Tentang Bulan
Tentang Bulan ialah filem drama komedi kanak-kanak Malaysia 2006 arahan Ahmad Idham dengan skrip dan cerita asal oleh Meor Shariman.[1][2] Ia berkisarkan tentang kehidupan kanak-kanak di kampung, kenakalan mereka dan tentang impian masing-masing apabila dewasa.[3][4] Dibintangi oleh Aedy Ashraf, Fatin Afeefa, Erin Malek, Nasiruddin Nasir, Nik Adruce dan Nor Zam Zam Zakaria,[5][6] filem ini ditayangkan di pawagam pada 21 Disember 2006.[7][8]
Tentang Bulan | |
---|---|
Pengarah | Ahmad Idham |
Penulis |
|
Dihasilkan oleh | David Teo |
Dibintangi |
|
Sinematografi | Indra Che Muda |
Disunting oleh |
|
Muzik oleh |
|
Syarikat penerbitan | |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 80 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM1.5 juta |
Pecah panggung | RM1 juta |
Sinopsis
suntingSeorang gadis keluar dari lapangan terbang untuk pulang ke desanya menghadiri satu majlis perkahwinan. Di dalam teksi, gadis tersebut telah terkenang zaman kanak-kanak bersama 5 orang sahabatnya. Tahun 1985, Asmawi, Bulat, Ketot, Budi dan Ila adalah 5 sekawan paling akrab di desa. Kelima-lima mereka mempunyai perangai dan telatah unik masing-masing. Namun, semua tahu Asmawi yang paling kacak adalah ketua mereka.
Sebagai satu kumpulan, mereka menjadi kuat kerana masing-masing mempunyai kelebihan yang tidak ada pada orang lain. Bulat seorang yang berbadan besar, Ketot seorang yang garang walaupun bertubuh kecil, Asmawi seorang yang berdedikasi sebagai ketua, Budi punyai otak bergeliga manakala Ila menjadi pelengkap kepada mereka semua.
Walaupun sering dikutuk kerana tidak berkelakuan seperti perempuan, Ila tidak menendahkan kata-kata orang lain kerana dia tahu dia mempunyai 4 orang kawan rapat yang sanggup bersama-sama dalam susah dan senang. Kelima-lima sahabat ini gemar melepak hingga larut malam pada masa bulan penuh dan berangan-angan satu hari nanti mahu pergi ke bulan.
Kehadiran Zurina, seorang budak perempuan yang baru berpindah ke desa dan bersekolah di sekolah mereka, mula menggugat persahabatan mereka 5 sahabat. Zurina bukan sahaja cantik dan berbudi bahasa tetapi mempunyai ciri-ciri seorang budak perempuan yang menjadi idaman setiap budak lelaki. Ini menyebabkan Asmawi, Bulat, Ketot dan Budi berlumba-lumba untuk menambat hati Zurina dengan melakukan pelbagai cara untuk rapat dengan Zurina.
Malahan mereka berempat meninggalkan aktiviti-aktiviti lasak seperti bermain bola, terjun ke sungai dan memanjat pokok semata-mata kerana mahu bermain pondok-pondok, lompat gelang getah dan congkak bersama-sama dengan Zurina. Kerana Zurina juga, Ila rasa cemburu dan tersisih kerana 4 rakan lelakinya mula memberi tumpuan kepada Zurina. Ini menyebabkan Ila cuba berubah menjadi budak perempuan tetapi perubahan ini hanya menjadikan Ila bahan ketawa mereka. Ila menjadi marah dan menyisihkan diri daripada kawan-kawannya. Asmawi menjadi semakin rapat dengan Zurina tetapi lama-kelamaan dia sedar yang dia rindukan Ila.
Akhirnya Mawi menyedari bahawa tindakan mereka keterlaluan dan salah. Namun, penyesalan tersebut sudahpun terlambat apabila Ila melangkah pergi membawa hati yang luka ke Kuala Lumpur. Asmawi, Bulat, Ketot dan Budi meneruskan persahabatan mereka dengan Zurina dan pada setiap malam bulan mengambang, mereka masih impikan untuk pergi ke bulan. Tetapi, mereka tetap rasa kehilangan.
Kembali pada masa sekarang, Ila menghadari majlis perkahwinan yang rupanya sahabat mereka. Zurina menyedari kehadiran Ila dan tersenyum melihat kedatangannya yang dianggapnya sebagai sahabat diikuti oleh Asmawi yang menjadi angkasawan, Bulat yang menjadi peniaga dan berkahwin dengan Zurina, Budi menjadi doktor dan Ketot menjadi ahli politik.
Pelakon
sunting- Aedy Ashraf sebagai Mawi
- Fatin Afeefa sebagai Shahila
- Erin Malek sebagai Zurina
- Nik Adruce sebagai Abu/Bulat
- Muhammad Nasirudin sebagai Ketot
- Nor Zam Zam Zakaria sebagai Budi
- Kuza Muzani sebagai Ibu Mawi
- Zack Kool sebagai Bapa Mawi
- Safura Yaacob sebagai Ibu Shahila
- Sahronizam Noor sebagai Bapa Shahila
- Zed Zaidi sebagai Abu/Bulat Dewasa
- Yana Samsudin sebagai Zurina Dewasa
- Syed Nahar (Syean) sebagai Ketot Dewasa
- Shajiry sebagai Budi Dewasa
- Yasmin Haron sebagai Guru Kelas
- Muhamad Faiz sebagai Mawi Dewasa
- Shahidatul Ekmar sebagai Shahila Dewasa
- Deen Wahab sebagai Pemandu Teksi
- Osman Kering sebagai Tok Mudim
- Naquiyudin Wong sebagai Guru Displin
- Zaibo sebagai Guru Mengaji
Penerbitan
suntingTentang Bulan ialah filem ke-20 terbitan Metrowealth Pictures dengan idea dan konsep asal oleh David Teo.[9][2][10] Ia diarahkan oleh Ahmad Idham dengan skrip dan cerita asal oleh Meor Shariman, bekas wartawan hiburan The Malay Mail. Menurut Idham ketika ditanya mengenai pemilihan tajuk filem ini, "Simbolik filem ini ialah bagaimana bulan dijadikan sebagai tempat kanak-kanak melepaskan perasaan mereka. Di bawah pondok sambil merenung bulan, Mawi, Ila, Ketot, Gemuk, Ina dan Budi berjanji demi persahabatan masing-masing. Malah bulan juga menjadi tempat mereka melepaskan perasaan dan impian. Mawi, misalnya, bercerita tentang impiannya bergelar angkasawan pada malam bulan mengambang,".[1][11]
Perlis menjadi lokasi pilihan untuk filem ini kerana ia merupakan sebuah negeri kecil di utara Semenanjung itu yang masih mengekalkan keaslian pemandangan desanya dan bersesuaian dengan ceritanya yang berlatarkan tahun 1980-an. Idham menjelaskan selain pemandangan indah, terdapat banyak rumah lama di kawasan itu serta tempat-tempat pelancongan menarik.[1] Gua-gua dan air terjun merupakan antara keindahan pelancongan negeri Perlis yang diserapkan dalam Tentang Bulan. Idham juga mengakui amat berpuas hati dengan lakonan kesemua pelakon kanak-kanak yang terbabit dalam filem ini yang menepati kehendaknya. Kos pembikinan filem ini dianggarkan sebanyak RM1.5 juta dengan penggambaran dijalakan di Perlis pada Mac 2006.[1]
David pula berkata, banyak pihak terutama ibu bapa yang mengakui sebaik saja mereka mengetahui kewujudan filem ini, mereka menunjukkan minat untuk menontonnya kerana filem berkonsepkan kanak-kanak Malaysia sememangnya dinantikan.[2][12][13] Beliau dipetik oleh Berita Harian sebagai berkata: "Filem Melayu selama ini mengabaikan fungsi dan sumbangan kanak-kanak dalam sebuah filem yang memfokus kepada persekitaran hidup mereka. Kalau ada pun watak kanak-kanak dalam filem sebelum ini, ia sebagai tempelan saja. Jadi, Tentang Bulan mahu mengisi kekosongan ini kerana kanak-kanak juga generasi pelapis yang mesti ditanam minat supaya menyukai filem Melayu".[2] Semasa penggambaran dijalankan, Tengku Puteri Mahkota Perlis, Datuk Seri Sharifah Fazira Tuanku Syed Sirajuddin dan suami, Datuk Paduka Mohamad Yaakob Datuk Seri Azizul Hassan berkunjung ke lokasi penggambaran. Mereka meluangkan masa selama hampir tiga jam untuk melihat kerja penggambaran selain beramah mesra bersama kru penerbitan dan pelakon. Lawatan itu juga membolehkan mereka berpeluang melihat satu babak perkahwinan.[2]
Keluaran dan sambutan
suntingTentang Bulan pada asalnya dijadualkan untuk tayangan pada September 2006, bagaimanapun ia ditayangkan secara rasmi pada 21 Disember 2006 semasa musim cuti sekolah.[2][14] Dalam tempoh lima hari tayangan perdana rasminya, filem ini meraih kutipan sebanyak RM600,000,[15] kemudian meningkat kepada RM750,000 pada minggu kedua tayangan.[16] Pada hari terakhir tayangan, ia berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM1 juta.[17]
Akmal Abdullah, menulis untuk Berita Harian berpendapat bahawa Tentang Bulan mampu "bangkit nostalgia seisi keluarga".[18] Mengulas untuk Metro Ahad, Shakilawati Abd Rahman dalam komen awalnya menulis: "Filem kanak-kanak yang diadun dengan elemen lucu dan sedih ini cukup menghiburkan malah mampu mengimbau kembali nostalgia mereka yang pernah melalui zaman kanak-kanak sekitar tahun 80-an".[19]
Anugerah
suntingTahun | Anugerah | Kategori | Penerima/Karya tercalon | Keputusan |
---|---|---|---|---|
2007 | Festival Filem Malaysia ke–20 | Filem Terbaik | Tentang Bulan | Tercalon |
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik | Aedy Ashraf | Tercalon | ||
Fatin Afeefa | Tercalon | |||
Nik Adruce | Tercalon | |||
Pengarah Filem Terbaik | Ahmad Idham | Tercalon | ||
Lakon Layar Terbaik | Tercalon | |||
Cerita Asal Terbaik | Meor Shariman | Tercalon |
Adaptasi televisyen
suntingSebuah siri drama TV adaptasi filem ini, Tentang Bulan The Series ditayangkan perdana di Astro Prima bermula 28 April 2008, hampir dua tahun selepas filem ini ditayangkan.[20]
Rujukan
sunting- ^ a b c d Wanda Idris (31 Mac 2006). "Tentang Bulan uji kesabaran Ahmad Idham". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 April 2006. Dicapai pada 1 Januari 2015.
- ^ a b c d e f Akmal Abdullah (7 April 2006). "Tentang Bulan janjikan kelainan". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 April 2006. Dicapai pada 1 Januari 2015.
- ^ Farihad Shalla Mahmud (15 Disember 2006). "Tentang Bulan eratkan lima sahabat". Berita Harian. Dicapai pada 1 Januari 2015.
- ^ Rudy Imran Shamsuddin (9 Mei 2006). "Ragam kanak-kanak dalam Tentang Bulan". Harian Metro. Dicapai pada 1 Januari 2020.
- ^ Hartati Hassan Basri (7 Disember 2006). "Enam bakal ukir nama". Harian Metro. Dicapai pada 1 Januari 2020.
- ^ Shakilawati Abd Rahman; Maiamalina Mohamed Amin (10 Disember 2006). "Bakat si cilik". Metro Ahad. Dicapai pada 1 Januari 2020.
- ^ "Pecah perut dek Tentang Bulan". Utusan Malaysia. 23 Disember 2006. Dicapai pada 1 Januari 2015.
- ^ Suzan Ahmad (17 Disember 2006). "Zaman kanak-kanak paling indah dikenang". Berita Minggu. Dicapai pada 1 Januari 2020.
- ^ Zainuri Misfar (15 Mac 2006). "Metrowealth cuba filem kanak-kanak". Berita Harian. Dicapai pada 1 Januari 2015.
- ^ Wanda Idris (10 Mei 2006). "Tentang Bulan filem berisiko besar". Utusan Malaysia. Dicapai pada 1 Januari 2015.
- ^ Farihad Shalla Mahmud (23 Disember 2006). "Keletah Bulat, Ketot, Mawi ceriakan Tentang Bulan". Berita Harian. Dicapai pada 1 Januari 2015.
- ^ Serimah Mohd Sallehuddin (10 Mei 2006). "Filem Tentang Bulan percubaan berani David Teo". Berita Harian. Dicapai pada 1 Januari 2015.
- ^ Hartati Hassan Basri (16 Mac 2006). "David terbit filem kanak-kanak". Harian Metro. Dicapai pada 1 Januari 2020.
- ^ Farihad Shalla Mahmud (12 Disember 2006). "Tentang Bulan mampu capai kutipan box-office". Berita Harian. Dicapai pada 1 Januari 2015.
- ^ Hartati Hassan Basri (27 Disember 2006). "Tentang Bulan bakar semangat". Harian Metro. Dicapai pada 1 Januari 2020.
- ^ "Tentang Bulan kutip RM750,000". Berita Harian. 23 Disember 2006. Dicapai pada 1 Januari 2015.
- ^ Akmal Abdullah (21 Disember 2006). "Tentang Bulan bangkit nostalgia seisi keluarga". Berita Harian. Dicapai pada 1 Januari 2015.
- ^ Nurulhisham Abdul Latiff (5 Januari 2007). "@Sinepleks: Tentang Bulan cecah kutipan RM1 juta". Berita Harian. Dicapai pada 1 Januari 2015.
- ^ Shakilawati Abd Rahman (17 Disember 2006). "Tentang Bulan imbau kenangan alam kanak-kanak". Metro Ahad. Dicapai pada 1 Januari 2020.
- ^ "Tentang Bulan The Series di Astro Prima". Metro Ahad. 20 April 2008. Dicapai pada 1 Januari 2020.