dickson di Negeri Sembilan. Tanjung Kling pinggir laut Selat Melaka kira-kira tujuh batu dari Bandar Melaka merupakan tempat paling terkenal berkaitan pengadaan temasya lama ini.[5]

Di Melaka

sunting

Pada hari Selasa malam Rabu sebelumnya, kereta-kereta lembu dibawa rata-ratanya dari masyarakat tani serata pedalaman berarak menuju pantai Tanjung Kling ini sambil bernyanyi dan berbalas pantun diiringi muzik gesekan biola, pukulan gendang gong serta sepanjang jalan; lembu-lembu pembawa kereta akan dibersihkan dan disapu minyak sebagai persediaan beberapa minggu sebelumnya.[6] Hiburan ini tetap diteruskan meskipun tiba di pantai tersebut di mana kegiatan lain seperti tari-menari joget akan meriah sampai waktu bermalaman di pantai ini.[6][5]

Di Riau

sunting

Perayaan ini dicatatkan seawal 1920-an di mana kegiatan permandian ini lebih dilakukan secara perseorangan dalam rumah-rumah. Pengembangan amalan ini sebagai suatu acara lebih umum tersebar dari Tanah Melayu sekitar tahun 1950.[7]

Di Kalimantan

sunting

Masyarakat Melayu sungai Jambu, Kayong Utara, Kalimantan Barat diperhatikan mempunyai amalan seperti ini dilakukan antara pukul 6:30 hingga 7:00 pagi di halaman masjid; acara ini melibatkan pembacaan doa dengan barangan daun andung-andung bertulis ayat dari surah Al-Qur’an tertentu (Yasin, Ash-Shaffat, dan Salamun ‘alaainul yakin) bawaan seorang ketua adat. Dedaun andung bertulis ini diikatkan pada batang buluh/bambu dan dibenamkan ke dalam parit air hadapan masjid kononnya untuk membuang atau terhindar dari bala ini. Acara jamuan besar beramai-ramai dilakukan selepas pembacaan doa ini sebelum acara mandi-manda dapat dilakukan semua lapisan masyarakat itu.[8]

Pengharaman oleh badan berkuasa

sunting

Pada 9 Julai 1963, Berita Harian telah melaporkan adanya kesepakatan antara para ulama Singapura dan Johor mengenai sifat tidak berasas upacara ini kepada apa jua yang diajarkan empat mazhab Islam melainkan daripada suatu hadis daif. Pemangku Mufti Johor, Dato' (Dr.) Abd. Jalil Hassan menyatakan bahawa "mandi Safar dan minum air wafak pada hari itu sebagai bid'ah dan karut semata."[9] Pendapat ini masih diteruskan ulama di dua-dua negara Malaysia dan Singapura berpandukan kepada hadis nabawi menolak semua kepercayaan yang berkait dengan sial majal :-

"Kepercayaan pada sial majal adalah suatu perbuatan syirik (Nabi mengulang kata ini sebanyak tiga kali)." (hadis yang dilaporkan oleh Abu Daud dan Tirmizi).[10]

Malah, terdapat hadis-hadis sahih diriwayatkan sahabat termasuk Abu Hurairah dan Jabir bin Abdullah yang merakam penegasan nabi Muhammad sendiri bahawa bulan Safar langsung tidak membawa apa-apa bala sepertimana ramalan hujan dan bulan bintang yang ada pada zaman Arab Jahiliyah sebelumnya.[3]

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ Zainal Abidin Bin Ahmad (Zaaba)
  2. ^ 2008 - 2012 Dewan Bahasa dan Pustaka.
  3. ^ a b Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub (17 Ogos 2017). "Siri ke-210: Amalan Mandi Safar". Irsyad Al-Hadith. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Jabatan Perdana Menteri Malaysia. Dicapai pada 29 November 2021.
  4. ^ Mohamed Hoessein Enas (1963). Malaysians. Singapura: Malayan Publishing House Ltd. m/s. 108.
  5. ^ a b c Singaravelu, S. (1986). "The Malay-Tamil Cultural Contacts with Special Reference to the Festival of "Mandi Safar"". Asian Folklore Studies. Universiti Nanzan, Nagoya. 45 (1): 67–78. doi:10.2307/1177834. ISSN 0385-2342.
  6. ^ a b Khoo Kay Kim (1982). Melaka, dahulu dan sekarang. Persatuan Muzium Malaysia. m/s. 63, 71–72.
  7. ^ Muhammad Ashsubli (Jun 2018). "Ritual Budaya Mandi Safar di Desa Tanjung Punak Pulau Rupat Kabupaten Bengkalis Provinsi Riau". AQLAM - Journal of Islam and Plurality. Fakultas Ushuluddin, Adab dan Dakwah, Institut Islam Negeri Manado, Indonesia. 3 (1): 84–101. doi:10.30984/ajip.v3i1.634.
  8. ^ Wahab; Hariansyah; Dewi Nurhayati (December 2019). "Agama dan Modernitas dalam Praktik Ritual Mandi Safar di Kayong Utara". Jurnal Studi Agama dan Masyarakat. Palangka Raya, Kalimantan Barat: Lembaga Penelitian dan Pengabdian kepada Masyarakat Institut Agama Islam Negeri Palangka Raya. 15 (2): 140–165. doi:10.23971/jsam.v15i2.1675. ISSN 2540-8232.
  9. ^ "Jangan amalkan mandi Safar dan minum ayer wafak - Seruan". Berita Harian. 9 Julai 1963. m/s. 3 – melalui NewspaperSG.
  10. ^ Dr. Danial Zainal Abidin, (2008). Minda Muslim Super. Setapak, Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn Bhd. m/s. 65. ISBN 978-983-3603-19-0.CS1 maint: extra punctuation (link)