Daerah Muar

daerah di Johor, Malaysia
(Dilencongkan dari Muar)

Daerah Muar merupakan salah satu daripada 10 daerah di negeri Johor Darul Ta'zim, Malaysia. Daerah ini terletak di sebelah barat laut Johor, bersempadan dengan Daerah Tangkak di utara, Daerah Segamat di timur, dan Daerah Batu Pahat di selatan. Antara bandar penting dalam daerah ini termasuklah Bandar Maharani, iaitu bandar diraja bagi negeri ini dan Pagoh.

Muar
Daerah Muar
داءيره‌ موار
Daerah Muar di Johor
Daerah Muar di Johor
Bendera bagi Muar
Official seal of Muar
Jata
Moto: 
'Cekap, Amanah, Dinamik, Makmur'
(چكڤ، أمانه، ديناميق، معمور)
Daerah Muar is located in Bumi
Daerah Muar
Daerah Muar (Bumi)
Koordinat: 2°02′44″N 102°33′24″E / 2.045513501385915°N 102.55658182399458°E / 2.045513501385915; 102.55658182399458Koordinat: 2°02′44″N 102°33′24″E / 2.045513501385915°N 102.55658182399458°E / 2.045513501385915; 102.55658182399458
NegaraMalaysia
NegeriJohor Darul Ta'zim
Diasaskan pada1884
Status bandar[1]2001
KerusiBandar Maharani
Kerajaan
 • Pegawai DaerahDato' Mustaffa Kamal Shamsudin
 • Yang di-PertuaJamil Hasni Abdullah[2]
 • Ahli Parlimen MuarSyed Saddiq Syed Abdul Rahman
Luas
 • Jumlah2,346.12 km2 (905.84 batu persegi)
Ketinggian
36.88 m (121 ft)
Penduduk
 (2010)
 • Jumlah247,957
Zon waktuUTC+8 (MST)
 • Musim panas (DST)Tidak mengamalkan
Laman webhttp://www.mpmuar.gov.my/

Daerah Muar berkeluasan 2346.12 km persegi dengan penduduk seramai 328,695 orang (bancian 2000).

Etimologi sunting

Perkataan ‘Muar’ dipercayai berasal daripada perkataan muara. Kemungkinan lain ialah ia berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu muna dan ‘ar yang masing-masing bermaksud tiga dan sungai, menggambarkan kewujudan Sungai Muar yang mengalir melalui bandar ini dan juga merupakan sungai terpanjang di Johor.[perlu rujukan]

Sejarah sunting

Muar kaya dengan sejarah tetapi disebabkan ketiadaan catatan sejarah yang sempurna dan bukti-bukti arkeologi, kebanyakan sejarah silam Muar tidak diketahui. Dipercayai sejarah Muar telah bermula lebih awal daripada Empayar Melaka. Pada tahun 1361, terdapat catatan yang menyatakan Muar adalah sebahagian daripada wilayah empayar Majapahit. Catatan lain pula ada menyebut bahawa Parameswara, pengasas empayar Melaka, pernah menubuhkan penempatan di Pagoh, Ulu Muar selepas melarikan diri dari Temasik sebelum menuju ke Melaka.[3] Muar juga adalah tempat terletaknya satu-satunya makam kesultanan Melaka iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488). Makam kesultanan Melaka yang lain telah dibinasakan dengan kejam oleh Portugis semasa penaklukan mereka ke atas Melaka. Muar turut memainkan peranan penting buat Sultan Melaka ketika itu dalam mengekang kemaraan tentera Portugis pada tahun 1511. Bagi menangani serangan armada Portugis, Kubu Bentayan telah dibina oleh Sultan Melaka untuk mematahkan serangan dari arah laut.

Muar di era Portugis juga menempatkan sebuah kubu iaitu ‘Fortaleza de Muar’ bagi mempertahankan koloni Portugis daripada serangan Belanda dan Aceh.

Muar adalah bandar di-Raja di barat laut negeri Johor. Ia pernah menjadi sebuah kerajaan merdeka dan berdaulat yang diperintah oleh Sultan Ali Iskandar Shah dalam masa yang singkat (1855 – 1877), apabila penguasaan negeri Johor (kecuali Muar dan Kesang) telah diserahkan kepada Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim di bawah perjanjian di antara British di Singapura dan Sultan Ali Iskandar Shah. Sultan Ali adalah pewaris sebenar Kesultanan Johor tetapi kelemahan beliau telah menyebabkan pemerintahan Johor dikuasai oleh Temenggung. Setelah beliau mangkat pada 1877, Muar akhirnya menjadi sebahagian daripada wilayah Johor. Pada awal tahun 1884 Maharaja Abu Bakar telah menitah Muhammad Salleh bin Perang, Dato' Bentara Luar Johor untuk membuka Bandar Muar yang turut dikenali sebagai Bandar Maharani. Nama ini diberikan oleh Maharaja Abu Bakar.

Kereta Api Kerajaan Muar sunting

Muar adalah satu-satunya bandar di Malaysia yang mempunyai sistem jaringan kereta apinya yang tersendiri di masa lampau yang dikenali sebagai Kereta Api Kerajaan Muar (Muar State Railways) atau MSR, beroperasi hanya 4 tahun selepas landasan kereta api pertama di negara ini di antara Taiping dan Port Weld dibuka pada 1885. Sistem kereta api ini wujud dari tahun 1889 hingga 1925, menghubungkan Jalan Sulaiman di Bandar Maharani dan Sungai Pulai pada jarak 22.5 km. Berdasarkan ciri-cirinya sebagai kereta api ringan tempatan, ia adalah terasing daripada jaringan kereta api di tanah Melayu pada waktu itu tetapi terdapat perancangan untuk memanjangkan landasan sehingga ke Batu Pahat pada 1916. Walau bagaimanapun, projek tersebut tidak dilaksanakan ekoran halangan geografi dan kewangan.

Perkhidmatan kereta api ini adalah menguntungkan dan telah memudahkan pergerakan penduduk serta barangan di samping menggalakkan pertumbuhan ekonomi melalui pembukaan ladang-ladang kelapa di sepanjang koridor rel. Walau bagaimanapun, kepentingannya telah menurun apabila Jalan Abdul Rahman yang menghubungkan Bandar Maharani dan Parit Jawa dibuka pada 1918. Tambahan pula, penyelenggaraan terhadap infrastruktur yang usang adalah terhad. Landasan sering terabai sehingga sistem perparitan yang tidak terurus telah merosakkan tapak landasan. Selain itu, ketiadaan batu balas di dalam pembinaan landasan telah mempercepatkan kadar kerosakan landasan di mana mendapan tanah sering berlaku dan mengakibatkan beberapa kegelinciran. Peruntukan kewangan yang besar adalah diperlukan untuk membaikpulih sistem kereta api ini. Dibebani dengan masalah kewangan dan kemerosotan populariti, kegemilangan MSR selama 36 tahun berakhir pada tahun 1925. Kesan landasan telah hilang apabila tapaknya digantikan dengan pembinaan Jalan Temenggung Ahmad. Lokomotif MSR yang dipamerkan di Taman Tanjung Emas adalah satu-satunya tinggalan warisan yang membuktikan kewujudan MSR di masa silam. Dipercayai juga lokomotif tersebut adalah yang tertua di negara ini yang masih berkeadaan baik memandangkan lokomotif wap yang dipamerkan di Muzium Negara Kuala Lumpur adalah dari model yang lebih baru. Memandangkan Muar tidak pernah menjadi ibu negeri atau bandar terbesar di Johor, kewujudan rangkaian kereta api eksklusif di Muar setanding dengan sistem LRT pada hari ini, satu kemudahan yang malahan ibukota Kuala Lumpur tidak memilikinya pada waktu itu, ia adalah pencapaian yang menakjubkan buat Muar di era tersebut.

Geografi sunting

Bandar Muar terletak pada 2°3′N 102°34′E, di muara Sungai Muar. Bandar ini berada pada kedudukan 150 km (93 batu) ke barat daya ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur dan 50 km ke utara Batu Pahat.

Iklim sunting

Iklim di daerah ini ialah iklim khatulistiwa (Af).[4] Purata suhu ialah 26.84 °C (80.3 °F). Bulan Mei merupakan bulan yang paling panas di kawasan ini dengan suhu mencecah 27.6 °C (81.7 °F). Bulan Disember dikategorikan sebagai bulan paling sejuk dengan suhu 26.1 °C (79.0 °F).[4] Purata kerpasan di Muar adalah 2286.8 milimeter pertahun. Bulan Disember merupakan bulan paling tinggi kerpasan dengan 330.4 milimeter manakala bulan yang paling rendah pula Februari dengan 110.6 milimeter.[4]

Data iklim untuk Muar (1990-2019)
Bulan Jan Feb Mac Apr Mei Jun Jul Ogo Sep Okt Nov Dis Tahun
Min harian °C (°F) 26.3
(79.3)
26.8
(80.2)
27.2
(81)
27.3
(81.1)
27.6
(81.7)
27.3
(81.1)
27.0
(80.6)
26.9
(80.4)
26.7
(80.1)
26.6
(79.9)
26.3
(79.3)
26.1
(79)
26.84
(80.32)
Kerpasan mm (inci) 187.0
(7.362)
110.6
(4.354)
172.9
(6.807)
188.7
(7.429)
180.2
(7.094)
150.5
(5.925)
151.6
(5.969)
177.2
(6.976)
168.8
(6.646)
211.4
(8.323)
257.5
(10.138)
330.4
(13.008)
2,286.8
(90.031)
Sumber: ClimateCharts[4]

Pentadbiran sunting

 
Peta daerah Muar

Daerah Muar ditadbir oleh Majlis Perbandaran Muar yang berpusat di Bandar Maharani dan dibahagikan kepada 12 mukim, empat bandar dan sebuah pekan.

Mukim sunting

  1. Ayer Hitam
  2. Bandar
  3. Bukit Kepong
  4. Jalan Bakri
  5. Jorak
  6. Lenga
  7. Parit Bakar
  8. Parit Jawa
  9. Sri Menanti
  10. Sungai Balang
  11. Sungai Raya
  12. Sungai Terap

Bandar dan pekan sunting

  1. Bandar Maharani
  2. Bandar Bukit Kepong
  3. Bandar Panchor
  4. Bandar Parit Jawa
  5. Pekan Bukit Pasir

Demografi sunting

Pecahan etnik di Muar - Bancian 2020
Agama Peratus
Bumiputera
  
62.1%
Cina
  
35.7%
India
  
1.9%
Lain-lain
  
0.2%
Sejarah kependudukan
TahunPend.±%
1970278,903—    
1980291,129+4.4%
1991301,804+3.7%
2000330,355+9.5%
2010239,027−27.6%
2020314,776+31.7%

Berdasarkan bancian Malaysia 2020 jumlah penduduk di Daerah Muar ialah seramai 314,776 orang dengan kepadatan penduduk 226 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk padat. Majoriti penduduk di daerah ini merupakan Bumiputera, membentuk lebih 62 peratus penduduk. Kaum kedua terbesar merupakan kaum Cina diikuti India. Lebih 10 peratus penduduk merupakan bukan warganegara.[5]

Nisbah penduduk lelaki kepada penduduk wanita ialah 122:100. Terdapat 79,980 tempat kediaman dengan sebanyak 69,603 isi rumah. Purata saiz isi rumah pula dicatatkan seramai empat orang dalam sebuah rumah. Lebih 223 ribu penduduk dalam kalangan umur bekerja, 71 ribu dalam golongan muda dan selebihnya 19 ribu orang merupakan warga tua.

Kewarganegaraan Kaum Jumlah
Warganegara Malaysia Bumiputera 174,423
Cina 100,430
India 5,452
Lain-lain 651
Bukan warganegara N/A 33,820

Agama sunting

Agama di Muar - Bancian 2020
Agama Peratus
Islam
  
62.3%
Buddha
  
32.1%
Hinduisme
  
3.2%
Kristian
  
1.6%
Lain-lain
  
0.5%
Tidak beragama
  
0.3%

Majoriti penduduk di daerah Muar beragama Islam yang terdiri daripada penduduk berbangsa Melayu dan beberapa etnik lain. Agama kedua terbesar merupakan agama Buddha yang kebanyakannya dianuti penduduk berbangsa Cina. Agama ketiga terbesar merupakan agama Hindu yang majoritinya terdiri daripada penduduk berbangsa India. Penduduk berbangsa bumiputera lain dan etnik yang lain terdiri daripada mereka yang menganut Kristian dan beberapa agama lain serta tidak beragama.[5]

Agama Jumlah
Islam 196,033
Buddha 101,002
Hindu 10,155
Kristian 5,137
Lain-lain 1,546
Tidak beragama 903
Tidak diketahui 0

Ekonomi sunting

 
Wetex Parade

Muar dikenali sebagai pusat perabot negara. Ia mempunyai lebih banyak kilang perabot berbanding dengan lain-lain daerah di Malaysia. Di samping itu, Muar turut menempatkan dua kilang milik syarikat multinasional antarabangsa iaitu SGS-Thomson (ST) Microelectronic dan Pioneer. Kawasan perindustrian di sekitar Muar terletak di Bukit Pasir, Bakri,Tanjung Agas, Pagoh dan Tangkak.

Terdapat berbagai pusat membeli-belah di Muar seperti The Store , Giants Hypermarket , Astaka / TF di Jalan Salleh, Econsave di Jalan Bakri dan Freshco (dulu Plaza Hock Hai) dan Wetex Parade adalah antara gedung membeli-belah terbesar yang terdapat di Muar.

Di samping itu, pembangunan komersil terbaru yang bakal menempatkan hospital swasta dan pusat membeli-belah sedang dilaksanakan di tebing utara Sungai Muar di atas tapak yang ditebusguna daripada hutan paya bakau. Kawasan tersebut menempatkan Pasaraya Besar Giant yang telah beroperasi. Selain itu, terdapat juga industri-industri kecil yang di buat di Muar.

Muar juga menjadi pusat tumbuhan lanskap negara. Terdapat lebih 300 nurseri tanaman hiasan dan lanskap di seluruh Muar. Pelbagai jenis tumbuhan hiasan yang berkualiti boleh didapati dan harga yang berpatutan. Permintaan yang tinggi dalam sektor perumahan dan rekreasi pada masa kini menyebabkan industri tanaman hiasan ini berkembang dan bersaing dengan pesat di Muar.

Industri sarang burung walit juga sedang berkembang pesat. Kebanyakan sarang burung walit dieksport ke negara China disamping di jual di pasaran tempatan untuk tujuan kesihatan. Antara syarikat yang mengendalikan lebih daripada 30 rumah burung di Muar adalah Amity AKF berpusat di Bukit Treh.

Infrastruktur sunting

 
Jambatan Kedua Muar
 
Jalan Muar-Yong Peng.

Lebuhraya pintasan Muar (Muar Bypass) sepanjang 14 kilometer termasuk Jambatan Kedua Muar dengan rekabentuk menarik yang keseluruhannya disiapkan pada 2005 adalah mercu tanda terbaru bandar ini. Lebuhraya yang menyusuri persisiran bandar Muar ini akan memudahkan perjalanan dengan mengalihkan aliran trafik daripada kawasan bandar dan seterusnya dapat mengurangkan kesesakan di Jambatan Sultan Ismail Muar yang lama. Lebuhraya sedemikian (atau jalan lingkaran) adalah ciri biasa bagi Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Melaka dan Seremban yang kesemuanya adalah ibu negeri. Walaupun Muar tidak berstatus sebagai bandar besar, pembinaannya di Muar telah menggambarkan kepentingan Muar dari segi ekonomi dan membolehkannya untuk merampas kembali kedudukannya selaku bandar kedua terbesar di negeri Johor.

Kini perjalanan dari Melaka ke Muar disingkatkan lagi dengan siapnya lebuh raya AMJ yang menyambungkan Alor Gajah - Bandaraya Melaka - Muar.

Di samping jalan persekutuan, Muar turut dihubungkan oleh Lebuhraya Utara–Selatan melalui susur keluar di Tangkak, Bukit Gambir dan Pagoh yang masing-masing terletak 20 km dan 30 km dari Muar.

Terdapat juga perkhidmatan feri secara tetap ke Dumai, Sumatera, Indonesia yang bertolak dari jeti Kastam Muar.

Muar tidak mempunyai perkhidmatan kereta api. Stesen Kereta Api Segamat merupakan laluan kereta api terdekat yang terletak kira-kira 80 kilometer ke utara Muar.Pengunjung boleh menggunakan stesen KTM Segamat seterusnya menaiki bas atau teksi ke Muar.

Pelancongan sunting

Salah satu tarikan pelancong yang terkenal di Muar ialah Taman Negara Gunung Ledang. Taman ini terletak 170 km dari Johor Bahru dan mempunyai keluasan 107 km2. Terdapat dua pintu masuk ke taman ini iaitu melalui Sagil, Johor dan Asahan, Melaka. Puncak Gunung Ledang setinggi 1,276 m dari aras laut adalah puncak yang tertinggi di negeri Johor. Gunung Ledang juga adalah gunung yang ke-64 tertinggi di Malaysia dan berkemungkinan yang paling banyak didaki di negara ini. Air terjun Sagil yang terdapat di taman ini adalah tempat perkelahan yang terkenal.Terdapat juga rumah rehat disediakan bagi kemudahan para penganjung ke Gunung Ledang. Aktiviti berkhemah menjadi satu kemestian bagi mereka yang menggemari keindahan alam semula jadi.

Makanan sunting

 
Mee Bandung Muar

Muar turut dikenali kerana makanannya. Makanan tempatan yang paling dikenali ialah Otak-otak, dodol Maharani, mee bandung Muar, dan asam pedas Parit Jawa.

Mi siput, iaitu sejenis mi yang berbentuk sanggul yang dikeringkan dan dihidang selepas digoreng juga terkenal di Muar. Pasar Muar ialah antara lokasi yang terbaik bagi mendapatkan bekalan mi siput kering.

Tempat-tempat menarik sunting

 
Monumen Tanjung Emas
 
Senja di Tanjung Muar

Terdapat deretan bangunan yang dibina sebelum Perang Dunia II di sekitar daerah Muar. Bangunan tersebut menempatkan kedai-kedai di sepanjang Jalan Abdullah yang juga dikenali sebagai pusat dagangan Muar. Bangunan warisan yang ulung antara lain adalah Bangunan Sultan Abu Bakar (disiapkan pada 1929) yang menempatkan pejabat-pejabat pentadbiran Daerah Muar dan Bangunan Kastam (disiapkan pada 1909).

Tarikan lain di Muar ialah Taman Tanjung Emas, taman rekreasi bagi bandar ini, yang terletak di muara Sungai Muar. Tebing sungai di taman ini dihiasi dengan laluan siar kaki yang menyajikan pemandangan menarik Sungai Muar. Taman ini yang dikunjungi ramai sewaktu hujung minggu juga menempatkan padang golf 9-lubang. Terdapat perkhidmatan bot menyusuri Sungai Muar selama 45 minit hingga satu jam yang bertolak dari taman ini.

 
Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Muar

Mercu tanda terbaru bandar ini ialah Masjid Sultan Ismail (Masjid Jamek Kedua), kini terletak di Daerah Tangkak; terletak di tebing utara Sungai Muar. Ia adalah masjid terbesar di Muar dan rekabentuknya adalah replika kepada Masjid Jamek Sultan Ibrahim (Masjid Jamek Pertama) yang terletak di Jalan Petri di tebing selatan.

Kebudayaan sunting

Ghazal sunting

Muar adalah tempat lahirnya Ghazal, muzik tradisi warisan Johor yang mempunyai unsur-unsur Parsi.

Persilatan sunting

Salah satu daripada aliran silat yang telah berkembang di Muar ialah Silat Sendeng Malaysia yang telah diasaskan oleh Haji Abd Hamid bin Haji Hamzah di Sungai Mati, Muar, kini Tangkak, Johor.

Wirid Khaujakan sunting

Pertubuhan Kebajikan Wirid Khaujakan diasaskan oleh Tuan Guru Kiyai Haji Abdul Fadhil bin Abu Bakar Banten kemudian dipimpin oleh Tuan Guru Haji Othman Azahari di Madrasah Khaujakan di Kampung Batu 4, Simpang Jeram, Bakri, Muar dan kini dipimpin oleh Tuan Guru Haji Ahmad bin Tunggal.

Penduduk terkenal sunting

Berikut adalah senarai penduduk terkenal yang berasal dari Muar.

Rujukan sunting

  1. ^ Sejarah penubuhan bandar Muar. Pautan:http://www.mpmuar.gov.my/sejarah-penubuhan-muar
  2. ^ Profil YDP, Laman sesawang rasmi Majlis Perbandaran Muar
  3. ^ Mpmuar.gov.my (2000). Portal Rasmi Majlis Perbandaran Muar. [online] Retrieved from: http://www.mpmuar.gov.my/tentang-muar Diarkibkan 2013-03-01 di Wayback Machine [Accessed: 24 May 2013].
  4. ^ a b c d Laura Zepner; Pierre Karrasch; Felix Wiemann; Lars Bernard (2020). "ClimateCharts.net – Bakri". Technical University of Dresden. doi:10.1080/17538947.2020.1829112. Dicapai pada 2021-06-20.
  5. ^ a b https://www.dosm.gov.my/mycendash/

Pautan luar sunting