8TV

Saluran televisyen terestrial di Malaysia

8TV (Cina: 八度空间; pinyin: Bādù Kōngjiān) merupakan sebuah stesen televisyen swasta terestrial nasional di Malaysia. Ia dilancarkan pada 8 Januari 2004. 8TV ialah milik Media Prima dan merupakan "adik" kepada TV3 dan untuk tidak menjejaskan penonton-penonton TV3, 8TV menyiarkan rancangan-rancangan untuk kumpulan fokus pelanggan yang berbeza iaitu lebih kepada remaja, kanak-kanak, muzik dan juga rancangan Bahasa Cina. 8TV mula bersiaran 24 jam sehari pada 4 Mei 2021.

8TV
NegaraMalaysia
Kawasan siaran
Slogan
  • 展翅高飞
    2024-Kini
Ibu pejabatSri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia
Pengaturcaraan
BahasaBahasa Mandarin
(Hokkien dan Kantonis)
Bahasa Thai
Format gambar
Pemilikan
PemilikMedia Prima Berhad
(Metropolitan TV Sdn Bhd)
Orang pentingNini Yusof
Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios
Saluran kembar
Sejarah
Dilancarkan
  • 1 Julai 1995; 28 tahun yang lalu (1995-07-01) (MetroVision)
  • 8 Januari 2004; 20 tahun yang lalu (2004-01-08) (8TV)
Ditutup
  • 1 November 1999; 24 tahun yang lalu (1999-11-01) (MetroVision)
Nama dahuluMetroVision (1995-1999)
Pautan
Laman webwww.xtra.com.my
Ketersediaan
Terestrial
MYTVSaluran 108 (HD)
Satelit
Astro/NJOISaluran 148
IPTV
Unifi TVSaluran 108 (HD)
Media penstriman
TontonTonton secara langsung
Unifi TVunifi PlayTV


8TV
Cina Ringkas: 八度空间
Maksud harfiah: Ruang Kelapan

TV3, TV9, NTV7, 8TV dan stesen radio dikawal oleh Media Prima yang mana siarannya berpusat di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Saluran ini disiarkan secara langsung pada perkhidmatan penstriman Media Prima, Tonton dan unifi PlayTV.

Sejarah

8TV diketuai Ahmad Izham Omar. Pengarah Operasi Rangkaiannya pula ialah Paul Moss, seorang eksekutif rakaman yang juga merupakan pengadil dalam Malaysian Idol dan One in a Million.

8TV dipancarkan melalui UHF. Di Lembah Klang, saluran UHF ialah 27. Selain itu, 8TV juga didapati melalui saluran 108 di MYTV dalam format HD (1080i).

Mulai 1 April 2016, terdapat perubahan rancangan di 8TV di mana fokus rancangan Cina juga bertambah. 8TV menyiarkan hampir semua rancangan Cina sepanjang hari pada hari Sabtu hingga Selasa, manakala rancangan Inggeris masih disiarkan selama dua jam pada hari Rabu dan satu jam pada Khamis dan Jumaat. CJ Wow Shop yang disiarkan pada awal pagi selama tiga jam juga mula bersiaran pada hari yang sama, menggantikan segmen siaran serentak Hot FM AM Krew yang telah disiarkan selama hampir sedekad. Disebabkan oleh perubahan ini, rancangan The 8TV Quickie yang juga telah bersiaran selama lebih sedekad ditamatkan siarannya.

Mulai 5 Mac 2018, 8TV telah menjadi saluran berbahasa Cina yang tersendiri, rancangan berbahasa Cina (tidak termasuk berita Mandarin dan drama TVB di NTV7) dipindahkan ke saluran ini disebabkan oleh perubahan kandungan siaran NTV7. Bagaimanapun, pada Jun 2018, slot drama TVB di NTV7 juga akan dipindahkan ke 8TV dengan menyiarkannya pada Sabtu dan Ahad pada pukul 7:00 malam, manakala berita Mandarin saluran itu digabungkan kepada satu berita yang bersiaran selama sejam sehingga 1 Januari 2019.

Mulai 4 Mei 2021, 8TV kini bersiaran 24 jam dan bersiaran serentak dengan Eight FM.

8TV kini bersiaran di MYTV saluran 108 dalam format HD (definisi tinggi).

Ciri-ciri

8TV disasarkan kepada golongan muda dengan konsep "satu stesen, dua saluran", yang mana sesi pertama penyiaran merupakan saluran bahasa Cina, manakala sesi keduanya merupakan slot program yang kebanyakannya berbahasa Inggeris. Satu lagi bahagian ketiga penyiaran menampilkan permainan SMS interaktif, serta video muzik dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina.[1]

Slogannya, "We're different," melambangkan misi 8TV untuk menawarkan kepelbagaian siri dan filem popular yang bertumpukan muda-mudi, penduduk bandar dan bangsa Cina sebagai penonton sasaran.[2][3]

Saluran membeli-belah

Selain di ntv7, CJ Wow Shop versi bahasa Mandarin juga disiarkan di 8TV dan ditayangkan ditayangkan dari 6 pagi sehingga 9:30 pagi dan 11:30 pagi sehingga 12:30 tengahari kecuali pada hari Sabtu dan Ahad dimana siaran tersebut tidak disiarkan pada 9 pagi sehingga 9:30 pagi.

Maskot

Pada awal 2006, 8TV memperkenalkan maskot barunya yang berbentuk seorang bayi bernama "Pow Pow". Bayi ini menghiasi sesetengah iklan promo yang mempromosikan rancangan 8TV, serta halaman utama laman web rasmi 8TV. Asalnya dia cuma digelar "8TV baby" sehinggalah selesainya pertandingan mencari nama sesuai, maka dari itulah terpilihnya nama "Pow Pow".

Pow Pow sering dilihat memakai sehelai baju merah berkolar yang tertera logo 8TV di bahagian depan, dihiasi jubah berwana oren yang juga tertera logo 8tv di atasnya, berserta sehelai lampin. Kadang-kala dia juga dilihat bermain dengan gitar elektrik. Wajah Pow Pow banyak menyerupai watak Jack-Jack dari filem Disney-Pixar, the Incredibles.

Maskot "Pow Pow" masih digunakan sehingga sekarang oleh 8TV.

Pada video khas 8TV 18th Anniversary, Pow Pow kembali dan beringkat remaja yang berusia 18 tahun.

Senarai rancangan

Insiden dan kontroversi

  • Pada pertengahan tahun 2004, ketika perlawanan bolasepak Euro 2004 hangat di udara, 8TV didapati menyiarkan iklan pengeluar minuman keras Carlsberg yang merupakan penaja penyiaran perlawanan kejohanan sukan itu. Akibatnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan denda sebanyak RM50,000 terhadap 8TV mengikut peruntukan Seksyen 242, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.[4]
  • Pada 13 Januari 2008, pada konsert sambutan ulang tahun, artis Faizal Tahir menanggalkan bajunya hingga mendedahkan dadanya di pentas apabila bersiaran langsung. Akibatnya, pada 19 Januari 2008, SKMM berkata mereka menggantung rancangan-rancangan siaran langsung dan tertunda berbentuk hiburan di stesen 8TV selama tiga bulan berkuat kuasa 15 Januari 2008.[5][6]
  • Pada bulan Oktober 2008, SKMM sekali lagi mengerjakan 8TV dengan menggantung serta merta perkhidmatan laman sembangnya setelah mendapati kemudahan terbabit "disalah guna oleh penonton untuk mencari pasangan seks," dengan kemungkinan bakal diharamkan setelah selesainya siasatan pihak SKMM dalam kes ini.[7]
  • Pada awal musim Ramadan 2011, 8TV menyiarkan tiga iklan pengumuman khidmat masyarakat yang dikatakan bersifat perkauman dan menghina kaum Cina kerana menggambarkan seorang wanita Cina yang makan secara terbuka, mengenakan pakaian kurang sopan dan kurang beradab ketika Ramadan, dengan niat untuk memesan golongan bukan Islam supaya menghormati bulan puasa dengan sewajarnya. Iklan-iklan tersebut akhirnya ditarik balik setelah ekoran kecaman oleh pelbagai pihak, termasuk umat Islam yang mengaku turut tersinggung oleh iklan-iklan berkenaan.[8][9]

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ "Meredah zaman suram". Utusan Online. Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-05. Dicapai pada 6 February 2016.
  2. ^ "MetroVision - intro (Sultan Abu Samad building version - 1995)". Dicapai pada 31 October 2016.
  3. ^ "MetroVision Tune in guide". Diarkibkan daripada yang asal pada 6 December 1998.
  4. ^ "8TV didenda RM50,000 kerana arak". Utusan Malaysia. 2004-09-13. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-06-12. Dicapai pada 2008-01-19.
  5. ^ "Permohonan Maaf Terbuka Daripada Faizal Tahir". gua.com.my. 2008-01-06.
  6. ^ "Siaran langsung 8TV, Faizal digantung 3 bulan". utusan.com.my. 2008-01-19. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-01-20. Dicapai pada 2008-01-19.
  7. ^ "Laman sembang 8TV digantung". Utusan Malaysia. 2008-10-04. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-10-06. Dicapai pada 2008-10-18.
  8. ^ Ramadan: Ekoran kecaman, Media Prima tarik balik iklan rasis[pautan mati kekal], The Malaysian Insider, 2 Ogos 2011. Dicapai pada 5 Ogos 2011.
  9. ^ Iklan rasis: Pakatan mahu tindakan keras ke atas 8TV[pautan mati kekal], The Malaysian Insider, 2 Ogos 2011. Dicapai pada 5 Ogos 2011.

Pautan luar