Berlari Ke Langit

Filem Malaysia 2004 arahan Bade Hj. Azmi

Berlari Ke Langit ialah sebuah filem drama romantik Malaysia 2004 arahan dan skrip oleh Bade Hj. Azmi.[2][3] Ia mengisahkan tentang Indra, seorang nelayan dan satu-satunya mangsa yang terselamat setelah kehilangan kawan rapatnya dalam kejadian ribut petir ketika dia berada di laut. Selepas sembilan bulan bertahan di sebuah pulau, dia tiba di kampungnya dan berasa terkilan apabila mengetahui kekasihnya bakal berkahwin dengan seorang lelaki lain. Dibintangi oleh Rosyam Nor, Fasha Sandha, Hasnul Rahmat dan Siti Elizad, filem ini ditayangkan pada 24 Jun 2004 dan menerima pelbagai ulasan positif daripada pengkritik, yang rata-ratanya memuji ceritanya yang digarap dalam genre melodrama romantis berjaya memenuhi elemen komersial.[4][5][6]

Berlari Ke Langit
Berlari ke langit 01.jpg
Poster keluaran tayangan
PengarahBade Hj. Azmi
PenulisBade Hj. Azmi
Lakon layarBade Hj. Azmi
Dihasilkan olehGayatri Su-Lin Pillai
Dibintangi
SinematografiMohd Azla Kamaruddin
Disunting olehSalehan Samsuddin
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehGolden Screen Cinemas
Tarikh tayangan
  • 24 Jun 2004 (2004-06-24) (Malaysia)
[1]
Durasi tayangan
93 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM1.3 juta
Pecah panggungRM500,000 ribu

SinopsisSunting

Kepulangan Indra sembilan bulan dari laut mengejutkan ramai orang. Terutama Zulhijjah, kekasih Indra yang sekarang ini sudah menjadi tunang Bukhari dan bakal dinikahkan tidak lama lagi. Indra bersyukur ke atas kepulangan dari tragedi ribut yang menelan dua nyawa rakannya dan mendamparkan dia di sebuah pulau selama sembilan bulan. Kini, Indra merasa sia-sia setelah pulang setelah tahu kekasihnya Zulhijjah bakal menjadi isteri orang. Yasmin, seorang guru baru di sekolah Iman (adik kepada Indra) berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan Iman dapat mengeja dan membaca seperti mana pelajar yang lain. Suatu hari, Yasmin ke rumah Iman untuk bertemu Indra kerana mahu meminta kerjasama Indra untuk membantu Iman belajar di rumah. Usaha Yasmin tidak diberi perhatian oleh Indra malahan beliau merasakan ia adalah satu bebanan baginya. Di majlis perkahwinan Bukhari dan Zulhijjah, Indra dihalang oleh rakan-rakan Bukhari yang tidak membenarkan dia masuk. Emosi Indra terganggu dan menimbulkan ketegangan. Yasmin dan Haji Awang, bapa kepada Meor menenangkan keadaan. Indra yang sudah mula menerima kenyataan yang Zulhijjah bukanlah jodohnya, bertemu dengan Yasmin untuk menerangkan keadaan dia yang tidak boleh membaca dan sekaligus meminta pertolongan Yasmin untuk mendidik adiknya. Hubungan Iman dengan gurunya, Yasmin tidak secara langsung membuatkan Indra semakin rapat dengan Yasmin.

Dari hari ke hari Yasmin semakin tertarik dengan sifat dan tingkah laku Indra yang berdikari dan bertanggungjawab, tetapi Yasmin takut untuk menerima kenyataan bila difikirkan adakah beliau mempunyai harapan untuk hidup bersama Indra. Indra sekali lagi dikejutkan dengan kehilangan Yasmin yang meninggalkan dia dan Iman secara mengejut. Bukhari yang selama ini sentiasa berkeras dengan Indra akhirnya beralah dan bersimpati ke atas apa yang telah dilalui oleh Indra. Dia memberi semangat dan nasihat supaya Indra tidak terus bersedih. Indra mengambil keputusan ke Kuala Lumpur bersama adiknya untuk terus mancari Yasmin di sana. Indra memberi alasan untuk membawa Iman berjumpa penyanyi idolanya. Yasmin pula semakin tertekan bila mencari jalan keluar dari masalah peribadinya. Di Kuala Lumpur, Indra tinggal di sebuah bangunan terbiar bersama Prono seorang penagih dadah yang telah mencopet duitnya ketika dia baru sampai di Kuala Lumpur. Dia terus berusaha mencari Yasmin dan dalam masa yang sama berusaha menyekolahkan adiknya. Tercapaikah janji Indra untuk membawa Iman bertemu idolanya. Dapatkah Indra berjumpa dengan Yasmin? Dan mampukah Yasmin meneruskan hidupnya bersama masalahnya? Hidup... Mati... hanya Tuhan sahaja yang tahu.

PelakonSunting

PenerbitanSunting

Berlari Ke Langit diarahkan oleh Bade Hj. Azmi, yang turut berkhidmat sebagai penulis skrip dan pengarang cerita asal dan merupakan filem kedua arahannya bersama Tayangan Unggul selepas KL Menjerit (2002).[11][12][13] Filem ini menandakan kolaborasi kedua Bade bersama Rosyam dan Hasnul Rahmat selepas KL Menjerit[14] dan juga menandakan kolaborasi sulung Rosyam Nor dan Fasha Sandha dalam sebuah filem.[7][15][16] Untuk filem ini, Bade mengetengahkan hubungan dan kasih sayang sesama adik-beradik sebagai plot utama.[5][17]

Rosyam yang sebelum ini berlakon dalam filem KL Menjerit dan Laila Isabella, memegang watak sebagai Indra. Beliau berkata mengenai wataknya: "Watak Indra dalam filem itu adalah watak yang paling berat dan mencabar pernah saya lakonkan sepanjang kerjaya saya sebagai pelakon". Rosyam turut mengakui bertukar-tukar pendapat dengan pengarahnya, Bade dari jam 8 malam sehingga 8 pagi selain mengambil masa selama satu setengah bulan untuk membuat persediaan sebelum melakonkan watak Indra.[7] Fasha memegang watak sebagai Yasmin Suraya, seorang guru baru di sekolah Iman. Sebagai pelakon baru ketika itu, Fasha mengakui pada mulanya berasa gementar untuk berlakon dalam filem ini apatah lagi bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Rosyam. Beliau meluahkan rasa gembira kerana Rosyam banyak membantu beliau melakonkan watak Yasmin yang begitu mencabar kemampuannya sebagai pelakon.[7]

Siti Elizad, yang mula mencipta nama dalam bidang peragaan, memegang watak sebagai Zulhijjah, kekasih Indra yang ditunangkan dengan Bukhari.[10] Beliau terpilih untuk membintangi filem ini selepas menghadiri sesi uji bakat yang diadakan oleh Tayangan Unggul yang ketika itu sedang mencari bakat baru untuk diperkenalkan dalam Berlari Ke Langit. Uji bakat itu turut dihadiri oleh Bade. Elizad mengakui pada hari pertama di lokasi, beliau berperang dengan debaran kerana Rosyam bukan calang-calang pelakon, namun diberi sepenuh kebebasan untuk menzahirkan watak Zulhijjah. Beliau juga mengakui Rosyam banyak memberinya tunjuk ajar dan nasihat.[10]

Ahmad Danial Hazly yang merupakan anak saudara pengarah, Aziz M. Osman, dipilih melakonkan watak Iman, adik kepada Indra. Menurut Bade, beliau hampir berputus asa kerana masih belum mendapat pelakon sesuai meskipun beberapa kanak-kanak lain sudah diuji bakat untuk memegang watak Iman dalam Berlari Ke Langit, namun mengakui Danial ialah seorang yang tinggi imaginasinya.[18] Kos pembikinan mencecah RM1.3 juta dengan penggambaran dijalankan pada April hingga Jun 2003 di Kuala Lumpur; Pulau Perhentian, Terengganu dan dua lokasi di Pahang, iaitu Pekan dan Kuala Pahang.[19][20]

TemaSunting

Dalam tipologi beliau mengenai perfileman Malaysia, A. Wahab Hamzah, menulis untuk Utusan Malaysia berpendapat bahawa tajuk filem ini disifatkan "indah, puitis dan abstrak" dan merupakan "antara judul filem Melayu yang cukup bertenaga dan besar".[2] Beliau memberi contoh filem dengan tajuk puitis seperti Pasir Berbisik (Nas Achnas) dan Bulan Tertusuk Illalang (Garin Nugroho).[2] Beliau turut menulis bahawa Berlari Ke Langit membawa sebahagian realiti kehidupan nelayan dan berharap supaya ia "menggunakan alam yang luas terbentang untuk menyampaikan ceritanya secara indah dan puitis".[2]

Keluaran dan sambutanSunting

Berlari Ke Langit dikeluarkan pada 24 Jun 2004.[21][22][23] Filem ini berjaya meraih kutipan sebanyak RM500,000 selepas seminggu ditayangkan.[24]

Filem ini menerima ulasan positif daripada pengkritik filem. Mengulas untuk Berita Harian, Akmal Abdullah dan Suraiya Mohd Nor masing-masing memuji keseluruhan jalan cerita dan persembahan barisan pelakon. Akmal menulis bahawa filem ini digarap dengan kemas,[21] Suraiya pula yakin plotnya boleh memberi impak kepada penonton.[25] Rudy Imran Shamsuddin dari Harian Metro pula berpendapat bahawa Berlari Ke Langit masih bertunjangkan isu cinta.[26]

Berlari Ke Langit terpilih mewakili Malaysia di Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 (FFAP49) yang berlangsung pada September 2004 di Fukuoka, Jepun.[27] Turut terpilih FFAP49 ialah Trauma dan Pontianak Harum Sundal Malam.[28] Pada Januari 2005, filem ini muncul sebagai penerima Anugerah Hadiah Galakan Filem Melayu yang diperkenalkan menerusi Anugerah Citra Wangsa Malaysia Sektor Swasta anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).[29]

AnugerahSunting

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan
2004 Festival Filem Malaysia ke-17 Filem Terbaik Berlari Ke Langit Tercalon
Pengarah Terbaik Bade Hj. Azmi Tercalon
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Ahmad Danial Hazly Menang
Pelakon Lelaki Terbaik Rosyam Nor Tercalon
Festival Filem Asia Pasifik ke-49 Sinematografi Terbaik Mohamad Azla Kamaruddin Menang

RujukanSunting

  1. ^ a b c d e f g h i j "Catatan penerbitan Berlari Ke Langit". Filem Kita. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Oktober 2015. Dicapai pada 4 Januari 2013.
  2. ^ a b c d A. Wahab Hamzah (6 Julai 2004). "Berlari ke Langit - Judul yang puitis dan menarik". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Julai 2018. Dicapai pada 8 November 2008.
  3. ^ "Bukan kisah cinta loya!". Berita Minggu. 18 Mei 2003. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  4. ^ Akmal Abdullah (14 Jun 2004). "'Berlari Ke Langit' ada kekuatan sendiri". Berita Harian. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  5. ^ a b Roslen Fadzil (3 Julai 2004). "Berlari Ke Langit papar kasih sayang abang & adik". Berita Harian. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  6. ^ Rudy Shareme Sheriffudin (8 Jun 2004). "Strategi promosi BKL". Harian Metro. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  7. ^ a b c d e Abdil Aziz Itar (23 Jun 2004). "Rosyam dan Fasha - Watak dalam BKL paling mencabar". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-29. Dicapai pada 8 November 2008.
  8. ^ Abie Abdullah (25 April 2003). "Hasnul mula Berlari Ke Langit". Harian Metro. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  9. ^ a b Nor Akmar Samudin (7 Jun 2003). "Hanya memuji". Harian Metro. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  10. ^ a b c Zul Husni Abdul Hamid (3 Julai 2004). "Berlari Ke Langit naikkan Elizad". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Julai 2004. Dicapai pada 25 Februari 2014.
  11. ^ Hartati Hassan Basri (26 Jun 2004). "Bade yakin kekuatan BKL". Harian Metro. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  12. ^ Rudy Imran Shamsuddin (9 Jun 2004). "BKL tidak semudah dilihat". Harian Metro. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  13. ^ Meor Shariman (6 Jun 2003). "Sky's the limit" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  14. ^ Izza Safinaz Ibrahim (26 April 2003). "Mengharap tuah Berlari Ke Langit". Berita Harian. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  15. ^ Ellyna Ali (15 Jun 2003). "Kejutan Berlari Ke Langit". Metro Ahad. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  16. ^ Akmal Abdullah (8 Jun 2003). "Rosyam Nor, Fasha 'berperang'". Berita Harian. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  17. ^ Norhadiani Baharom (17 Februari 2004). "Angkat kehidupan nelayan". Harian Metro. Dicapai pada 16 Januari 2020.
  18. ^ Suraiya Mohd Nor (10 Julai 2004). "Danial Hazly tinggi imaginasi". Berita Harian. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  19. ^ Sariha Mohd Ali (18 Mei 2003). "Rosyam, Bade mula Berlari Ke Langit". Berita Minggu. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  20. ^ "Tidak mustahil Bada 'berlari' ke langit!". Berita Harian. 2 Jun 2003. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  21. ^ a b Akmal Abdullah (30 Jun 2004). "Berlari Ke Langit garapan kemas Bade". Berita Harian. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  22. ^ Meor Shariman (1 Julai 2004). "Well-made tragedy" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  23. ^ "'Langit' might lose out to 'AF2'" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. 17 Jun 2004. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  24. ^ Rudy Imran Shamsuddin (13 Julai 2004). "BKL tidak menghampakan". Harian Metro. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  25. ^ Suraiya Mohd Nor (25 Jun 2004). "Berlari Ke Langit diharap beri impak". Berita Harian. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  26. ^ Rudy Imran Shamsuddin (11 Jun 2004). "BKL masih bertunjang isu cinta". Harian Metro. Dicapai pada 10 Januari 2020.
  27. ^ "Berlari ke Langit - Wakili Malaysia ke Fukuoka?". Utusan Malaysia. 10 Jun 2004. Dicapai pada 10 Januari 2011.
  28. ^ Akmal Abdullah (11 Jun 2004). "'BKL', 'Trauma', 'Pontianak Harum' dipilih ke Fukuoka". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Jun 2004. Dicapai pada 10 Januari 2013.
  29. ^ "BKL menang Anugerah Citra Wangsa". Berita Harian. 12 Januari 2005. Dicapai pada 10 Januari 2020.

Pautan luarSunting