Wikipedia:Sepersetujuan

Sepersetujuan, persetujuan sebulat suara, ijmak atau konsensus merupakan cara utama untuk membuat keputusan penyuntingan di Wikipedia. Sepersetujuan ini tiada maksud yang tertentu di Wikipedia, tetapi bagi rencana, sepersetujuan biasanya bermaksud cubaan menetapkan dan memastikan keneutralan dan kesahihan. Umumnya, seseorang mengubah atau menokok tambah isi laman, supaya orang lain yang membacanya memilih untuk membiarkannya begitu sahaja atau mengubahnya. Sesekali para penyunting tidak dapat bersetuju dengan suntingan yang dilakukan, proses mencapai sepersetujuan diteruskan dengan membincangkannya dalam laman perbincangan.

Sepersetujuan juga bukan keputusan undian.

Perihal

 
Sepersetujuan antara komuniti di Wikipedia dalam apa jua permasalahan dan menetapkan kata putus mesti dianggap sebagai tunjang kemaslihatan Wikipedia.

Sepersetujuan ialah keputusan yang mengambil kira semua hujah munasabah yang diluahkan. Semua penyunting diharapkan melakukan usaha yang berniat baik untuk mencapai sepersetujuan sejajar dengan prinsip-prinsip Wikipedia.

Adakalanya, adalah mustahil untuk memastikan semua penyunting yang terlibat dalam perbincangan untuk bersetuju sebulat suara secara rela, maka keputusan majoriti harus diambil kira. Bukan sekadar majoriti bilangan yang diperlukan untuk membuat perubahan besar.

Proses

Sepersetujuan merupakan proses yang normal, dan lazimnya tersirat dan tidak kelihatan dalam rencana-rencana di seluruh Wikipedia. Mana-mana suntingan yang tidak dipertikai atau dibatalkan oleh penyunting lain dianggap mencapai sepersetujuan. Jika suntingan itu disemak oleh penyunting lain tanpa pertikaian, boleh dianggap bahawa sepersetujuan baru telah dicapai. Beginilah ensiklopedia ini makin hari makin berisi tanpa usaha yang berat dari mana-mana pihak. Walau sekalipun berlakunya pertikaian, apa yang diperlukan ialah memastikan hasil suntingan itu kelihatan lebih neutral atau mengambil kira perasaan penyunting lain. Komunikasi yang jelas dalam ringkasan suntingan boleh memudahkan proses ini.

Apabila membatalkan suntingan yang anda tidak setuju, anda wajar menjelaskan apa yang dipertikaikan daripada sekadar menyebut "tiada sepersetujuan". Ini meningkatkan ketelusan untuk semua pihak yang terlibat, serta berfungsi sebagai panduan untuk menentukan sepersetujuan menerusi penyuntingan yang berterusan.

Sekalipun timbulnya pertikaian suntingan yang lebih serius, proses sepersetujuan makin ketara. Para penyunting membuka satu bahagian dalam laman perbincangan rencana dan cuba menyelesaikan pertikaian dengan berbincang. Perbincangan sepersetujuan biasanya berbentuk begini: penyunting cuba memujuk satu sama lain dengan menyatakan hujah-hujah yang berdasarkan polisi, sumber dan akal budi. Matlamat perbincangan sepersetujuan ini adalah mencapai sepersetujuan mengenai kandungan rencana, iaitu yang tidak semestinya memuaskan semua pihak tetapi diterima oleh semua penyunting sebagai eksposisi topik yang munasabah. Ada baiknya mengingati bahawa sepersetujuan itu proses yang berterusan di Wikipedia. Lebih baik menerima kompromi yang tidak sempurna dan memahami bahawa rencana itu sentiasa bertambah baik, daripada cuba bertengkar dan melaksanakan versi 'sempurna' begitu sahaja. Rencana yang dilibatkan oleh penyunting yang bertelagah selalunya lebih rendah daripada rencana yang dilibatkan oleh penyunting yang berpandangan jauh dan gemar berbincang.

Sesetengah rencana melalui penyuntingan dan perbincangan yang menyeluruh untuk mencapai hasil yang berkecuali dan mudah dibaca. Begitu juga, rencana lain pula dicabar dan/atau disemak secara berkala. Beginilah fungsi normal proses sepersetujuan yang berterusan. Ada gunanya mengkaji arkib laman perbincangan dan meneliti perbincangan lama sebelum mengungkit semula isu dalam perbincangan, kerana tiada faedahnya memaksa semua mengimbau kembali perbincangan lama tanpa keperluan.

Tahap sepersetujuan

Sepersetujuan di kalangan sebilangan penyunting yang kecil pada suatu tempat dan masa, tidak boleh mengatasi sepersetujuan komuniti yang lebih besar. Misalnya, melainkan mereka boleh meyakinkan komuniti yang lebih luas bahawa tindakan sedemikian adalah benar, para peserta WikiProjek tidak boleh memutuskan bahawa sesetengah dasar atau garis panduan yang diterima umum tidak boleh digunakan dalam rencana-rencana di dalam skopnya.

Dasar dan garis panduan mencerminkan sepersetujuan yang ditetapkan, maka kestabilan dan ketekalannya adalah penting kepada komuniti. Oleh itu, Wikipedia mengenakan piawaian penyertaan dan sepersetujuan yang lebih tinggi bagi perubahan dasar daripada laman-laman lain. Perubahan besar wajar diusulkan di laman perbincangan terlebih dahulu, dan masa yang mencukupi harus diberikan untuk perbincangan yang menyeluruh sebelum perubahan dilaksanakan. Perubahan kecil pula boleh dilakukan tetapi tertakluk kepada penelitian yang lebih ketat. Komuniti lebih cenderung menerima suntingan pada dasar yang dilakukan secara perlahan dan konservatif, dengan usaha yang giat untuk mengambil kira pendapat dan persetujuan orang lain.

Sepersetujuan boleh berubah

Sepersetujuan tidak boleh tidak berubah. Keputusan yang dibuat pada masa dahulu masih boleh dicabar dan tidak mengikat, apatah lagi perubahan-perubahan sedemikian biasanya munasabah. Oleh itu, "mengikut ijmak" dan "melanggar ijmak" bukan rasional yang munasabah untuk menerima atau menolak usul atau tindakan. Walaupun "perbincangan berpanjangan" masa dahulu boleh membimbing para penyunting tentang apa yang mempengaruhi sepersetujuan yang dahulu, namun para penyunting perlu mengkaji semula setiap usul berdasarkan baik buruknya, lalu menentukan dari mula lagi sama ada sepersetujuan itu berubah atau tidak.

Wikipedia mengambil sikap fleksibel kerana orang baru mungkin membawakan buah fikiran yang segar, pertumbuhan mungkin membuahkan keperluan baru, dan orang boleh berubah pendirian sepanjang masa apabila lahirnya perkara baru, dan kita mungkin perlu mencari cara yang lebih baik untuk mengusahakan Wikipedia.

Sebuah kumpulan perwakilan boleh membuat keputusan bagi pihak seluruh komuniti. Lebih-lebih lagi, orang mendokumenkan perubahan pada prosedur sedia ada pada suatu masa selepas berlakunya perubahan. Walau apapun, untuk semua ini, tiada apa yang ditetapkan secara kekal. Dunia kita sentiasa berubah, dan Wikipedia mesti berubah serentak dengan perubahan dunia. Perubahan lanjutan pada sesuatu perkara pada masa akan datang adalah munasabah dan sememangnya dialu-alukan, walaupun perubahan terakhir dilakukan bertahun-tahun dahulu.

Pengecualian

Keputusan sepersetujuan boleh diatasi oleh beberapa pengecualian.

  • Perisytiharan daripada Lembaga Yayasan Wikimedia, atau para Pemaju, khususnya tentang hak cipta, masalah undang-undang, atau muatan pelayan, mencapai status dasar.
  • Tindakan pejabat adalah di luar dasar-dasar Wikipedia.
  • Sesetengah tindakan, seperti pemadaman bahan yang melanggar hak cipta atau bahan-bahan tertentu mengenai tokoh hidup, biasanya tidak memerlukan perbahasan atau sepersetujuan, terutamanya kerana wujudnya risiko tersirat yang mengancam mereka.