Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13

Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin telah diadakan dalam adat istiadat di-Raja Melayu, di Balairong Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur pada hari Khamis, 26 April 2007 pukul 10 pagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13. Seri Paduka Baginda telah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja ke-208 di Istana Negara pada 3 November 2006 bagi tempoh 5 tahun mulai 13 Disember 2006 untuk menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalulail.

Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 itu mendapat liputan di seluruh negara dan dirakam dan didokumentasikan oleh Radio Televisyen Malaysia, Filem Negara Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, National Geographic Channel dan beberapa lagi badan-badan warisan yang lain. Dokumentar National Geographic mengenai pertabalan ini, Becoming A King mula disiarkan rakamannya ke seluruh dunia pada 27 Ogos 2007. Detik bersejarah pertabalan Yang di-Pertuan Agong kali ini adalah pertabalan yang terakhir dilangsungkan di Istana Negara kini sebelum berpindah ke istana baharu.

Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Raja Melayu telah dimulakan sejak kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Pelantikan Pemangku Sultan Terengganu

sunting

Sebagai Agong, Sultan Mizan perlu melantik pemangku untuk mewakili baginda mentadbir negeri Terengganu. Pada 12 Disember 2006 dalam Istiadat Pelantikan Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Sultan Terengganu di Istana Maziah, Kuala Terengganu; putera tertua baginda Tengku Muhammad Ismail yang berusia 8 tahun telah dilantik sebagai Pemangku Sultan Terengganu. Beliau akan dibantu Majlis Penasihat Pemangku Raja.[1]

Istiadat Permasyhuran Yang di-Pertuan Agong ke-13

sunting

Pada 13 Disember 2006, Tuanku Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah berangkat dengan pesawat khas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu ke Istana Negara untuk menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Di bangunan Parlimen, Sultan Mizan disambut oleh dengan Istiadat Kawalan Kehormat. Turut mengiringi ialah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Abdullah bin Md. Zin serta ahli-ahli kabinet yang lain beserta pasangan masing-masing.

Baginda kemudian berangkat ke Istana Negara, di mana Istiadat Permasyhuran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 telah diadakan. Jam 11.50 pagi, berlangsunglah Mesyuarat Majlis Raja-Raja (Khas) yang ke-209 sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan oleh Sultan Mizan dan Sultan Abdul Halim.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja (Khas) yang ke-209 dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Balairong Seri Istana Negara. Doa selamat dibaca oleh Pemangku Imam Besar Masjid Negara, Abdul Rahman Yusof. Kemudian, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Engku Ibrahim Engku Ngah menyembah surat sumpah jawatan kepada Sultan Mizan.[2]

Sultan Mizan melafazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong. Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menjadi saksi surat sumpah jawatan. Seterusnya, Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah melafazkan sumpah jawatan, menandatangani surat sumpah jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Sultan Kelantan dan Sultan Selangor sekali lagi menjadi saksi surat sumpah jawatan.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membaca perisytiharan bahawa Sultan Mizan telah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 dan Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Bacaan doa penutup dilaksanakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi bin Wan Teh.

Kesemua sembilan Raja Melayu atau wakil-wakil baginda serta empat Yang di-Pertua Negeri turut hadir. Menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri, menteri-menteri kabinet, anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta pegawai tinggi kerajaan turut hadir.

Siaran langsung oleh RTM disiarkan ke seluruh negara melalui TV1.

Majlis Pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong

sunting

Pada hari Khamis 26 April 2007, Sultan Mizan ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong. Semua pekerja di sektor awam diberi pelepasan cuti sempena pertabalan ini. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengeluarkan pekeliling cuti umum kepada semua jabatan dan agensi kerajaan.[3] Namun, pihak swasta tidak diwajibkan bercuti.

Majlis itu yang berlangsung dalam suasana gilang-gemilang dan penuh adat istiadat Melayu dihadiri oleh Raja-Raja Melayu, pemerintah-pemerintah negara asing dan pembesar-pembesar dari dalam dan luar negara. Para jemputan mula hadir di Istana Negara sekitar pukul 8 pagi manakala Raja-Raja Melayu pula berangkat tiba kira-kira pukul 9 pagi. Majlis berakhir pukul 11.30 pagi.[3] Dalam majlis tersebut, baginda dipersembahkan Keris Panjang di-Raja - simbol kuasa dan kekuasaan - yang baginda hunus dan cium. Baginda berikrar memerintah dengan adil dan mempertahankan kedaulatan Islam.[4]

Warisan dalam penulisan

sunting

Watikah Pertabalan

sunting

Penggunaan tulisan Jawi dalam tulisan watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13 Tuanku Mizan Zainal Abidin serta surat jemputan kepada Raja-raja Melayu untuk berangkat ke majlis itu menghidupkan kembali budaya tulisan itu di istana seperti zaman dahulu kala. Ia seiring dengan usaha kerajaan memupuk dan meningkatkan penggunaan dan kemahiran tulisan Jawi dalam kalangan rakyat.

Yayasan Restu merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang telah dipertanggungjawab sekali lagi untuk menyediakan surat jemputan kepada Raja-raja Melayu serta watikah pertabalan menggunakan kertas khas. Yayasan berusia 20 tahun itu telah dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan 15 surat jemputan kepada semua Sultan dan Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri dan Perdana Menteri.

Ia menyediakan empat jenis watikah iaitu Watikah Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong, Watikah Ikrar, Watikah Doa dan Watikah Perisytiharan Pertabalan di atas enam kulit kambing yang diimport dari United Kingdom dan telah diproses dan dipotong di Jabatan Ukur dan Pemetaan serta disiapkan dengan reka bentuk dan corak serta motif yang dipilih bersempena dengan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13 Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Khamis, 26 April 2007.

Yayasan yang pakar dalam bidang kaligrafi khat itu, pernah ditugaskan untuk menyediakan dokumen yang serupa semasa pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-12 Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 2002.

Abdul Baki Abu Bakar iaitu Eksekutif Kanan Kaligrafi Yayasan Restu dan Mohd Fadil Sulaiman yang merupakan penulis watikah tersebut akan menggunakan tulisan Jawi jenis khat thuluth bagi tajuk, teks menggunakan khat nasakh manakala kalimah basmalah pula menggunakan khat diwani. Penulisan khat itu telah dibuat dengan menggunakan dakwat hitam yang terbaik dari Jepun, yang kalis air. Ketelitian amat perlu ketika menulis watikah di atas kulit kambing kerana ia mempunyai tekstur yang agak licin seperti berminyak dan berbintik-bintik.

Surat jemputan

sunting

Mohd Fadil yang berpengalaman dalam penulisan Jawi selama 10 tahun turut membuat kad jemputan Diraja dan kerja penulisannya dimulakan pertengahan bulan Mac dan siap sepenuhnya awal bulan April 2007. Setiap surat jemputan mengambil masa empat jam untuk siap ditulis, kerana ia melalui pelbagai peringkat, dengan peringkat pertama meliputi aspek melakar skrip menggunakan pensil bagi mengelakkan kesalahan serta untuk mengimbangi tulisan. Kemudian semakan akan dibuat oleh penyemak dari Yayasan Restu dan pihak Istana Negara dari segi perkataan dan ejaan.

Surat jemputan itu ditulis di atas kertas manuskrip diperbuat daripada campuran kapas dan pulpa kayu dan bebas asid, dan kertas ini mampu bertahan selama 500 tahun.

Raptai

sunting
 
Balairong Seri yang sudah dihias cantik bagi raptai istiadat pertabalan baginda

Raptai pertabalan baginda Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin telah dijalankan pada 24 April 2007 bertempat di Balairung Seri, Istana Negara yang turut dihadiri oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Raptai tersebut memastikan agar upacara yang dijalankan pada hari Khamis kemudiannya berjalan lancar dalam suasana gilang-gemilang dan penuh adat istiadat Melayu.

Seri Paduka berdua mencemar duli melihat sendiri perjalanan raptai lebih sejam itu dari bilik khas Istana Negara dan berpuas hati dengan kelancaran programnya. Lebih 1,500 pegawai dan kakitangan kerajaan daripada pelbagai sektor terlibat dalam menjayakan majlis raptai tersebut.

Terdapat sedikit sebanyak perbezaan di setiap majlis tersebut dan dalam konteks ini, ia melibatkan giliran Yang di-Pertuan Agong dari negeri Terengganu iaitu unsur-unsur atau ciri-ciri dari Terengganu turut diambil kira. Warna-warna dan hiasan dalaman yang mencerminkan keceriaan yang dapat dilihat pada Balairung Seri, Istana Negara, merupakan pilihan baginda berdua terutama Raja Permaisuri Agong.[5]

Rujukan

sunting
  1. ^ Sultan Mizan moved to tears at ceremony theStar Online. 13 Disember 2006.
  2. ^ Majestic welcome for Terengganu royals theStar Online. 14 Disember 2006.
  3. ^ a b Pertabalan Agong hari bersejarah bagi rakyat Utusan Malaysia. 26 April 2007.
  4. ^ Malaysia's new king takes office BBC NEWS Asia-Pacific. 26 April 2007.
  5. ^ Berita Bernama - Raptai