Perbenaran (Inggeris: righteousness; Yunani: δίκαιος dikaios; Ibrani: צדק tsadaq; Jawi: ڤربنرن) ialah istilah baru yang digunakan dalam Alkitab Versi Borneo[1] untuk menterjemahkan perkataan-perkataan bahasa Ibranitsedeq", "tsadeq", "tsaddiq", atau "tsedaqah[2] yang bermaksud "sifat adil, wajar dan benar" ke bahasa Malaysia. Istilah ini muncul sebagai tindak balas kepada kesukaran mencari padanan yang sesuai dalam bahasa Malaysia untuk menyampaikan maksud sebenar istilah asal iaitu perihal lurus dalam menurut hukum-hakam dan kehendak Tuhan. Ia juga dipadankan sebagai adil benar.[3]

Sebahagian daripada siri tentang

Simbol Agama Kristian

 
Yesus Kristus
Yesus Kristus  · Kelahiran  · Penyaliban  · Wafat  · Kebangkitan
Asas
Gereja  · Kerajaan  · Pegangan  · Perjanjian Baru
Alkitab
Wasiat Lama  · Wasiat Baru  · Injil  · Kanun  · Kitab  · Apokrifa
Teologi
Tuhan (Bapa  · Anak  · Roh Kudus)  · Apologetik  · Katolikisme  · Kristologi  · Misi  · Pembaptisan  · Sejarah teologi  · Penyelamatan  · Tritunggal
Sejarah dan tradisi
Pengikut  · Bunda Maria  · Santo Petrus  · Paulus si Hawari  · Bapa Gereja  · Awal  · Konstantinus Agung  · Persidangan  · Thomas Aquinas  · Perpecahan Timur-Barat  · Perang Salib  · Reformasi Protestan
Tajuk umum
Agama lain  · Kesarwabangsaan  · Kesenian  · Khutbah  · Kritikan  · Liturgi  · Muzik  · Simbolik  · Sembahyang  · Tahun gereja
Denominasi dan gerakan

Portal Kristian

Aspek teologi dan konteks Alkitab sunting

Kepentingan dalam Alkitab sunting

Dalam Alkitab, perkataan Ibrani “tsedeq", "tsadeq", "tsaddiq", atau "tsedaqah” secara umumnya merujuk kepada kenyataan yang terbukti benar dan adil, serta tingkah laku yang tidak bersalah. Hal ini dapat dilihat dalam 1 Raja-Raja 8:32 dan 2 Tawarikh 6:23.[4]

maka dengarlah kiranya di syurga dan bertindaklah. Adililah hamba-hamba-Mu; hukumlah orang yang bersalah, dan timpakanlah perbuatannya pada dirinya sendiri. Pertahankanlah orang benar, dan ganjarlah dia selaras dengan perbenarannya.

— 1 Raja-raja 8:32

Perbenaran Allah sunting

Perbenaran Allah merujuk kepada sifat-Nya yang benar dan adil, serta kehendak-Nya bagi umat-Nya seperti yang dijelaskan dalam Taurat Musa dan dibuktikan melalui perbuatan-Nya: mengampuni dosa sehingga sesiapa pun diperbenar dan diselamatkan, serta diterima semula oleh Allah dengan hubungan yang sewajarnya. Ini boleh dilihat dalam hubungan Allah dengan Abraham:[5]

Lalu Abram percaya kepada TUHAN dan TUHAN memperhitungkan hal itu baginya sebagai perbenaran.

— Kejadian 15:6

Abraham percaya bahawa Allah akan melaksanakan kehendak-Nya untuk keturunan Abraham. Abraham mempercayai-Nya ialah perbenaran. Seterusnya, keturunan Abraham diperintahkan untuk melakukan yang benar dan adil supaya mereka diperbenar dan diselamatkan bersama.

"Aku telah memilih dia agar dia memerintahkan anak-anak serta kaum keluarganya untuk memelihara jalan TUHAN dengan melakukan yang benar dan adil. Dengan demikian, TUHAN memenuhi apa yang telah dijanjikan-Nya kepada Abraham.”

— Kejadian 18:19

Dalam Kitab Suci Perjanjian Baru, istilah yang digunakan untuk perbenaran dalam bahasa Yunani ialah “dikaiosunē”. Maksudnya dalam Injil Matius jelas merujuk kepada tingkah laku seseorang yang hidup selaras dengan kehendak Allah dan yang melaksanakan tuntutan-tuntutan-Nya (Injil Matius 5:6,10). Oleh sebab itu, Yesus datang untuk dibaptiskan oleh Yohanes kerana ingin menunaikan segala perbenaran (Injil Matius 5:16).

Dalam ajaran rasul Paulus pula, perbenaran itu bukan sekadar tingkah laku yang baik dan benar terhadap Allah, malah merujuk kepada suatu anugerah Allah yang diterima dalam iman, bukan hasil usaha sendiri atau ibadat.

Kamu telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya melalui iman—ini bukan daripada kamu sendiri tetapi adalah kurnia Allah—bukan kerana usaha amalmu supaya tiada seorang pun yang dapat bermegah.

— Efesus 2:8 – 9

Oleh yang demikian, tertakluk pada konteksnya, ‘tsedeq” atau “dikaiosunē” boleh diungkapkan sebagai “perbenaran”, “yang benar”, “yang adil”, “keadilan”, “kesalihan” dan juga “kewarakan”.[6]

Isu linguistik dan penterjemahan sunting

Sebelum ini, tsadeq hanya diterjemahkan kepada "kebenaran". Kebenaran berbeza daripada perbenaran: "kebenaran" ialah hal, sesuatu atau keadaan yang benar sementara "perbenaran" ialah "perbuatan yang adil, benar dan lurus". Dalam penterjemahan "kebenaran" ialah "truth" sedangkan "perbenaran" ialah "righteousness" dalam bahasa Inggeris.

Amalan menggunakan satu perkataan, "kebenaran", untuk menyampaikan dua konsep berat iaitu “truth” dan “righteousness” bukan sahaja bermasalah bagi ahli linguistik tetapi juga bagi orang umum. Akan tetapi, setelah beberapa dekad bahasa Melayu digunakan di gereja, anggota gereja telah menunjukkan bahawa mereka dapat membezakan kedua-dua konsep ini walaupun menggunakan hanya satu perkataan, "kebenaran".

Masalah semantik pada masa lalu sunting

Kamus Inggeris-Melayu Dewan menakrifkan "righteousness" sebagai kewajaran dan sewajarnya.

Dalam disertasi kedoktorannya Towards Cross-Cultural Cognitive Compatibility in the Malay Translation of Soteriological Terms [Menuju Keserasian Kognitif Rentas Budaya dalam Terjemahan Melayu bagi Istilah-istilah Kristian], June Ngoh menulis,[7]

Daripada semua alternatif yang ditawarkan untuk terjemahan bahasa Melayu bagi istilah 'righteousness', satu istilah yang dicadangkan baru-baru ini iaitu 'kewajaran' nampak seperti yang paling baik. Salah satu istilah baru yang dicadangkan ialah 'pewajaran'. Sebagai sokongan, hujah utamanya adalah bahawa di mahkamah, tindakan yang dianggap "adil" ialah tindakan yang "dilakukan atas alasan yang munasabah dan disokong oleh bukti yang boleh dipercayai." Jabatan Peguam Negara konsisten menterjemahkan istilah ini kepada "mewajarkan" yang sebenarnya bermaksud "menjadikan betul, sesuai, padan, serasi". Ia dianggap sesuai dipakai di sini kerana seseorang yang telah diwajarkan dalam erti keagamaan khusus ini seseorang yang telah "dijadikan betul" di sisi Tuhan, mengikut keperluan hukum-hukum suci-Nya.

Pewajaran, iaitu perbuatan mewajarkan dilihat amat sesuai sebagai padanan bagi "righteousness". Kamus Dewan Edisi Keempat seolah-olah menyokong hujah ini dalam takrifan "mewajarkan":

"mewajarkan" = "menjadikan dapat diterima atau dianggap sbg sepatutnya atau seharusnya demikian, menjadikan wajar. 

Akan tetapi, masalah teologi timbul apabila istilah ini digunakan dalam berbagai-bagai konteks yang berlainan dalam Alkitab. Misalnya, sesuaikah frasa "a righteous man" diterjemahkan kepada "orang wajar" atau "orang benar"? Bagaimana pula dengan Mazmur 111:3, “His righteousness endures forever” diterjemah kepada "Kewajaran-Nya kekal untuk selama-lamanya"? Bagaimana pula dengan Matius 6:33: "Utamakan Kerajaan Allah dan laksanakan kewajaran-Nya" ? Berdasarkan ayat-ayat ini, konsep "kewajaran Allah" berbunyi janggal jika digunakan dalam teologi Kristian. Selain itu, jika "kebenaran Allah" digunakan, adakah frasa ini merujuk kepada "kebenaran tentang Tuhan" atau "sifat benarnya Tuhan"?

Pendek kata, istilah "kewajaran" itu boleh digunakan untuk merujuk kepada manusia (kewajaran manusia) tetapi tidak kena jika merujuk kepada Allah (kewajaran Allah).

Maksud-maksud "tsedeq" sunting

Seboleh-bolehnya, satu padanan yang sesuai untuk membahasakan konsep ‘righteousness’, dengan menyeluruh harus diwujudkan. Secara umumnya, satu perkataan harus berpotensi mencakup kesemua makna perkataan Ibrani tsedeq dalam Perjanjian Lama iaitu:

  • Righteousness (sebagai sifat Allah);
  • Righteousness (seperti bagi suatu perjuangan);
  • Righteousness (kejujuran atau kebenaran);
  • Righteousness (seperti hidup dengan berakhlak);
  • Righteousness (diakui tidak bersalah/"vindicated").

Perkataan tsedeq mempunyai konotasi undang-undang atau forensik yang amat kuat seperti yang dapat dilihat dengan makna-makna di atas. Akar Ibrani t-s-d-q mempunyai asal usul dalam bidang forensik dan berpangkal dalam hukum Tuhan.[8] Maklumlah, “melakukan yang benar dan adil” merupakan tuntutan Perjanjian Lama.[9]

Sambutan sunting

Menerusi pelbagai usaha bertahun-tahun untuk mentakrifkan konsep perbenaran dalam bahasa Melayu. Kitab Suci Zabur dan Injil mengorak langkah awal untuk mempelopori penggunaan perkataan ‘diperbenar’ sejak 1998.[10] Seterusnya, Alkitab Versi Borneo telah memperluas usaha perintis linguistik dengan membuat pemisahan semantik antara "kebenaran" dengan "perbenaran".

Istilah ‘perbenaran’ kini semakin diterima sebagai perkataan baru untuk merangkumi erti menyeluruh bagi “truth” (αλήθεια dalam Yunani) dan "righteousness" (δικαιοσύνη dalam Yunani[11], atau tsaddiq, צדקה dalam Ibrani). Namun, usaha perlu diseteruskan untuk memperkasakan lagi penggunaan perkataan tersebut dalam kalangan jemaah Kristian.

Menurut L. H. Goh, seorang penterjemah yang aktif dan berpengalaman dalam penerbitan karya Alkitabiah dalam bahasa Malaysia, perkataan "perbenaran" telah diuji dalam kalangan penutur asli dan diterima oleh ahli bahasa. Tahap penerimaannya cukup menggalakkan, lebih-lebih lagi kerana kata asas perkataan itu “benar” menjadikan istilah baru itu mudah difahami.

Seterusnya, istilah perbenaran juga digunakan dalam konsep-konsep berikut:

Orang benar: Orang yang dinyatakan benar oleh Allah kerana beriman kepada Allah dan memenuhi kewajipan kepada Allah dan sesama.

Pembenaran (sama ertinya dengan istilah "pewajaran"): Tindakan Allah menghapuskan kesalahan dan hukuman dosa, di samping memperbenar orang berdosa melalui kematian Kristus sebagai penebus mereka. Pewajaran melalui iman merupakan ajaran penting bahawa Allah hanya mewajarkan orang yang bertaubat dan beriman kepada Yesus.[12]

Rujukan sunting

  1. ^ Goh Lay Hua. (2017). Terminologies. Translation of the Malay bible. Alkitabversiborneo.org.
  2. ^ Biblia Hebraica
  3. ^ Gospel Book Centre. (2020) Adilbenar. Dalam Istilah Kristian (eds. ke-2). m/s 293.
  4. ^ Alkitab Versi Borneo; LAB Network, Kota Kinabalu; Januari 2016, ms. 340
  5. ^ Alkitab Versi Borneo; Kitab Kejadian; Ayat 15:6; 18:19; ms. 14 & 19
  6. ^ Istilah "kewarakan" dibincangkan dalam disertasi June Ngoh, Towards Cross-Cultural Cognitive Compatibility in the Malay Translation of Soteriological Terms.
  7. ^ Ngoh, J. (1994). Towards cross-cultural cognitive compatibility in the Malay translation of soteriological terms.
  8. ^ Leon Morris; Apostolic Preaching of the Cross; ms. 261
  9. ^ Kitab Suci, Perjanjian Lama; Kitab Kejadian 18:19
  10. ^ Kitab Suci Zabur dan Injil, Khazanah Bahari, cetakan 1998 & 2013; 'diperbenar' digunakan sekitar 20 kali, dalam kitab Roma, 1 Korintus, Galatia, Titus, dan Yakobus; misalan Roma 3:24; 3:28; 4:6.
  11. ^ Teks Yunani: Westcott and Hort 1881, sekarang di domain awam.
  12. ^ Alkitab Versi Borneo; Kitab Roma 4:25; Kitab Galatia 2:21