Kesultanan Melayu Melaka

kesultanan yang diasaskan di Semenanjung (1400—1511)
(Dilencongkan dari Kesultanan Melaka)

Kesultanan Melayu Melaka (Jawi: کسلطانن ملايو ملاک) merupakan sebuah kesultanan Melayu yang berpusat di Melaka. Tesis sejarah konvensional menandakan sekitar tahun 1400 sebagai tahun penubuhan kesultanan Melaka oleh Raja (Temasek)Singapura,bernama Dharmaraja atau dengan gelaran Parameswara cicit Sang Nila Utama yang merupakan pengasas Temasek. Beliau juga dikenali sebagai Iskandar Shah (selepas beliau memeluk Islam) yang berasal dari keturunan Palembang.[2] Namun, tahun penubuhan Melaka telah disemak semula baru-baru ini dan diubah menjadi tahun 1262.[3] Pada kemuncak zaman Kesultanan Melaka pada abad ke-15, ibu kotanya berkembang menjadi salah satu pelabuhan pindah kapal yang paling penting, dengan wilayah kesultanan yang meliputi sebahagian besar Semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Riau dan sebahagian besar utara Sumatera, Indonesia zaman moden.[4]

Kesultanan Melayu Melaka
کسلطانن ملايو ملاک
1400–1528
Bendera Kesultanan Melayu Melaka
Panji Kesultanan Melayu Melaka mengikut peta Planisfera Cantino [1]
Peluasan wilayah oleh abad ke-15
Peluasan wilayah oleh abad ke-15
Ibu negaraMelaka
Bahasa yang umum digunakanBahasa Melayu Klasik
Agama
Islam, Ahli Sunah Waljamaah
DemonimMalaccan
KerajaanRaja mutlak
Sultan 
• 1400–1414
Parameswara
• 1414–1424
Megat Iskandar Shah
• 1424–1444
Muhammad Shah
• 1444-1446
Abu Syahid Shah
• 1446-1459
Muzaffar Shah
• 1459-1477
Mansur Shah
• 1477–1488
Alauddin Riayat Shah
• 1488–1511
Mahmud Shah
• 1511–1513 (de facto)
Ahmad Shah
• 1513–1528
Mahmud Shah (Pemerintahan ke-2)
Bendahara  
Sejarah 
• Didirikan
1400
• Penaklukan Melaka (1511)
  • Berpecah kepada pemerintahan Kesultanan Johor & Kesultanan Perak (1529)
  • 1528
    Mata wangEmas dan perak
    Didahului oleh
    Diganti oleh
    Kerajaan Singapura Lama
    Portugis Melaka
    Kesultanan Johor-Riau
    Kesultanan Perak
    Kesultanan Pahang
    Sekarang sebahagian dari Malaysia
     Indonesia
     Singapura
     Thailand

    Sebagai sebuah pelabuhan perdagangan antarabangsa yang pesat, Melaka muncul sebagai pusat pendidikan dan penyebaran Islam, dan memangkin perkembangan bahasa, kesusasteraan dan kesenian Melayu. Kesultanan Melaka menandakan zaman kegemilangan kesultanan Melayu di Nusantara, di mana Bahasa Melayu Klasik menjadi lingua franca Maritim Asia Tenggara dan tulisan Jawi menjadi medium utama pertukaran budaya, agama dan bangsa, negara intelektual. Melalui perkembangan intelek, rohani dan budaya ini, zaman Melaka telah menyaksikan penubuhan identiti Melayu,[5][6] Malayisasi rantau ini dan seterusnya pembentukan Alam Melayu.[7]

    Pada tahun 1521, ibu kota Melaka jatuh ke tangan Empayar Portugis, memaksa Sultan Melaka terakhir, Mahmud Shah (r. 1488–1511), berundur ke kawasan empayarnya yang lebih jauh dari ibu kota, di mana keturunannya menubuhkan dinasti pemerintahan baharu, Johor dan Perak. Warisan politik dan budaya kesultanan kekal sehingga ke hari ini. Selama berabad-abad lamanya Melaka telah diangkat sebagai contoh tamadun Melayu-Islam. Melaka telah menubuhkan sistem perdagangan, diplomasi, dan tadbir urus yang berterusan sehingga abad ke-19, dan memperkenalkan konsep seperti daulat yang terus membentuk pemahaman kontemporari tentang raja Melayu.[8]

    Pengasas dan Pengasasan Melaka sunting

    Menurut Sejarah Melayu, Parameswara berasal dari Palembang. Pada tahun 1324, seorang putera dari Bentan bernama Sang Nila Utama telah menawan Temasek dan menubuhkan kerajaan Singapura lama. Baginda memerintah selama 48 tahun dan diiktiraf sebagai Raja Singapura oleh satu utusan daripada Maharaja China pada tahun 1366. Baginda secara rasmi bergelar Sri Maharaja Sang Utama Parameswara Batara Sri Tri Buana. Batara Sri Tri Buana yang bermaksud "Yang Dipertuan kepada tiga dunia" melambangkan kekuasaan baginda ke atas Palembang, Bentan dan Temasek. Terdapat tiga orang lagi Raja daripada keturunan baginda yang memerintah Singapura iaitu, Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386), Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386 – 1399) dan yang terakhir Paduka Sri Maharaja Parameswara (1399 – 1401). Pada 1401, kerajaan Majapahit menyerang Singapura dengan bantuan Bendahara yang belot, Sang Rajuna Tapa. Parameswara telah berjaya melarikan diri menuju ke pantai barat Semenanjung Tanah Melayu untuk membuka ibu negeri yang baru.[9][10]

    Menurut "Suma Oriental", Parameswara ialah seorang raja Palembang yang beragama Buddha. Beliau menggantikan ayahandanya, Raja Sam Agi. Beliau diserang oleh Raja Jawa, Batara Tamavill, sewaktu beliau menggelarkan dirinya sebagai Mjeura ("orang yang berani"). Ekoran daripada itu, beliau melarikan diri ke Singapura. Setelah membunuh wakil Raja Siam (bernama Temagi) di Singapura, Parameswara menjadi pemerintah palsu pada satu tempoh yang tidak lama kerana beliau telah diserang dan dihalau oleh pihak Siam tidak lama selepas itu. Dengan seribu pengikutnya, beliau menuju ke pantai barat Semenanjung Tanah Melayu untuk mencari tempat perlindungan yang baru.[perlu rujukan]

    Menurut Sejarah Melayu yang dikarang oleh Tun Sri Lanang, angkatan Parameswara melarikan diri ke Muar tetapi diganggu oleh biawak yang tidak terkira banyaknya. Penetapan di tempat yang kedua di Kota Burok juga gagal kerana kubu pertahanan yang cuba didirikan mereka runtuh dengan serta merta. Kemudian, Parameswara berpindah ke Sening Ujong (nama lama bagi Sungai Ujong). Setelah berada di sana, beliau melantik seorang menteri untuk mewakili dirinya dan kemudiannya beliau tiba di muara Sungai Bertam (nama lama bagi Sungai Melaka). Ketika itu, orang-orang Seletar mendiami kawasan itu dan mereka meminta Parameswara menjadi Raja.[11] Parameswara merasakan kedudukan tempat itu amat baik untuk didirikan kerajaan. Tempat itu berhampiran dengan laut yang menjadi laluan kapal dagang. Bekalan air bersih juga mudah diperoleh. Selain itu, bentuk muka bumi yang berbukit-bukau boleh menjadi petunjuk kepada pelayar dan memudahkan urusan mengawal Selat Melaka. Pokok Bakau dan Api-api boleh dijadikan benteng semula jadi. Angin Monsun pula tidak mengganggu kegiatan perdagangan kerana muara sungainya terlindung daripada tiupan angin tersebut.[perlu rujukan]

    Semasa Parameswara sedang berehat di bawah pohon Melaka, Parameswara telah melihat peristiwa anjing pemburuannya ditendang oleh seekor pelanduk. Peristiwa ini dianggap luar biasa kerana seekor pelanduk kecil dapat mengalahkan seekor anjing. Oleh itu, Parameswara memilih untuk mendirikan sebuah kerajaan. Parameswara menamakan tempat itu Melaka bersempena dengan nama pokok beliau berteduh.[perlu rujukan]

    Parameswara memeluk Islam pada tahun 1409 dan telah menggelar diri baginda sebagai Raja Iskandar Syah. Baginda telah berkahwin dengan seorang puteri [[Pasai. Pada tahun 1409 juga, Laksamana Cheng Ho telah singgah di Melaka dalam rangka lawatan beliau untuk meneroka dunia.[perlu rujukan] Pada 1411, Parameswara telah membuat pelayaran melawat negara China dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang untuk pertemuan dengan Maharaja Ming, Yung Lo. Maharaja Yung Lo juga mengiktiraf Parameswara sebagai raja Melaka.[perlu rujukan]

    Pemerintahannya itu berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan ke-16. Tambahan pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah dengan berfungsi sebagai pintu kepada negeri-negeri rempah untuk memasarkan rempah mereka.[perlu rujukan] Keadaan ini dapat digambarkan menerusi Duarte Barbosa yang berkata :

    Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia

    Faktor-faktor yang menyumbang kepada Melaka menjadi sebuah negeri yang maju adalah kerana pelabuhannya terlindung daripada ancaman Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut. Pedagang-pedagang dari Jawa, Arab, India, China dan lain-lain dapat berlindung di Melaka sehinggalah keadaan selamat untuk mereka ke laut semula. Semasa pemerintahan Parameswara, ramai orang Cina menetap di Melaka, berdekatan kawasan Bukit Cina yang mempunyai feng syui yang terbaik pada masa itu.[perlu rujukan]

    Perkembangan Melaka sunting

    Sultan Melaka Tempoh memerintah
    Parameswara
    (Raja Iskandar Syah)
    1400 – 1414
    Megat Iskandar Syah 1414 – 1424
    Muhammad Shah 1424 – 1444
    Abu Syahid 1444 – 1446
    Muzaffar Shah 1446 – 1459
    Mansur Shah 1459 – 1477
    Alauddin Riayat Shah 1477 – 1488
    Mahmud Shah 1488 – 1511

    Parameswara mangkat pada tahun 1414 dan diwarisi oleh anaknya, Megat Iskandar Syah (1414–1424). Megat Iskandar kemudian digantikan dengan putera baginda, Sri Maharaja, yang kemudiannya mengambil gelaran Muhammad Shah (1424–1444). Pada kemangkatannya dalam tahun 1444, beliau diganti oleh putera bongsunya daripada isteri kedua baginda, Puteri Rokan, iaitu Raja Ibrahim. Disebabkan Raja Ibrahim adalah sepupu Puteri Rokan,[perlu rujukan] orang-orang besar Melaka tidak setuju dan telah membunuh Raja Ibrahim dan dimakamkan dengan gelaran Sultan Abu Syahid.[perlu rujukan]

    Kekanda Raja Ibrahim, Raja Kassim anak isteri pertama Tun Wati, menaiki takhta pada tahun 1445 dan memakai gelaran Sultan Muzaffar Syah (1446–1459) menaiki takhta dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri. Pendakwah-pendakwah Islam dihantar oleh Sultan ke seluruh Kepulauan Melayu seperti Jawa, Borneo dan Filipina. Sebahagian besar penduduk Asia Tenggara pada ketika itu beragama Hindu.[perlu rujukan]

    Semasa pemerintahannya, pihak Siam membuat dua serangan ke atas Melaka. Serangan pertama pada tahun 1445 diketuai oleh Awi Chakra melalui darat tidak jauh dari Muar tetapi ditewaskan oleh Tun Perak dan Tun Hamzah (Tok Bongkok). Serangan kedua pihak Siam pada tahun 1456 diketuai oleh Awi Dichu melalui laut dan sekali lagi Tun Perak telah berjaya menewaskan mereka dengan mudah. Selepas dua kekalahan di darat dan laut ini, Siam tidak lagi mencuba untuk menyerang Empayar Melayu Melaka. Tun Perak telah dijadikan Bendahara dengan gelaran "Bendahara Paduka Raja". Beliau berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka kepada mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.[perlu rujukan]

    Hubungan dengan negara China sunting

    Antara faktor yang menyumbang kepada perkembangan Melaka adalah kerana Melaka mempunyai hubungan yang rapat dengan Dinasti Ming di negara China. Armada Ming berperanan mengamankan jalur pelayaran Selat Melaka yang sebelumnya sering diganggu oleh kumpulan perompak dan bajak laut.[12] Di bawah perlindungan Ming, Melaka berkembang menjadi pelabuhan penting di pesisir barat Semenanjung Malaya yang tidak dapat disentuh oleh Majapahit dan Ayutthiya. Hubungan diplomatik antara Melaka dan China mula terjalin apabila Laksamana Yin Ching melawat Melaka pada tahun 1404 dan disusuli dengan lawatan Laksamana Cheng Ho pada tahun 1405 dan 1409. Parameswara memohon perlindungan daripada China. Melaka bersetuju menjadi negeri di bawah naungan China dan bersetuju menghantar ufti. China telah mengurniakan payung kuning, cap mohor dan sepersalinan pakaian sebagai tanda pengiktirafan kerajaan China kepada Melaka. Melaka juga menghantar utusan ke China.[13]

    Berdasarkan Sulalatus Salatin, kerajaan ini merupakan kelanjutan daripada Kerajaan Melayu di Singapura yang mana serangan Jawa dan Siam kemudiannya menyebabkan pusat pemerintahan berpindah ke Melaka. Dinasti Ming mencatat Parameswara sebagai pendiri Melaka mengunjungi maharaja Yongle di Nanjing pada tahun 1405 dan meminta pengakuan atas wilayah kedaulatannya.[14] Sebagai balasan upeti yang diberikan, maharaja China menyetujui untuk memberikan perlindungan kepada Melaka.[15] Ada tercatat bahawa sehingga 29 kali utusan Melaka mengunjungi maharaja China.[16]

    Kegemilangan Kesultanan Melaka sunting

    "Maka segala dagang atas angin dan bawah angin sekaliannya datang ke Melaka; terlalu ramai bandar Melaka ketika itu". [nb 1]

    Pada tahun 1459, Mansur Shah (1459 – 1477) menaiki takhta. Disebabkan kedudukannya yang strategik, Melaka menjadi sebuah pangkalan luar yang penting bagi kapal-kapal. Bagi mengeratkan hubungan diplomatik dengan Melaka, Maharaja China telah menganugerahkan anaknya Puteri Hang Li Po dengan tujuan untuk dikahwinkan dengan Mansur Shah. Untuk menyambut Hang Li Po, Mansur Shah juga menghantar Tun Perpatih Putih dengan segolongan pengiring ke negeri China untuk mengiringnya. Hang Li Po tiba di Melaka pada tahun 1458 bersama-sama 500 orang pengiring.

    Salah satu kesan kebudayaan yang berpunca daripada peristiwa ini ialah wujudnya kelompok kaum Peranakan, iaitu hasil daripada perkahwinan campur antara pendatang Cina dengan penduduk tempatan. Kaum Peranakan ini juga dikenali sebagai orang Baba dan Nyonya pada hari ini.

    Semasa pemerintahan Mansur Syah, empayar Melaka mencapai kemuncak kuasanya dan terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Singapura, dan sebahagian besar Sumatera. Pesaing utama Melaka ialah Siam di utara dan Majapahit di selatan. Majapahit kemudiannya tumbang setelah banyak kawasan jajahan telah dikuasai oleh Melaka pada kurun ke-15. Siam pula telah menyerang Melaka sebanyak tiga kali tetapi kesemua cubaan serangan tersebut telah gagal.

    Pentadbiran yang sistematik membawa kegemilangan pada Kesultanan Melayu Melaka sunting

    Bagi melicinkan urusan pentadbiran kerajaan Melaka, Sultan Melaka telah mengadakan satu sistem pentadbiran yang tersusun dan dikenali sebagai Sistem Pembesar Empat Lipatan. Sistem Pembesar Empat Lipatan terdiri daripada kumpulan pembesar yang menjadi pegawai tadbir Kerajaan Melaka. Dalam sistem pentadbiran ini, sultan mengetuai teraju pemerintahan. Baginda dibantu oleh empat orang pembesar yang dikenali sebagai Pembesar Berempat. Mereka terdiri daripada Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana. Pembesar Berempat dibantu oleh Pembesar Berlapan, Pembesar Enam Belas, dan Pembesar Tiga Puluh Dua.

    Kejayaan Melaka sunting

     
    Melaka pada kemuncak zaman kegemilangannya.

    Selepas Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan baru menggantikan Srivijaya pada abad ke-15, Melaka telah berjaya mencapai kejayaan yang lebih besar kesan daripada faktor perdagangan yang semakin berkembang pesat. Melaka telah muncul sebagai kuasa besar di Kepulauan Tanah Melayu yang setaraf dengan kuasa besar lain seperti Siam dan Srivijaya. Melaka yang pada mulanya merupakan sebuah kerajaan kecil telah berkembang dan mengambil alih peranan pusat perdagangan yang dulunya dipegang oleh Srivijaya. Kejayaan menarik tumpuan perdagangan dari Srivijaya ini telah mengangkat martabat Melaka ke tahap yang lebih tinggi kerana pada zaman dahulu hanya kuasa-kuasa besar sahaja yang mampu untuk mengendalikan pusat perdagangan yang cekap dan berupaya menyediakan kemudahan infrastruktur yang moden.

    Keupayaan Melaka telah menyebabkan sebilangan negeri yang dulunya berada di bawah kekuasaan kuasa Siam dan Jawa telah meminta naungan dan perlindungan daripada kekuasaan Melaka. Contoh negeri tersebut ialah Bernam, Klang, Selangor, Sungai Ujung, Kedah, dan Patani yang secara sukarela datang mendapatkan nobat daripada Melaka. Manakala Pasai pula sebagai ‘abang tua’ dalam perdagangan dan agama, sentiasa ‘berkirim salam’ dengan Melaka. Bukti kemunculan Melaka sebagai satu kuasa besar yang baru ialah Melaka telah dua kali berjaya menangkis serangan Siam dan akhirnya berjaya menguasai Kelantan, menjelang kurun ke-16 Melaka telah memutuskan hubungan hormat dengan Siam. Hal ini menunjukkan Melaka bukan sahaja berjaya mencontohi kejayaan Srivijaya dalam perdagangan tetapi juga dari segi perluasan wilayah.

    Wilayah Kesultanan Melaka sangatlah luas iaitu merangkumi keseluruhan semenanjung Tanah Melayu dan juga pantai timur Sumatera. Antara wilayah kesultanan Melaka di Semenanjung Tanah Melayu ialah Kedah,Patani,Perak,Pahang, Terengganu,Johor. Manakala wilayah Kesultanan Melaka diSumatera pula ialah Aru,Rokan,Siak,Kampar,Indrageri dan Jambi. Kesultanan Melaka turut menguasai Kepulauan Riau,Natuna dan semua pulau disekitarnya. Wilayah-wilayah ini diperoleh melalui peperangan, naungan serta perkahwinan.

    Pengunaan laluan maritim Pantai Timur Tanah Melayu menjadi bertambah penting ketika zaman keagungan perdagangan maritim bermula abad ke-14 hinggalah abad ke-16.[17]

    Kejayaan Melaka memainkan peranannya sebagai sebuah entreport baru dapat dilihat dalam tiga bentuk iaitu bertindak sebagai penerima atau pembeli barang-barangan, menjadi pengantara menemukan pedagang Timur dan Barat termasuk Nusantara, dan juga bertindak sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa ke Melaka ke tempat lain. Walaupun Melaka merupakan warisan Srivijaya, namun pencapaian Melaka adalah berlainan daripada Srivijaya kerana Melaka merupakan tempat yang menjadi asas kepada pegangan yang menjadi nadi menggerakkan seluruh kegiatan pemerintahan dan rakyatnya sehingga kini.

    Kejatuhan Kota Melaka sunting

     
    Binaan Istana Melaka yang dibina semula mengikut Istana Sultan Mansur.

    Pada tahun 1488, Sultan Mahmud Shah mewarisi Melaka yang telah mencapai kemuncak kuasa dan merupakan pusat dagangan yang unggul di Asia Tenggara. Bendahara Tun Perak, pencipta keunggulan Melaka, telah tua. Begitu juga dengan Laksamana Hang Tuah. Pemerintahan Sultan Mahmud Shah juga mengalami rancangan jahat dan pilih kasih. Beliau bukan seorang raja yang cekap, akan tetapi beliau juga seorang mangsa keadaan. Ayahandanya, Alauddin Riayat Shah, mangkat pada usia yang masih muda. Oleh itu, baginda menaiki takhta ketika masih kanak-kanak. Portugal pada awal abad ke-16 sedang mengasaskan sebuah empayar luar negeri.[perlu rujukan]

    Pada tahun 1509, Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal daripada Angkatan diRaja Portugal tiba di Melaka. Mereka merupakan orang Eropah pertama yang tiba di Asia Tenggara dan digelar "Benggali Putih" oleh orang tempatan. Oleh kerana orang-orang Portugis membuat kacau di Melaka seperti mengusik gadis-gadis dan mencuri di samping perselisihan faham, Sultan Mahmud Shah kemudiannya mengarahkan supaya orang-orang Portugis dihalau dari Melaka. Angkatan Portugis diserang dan 20 anak kapalnya ditahan.[perlu rujukan]

     
    Imej bendera Kesultanan Melaka dari peta Portugis The Cantino Planisphere yang telah dihasilkan pada tahun 1502 iaitu kira-kira 9 tahun sebelum Melaka diserang Portugis pada tahun 1511

    Pada 10 Ogos 1511, sebuah armada laut Portugis yang besar dari Goa, India diketuai oleh Alfonso de Albuquerque kembali ke Melaka. Albuquerque membuat beberapa permintaan membina markas Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak oleh Sultan Mahmud Shah. Permintaan-permintaannya ialah pembebasan semua tawanan-tawanan Portugis, meminta agar Sultan Melaka membayar ganti rugi dan izin untuk mendirikan kubu pertahanan di Melaka, A Famosa. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos. Kekalahan Melaka adalah disebabkan maklumat kekuatan pertahanan Melaka telah dibocorkan oleh Si Kitol. Sultan Ahmad Shah, ayahandanya Sultan Mahmud Shah dan pengikut mereka telah berundur ke Muar dan kemudian ke Pahang di pantai timur di mana beliau gagal dalam percubaannya mendapat pertolongan daripada negara China.[perlu rujukan]

    Maka dengan itu,jatuhlah ibu kota Kesultanan Melaka iaitu Kota Melaka kepada penjajah Portugis. Portugis berjaya menakluki Kota Melaka. Namun kesultanan Melaka tidak runtuh disitu, hanya ibu kota Kesultanan Melaka sahaja yang ditakhluk oleh Portugis, wilayah Kesultanan Melaka yang lain kekal dibawah kekuasaan Kesultanan Melaka. Walaubagaimanapun, Sultan Melaka yang terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah tidak berputus asa. Baginda berusaha untuk menawan semula kota Melaka dan menghalau penjajah portugis dari Kota Melaka.[perlu rujukan]

    Kemudiannya, Sultan Mahmud Shah berpindah ke selatan dan mengasaskan Kesultanan Johor selepas kemangkatan anaknya sebagai pusat dagangan saingan kepada Melaka. Dengan ibu kotanya di pulau Bentan yang terletaknya berdekatan dengan Temasik (Singapura), beliau terus menerima ufti dan kesetiaan daripada kawasan-kawasan sekeliling yang diberinya sewaktu beliau masih menjadi Sultan Melaka. Sultan Mahmud Shah menjadi ketua gabungan Melayu dan berkali-kali menyerang Melaka. Pada tahun 1525, Laksamana Hang Nadim berjaya mengepung Kota A Famosa sehingga pihak Portugis terpaksa membuat catuan makanan dari Goa.[perlu rujukan]

    Pada 1526, pihak Portugis membalas dengan seangkatan kapal yang besar dengan ketuanya Pedro Mascarenhaas dan memusnahkan ibu kota Bentan. Sultan Mahmud Shah berundur ke Kampar, Sumatera.Dengan itu berakhirlah Kesultanan Melaka pada tahun 1526 setelah ibu kota Melaka yang kedua iaitu Bentan dimusnahkan oleh Portugis. Berakhirlah Kesultanan Melaka, Kerajaan melayu yang agung dan gemilang. Ia bertahan selama lebih 100 tahun lamanya. Walaubagaimanapun anakandanya, Tengku Alauddin Shah tinggal dan mengembangkan Johor sebagai sebuah empayar yang berkuasa dan yang mencapai keunggulannya pada abad ke-18 dan ke-19. Lagi seorang anakanda Sultan Mahmud Shah, Tengku Muzaffar Shah, dijemput oleh orang-orang utara untuk menjadi sultan mereka dan beliau mengasaskan Kesultanan Perak.[perlu rujukan]

    Sultan Mahmud Shah mangkat dua tahun kemudian di Kampar pada tahun 1528.

    Melaka pada 1262 Masihi sunting

    Kerajaan Negeri Melaka telah mengisytiharkan bahawa permulaan Kerajaan Melayu Melaka telah bermula atau wujud 140 tahun sebelum ketibaan Parameswara di Melaka pada tahun 1402 Masihi.

    Hal ini sekaligus mengiyakan penemuan artifak lama Melaka yang jarang didengar yang menjelaskan teori penubuhan Melaka bermula pada tahun 1262 Masihi.

    Keputusan memilih tarikh 1262 sebagai penubuhan dan pengasasan kerajaan Melayu Melaka diputuskan hasil kesepakatan menerima pendapat kajian selama setahun oleh sepasukan penyelidik yang dilantik oleh kerajaan negeri Melaka menerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP). Keputusan tersebut dicapai pada Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka anjuran IKSEP bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang diadakan pada 31 Mei 2010.[18] Penemuan tersebut juga turut disahkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) yang membuat kajian terhadap perkara tersebut pada 10 Oktober 2011.[19]

    Tertib tarikh sunting

    Galeri sunting

    Lihat juga sunting

    Nota dan rujukan sunting

    Nota sunting

    1. ^ Shellabear, William Girdlestone (1961).Sejarah Melayu edisi tahun 1612, mukasurat 82.

    Rujukan sunting

    1. ^ https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/9/9c/Cantino_planisphere_%281502%29.jpg
    2. ^ Cœdès, George (1968). The Indianized states of Southeast Asia. University of Hawaii Press. m/s. 245–246. ISBN 978-0-8248-0368-1.
    3. ^ Sulalatus Salatin by Raja Bongsu Manuscript 18 of Stamford Raffles
    4. ^ Ahmad Sarji 2011
    5. ^ Barnard 2004, halaman 7
    6. ^ Andaya & Andaya 1984, halaman 55
    7. ^ Mohamed Anwar 2011
    8. ^ Ahmad Sarji 2011
    9. ^ Windstedt (KBE, CMG, D.Litt (ed).), Sir R.O (1938). ""The Malay Annals or Sejarah Melayu". Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society. The Branch. XVI: 32. Unknown parameter |part= ignored (bantuan)CS1 maint: multiple names: authors list (link)
    10. ^ Buyers, Christopher. "The Ruling House of Malacca - Johor". Dicapai pada 13 Jun 2009.
    11. ^ Ahmad Sabri, A. (2014). Raksa Raya Malaysia. Google Books. Retrieved 15 August 2015, from https://books.google.com.my/books?id=IVDUBAAAQBAJ&pg=PA87&lpg=PA87&dq=Parameswara+Sening+ujong&source=bl&ots=ett4URke_F&sig=Ww-RvLcWzEi4hgCKY8Mp4ulzv_U&hl=en&sa=X&redir_esc=y#v=onepage&q=Parameswara%20Sening%20ujong&
    12. ^ Yuanzhi Kong, (2000), Muslim Tionghoa Cheng Ho: misteri perjalanan muhibah di Nusantara, Yayasan Obor Indonesia, ISBN 9794613614
    13. ^ Kenneth Warren Chase (2003). Firearms: a global history to 1700 (ed. illustrated). Cambridge University Press. m/s. 51. ISBN 0-521-82274-2. Dicapai pada 14 Disember 2011. The Chinese recognized Melaka as an independent state and warned the king of Thailand not to meddle with it... Nevertheless, the Chinese did not seek to establish colonies overseas, even when they anchored in places with large Chinese populations, like Sumatra and Java. They turned Melaka into a kind of protectorate and built a fortified warehouse there, but that was about it.
    14. ^ Gungwu, Wang (2003). Only connect!: Sino-Malay encounters. Eastern Universities Press. ISBN 9812102434.
    15. ^ Hooker, Virginia M. (2003). A Short History of Malaysia: linking east and west. Allen & Unwin. ISBN 1864489553.
    16. ^ Cleary, Mark (2000). Environment and development in the Straits of Malacca. Routledge. ISBN 0415172438. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
    17. ^ Uqbah Iqbal, Nordin Hussin & Ahmad Ali Seman, Sejarah Perkembangan Nasionalisme Melayu Sebelum Kemerdekaan, Munich: BookRix GmbH & Co. KG., 2014.
    18. ^ Utusan Online - Melaka ditubuh 1262, bukannya 1400 atau 1278?[pautan mati kekal]
    19. ^ TheStar Online - More research needed on new date of Malacca Sultanate[pautan mati kekal]

    Pautan luar sunting