Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (filem)
Bagi Sultan Johor, lihat Sultan Mahmud Shah II
Sultan Mahmud Mangkat Dijulang | |
---|---|
Pengarah | K. M. Basker |
Penulis | Salleh Ghani |
Lakon layar | Salleh Ghani |
Cerita oleh | Salleh Ghani |
Dihasilkan oleh |
|
Dibintangi | |
Sinematografi |
|
Disunting oleh |
|
Muzik oleh | Zubir Said |
Syarikat penerbitan | |
Tarikh tayangan | 1961 |
Masa tayangan | 119 minit |
Negara | Malaya (Singapura & Malaysia) |
Bahasa | Melayu |
Sultan Mahmud Mangkat Dijulang merupakan sebuah filem Singapura berbahasa Melayu tahun 1961 arahan K. M. Basker dan dibantu oleh M. Amin & A. B. Ibrahim untuk Cathay-Keris Film Productions.
Filem ini berjaya dipulihkan semula oleh Arkib Filem Asia dengan sumbangan gulungan filem diberikan Cathay Organisation yakni syarikat sinambungan studio ini.[1]
Sinopsis
suntingMengisahkan mengenai Megat Seri Rama atau Laksamana Bentan (Nordin Ahmad) yang berjaya menumpaskan sekumpulan lanun yang menyerang Kuala Sedili, Johor Lama dan menyelamatkan Wan Anum (Maria Menado) yang telah dijadikan tebusan. Baginda Sultan Mahmud Shah II (M. Amin) amat gembira di atas kejayaan Megat Seri Rama dan dinaikkan pangkat kepada Datuk Laksamana Megat Seri Rama. Tun Bija Ali (Mahmud Jun), seorang pembesar yang lebih lama berkhidmat tidak berpuas hati dengan perlantikan itu lebih-lebih lagi apabila Datuk Laksamana Megat mengahwini Wan Anum.
Akibat hasad dengkinya terhadap Datuk Laksamana, Tun Bija Ali membuat komplot bersama ketua lanun yang bermaharajalela di perairan Johor. Lanun-lanun tersebut dipimpin oleh Megat Alang Merewah (Ahmad Sabri). Usaha ini digagalkan oleh Tun Aman (Mustapha Maarof) dan pengikutnya. Hal ini disaksikan sendiri oleh Datuk Bendahara (Shariff Medan) dan Datuk Temenggong (Yem) selepas mendapat perkhabaran tersebut. Namun begitu, keesokkan harinya Datuk Bendahara tidak menyabitkan Tun Bija Ali dengan kesalahan jenayahnya kepada Baginda Sultan. Atas nasihat yang bernas dari Datuk Bendahara, Tun Bija Ali tidak dibenarkan menjaga keamanan di perairan Johor tetapi tugas tersebut digalas oleh Datuk Laksamana bagi mengelakkan kejadian pembunuhan, rompakan dan gejala rasuah berleluasa di negeri Johor.
Datuk Laksamana dititahkan untuk belayar bagi menjalankan tugas hakikinya bagi menghapuskan kegiatan lanun di perairan Johor. Beliau berhasrat untuk menghantar pulang Wan Anum ke Kuala Sedili kerana bimbang akan keadaannya yang kini sedang berbadan dua. Di samping itu, sepanjang pemergiannya, Wan Anum tiada saudara mara yang tinggal di Kota Tinggi untuk menjaganya. Namun hasrat tersebut tidak dipersetujui oleh Baginda Sultan. Baginda dan para pembesar istana akan menjaga keadaan Wan Anum sehingga kepulangan Datuk Laksamana kelak. Dalam masa yang sama, Tun Aman juga mempunyai hasrat untuk membunuh Tun Bija Ali di atas pembunuhan kekandanya Tun Khalid beberapa tahun yang lalu. Tun Aman merancang untuk mempergunakan kakaknya, Tun Tijah (Siput Sarawak) untuk memikat hati Tun Bija Ali sebelum membunuhnya kelak.
Pada suatu hari, Tok Penghulu (A. B. Ibrahim) yang baru pulang dari kebun diraja telah lalu dihadapan rumah Datuk Laksamana dan bertembung dengan Wan Anum. Kerana mengidamkan memakan nangka, beliau meminta seulas sahaja nangka dan Tok Penghulu pada mulanya Tok Penghulu melarangnya akan tetapi kerana beliau kasihankan Wan Anum dan kandungannya, beliau tetap memberikannya dengan perasaan yang serba salah. Memandangkan Wan Anum telah menyuruh Awang (Wahid Satay) untuk mencari sebiji buah nangka di seluruh kampung namun gagal juga diperolehi. Kehilangan seulas nangka itu akhirnya telah diketahui oleh Baginda Sultan sendiri. Ini kerana pokok nangka tersebut di tanam oleh Baginda Sultan sendiri dan buah tersebut merupakan buah sulung yang tumbuh di luar musimnya.
Kemurkaan baginda bertambah apabila Tun Bija Ali mengapi-apikan baginda agar Wan Anum dihukum bunuh akibat menderhaka kepada Baginda Sultan. Dia mencadangkan agar perut Wan Anum dibelah bagi membuktikan bahawa anak di dalam kandungannya itu betul-betul mengidamkan seulas nangka tersebut, sekaligus menyebabkan kedua beranak itu meninggal dunia. Dengan kuasa dari Allah, ternyata anaknya masih memegang seulas nangka tersebut menyebabkan Baginda Sultan mula berasa serba salah di atas arahannya yang terburu-buru. Baginda memberi amaran agar perkara ini mesti dirahsiakan dan jika sesiapa yang melanggarnya akan dihukum bunuh. Beberapa hari kemudian, Datuk Laksamana dan para pengikutnya selamat kembali ke Kota Tinggi dengan membawa perkhabaran yang baik. Akibat kerinduannya terhadap Wan Anum, Datuk Laksamana puas mencari isterinya di seluruh kampung namun sia-sia sahaja.
Kematian Wan Anum itu tetap jua diketahui oleh Datuk Laksamana selepas terdengar dari mulut orang kampung. Alangkah sedih hatinya apabila isteri kesayangannya itu dibunuh oleh Baginda Sultan hanya kerana seulas nangka. Beliau bersama Tun Aman berkomplot untuk menghapuskan siapa yang menjadi tali barut pembunuhan isterinya tempoh hari. Dalam masa yang sama, Tun Bija Ali berjaya diperdaya oleh Tun Tijah dan Tun Aman. Akhirnya, Tun Bija Ali berjaya dibunuh oleh Tun Aman. Kematian Tun Bija Ali di atas tangan Tun Aman telah diketahui oleh Datuk Bentara Luar (Haji Arshad) dan Baginda Sultan yang bimbang Datuk Laksamana akan membalas dendam terhadap pembunuhan Wan Anum. Namun pada hari Jumaat, ketika Baginda Sultan di atas tandu di dalam perkarangan masjid untuk menunaikan solat jumaat. Datuk Laksamana terus menegur Baginda Sultan dengan begitu biadap sebelum menikam tubuh Baginda Sultan dengan kerisnya. Sebelum Baginda Sultan menghembuskan nafasnya yang terakhir, baginda sempat mencampakkan sebilah kerisnya terus mengenai ibu jari kaki kiri Datuk Laksamana dan menitahnkan daulatnya anak Bentan jika menjejakkan kakinya di Kota Tinggi, kelak muntah darah jadinya. Beberapa detik kemudian, Datuk Laksamana menerima tulah lalu muntah darah dan meninggal dunia selepas itu. Riwayat Tun Aman juga berjaya dihapuskan oleh Datuk Bendahara. Kemangkatan Sultan Mahmud Shah II di atas julang amat menyedihkan dan kerana baginda tidak mempunyai zuriat, Dengan itu, negeri Johor diperintah oleh nasab keturunan Bendahara Tun Abdul Jalil Shah dan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil IV. Tamatlah era Kesultanan Melayu Melaka di negeri Johor pada tahun 1699.
Barisan pelakon
sunting- Maria Menado sebagai Wan Anum
- Nordin Ahmad sebagai Datuk Laksamana Megat Seri Rama
- M. Amin sebagai Sultan Mahmud Shah II
- Mahmud Jun sebagai Tun Bija Ali
- Mustapha Maarof sebagai Tun Aman
- Shariff Medan sebagai Datuk Bendahara
- Pak Yem sebagai Datuk Temenggong
- Haji Arshad sebagai Datuk Bentara Luar
- Aminah Yem sebagai Mak Piah
- Dollah Sarawak sebagai Pak Mahat
- Siput Sarawak sebagai Tun Tijah
- Wahid Satay sebagai Awang
- Mariani sebagai Gundik istana
- A. B. Ibrahim sebagai Tok Penghulu Bendahari
- Ahmad Sabri sebagai Megat Alang Merewah
- Murni Sarawak sebagai Dayang Istana
- Zainal Gemok
Lagu
sunting- Bunga Teratai
Rujukan
sunting- ^ Chew Tee Pao (Jan–Mac 2023). "Repairing and Restoring Singapore's Reel Heritage". BiblioAsia. Jil. 18 no. 4. National Library of Singapore. m/s. 4–11.CS1 maint: date format (link)