Revolusi Iran (turut dikenali sebagai Revolusi Islam [1][2][3][4][5][6]; Bahasa Parsi: "Enghelab Eslami") ialah sebuah revolusi yang mengubah kerajaan Iran daripada sistem pemerintahan monarki kepada sistem Republik Islam. Pertukaran ini dibuat melalui pungutan suara rakyat Iran oleh Ayatollah Ruhollah Khomeini, setelah beliau berjaya mengusir raja Iran terakhir, Shah Mohammad Reza Pahlavi keluar dari Iran.

Tunjuk perasaan membawa potret Ayatollah Khomeini sebagai tanda sokongan mereka terhadap beliau.
Sejarah Iran
Empayar Parsi - Raja Parsi
sunting

Revolusi ini adalah sebuah gerakan yang unik kerana kejayaannya mengejutkan seluruh dunia. Sebab ia sesuatu yang unik kerana ia bukanlah berpunca daripada kekalahan dalam peperangan, krisis kewangan ataupun pemberontakan golongan bawahan mahupun tindakan ketenteraan;[7] seperti revolusi-revolusi lain dalam sejarah bertulis manusia. Revolusi Iran berlaku dengan pantasnya dan berjaya menjatuhkan sebuah rejim yang dilengkapi dengan kuasa tentera yang kuat dan hebat[8]; dan rejim ini digantikan dengan sistem pemerintahan teokrasi yang diundi berdasarkan tahap kemuliaan seseorang itu.[9]

Revolusi ini terjadi kepada dua peringkat. Peringkat pertama bermula pada pertengahan 1977 hingga tahun 1979 yang dipimpin oleh pihak liberal, golongan haluan kiri dan kumpulan agama. Kesemua mereka memberontak menentang Shah Iran. Peringkat kedua yang turut dikenali sebagai Revolusi Islam menyaksikan naiknya Ayatollah menjadi pemimpin revolusi.

Latar Belakang Revolusi sunting

1940: Kemahkotaan Shah sunting

Shah Mohammad Reza Pahlavi mula memegang kuasa pada tahun 1941, menggantikan ayahanda beliau, Shah Reza. Penggantian ini adalah menerusi rampasan kuasa oleh Inggeris dan Kesatuan Soviet yang menyebabkan Shah Reza terpaksa melarikan diri ke luar negara dan puteranya dipilih menggantikan beliau dengan harapan puteranya akan menjadi sekutu Inggeris dan Kesatuan Soviet. Shah Reza dikenali sebagai seorang yang nekad untuk memajukan negaranya tetapi pada masa yang sama bertindak kasar terhadap para ulama Iran. Pada tahun 1953, beliau melarikan diri keluar Iran apabila terjadi pergeseran antara beliau dengan Perdana Menteri Iran, Mohammad Mossadegh. Pergeseran ini berpunca daripada polisi Mohammad Mossadegh yang ingin memiliki negara yang dipenuhi lapangan minyak Iran ini dan meletakkan kuasa tentera di bawah penguasaan beliau. Melalui kudeta yang dibantu oleh CIA dan M16 (Operasi Ajax), Mossadegh berjaya digulingkan dan Shah kembali berkuasa.

Seperti ayahanda beliau, Shah Pahlavi meneruskan permodenan Iran. Beliau menjalinkan hubungan yang rapat dengan Amerika dan beberapa negara-negara barat lain dan sering kali mendapat pengiktirafan daripada Amerika kerana pendirian beliau yang menentang komunis. Namun begitu, pihak pembangkang yang terdiri daripada kumpulan berhaluan kiri, nasionalis, dan ulama selalu mengeluarkan kritikan kerana pemerintahan beliau melanggari perlembagaan Iran. Selain itu, rasuah dalam politik berleluasa dan juga tekanan politik menerusi badan perisikan beliau iaitu SAVAK.

1960s: Naiknya Ayatollah Khomeini sunting

Ayatollah Khomeini, pemimpin revolusi Iran ini mula menampilkan dirinya dalam arena politik sekitar awal tahun 1963. Beliau mengetuai kumpulan pembangkang menentang kerajaan Shah dan rancangan Revolusi Putih beliau. Antara perkara-perkara yang diperdebatkan oleh Ayatollah ialah hak mengundi untuk perempuan, perubahan undang-undang pilihan raya yang membenarkan kumpulan agama minoriti memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan perubahan dalam undang-undang perkahwinan.[10]. Kemudiannya, beliau mengisytiharkan Shah telah "memulakan proses kehancuran Islam di Iran".

Disebabkan oleh pengisytiharan beliau, Khomeini ditangkap pada 5 Jun 1963 dan 3 hari selepas itu rusuhan berlaku di seluruh Iran. Pihak polis bertindak balas dengan menggunakan kekerasan terhadap perusuh-perusuh ini. Menurut laporan daripada kerajaan Pahlavi, seramai 86 orang terbunuh. Penyokong Khomeini pula mendakwa sekurang-kurangnya 1500 terbunuh[11] manakala pihak polis yang dibentuk selepas revolusi mengumumkan lebih daripada 380 orang terkorban.[12] Khomeini ditahan di rumah beliau selama 8 bulan dan kemudiannya dibebaskan. Setelah pembebasan beliau, Khomeini meneruskan kegiatan beliau mengkritik Shah terutamanya mengenai hubungan rapat Shah dengan Israel dan juga "penganugerahan" imuniti diplomatik pegawai tentera Amerika di Iran. Pada November 1964, Khomeini sekali lagi ditangkap dan kali ini beliau dibuang negeri selama 14 tahun dan kembali semula ketika revolusi.

Selepas buangan Ayatollah, tentangan terhadap Shah ditekan atau disekat oleh SAVAK dan ini menghasilkan keadaan tenang buat seketika.[13] Namun, pada masa yang sama, terdapat gerakan pemulihan Islam dan gerakan ini mendapat sokongan yang jauh lebih hebat daripada proses permodenan Shah. Idea Khomeini mengenai negara Islam di dalam tulisan beliau, wilayat al-faqih mendapat sambutan yang hebat. Menurut Khomeini, umat Islam haruslah mengaplikasikan undang-undang sharia dan untuk menguatkuasakan undang-undang ini, kerajaan Islam haruslah diperintah oleh ulama.

Walaupun Khomeini jarang menyentuh mengenai buku ini dalam temu ramah beliau di luar negara tetapi di Iran, ia disebarkan dengan meluasnya. Buku ini kemudiannya menjadi sumber inspirasi dalam pemberontakan rakyat Iran terhadap Shah Reza.[14]

1970s: Situasi di Iran Sebelum Revolusi sunting

Terdapat beberapa peristiwa pada tahun 1970-an yang menyebabkan tercetusnya revolusi. Antaranya ialah layanan mewah kerajaan kepada rakyat asing sedangkan ramai rakyat tempatan hidup melarat, kadar inflasi yang melonjak tinggi diikuti dengan jurang antara kaya dan miskin yang semakin besar, sikap sekularisme Shah Mohammad Reza dan juga dakwaan bahawa SAVAK merupakan punca kematian pemimpin Islam yang berfikiran moden, Ali Shariati dan juga penglibatan SAVAK dalam kematian putra Khomeini, Mostafa (di Tehran).

Pada Oktober 1971, terdapat sebuah sambutan untuk ke 2500 bagi meraikan pengasasan negara Parsi. Sambutan ini diadakan selama tiga hari di Persepolis dan tetamu-tetamunya hanyalah warga-warga asing. Ini merupakan sebuah pesta yang menelan belanja yang tinggi (dianggarkan menelan belanja sekurang-kurangnya $100 juta[15]) Hidangan untuk pesta itu pula disediakan oleh tukang masak yang dibawa dari Paris. Pada masa yang sama, kawasan sekitar Persepolis iaitu wilayah Sistan dan Baluchestan mengalami kemarau yang teruk dan ramai penduduk di kawasan itu dan Iran umumnya hidup kelaparan[16].

Pada lewat 1974, berlaku peningkatan harga minyak di pasaran dunia. Namun begitu, kesannya kepada Iran adalah sebaliknya. Tahap inflasi melonjak naik dan jurang antara yang kaya dan miskin dan juga antara penduduk bandar dan luar bandar semakin besar.[17] Lebih memburukkan keadaan, kerajaan Iran menghabiskan ratusan juta bagi membiayai pekerja-pekerja pakar asing dan juga membeli pelengkapan tentera daripada Amerika yang ternyata tidak berguna ketika itu dan ia satu pembaziran.

Pada tahun 1976, jentera kerajaan Shah menaikkan kemarahan penduduk Islam Iran kerana mengubah kalender Iran daripada kalender Hijrah kepada kalender solar Iran yang pernah digunakan ketika zaman Cyrus Agung.[18]. Pada tahun yang sama, Shah mengumumkan rancangan penjimatan ekonomi yang bertujuan untuk mengurangkan tahap inflasi. Kesannya, ramai rakyat Iran yang hilang pekerjaan dan ramai yang jatuh miskin dan bermigrasi ke kota besar meningkat.

Jimmy Carter, presiden Amerika pada tahun 1977 mengutuskan sebuah peringatan kepada Shah Mohammad mengenai betapa mustahaknya hak kebebasan dan kebebasan berpolitik. Shah kemudiannya membalas peringatan ini dengan mengampuni 357 tahanan politik pada bulan Februari tahun yang sama. Beliau juga turut membenarkan Persatuan Palang Merah untuk melawat penjara tahanan politik. Ini merupakan permulaan liberalisasi oleh Shah. Pihak liberal kemudiannya mengeluarkan seutus surat mengecam rejim beliau.[19]

Tahun yang sama juga turut menyaksikan kematian seorang ahli politik yang penting iaitu Ali Shariati. Beliau adalah seorang pemimpin Islam moden dan kematian beliau didakwa didalangi SAVAK. Pada Oktober pula, putra Khomeini, Mostafa meninggal dunia. Walaupun punca kematian adalah serangan sakit jantung, tetapi terdapat desas desus mengatakan kematian beliau juga merupakan antara rancangan SAVAK.

1978: Tercetusnya Revolusi sunting

Bangkangan terhadap pemerintahan Shah dimulai dengan kumpulan-kumpulan liberal daripada kelas pertengahan dan berpusat di kawasan-kawasan bandar. Golongan ini lebih sekular dan mempraktikan Islam secara sederhana. Namun begitu tujuan protes mereka hanyalah supaya kerajaan Shah Mohammad berpegang kepada Perlembagaan Iran 1906, dan bukannya kepada undang-undang Sharia. Mehdi Bazargan adalah antara pemimpin yang paling aktif dalam bangkangan ini. Beliau memimpin Gerakan Iran Merdeka yang berkait rapat dengan bekas perdana menteri Iran, Mohammed Mossadegh. Gerakan ini mendapat sokongan padu dari dalam dan luar Iran.

Ulama-ulama Iran pula terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ulama-ulama yang menyokong kumpulan sekular liberal dan kumpulan kedua menyokong gerakan komunis Marxists. Khomeini pula yang ketika itu sedang didalam buangan berkerja keras untuk menyatukan golongan ulama, golongan sekular, liberal dan pembangkang dan meletakkan mereka semua dibawah pimpinan beliau.[20]

Januari 1978: Demonstrasi Utama Pertama sunting

Demonstrasi pertama menentang Shah dimulakan dengan kumpulan mahasiswa Islam pada Januari 1978. Kerajaan Shah mengutuskan pihak tentera untuk menguraikan demonstrasi dan keputusan ini menyebabkan beberapa mahasiswa-mahasiswa terbunuh[21].

Mengikut tradisi Shia, sebuah majlis peringatan dilakukan setelah 40 hari kejadian itu berlaku dan ia dilakukan di masjid-masjid di seluruh Iran. Pada 18 Februari, beberapa demonstrasi dilakukan di seluruh Iran bagi memberi penghormatan kepada korban mahasiswa-mahasiswa itu dan juga untuk memprotes kekejaman Shah. Akhirnya, pergeseran tercetus di Tabriz dan ratusan penunjuk perasaan terbunuh. Perkara yang sama turut terjadi pada 29 Mac dan kali ini di seluruh Iran. Kebanyakan bangunan-bangunan dan pejabat-pejabat milik rejim Shah dirobohkan dan dimusnahkan, dan sekali lagi, ratusan nyawa terkorban.

Mei 1978: Ayatollah Shariatmadari Menyertai Kumpulan Pembangkang sunting

Pada bulan Mei, beberapa pegawai kerajaan menceroboh masuk rumah Ayatollah Kazem Shariatmadari, salah seorang ulama Iran yang cukup berpengaruh. Pegawai kerajaan itu menembak mati salah seorang daripada pengikut Ayatollah Shariatmadari. Sebagai tindak balas, beliau menyertai barisan pembangkang menentang Shah.[22]

Dalam masa yang sama, Shah Mohammad cuba menenangkan kumpulan pembangkang dengan merendahkan kadar inflasi, memohon maaf kepada para ulama dan memecat ketua SAVAK juga menjanjikan pilihan raya umum bebas pada bulan Jun.[23] Tetapi rancangan inflasi yang mengurangkan belanja kerajaan menyebabkan ramai perkerja-pekerja awam terutamanya daripada golongan muda dan kurang mahir dipecat. Pada musim panas 1978, warga buruh ini berarak di jalanan memprotes polisi ini. Pada bulan November berikutnya, pekerja-pekerja lain pula melancarkan mogok dan ini menyebabkan ekonomi iran ketika itu lumpuh.[24]

Shah Meminta Bantuan Amerika sunting

 
Perbincangan Shah Iran dengan Alfred Atherton, William Sullivan, Cyrus Vance, President Carter, dan Zbigniew Brzezinski, 1977

Shah Mohammad Reza Pahlavi kini berhadapan dengan situasi revolusi. Lantas, beliau meminta bantuan daripada Amerika untuk menyokong beliau. Amerika pula ketika ini memerlukan Iran kerana ia terletak di Teluk Parsi dan kaya dengan sumber minyak. Malahan, Iran bersempadan dengan Kesatuan Soviet menjadikannya sebuah lokasi yang strategik bagi Amerika kerana ia dapat menolong Amerika dalam Perang Dingin. Namun begitu, imej Shah Iran telah tercemar dengan polisi kerajaan beliau yang mencabuli hak asasi manusia. Duta Amerika ke Iran, William H. Sullivan, menyatakan bahawa Penasihat Keselamatan Amerika, Zbigniew Brzezinski "telah berulang kali menyakinkan Shah Mohammad Reza yang Amerika akan membantu beliau". Presiden Amerika ketika itu, Jimmy Carter didakwa telah gagal mengotakan janji Amerika ini. Pada masa yang sama, beberapa pegawai tinggi Amerika menyuarakan cadangan bahawa kepimpinan Iran haruslah digantikan bagi meredakan revolusi dan Shah Mohammad Reza haruslah turun takhtah. Tetapi rencana ini terbantut setelah Ayatollah Khomeini mengambil alih kuasa memerintah Iran.

Ogos 1978: Serangan Pembakaran Abadan sunting

Ketika keadaan Iran di dalam kekabutan, sebuah panggung wayang di Abadan, Panggung Wayang Cinema Rex Fire, dibakar menyebabkan 400 nyawa terkorban. Para revolusi menyalahkan SAVAK dan mendakwa badan itu bertanggungjawab terhadap kejadian ini. Mereka mendakwa kebakaran ini sengaja dilakukan untuk menjerat kumpulan revolusi Islam.[25] Keesokannya, seramai 10,000 saudara mara mangsa korban berkumpul di majlis pengebumian sambil melaungkan bantahan mereka terhadap Shah Mohammad.

September 1978: Jumaat Hitam sunting

Pada bulan September, seluruh negara kini mengalami ketidakstabilan. Protes terhadap Shah menjadi rutin setiap hari. Shah Mohammad pula menguatkuasakan pemerintahan tentera dan melarang semua demonstrasi.

Pada hari Jumaat 8 September, sebuah rusuhan tercetus di Tehran. Kumpulan ulama mendakwa bahawa "ribuan nyawa dibunuh oleh kumpulan Zionis".[26] Kumpulan tersebut sebenarnya adalah etnik Kurdi dan jumlah korban pula adalah sekitar 700 nyawa.[27] Sebuah mogok umum dilaksanakan pada bulan Oktober yang terus melumpuhkan ekonomi Iran dan menyebabkan banyak industri utama terpaksa diberhentikan. Pada tahap ini, "takdir Shah Mohammad Reza telah pun ditentukan."[28]

Disember 1978: Protes Muharram sunting

Protes Muharram 1978 terjadi pada bulan Disember tahun yang sama. Pada 2 Disember, seramai dua juta rakyat Iran memenuhi jalan-jalan di Tehran, sekitar Dataran Azadi. Protes adalah untuk mendesak Shah Mohammad turun takhta dan membenarkan Khomeini kembali semula ke Iran.[29]

1979: Shah Melarikan Diri Dan Kejayaan Revolusi sunting

Pada 16 Januari, 1979, Shah Mohammad dan permaisuri beliau meninggalkan Iran atas nasihat perdana menteri beliau, Dr. Shapour Bakhtiar dan beberapa jam kemudian, semua simbol Shah Mohammad dirobohkan oleh penduduk awam.[30] Dr. Shapour kemudiannya membubarkan SAVAK, membebaskan tahanan politik, menjanjikan pilihan raya umum bebas dan membenarkan demonstrasi awam semula.[31] Beberapa hari selepas itu, beliau membenarkan Ayatollah untuk pulang ke Iran. Beliau turut meminta agar kumpulan revolusi lain untuk memelihara semula perlembagaan Iran.

Februari 1979: Khomeini Pulang Ke Tehran sunting

Pada 1 Februari, 1979, Khomeini pulang semula ke Iran. Kepulangan beliau disambut dengan meriahnya oleh ribuan rakyat Iran. Namun begitu, Khomeini tidak bersetuju dengan kerajaan Shapour menyebabkan berlakunya konflik bersenjata antara penyokong Khomeini (termasuklah beberapa bahagian tentera Iran) dengan penyokong Shapour. Penyokong revolusi-Khomeini dan tentera yang berpihak kepada revolusi mula menguasai balai polis, markas tentera dan mengedarkan senjata kepada penduduk awam. Pada 11 Februari, kerajaan Shapour kalah dalam konflik ini apabila Majlis Agung Tentera mengumumkan bahawa ia berpendirian neutral untuk mengelakkan berlakunya pertumpahan darah.[32]

Khomeini mengambil alih kuasa sunting

 
Ayatollah Khomeini adalah pemimpin dalam gerakan menentang Shah Mohammad Reza.

Kini bermulalah fasa kedua revolusi Iran yang turut dikenali sebagai Revolusi Islam. Ketika zaman pemerintahan Shah, kesemua kumpulan revolusi yang terdiri daripada golongan agama, liberal, sekular, Marxist dan Komunis bergabung untuk menentang Shah Mohammad. Tetapi kini, setelah beliau ditumpaskan, ikatan ini dibubarkan.

Setiap kumpulan revolusi ini bersaing untuk pengaruh dan juga mempunyai intepretasi yang berbeza mengenai negara Iran yang dibentuk. Ketika tahun pertama revolusi, terdapat dua kuasa yang memerintah Iran iaitu kerajaan rasmi Iran dan kerajaan revolusi. Mehdi Bazargan, Perdana Menteri Iran yang dilantik oleh Khomeini (dari kumpulan revolusi) memperkenalkan sebuah kerajaan demokratik baru. Pada masa yang sama, dalam kerajaan Iran, Khomeini menubuhkan Majlis Revolusi yang ahlinya terdiri daripada para ulama yang menyokong beliau. Majlis ini semakin lama menjadi semakin berkuasa dalam kerajaan Iran sehinggakan kesemua keputusan kerajaan Iran ditentukan oleh badan ini.

Pada bulan Jun, Gerakan Kebebasan membentuk sebuah draf perlembagaan yang menjadikan Iran sebuah Republik Islam. Draf ini turut merangkumi Majlis Pelindung yang mempunyai kuasa veto mengenai undang-undang bukan Islam.[33] Walaupun begitu, Ayatollah Khomeini menolak draf ini dengan alasan bahawa kerajaan baru ini haruslah berdasarkan "100% undang-undang Islam".

Oleh itu, sebuah perlembagaan baru dibentuk oleh Majlis Pakar yang membentuk jawatan Pemimpin Agung untuk Khomeini. Kuasa Pemimpin Agung mengikut perlembagaan ini meliputi kuasa ketenteraan dan keselamatan, dan juga kuasa veto untuk calon politik. Turut dibentuk ialah jawatan Presiden. Kuasa presiden pula kurang meluas berbanding dengan Pemimpin Agung dan beliau akan dilantik melalui pilihan raya umum yang diadakan setiap empat tahun sekali. Perdana Menteri Mehdi tidak bersetuju dengan perlembagaan baru ini kerana kekuasaan presiden yang terbatas, lalu beliau meletak jawatan.

Rujukan sunting

  1. ^ http://www.iranchamber.com/history/islamic_revolution/islamic_revolution.php
  2. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-10-31. Dicapai pada 2007-01-25.
  3. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-27. Dicapai pada 2007-01-25.
  4. ^ http://www.iranian.com/revolution.html
  5. ^ "salinan arkib" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2006-08-06. Dicapai pada 2007-01-25.
  6. ^ The Shah and the Ayatollah: Iranian Mythology and Islamic Revolution (Hardcover), ISBN 0-275-97858-3, by Fereydoun Hoveyda, brother of Amir Abbas Hoveyda.
  7. ^ Arjomand, Turban (1988), m/s 191
  8. ^ Harney, Priest (1998), m/s 2; Abrahamian Iran (1982), m/s 496
  9. ^ Abrahamian Iran (1982), m/s 496
  10. ^ Nehzat tulisan Ruhani vol.1 m./s:195, dipetik dari Moin, Khomeini, (2000), m/s: 75
  11. ^ Islam and Revolution, m/s:17
  12. ^ Moin, Khomeini, (2000), m/s:112
  13. ^ Graham, Iran, 1980, m/s: 69
  14. ^ Taheri, The Spirit of Allah (1985),m/s: 196
  15. ^ Hiro, Dilip. Iran Under the Ayatollahs. London: Routledge & Kegan Paul. 1985. m/s: 57.
  16. ^ Wright, Last, (2000), m/s: 220
  17. ^ Graham, Iran, (1980)m/s:94
  18. ^ Abrahamian, Iran, (1982), m/s: 444
  19. ^ Abrahamian, Iran (1982, m/s:501-3
  20. ^ Abrahamian, Iran Between, (1980)
  21. ^ Abrahamian, Iran, (1982), m/s:505
  22. ^ Mackey, Iranians, (1996) m/s: 279
  23. ^ Harney, The Priest (1998), m/s: 14
  24. ^ Abrahamian Iran(1982) m/s: 510, 512, 513
  25. ^ Moin Khomeini, (2000), m/s: 187
  26. ^ Taheri, The Spirit of Allah, (1985), m/s: 223
  27. ^ Angka ini adalah berdasarkan dakwaan Ayatollah Shariatmadari, dipetik dari Taheri, Spirit, (1985), m/s: 309
  28. ^ Moin Khomeini, (2000), m/s: 189
  29. ^ Abrahamian, Iran: Between Two Revolutions, (1982), m/s: 521-2
  30. ^ Taheri, Spirit, (1985), m/s: 240
  31. ^ "demonstrasi dibenarkan" Berita ABC, Isnin, 15 Jan., 1979
  32. ^ Moin, Khomeini, (2000), p.206; Abrahamian, Iran, (1982), m/s: 529
  33. ^ Moin, Khomeini, 2000, m/s: 217

Pautan luar sunting