Mohamad Saman Mohamad

ulama dari Perak

Toh Paduka Indera Dato' Tuan Guru Haji Mohamad Saman bin Mohamad (15 September 1922 – 2 Mei 1995) atau Ustaz Mat Saman Kati ialah seorang agamawan di Malaysia. Beliau merupakan seorang ulama tasawuf yang mengarang buku berkaitan ilmu tersebut. Beliau mula dipanggil dengan Ustaz Mat Saman Kati semasa menjadi mudir Madrasah Nurul Kamaliah di sebuah pekan kecil bernama Kati berdekatan dengan Kuala Kangsar, Perak pada sekitar tahun 1960-an.

Mohamad Saman Mohamad
Ahli Dewan Negara Negeri Perak
Dalam jawatan
1978–1980
Butiran peribadi
Lahir15 September 1922
Kampung Relau Berdiri, Batu Kurau, Taiping
Meninggal dunia2 Mei 1995
Kamunting, Taiping
Pekerjaanpenasihat agama kepada sultan, ahli majlis fatwa

Kehidupan sunting

Ustaz Mat Saman Kati dilahirkan pada 15 September 1922 di Kampung Relau Berdiri, Batu Kurau, Taiping. Beliau mula menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Sungai Akar, Batu Kurau sehingga darjah lima. Kemudian, beliau diterima menjadi guru pelatih di sekolah berkenaan selama tiga bulan sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.

Selanjutnya, Ustaz Mat Saman Kati bersekolah di Madrasah Mariah (kini SMA Madrasah Idrisiah), Kuala Kangsar yang ketika itu mudirnya ialah Syeikh Abdullah Fahim, seorang ulama terkemuka di Tanah Melayu. Beliau hanya sempat belajar selama setahun di sana sebelum berhenti dan menyambung pelajaran di Madrasah al-Rusydiah, Kampung Jelai, Batu Kurau. Di madrasah ini, Ustaz Mat Saman Kati belajar selama enam tahun (1936–1942) dengan mempelajari ilmu pengucapan awam, mantik dan mendalami ilmu tasawuf yang kemudiannya menarik beliau mengamalkan ilmu tasawuf tarekat Naqsyabandiyah.

Setelah tamat pengajian di Madrasah Rusydiah, beliau mengajar sambilan di kampungnya selain bekerja sebagai petani dan pesawah. Selama tiga tahun beliau melakukan kegiatan tersebut sebelum berpindah ke Sungai Siput Utara pada tahun 1945. Di Sungai Siput, beliau ditawarkan mengajar di Sekolah Agama Rakyat, Batu Satu, Jalan Lasah. Beliau diserap menjadi guru kerajaan apabila sekolah tersebut diambil alih dan dikendalikan oleh kerajaan.

Pengajian di Mekah sunting

Pada 1950, beliau berangkat dengan kapal laut ke Mekah pada tahun 1950 untuk melanjutkan pelajaran di Madrasah Darul Ulum. Di sana, beliau mendalami ilmu tafsir al-Quran, hadis, sejarah Islam, bahasa Arab dan ilmu-ilmu yang bersangkutan dengan agama Islam. Beliau sempat juga menerima ajaran daripada mujahid-mujahid Islam yang berjuang menentang penjajah seperti Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dan Jamaluddin al-Afghani (Pakistan). Beliau menetap di Mekah selama dua tahun.

Kembalian ke Tanah Melayu sunting

Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1952, Ustaz Mat Saman Kati dilantik sebagai mudir Madrasah Nurul Kamaliah, Kati, Kuala Kangsar. Sewaktu di Kati, masyarakat tempatan mula memberi perhatian terhadap syarahannya. Masyarakat tertarik kerana cara penyampaian syarahannya yang lantang, terus-terang dan diselang-selikan dengan unsur-unsur kelakar. Menurut beberapa orang muridnya, Allahyarham seorang yang bijak berkelakar, menyindir dan mengecam secara halus dalam setiap syarahan agama dengan tujuan menyeru ke arah kebaikan. Sikapnya yang lekas mesra, ramah serta mempamerkan kematangan berfikir ketika mengupas persoalan agama yang dikemukakan kepadanya, menyebabkan Allahyarham disanjung oleh masyarakat. Faktor inilah yang melenyapkan nama asal beliau sebaliknya timbul pula gelaran Ustaz Mat Saman Kati yang kian hari semakin tersohor.

Namun, resam orang Melayu, pantang melihat kejayaan orang, maka timbullah angkara durjana fitnah-memfitnah. Ustaz Mat Saman Kati tidak dapat menepis angkara ini. Beliau difitnah oleh segelintir masyarakat tempatan lantas beliau tidak lagi betah untuk meneruskan kerjayanya sebagai guru agama di Kati. Beliau tegar meninggalkan pekan kecil Kati yang telah memberikannya sebuah nama besar.

Tetapi, perpisahan dengan Kati tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang mengembangkan syiar Islam di tanah airnya sendiri. Beliau bertekad melangsungkan perjuangan yang belum langsai. Tekadnya telah diberkati Allah s.w.t. Kegiatan dakwahnya yang sebelum ini hanya tertumpu di Kati kini melebar ke seluruh Negeri Perak Darul Ridzuan terutama kawasan di sebelah utara Semenanjung. Tambahan pula, tugas suci itu mendapat dorongan dan dukungan Jabatan Agama Islam Perak.

Pelantikan oleh sultan Perak sunting

Pada tahun 1964, Allahyarham digelar sebagai Tuan Guru Mat Saman Kati berikutan Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Iskandar Shah melantik beliau menjadi guru agama khas di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Jawatan itu disandangnya sehingga tahun 1970. Kemudian, beliau terpilih pula sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Syariah Negeri Perak. Jawatan lantikan Sultan Perak ini berkekalan sehingga akhir hayatnya.

Allahyarham seorang ulama yang rapat dengan istana Perak. Misalnya, dengan perkenan Sultan Perak, Ustaz Mat Saman Kati dilantik menjadi Ahli Dewan Negara Perak (Majlis Penasihat kepada Sultan Perak) mulai tahun 1978 hingga 1980. Pada 1 April 1986, Allahyarham dilantik menjadi Orang Besar 16 bergelar Toh Paduka Indera yang bertanggungjawab sebagai penasihat Sultan Perak mengenai Agama Islam.

Kegiatan lain sunting

Di samping berdakwah, Ustaz Mat Saman Kati giat mengarang kitab dan buku. Antara kitab yang dihasilkan ialah Masailatul Tauhid (selok-belok ilmu tauhid), Utusan Ibadat (ilmu amal ibadat mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah), Ajaran Tasawuf dan Tarekat (ilmu sufi), Al-Ruddun Ala Ahlil Bidaah, Masalah Agama Dari Segi Ibadah, Attariq Ilahi, Addulai-Lu Maarifah, Panduan Individu dan Ghayatul Maksud dan Ilmu Tasawuf serta sebuah buku bercorak memoir; Lawatan Ke Mesir.

Ustaz Mat Saman Kati pernah mengarang buku berjudul Ilmu Tasawuf (Penerbitan Pustaka Nusa Sdn. Bhd: 1997). Ustaz Mat Saman Kati seorang pendakwah dan guru agama yang terkenal. Semasa hayatnya, Allahyarham banyak berdakwah di Malaysia, Brunei Darul Salam dan Indonesia. Platform dakwahnya tidak hanya tertumpu di masjid, surau tetapi melebar di media elektronik seperti radio dan televisyen khususnya Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Topik dakwahnya banyak berkisar ibadat tasawuf yang menurut beliau telah diamalkan oleh para rasul semenjak Nabi Adam a.s. lagi sehinggalah Nabi Muhammad s.a.w. Ibadat tasawuf dilakukan secara khalwat (bersunyi atau menyendiri). Ia juga dikenali sebagai "Suluk" atau "Tarekat" – kedua-dua perkataan itu bermaksud jalan kepada Yang Maha Esa iaitu cara pengabdian serta wirid dengan menyebut dan memuji, berserah dan bersyukur kepada Yang Maha Pencipta alam ini.

Penglibatan dalam politik sunting

Beliau pernah bertanding mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada 1969 di Parlimen Krian Darat, walau bagaimanapun tewas.

Pilihan raya umum Malaysia 1969: Krian Darat
Parti Calon Undian % ∆%
Perikatan Ramli Omar 12,479 60.29
PMIP Mat Saman Mohamed 8,221 39.71
Jumlah undian sah 20,700 100.00
Jumlah kertas undi ditolak 1,211
Kertas undi tidak dikembalikan
Keluar mengundi 21,911 74.26
Pemilih berdaftar 29,507
Majoriti 4,258
Perikatan kekal Peralihan

Legasi sunting

Ustaz Mat Saman Kati mempunyai ramai sahabat daripada kalangan para alim ulama sezaman yang antaranya ialah Allahyarham Tuan Syeikh Daud Malau rakan seperguruan di Mekah, Allahyarham Tuan Guru Haji Ja'afar Al-Hafiz dan Allahyarham Tuan Guru Haji Abdul Hamid dari Pondok Padang Lalang Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan ramai lagi. Juga tidak sedikit pula meninggalkan anak murid yang istiqamah berjuang meneruskan cita-citanya meninggikan syiar Islam di negeri Perak khasnya dan seluruh negara amnya. Antaranya yang masih bergiat cergas menjalankan usaha-usaha dakwah di negeri Perak ialah YBhg Dato' Tuan Guru Hj. Abd Latif Abdul Rahman (Pak Teh Kroh) yang merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Syariah di Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perak dan Allahyarham Tuan Guru Haji Sabran bin Haji Asmawi khususnya dalam bidang Ajaran ilmu Tasawuf dan perjalanan ahli-ahli Tarekat.

Anugerah dan pengiktirafan sunting

Ustaz Mat Saman Kati dianugerahkan darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato’ dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) serta dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun 1409H/1988M oleh Kerajaan Perak sebelum meninggal dunia pada hari Selasa 2 Mei 1995 bersamaan 2 Zulhijjah 1415H di Kamunting, Taiping.

  •   Perak
    • Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P.) - Dato' (1992)
    • Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.)
    • Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak 1409H/1988

Rujukan sunting

  • "Keputusan Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya". Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-04-24. Dicapai pada 2016-04-29.
  • Mat Saman Kati dan Mokhtar Petah 1997. Ilmu Tasawuf. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Nusa Sdn. Bhd. *Mohamad Hashim 1987. Haji Mohd Saman Kati: Tokoh Maal Hijrah 1409 dlm Berita Perak, Jan/Feb. hlm. 5 *Jabatan Agama Islam Perak 1983. Sejarah Perak Dalam Kebangkitan Ulamak (Kertas Kerja). Zabidin Haji Ismail 1993. Kebangkitan Ulama Di Perak dlm Al Islam, April hlm. 56-57.
  1. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan Pilihan Raya 1969 tidak disediakan