Showdown 2010 ialah sebuah rancangan televisyen realiti pencarian kumpulan penari hip hop terhandal di Malaysia, yang diterbitkan oleh Primeworks Studio untuk 8TV, mulai 31 Mac 2010. Rancangan pertandingan ini diacarakan oleh Hafiz Hatim, juruhebah Fly FM, dengan Maple Loo dan Joe Flizzow selaku juri tetap.

Showdown 2010
GenreRealiti, Pertandingan, Hip hop
Pencipta8TV
PengacaraHafiz Hatim
JuriMaple Loo
Joe Flizzow
Lagu pembukaanShowdown oleh Black Eyed Peas
Negara asal Malaysia
BahasaBahasa Malaysia, Inggeris dll.
Syarikat penerbitan
Primeworks Studio
Penyiaran
Saluran asal8TV
Siaran asal31 Mac 2010 – 14 Julai 2010
Diikuti olehShowdown 2011
Pautan luar
Laman sesawang

Pertandingan akhir Showdown 2010 diadakan di KL Life Centre pada 14 Julai 2010, di mana kumpulan Wakaka Crew yang diterajui oleh Muhamad Haslam Abd Rahman (Alam), bekas juara So You Think You Can Dance, menjuarai keseluruhan musim ini dengan hasil undian penonton tertinggi.

Showdown 2010 berjaya meraih satu anugerah Rancangan TV Kegemaran di Shout! Awards 2010, dan dua anugerah Rancangan Realiti TV Terbaik, satu dari Anugerah Skrin 2010 dan satu dari Anugerah Seri Angkasa 2010.

Showdown 2010 ialah sebuah rancangan pertandingan menari yang mengetengahkan tarian hip-hop dan "jalanan" (street dancing), yang memperlihatkan gaya-gaya hip hop seperti breakdancing, krumping, popping dan sebagainya. Showdown 2010 diumumkan buat julung kali di acara Screenings 2010 Media Prima pada Oktober 2009, kemudian dilancarkan di sidang media khas pada akhir tahun 2009.

Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim berkata, “Rancangan Showdown 2010 ini adalah bertujuan untuk mencari dan mencungkil bakat penari-penari street atau freestyle yang sudah lama bertapak di Malaysia. Industri tarian di Malaysia ini semakin berkembang dan ia seiringan dengan industri muzik kita. Saya percaya penari-penari ini mempunyai bakat dan kelebihan masing-masing, malah Showdown 2010 ini bertujuan untuk mencungkil bakat mereka sekaligus memberi peluang dan platform kepada mereka untuk menunjukkan bakat masing-masing.”[1]

Format

sunting

Pertandingan Showdown dimulakan dengan ujibakat yang diadakan di lokasi terpilih di seluruh negara dan terdiri daripada sesi Audition dan Battle. Kumpulan penari hendaklah terdiri daripada lima hingga tujuh ahli. Semasa sesi ujibakat, peserta menari mengikut rentak dan gaya mereka sendiri untuk menarik perhatian juri. Kumpulan yang berjaya melepasi sesi Audition akan bertanding terus pada keesokan harinya dalam pentas Battle untuk bertanding antara satu sama lain. Ujibakat adalah terbuka kepada semua penari dari pelbagai peringkat umur.

Pada penghujung ujibakat tersebut, 14 kumpulan yang terpilih akan bertanding di sesi Meltdown untuk merebut 12 tempat dalam pertandingan sebenar. Selepas itu, mereka semua beradu nasib dengan memikat undian penonton sambil mengagumkan juri yang memberi markah, untuk bertahan melalui proses penyingkiran mingguan yang berbentuk Battle di akhir setiap episod, yang mana empat kumpulan yang memperoleh markah terendah akan bertanding sekali lagi sesama mereka untuk melayakkan diri ke pusingan berikutnya. Tiga kumpulan yang tinggal menjelang akhir pertandingan layak ke The Final Countdown, di mana mereka akan melakukan persembahan tarian terbaik untuk menarik perhatian juri dan penonton dan dijulang sebagai juara Showdown.

Ujibakat

sunting

Sesi ujibakat Showdown 2010 diadakan sepanjang bulan Januari 2010 di empat lokasi, selama dua hari hujung minggu di setiap lokasi, iaitu hari Audition dan hari Battle.

Dalam peringkat Audition, setiap kumpulan haruslah terdiri daripada lima hingga tujuh orang untuk menunjukkan bakat dengan iringan muzik latar yang berpatutan di hadapan para juri. Tiada had umur ditetapkan untuk penyertaan, asalkan yang bawah umur 18 tahun mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga. Kumpulan-kumpulan yang menambat hati juri akan layak ke Battle.

Lokasi-lokasi dan tarikh-tarikh ujibakat adalah seperti berikut:

Zon Bandar Tempat Audition Battle
Selatan Johor Bahru Fun ZON @ The Zon 9 Januari 10 Januari
Utara Pulau Pinang Penang Times Square 16 Januari 17 Januari
Timur Kota Kinabalu Hotel Imperial International 23 Januari *
Kuching Pusat Pelancongan Sarawak
Tengah Kuala Lumpur 1 Utama New Wing 30 Januari 31 Januari

* Peserta yang layak di peringkat ujibakat Zon Timur (Kota Kinabalu dan Kuching) diterbangkan ke Kuala Lumpur untuk ujibakat selanjutnya.

Battle

sunting

Dalam peringkat Battle, semua kumpulan yang layak berentap satu lawan satu di atas sebuah pentas seakan-akan gelanggang gusti, yang mana kumpulan yang menang akan mara ke peringkat seterusnya. Kumpulan yang layak ini mesti kekal dalam had bilangan ahli (Votion Force hilang kelayakan dari Battle KL kerana kehilangan dua orang ahli gara-gara komitmen lain).

Cabutan dilakukan mengikut keadaan semasa dan bilangan kumpulan; di Johor Bahru, cuma ada empat yang layak, maka setiap kumpulan mesti bertarung dari awal giliran masing-masing hingga akhir Battle untuk menjadi satu-satunya yang layak ke KL, dan demikianlah yang dilakukan oleh kumpulan Return Crew.

Di Pulau Pinang, terdapat tujuh kumpulan yang layak ke pusingan Battle, dan bilangan nombor ganjil ini memaksa para juri memanggil satu kumpulan yang dirasai mereka sebagai kumpulan terlemah di kalangan yang layak, iaitu Dejavu, untuk mencabar sebuah kumpulan lain (Blacky Wacky) untuk bertarung untuk menentukan siapa antara mereka yang bertahan untuk Battle seterusnya; akhirnya Deja Vu kalah.

Di Kuala Lumpur, semua kumpulan penari yang layak dari ujibakat di ibu kota bertarung sekurang-kurangnya sekali untuk merebut tempat di pusingan seterusnya; tetapi semua kumpulan yang kalah dalam Battles dipanggil ke pentas sekali untuk diadili untuk peluang kedua dalam Eliminations. Antara peristiwa terpenting dalam Battles di KL ialah kemunculan Funky Girls yang diberi keistimewaan memilih mana-mana kumpulan lain untuk bertarung, dan Funkafaction Junior menjadi pilihan mereka. Funky Girls memenangi battle mereka; sungguhpun begitu, mereka terpaksa menarik diri untuk memberi tumpuan pada pelajaran. Kumpulan Parasite yang terdiri daripada lima orang juga terpaksa menarik diri kerana salah seorang ahli mereka mengalami kecederaan akibat kemalangan.[2]

Meltdown

sunting

Dalam pusingan ini, setiap kumpulan dikehendaki menari mengikut tiga lagu yang ditetapkan oleh pihak penganjur dan hanya dimainkan ketika mereka membuat persembahan sebenar di pentas, diselangi dua kali berhentinya muzik. Mereka semua diberi dua jam untuk melatih koreografi mereka tanpa bantuan muzik, sebaliknya hanya berpandukan runut bunyi berdetik-detik yang dimainkan dalam iPhone yang dipegang oleh Maple pada taklimat awal hari itu.

Hanya 12 kumpulan yang melepasi peringkat ini. Mereka ialah (nama dan kod SMS dinyatakan):

  • Return Crew (RC)
  • Backyard Revolution Crew (BYR)
  • Famous Crew (FMC)
  • Soul Krazy (SK)
  • Borneo Soul Breakerz (BSB)
  • Feasible Crew (FC)
  • Funky UX Force (UX)
  • Blacky Wacky (BWC)
  • Floor Fever (FF)
  • HMC Phlow (HMC)
  • Wakaka Crew (WKK)
  • Giller Battle Crew (GBC)

Pertandingan

sunting

Setelah kesemua 12 finalis dipilih, mereka semua berentap dalam pertandingan sebenar Showdown 2010 yang disiarkan secara langsung pada setiap Rabu, 9.30 malam, mulai 12 Mei 2010, di pusat hiburan KL Live, Life Centre, Kuala Lumpur. Setiap malam pertandingan dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bahagian pertama yang mana setiap kumpulan membuat persembahan tarian masing-masing mengikut giliran; bahagian kedua (Battle) yang mana empat kumpulan yang meraih undian terendah dipasangkan satu lawan satu dan berentap selama 180 saat untuk kekal dalam pertandingan, di mana dua kumpulan yang kalah dalam Battle masing-masing hanya meletakkan nasib mereka dalam tangan juri.

Selain Maple Loo dan Joe Flizzow, panel juri adakalanya disertai oleh seorang pengkritik undangan. Undian penonton dan keputusan juri menjadi penentu nasib kesemua penari di Showdown 2010, di mana para penonton mengundi kumpulan kegemaran mereka melalui SMS sepanjang minggu, kecuali bahagian ketika bahagian Battle diadakan, yang mana talian undian ditutup untuk memberi laluan kepada juri untuk menentukan nasib empat kumpulan terbawah.

Papan latar pentas Showdown 2010 berhias skrin LCD gergasi dan kod SMS kesemua finalis di bawahnya. Setiap peserta yang tersingkir di akhir setiap malam pertandingan mesti memangkah kod SMS mereka di papan latar tersebut dengan cat sembur. Mulai minggu kedua, para peserta mesti menari mengikut tema yang diberikan oleh pilihan rawak yang dipaparkan pada skrin tersebut.

Talian undian dibuka sepanjang masa bermula dari saat akhir siaran episod Meltdown hingga peringkat akhir, kecuali pada pusingan Battle mingguan apabila talian ditutup untuk memberi laluan kepada para juri untuk menentukan nasib empat kumpulan terbawah setiap minggu.

12 Mei 2010

sunting

Dalam minggu pertama pertandingan sebenar,

  • Juri undangan: B-Boy Born (ahli Rivers Crew, dari Korea Selatan)
  • Battle:
    • Feasible Crew mng Backyard Revolution Crew
    • Borneo Soul Breakerz mng Funky UX Force
  • Tersingkir: Backyard Revolution Crew

19 Mei 2010: "My Life"

sunting

Dalam persembahan bertema pertama pertandingan ini, kesemua 11 kumpulan dikehendaki mempersembahkan tarian yang mencerminkan perjalanan dan perjuangan masing-masing sebagai kumpulan penari hip-hop.

  • Battle:
    • Feasible Crew mng Blacky Wacky
    • Giller Battle Crew mng Funky UX Force
  • Tersingkir: Blacky Wacky

26 Mei 2010: "Michael Jackson"

sunting

10 kumpulan dikehendaki mempersembahkan tarian yang mengikut rentak irama lagu yang dipopularkan oleh Raja Pop, Michael Jackson.

  • Battle:
    • Famous Crew mng Feasible Crew
    • Soul Krazy mng Borneo Soul Breakerz
  • Tersingkir: Feasible Crew

2 Jun 2010: "The 70s"

sunting

9 kumpulan dikehendaki mempersembahkan tarian yang mengikut rentak irama lagu yang diterbitkan sepanjang dasawarsa 1970-an.

  • Battle:
    • Return Crew mng Soul Krazy
    • Floor Fever mng Funky UX Force
  • Tersingkir: Funky UX Force

9 Jun 2010: "Street Style"

sunting

8 kumpulan dikehendaki mempersembahkan gaya-gaya tarian jalanan (street dance).

  • Battle:
    • HMC Phlow mng Return Crew
    • Giller Battle Crew mng Famous Crew
  • Tersingkir: Return Crew

16 Jun 2010: "Martial Arts"

sunting

7 kumpulan mempersembahkan tarian seakan-akan pertunjukan seni bela diri.

  • Juri undangan: Afdlin Shauki
  • Battle:
    • Floor Fever mng Soul Krazy
    • Giller Battle Crew mng Borneo Soul Breakerz
  • Tersingkir: Soul Krazy

23 Jun 2010: "Timbaland"

sunting

6 kumpulan mempersembahkan tarian mengikut rentak lagu terbitan/dendangan artis hip-hop terkenal, Timbaland. Selain berentap satu demi satu, mereka juga menari secara duet (dua kumpulan sepentas).

  • Juri undangan: Mizz Nina
  • Battle:
    • Giller Battle Crew mng Floor Fever
    • Famous Crew mng Borneo Soul Breakerz
  • Tersingkir: Borneo Soul Breakerz

30 Jun 2010: "Soundtracks"

sunting

5 kumpulan yang tinggal perlu membuat persembahan dua kali, menari ikut rentak runut bunyi filem.

  • Juri undangan: Yaniz Merican
  • Battle:
    • HMC Phlow mng Floor Fever
    • Giller Battle Crew mng Famous Crew
  • Tersingkir: Famous Crew

7 Julai 2010: "Show Me Whatcha Got"

sunting

Untuk kali terakhir sebelum peringkat akhir, empat kumpulan yang tinggal sekali lagi mempersembahkan kehebatan tarian mereka mengikut tema tersendiri, sekali sahaja. Kali ini, hanya dua krew terbawah yang terlibat dalam satu Battle yang dipanjangkan kepada enam minit.

  • Battle:
    • Wakaka Crew lwn HMC Phlow
  • Tersingkir: HMC Phlow

14 Julai 2010: The Final Showdown

sunting

Peringkat akhir menyaksikan tiga finalis - Wakaka Crew, Floor Fever dan Giller Battle Crew - merebut gelaran juara Showdown 2010 yang disertakan piala dan hadiah tunai RM 50,000. Setiap finalis beraksi di pentas sebanyak dua kali untuk merebut undian penonton yang menentukan 100% keputusan pertandingan akhir; panel juri (Maple dan Joe Flizzow, diiringi juri undangan B-Boy Choco dan Boudeng Edruce) tiada kuasa menentukan nasib mereka bertiga.

Selepas selesainya persembahan kedua dari setiap kumpulan, acara diselangi oleh persembahan khas dari enam kumpulan penari yang tersingkir dahulu (Backyard Revolution Crew, Famous Crew, Funky UX Force, Soul Krazy, Borneo Soul Breakerz, Feasible Crew); dan peserta ujibakat Funky Girls yang menarik diri sebelum pertandingan bermula; serta nyanyian daripada Kraft dan Tomok.

Hanya dua kumpulan yang mara ke peringkat Battle terakhir musim ini, iaitu Wakaka Crew dan Giller Battle Crew, maka Floor Fever tersingkir dari pertandingan. Dari saat itu, jumlah undian dikosongkan dan penonton perlu mengundi lagi untuk memilih juara keseluruhan musim ini. Battle yang berlangsung selama enam minit ini diiringi muzik adunan kumpulan Stylustiks.

Di akhir rancangan, keempat-empat juri hanya mengemukakan pendapat mengenai mutu Battle yang disaksikan tadi tanpa mengulas atau memuji satu-satu kumpulan. Akhirnya, hos Hafiz Hatim mengumumkan bahawa hasil undian penonton dari mulanya Battle tadi, juaranya ialah Wakaka Crew yang merangkul piala dan wang tunai RM50,000.[3] Ini menandakan kejayaan kedua buat Alam (ketua Wakaka Crew) dalam menjuarai sesebuah rancangan pertandingan 8TV, kerana sebelum ini beliau penrah menjuarai So You Think You Can Dance musim pertama sebagai penari solo pada tahun 2007.

Anugerah

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ Budiey Isma (7 April 2010). "SHOWDOWN 2010". Sensasi Selebriti.
  2. ^ Episode 6 (part 1), Showdown 2010, disiarkan pada 5 Mei 2010.
  3. ^ WC menang bukan kerana Alam, Harian Metro, 15 Julai 2010.
  4. ^ Keputusan Penuh Anugerah Skrin 2010, gua.com.my, 24 Disember 2010. Dicapai pada 21 Feb 2011.
  5. ^ Terkini : Senarai Pemenang Anugerah Seri Angkasa 2010, Zoom Artis, 20 Feb 2011. Dicapai pada 21 Feb 2011.

Pautan luar

sunting