Abu Bakar Ali Almasaid, juga dikreditkan sebagai Abu Bakar Ali atau A. Bakar Ali (8 Januari 1928 – 15 Jun 2018) merupakan seorang jurukamera dan ahli sinematografi Singapura.[1][2] Beliau terkenal dengan hasil kerjanya dalam filem-filem terbitan Malay Film Productions (MFP).[3][4][5]

A. Bakar Ali
Kelahiran
Abu Bakar bin Ali Almasid

(1928-01-08)8 Januari 1928
Meninggal dunia15 Jun 2018(2018-06-15) (umur 90)
Bedok, Singapura
Sebab kematianSakit tua
PekerjaanAhli sinematografi, pengarah fotografi
Tahun aktif1948–1984
PasanganMariamah Ismail
Anak-anak3

Kehidupan awal sunting

Beliau dilahirkan pada 8 Januari 1928 di Negeri-negeri Selat (kini Singapura).[4] Beliau mendapat pendidikan di sekolah Melayu dan dipilih mengikuti Special Malay Class untuk pelajar-pelajar cemerlang, yang dialihkan ke sekolah Inggeris. Pelajarannya terjejas kerana Perang Dunia Kedua dan juga keadaan keluarganya.[1]

Kerjaya sunting

Bakar Ali memulakan kerjayanya di Malay Film Productions pada 16 November 1947 sebagai buruh kasar dengan melakukan pelbagai kerja termasuk mengangkat kamera dan membantu kru filem yang pada masa itu sedang membuat penggambaran filem Pisau Berachun arahan B. S. Rajhans yang dibintangi oleh Kasma Booty dan Bachtiar Effendi.[3][4][6]

Di MFP, beliau bertemu dengan P. Ramlee semasa Ramlee baru bertugas di studio itu.[7] Kefahaman Bakar tentang penggambaran sesebuah filem membolehkan beliau diberi kepercayaan sebagai Penolong Jurugambar kepada Koh Jee Soon untuk filem Kembar (1950) arahan S. Ramanathan dibintangi M. Amin, Mariam, Daeng Harris dan Jaafar Wiryo. Selepas menjadi Penolong Jurugambar untuk 4 filem di MFP, Bakar meletak jawatan, kemudian bekerja secara sambilan di Nusantara Films Company sehingga studio itu menutup operasinya. Beliau kemudian dipelawa oleh Ho Ah Loke untuk bekerja di Rimau Film Productions yang menerbitkan dua filem, Bunga Percintaan dan Untuk Sesuap Nasi, dua-duanya diarahkan oleh L. Krishnan dan Mustapha Maarof.[3][8]

Bagaimanapun, pada tahun 1954, Shaw Brothers menawarkan kembali jawatan Penolong Jurugambar kepadanya dengan peranan yang lebih bertanggungjawab, tidak terhad seperti filem Kembar. Bermula dari tahun tersebut, setelah puas menjadi Penolong Jurugambar kepada Chow Chan Kok, Koh Jee Soon, Vasudev, Purushotham dan Ramachandra, akhirnya pada tahun 1957, Run Run Shaw bersetuju dengan P. Ramlee untuk mengambil Bakar sebagai Pengarah Fotografi filem Pancha Delima dengan bantuan Chow Cheng Kok.[3][4]

Bakae meneruskan kolaborasinya bersama Ramlee dengan sebagai pengarah fotografi filem komedi Bujang Lapok pada tahun 1958. Reputasi beliau sebagai ahli sinematografi juga menerima pengiktirafan apabila filem Sumpah Orang Minyak yang di bawa ke Manila, Filipina untuk dipertandingkan di Festival Filem Asia Pasifik ke-5 (1958) memenangi anugerah Jurugambar Hitam & Putih Terbaik.[9] Selepas itu, beliau menerima tawaran daripada Run Run Shaw dan pengarah Filipina, Lamberto V. Avellana untuk menjadi Pengarah Fotografi filem perang Sarjan Hassan (1958).[3]

Selepas MFP ditutup pada 1967, Bakar bertugas di Filem Negara Malaysia selama 7 tahun, dari 1968 sehingga 1975 apabila beliau mendapat tawaran bekerja di Sabah Film Productions sebagai jurugambar untuk filem Keluarga Si Comat arahan Aziz Sattar dan sebagai Pengarah Fotografi untuk filem Hapuslah Airmatamu arahan M. Amin dan dibintangi oleh Sharifah Aini, Latif Ibrahim, Broery Marantika dan Christine Hakim.[3][4] Selepas bersara dari arena belakang tabir, beliau lebih menfokuskan masanya bersama keluarga.[4][10]

Kehidupan peribadi sunting

Bakar mendirikan rumahtangga dengan Mariamah Ismail. Mereka dikurniakan tiga anak – Abdillah, Zahrah dan Hamidah. Mariamah meninggal dunia pada 1993 kerana penyakit kencing manis pada usia 55 tahun. Beliau mempunyai lima orang cucu.[1]

Kematian sunting

Bakar Ali meninggal dunia pada 15 Jun 2018 akibat sakit tua pada usia 90 tahun di kediamannya di Bedok, Singapura.[3][4] Jenazahnya disemadikan ke Tanah Perkuburan Pusara Abadi di Choa Chu Kang.[1]

Filemografi sunting

Anugerah sunting

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan Ruj.
1958 Festival Filem Asia Pasifik ke-5 Jurugambar Terbaik Dirinya sendiri Menang [11]
1963 Pesta Filem Asia 1963 Jurugambar Hitam Putih Terbaik Menang
2005 Festival Filem Malaysia ke-18 Anugerah Khas Karyawan Menang [12]

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d "Penggambar Pelbagai Kenangan – Pemergian Pak A. Bakar Ali (Lahir: 8 Januari 1928 – Meninggal Dunia: 15 Jun 2018)". Sri Anggerik. 10 Julai 2018. Dicapai pada 18 November 2018.
  2. ^ Sulaiman Jeem (10 November 1974). "Bakar Ali jurugambar yg sukar dicar tandingannya". Berita Harian Singapura. m/s. 10. Dicapai pada 18 November 2018.
  3. ^ a b c d e f g Mustafar A.R.; Aidalina Mustafar; Muszaili Mustafar (13 September 2018). "A. BAKAR ALI: PENGARAH FOTOGRAFI FILEM (MELAYU) SUKAR DICARI GANTI". Filem Klasik Malaysia. Dicapai pada 18 November 2018.
  4. ^ a b c d e f g Aiman Hakim (20 Julai 2018). "A. Bakar Ali: Insan Di Sebalik Layar". The Patriots. Dicapai pada 18 November 2018.
  5. ^ "Jurukamera yang jadi rebutan". Berita Minggu. 10 Disember 1995. m/s. 11. Dicapai pada 18 November 2018.
  6. ^ "JURUKAMERA 'AMPASWOOD'". Berita Harian Singapura. 3 Januari 2007. m/s. 11. Dicapai pada 18 November 2018.
  7. ^ "P. Ramlee orang pertama cungkil bakat Bakar Ali". Berita Minggu. 21 Oktober 1984. m/s. 3. Dicapai pada 18 November 2018.
  8. ^ "Jurukamera ulung dunia filem Melayu". Berita Harian Singapura. 16 Ogos 2001. m/s. 11. Dicapai pada 18 November 2018.
  9. ^ Kamsah Sirat (21 Oktober 1984). "Bakar turut harumkan nama industri perfileman Melayu". Berita Minggu. m/s. 3. Dicapai pada 18 November 2018.
  10. ^ "Kamera tidak dapat dipisah daripadanya". Berita Minggu. 21 Oktober 1984. m/s. 3. Dicapai pada 19 November 2018.
  11. ^ "Dua oskar Jurugambar Terbaik dlm simpanan SB". Berita Minggu. 21 Oktober 1984. m/s. 3. Dicapai pada 19 November 2018.
  12. ^ "Sumbangan A. Bakar diiktiraf". Berita Harian Singapura. 21 Julai 2005. m/s. 12.

Pautan luar sunting