Adiwira

jenis watak yang kebiasaannya mempunyai "kuasa luar biasa atau luar kemampuan manusia biasa" dan berikrar melindungi orang awam

Adiwira (Jawi: اديويرا) atau juga pahlawan super (lebih lazim di Indonesia, bahasa Inggeris: superhero) ialah sejenis watak dalam cereka yang dikenali dengan penunjukan keberanian dan kemuliaan serta sering mempunyai nama dan kostum berwarna serta kebolehan yang tidak ada pada manusia biasa.

2 orang cosplayer sebagai adiwira Superman daripada DC Comics dan Rouge daripada Marvel Comics

Sejak lahirnya adiwira contoh, Superman, pada tahun 1938, cereka-cereka adiwira — sama ada pengembaraan singkat berepisod atau saga yang berterusan selama bertahun-tahun — telah mendominasi pasaran buku komik Amerika lalu merentas ke media massa yang lain.

Takrifan

sunting

Mengikut kebanyakan takrifan, watak-watak sedemikian tidak perlu betul-betul mempunyai kuasa luar biasa agar bergelar adiwira, sungguhpun kadang-kadang istilah seperti costumed crimefighters (pembasmi jenayah berkostum)[1] dipakai untuk merujuk kepada sesiapa tanpa kuasa-kuasa sedemikian namun sebaliknya mempunyai ciri-ciri biasa adiwira yang lain.

Peristilahan

sunting

Istilah asal yang mengungkapkan konsep individu berkuasa sebegini dalam bahasa Inggeris iaitu superhero mula muncul pada tahun 1927.[2] Perkataan ini pada suatu masa dahulu pernah dijadikan cap dagang milik bersama DC Comics dan Marvel Comics.

Perkataan mempunyai beberapa istilah padanan yang wujud dalam seberapa baku bahasa Melayu serantau Nusantara:

Falsafah

sunting

"Falsafah" yang menerangkan etos vigilante adiwira (terutamanya seperti dilihat dalam watak Punisher dan Batman) secara pokoknya dirumuskan berabad-abad lalu oleh pendeta Yunani terkenal Aristoteles: manusia yang memiliki possessing nilai murni dan kemahiran diri yang amat kuat serta perlunya melangkaui rangka pentadbiran-birokrasi manusia luaran, maka dirinya menjadi imago dei (imej Tuhan) di Bumi:

"Terdapat manusia-manusia, menurut Aristoteles, yang amat ketuhanan, amat luar biasa, sehingga mereka secara semulajadi, disebabkan anugerah luar biasa mereka, melangkaui segala pertimbangan moral atau kawalan perlembagaan: 'Tiadanya hukum yang memeluk manusia yang berkaliber sedemikian: mereka sendirilah merupakan hukum.'" (Hughes-Hallett, Lucy. Heroes. Alfred A. Knopf, 2004.)

Sifat-sifat biasa

sunting
 
"Amazing Spider-Man" Vol. 2, #50 (April 2003). Seni kulit oleh J. Scott Campbell dan Tim Townsend
  • Kuasa dan kebolehan yang luar biasa, kemahiran yang relevan, dan/atau kelengkapan canggih. Sungguhpun kuasa adiwira berbeza-beza, kekuatan melebihi manusia biasa, kebolehan terbang dan peningkatan pancaindera amat laris didapati. Sebilangan adiwira, seperti Batman, The Question dan Captain America, sungguhpun tidak memiliki kuasa super namun telah menguasai kemahiran seperti seni mempertahankan diri dan sains forensik (akan tetapi, Captain America memiliki ketahanan melebihi manusia biasa dan keimunan daripada penyakit tertentu). Ada adiwira yang mempunyai kelengkapan khas, seperti sut perisai berkuasa elektrik milik Iron Man dan cincin kuasa Green Lantern.
  • Pegangan kuat pada kod moral, termasuk kesanggupan menggadai keselamatan diri demi kebaikan umum tanpa mengharapkan ganjaran. Kod sedemikian sering termasuklah mengelakkan diri daripada membunuh.
  • Sesuatu motivasi, seperti rasa bertanggungjawab (cth., Spider-Man), menyahut tuntutan formal (cth., Wonder Woman), dendam peribadi terhadap penjenayah (cth., Punisher), atau kepercayaan kuat terhadap keadilan dan khidmat kemanusiaan (cth. Superman).
  • Identiti rahsia yang melinduingi keluarga dan rakan-rakan adiwira daripada disasarkan oleh musuh adiwira itu (meskipun ada pengecualian seperti Fantastic Four), namun kebanyakan adiwira mempunyai seorang pemegang amanah (biasanya seorang rakan atau saudara-mara yang berjanji untuk menyimpan rahsia). Adanya adiwira yang menggunakan nama samaran yang bersifat penghuraian atau metafora bagi amalan awam mereka. Adanya juga adiwira yang sering menghadapi sesuatu pergelutan identiti, iaitu seolah-olah tidak pernah mengetahui identiti sebenar mereka (conthonyam Batman/Bruce Wayne: kedua-dua identiti memandang satu sama lain seperti watak yang berasingan - Wayne sering melihat Batman sebagai seorang lain, manakala Batman tidak pernah menggelar dirinya Wayne).
  • Kostum yang menarik dan tersendiri, sering digunakan untuk melitupi identiti rahsia.
  • Motif atau tema asas yang mempengaruhi nama, kostum, kesan peribadi dan aspek lain perwatakan seseorang wira (cth., Batman menyerupai kelawar gergasi, menamakan kereta khasnya yang juga bermotif kelawar, "Batmobile" dan menggunakan sebilangan alatan canggih yang bermula dengan awalan "bat").
  • Senjata unik, seperti "Lasso of Truth" milik Wonder Woman atau perisai Captain America.
  • Sekumpulan watak sampingan yang berulang alik, termasuk sahabat-handai, rakan sekerja atau teman cinta hero tersebut, sama ada mereka tahu atau tidak identiti rahsia wira itu. Biasanya hubungan peribadi hero ini dirumitkan oleh kehidupan dengan dua identiti, dan ini khususnya menjadi satu tema dalam cerita Spider-Man dan Batman.
  • Sebilangan musuh yang sering dilawan oleh wira itu, termasuk seorang musuh ketat yang lebih menyusahkan berbanding yang lain, biasanya musuh ketat ini merupakan tentangan kepada sifat wira itu (cth., Sabretooth memeluk naluri buasnya manakala Wolverine cuba mengawal naluri dirinya).
  • Kekayaan persendirian (cth., Batman atau pembantu X-Men, Professor X) atau pekerjaan yang membolehkan pemantauan minimum (cth., jelmaan Superman sebagai seorang wartawan).
  • Sesuatu markas operasi yang sering disembunyikan daripada pengetahuan awam (cth., Batcave milik Batman).
  • Sejarah awal yang menjelaskan bagaimana wira itu memperoleh kebolehannya serta sebab dia menjadi adiwira. Kebanyakan sejarah awal ini melibatkan unsur tragedi dan/atau kejadian ganjil yang mencetuskan perkembangan kebolehan wira tersebut.

Kebanyakan adiwira bekerja secara bersendirian. Namun, juga terdapat banyak pasukan adiwira. Sesetengah pasukan sedemikian, seperti Fantastic Four dan X-Men, memiliki asal-usul yang serupa dan sering bekerja secara berkumpulan. Pasukan yang lain, seperti Justice League dan Avengers, merupakan gagasan "bintang-bintang" yang terdiri daripada wira-wira yang berbeza asal-usulnya dan bekerja secara individu. Kewujudan perkongisn latar atau "alam" di Marvel, DC dan penerbit lain juga membolehkan gandingan yang kerap antara adiwira.

Sesetengah adiwira, terutamanya yang diperkenalkan pada 1940-an, bertugas bersama seorang pembantu (sidekick) muda (cth., Batman dan Robin, Captain America dan Bucky). Amalan ini kian jarang kerana karya yang lebih sofistikated dan pembaca yang lebih matang telah mendapati ancaman kepada kanak-kanak sebegini sukar diterima lalu mengurangkan perlunya watak yang menarik pembaca kanak-kanak. Pembantu sering dilihat sebagai klasifikasi adiwira yang berasingan.

Adirira paling kerap muncul dalam buku komik, dan cereka adiwira menjadi genre dominan dalam persada komik Amerika, sehingga istilah "superhero" dan "watak buku komik" disamakan di Amerika Utara. Setelah kembangnya populariti komik bukan adiwira berbanding cereka adiwira, serta kelarisan komik Jepun (manga), trend ini merosot secara perlahan-lahan [perlu rujukan]. Adiwira juga pernah ditampilkan dalam drama radio, novel prosa, siri televisyen, filem, dan media lain. Kebanyakan adiwira yang muncul di media lain sebenarnya diadaptasi dari komik, namun terdapat pengecualian (cth. Cicak-Man).

Marvel Characters, Inc. dan DC Comics berkongsi milikan cap dagang Amerika Syarikat bagi frasa "Super Hero" dan "Super Heroes" dan ekdua-dua syarikat ini turut memiliki majoriti adiwira paling terkenal dan berpengaruh di dunia. Daripada "Significant Seven" yang dipilih oleh The Comic Book in America: An Illustrated History (1989), Marvel memiliki Spider-Man, Captain America, The Fantastic Four, Hulk, dan Iron Man manakala DC memiliki Superman, Batman, Wonder Woman, Captain Marvel dan Plastic Man. Namun demikian, seperti mana yang dialami kebanyakan watak bukan Marvel yang popular pada 1940-an, Captain Marvel dan Plastic Man diambil alih oleh DC daripada penerbit yang gulung tikar.[6] Namun begitu, terdapat juga wira terkemuka yang dimiliki syarikat lain, terutamanya sejak 1990-an apabila berkembangnya Image Comics dan syarikat lain yang membenarkan pereka untuk mengekalkan kawalan cap dagang dan suntingan terhadap watak-watak mereka. Hellboy, Spawn dan Invincible merupakan antara wira milik pereka yang berjaya di pasaran.

Meskipun cereka adiwira dianggap sebentuk fantasi/sains fiksyen, namun cereka sedemikian telah merentasi banyak genre. Kebanyakan francais adiwira menyerupai cereka jenayah (Batman, Daredevil), cereka seram (Spawn, Spectre) atau sains fiksyen (Green Lantern, X-Men). Kebanyakan adiwira terawal, seperti The Sandman dan The Clock, berakar umbi dalam pulp fiction.

Di dalam alam cereka diri mereka, persepsi umum adiwira banyak berbeza. Adanya adiwira yang disanjung tinggi sebagai pemimpin sivik yang penting, seperti Superman dan Fantastic Four, manakala adiwira seperti Batman dan Spider-Man menghadapi keraguan atau peseteruan awam. Terdapat juga sebilangan kecil adiwira, seperti X-Men dan watak-watak Watchmen yang mempertahankan masyarakat yang syak wasangka dan bersikap dingin terhadap mereka.

Kelaziman di seluruh dunia

sunting
 
Contoh buku komik adiwira perempuan

Ada juga adiwira yang tersohor dari negara lain yang kebanyakannya berkongsi kebiasaan model Amerika. Contohnya Cybersix dari Argentina, Captain Canuck dari Kanada dan wira-wira AK Comics dari Mesir.

Filipina

sunting

Pada tahun 1947, pengarang/kartunis Filipina Mars Ravelo memperkenalkan adiwira wanita Asia yang pertama, iaitu Darna, seorang gadis desa Filipina yang menemui sebutir kerikil azimat mistik dari planet yang lain yang membolehkannya bertukar menjadi seorang wanita pahlawan yang dewasa. Darna merupakan adiwira wanita solo pertama di dunia yang ditampilkan dalam filem wayang cetera pada tahun 1951 dan telah menjadi satu institusi budaya di Filipina.

Jepun ialah satu-satunya negara yang menandingi AS dalam pengeluaran adiwira. Kebanyakan adiwira terawal negara ini memakai skarf sama ada sebagai pelengkap atau pengganti mantel dan juga memakai topi keledar sebagai ganti kepada topeng. Ultraman, Kamen Rider, Super Sentai (asas untuk Power Rangers), Metal Heroes dan Kikaider dipopularkan dalam rancangan TV live-action tokusatsu Jepun, manakala Science Ninja Team Gatchaman, Casshan, The Guyver, dan Sailor Moon menjadi kebiasaan anime dan manga. Namun begitu, kebanyakan adiwira Jepun tidak kekal lama. Sementara syarikat hiburan AS mengemaskini dan memperbaharui adiwira dengan harapan untuk mengekalkan populariti mereka selama mungkin, syarikat Jepun pula lebih cepat membersarakan yang lama dan memperkenalkan yang baru, biasanya secara tahunan, agar menyingkatkan barisan dagangan.[perlu rujukan] Tambahan pula, manga Jepun selalu menyasarkan pembaca perempuan, iaitu berbeza daripada komik AS, serta telah mereka jenis-jenis seperti "Mahou Shoujo" (cth. Cardcaptor Sakura) untuk golongan ini.

Di Nusantara

sunting

Indonesia

sunting

Gundala merupakan watak adiwira (atau "pahlawan super" sepertimana yang lazim dipakai di Indonesia) ciptaan Harya Suraminata yang muncul dalam siri komik Gundala Putra Petir yang terbit pada tahun 1960-an. Kemasyhuran watak ini mula dibangkit semula hasil penerbitan semula tahun 2000-an, yang lagi-lagi memuncak dengan filem Gundala arahan Joko Anwar pada Ogos 2019 di Indonesia.

Malaysia

sunting

Keluang Man ialah siri televisyen animasi adiwira Malaysia akhir 1990-an yang direka oleh Kamn Ismail dan banyak berasaskan rupa keluang. Keluang Man mengisahkan seorang penghuni rumah sakit jiwa yang menemui pakaian aneh yang dipakai tulang rangka lalu memakainya dan menggondol identiti Keluang Man dan berkeliaran di waktu malam dengan tujuan "menegakkan keadilan". Pemakaian adiwira ini serta pembantunya Tiongman, dan kebanyakan penyangak-penyangak dalam siri ini rata-rata merupakan parodi adiwira Amerika, Batman.

Cicak-Man diperkenalkan buat julung kalinya kepada rakyat Malaysia dalam filem cetera yang dikeluarkan pada tahun 2006. Filem terbitan KRU ini menyaksikan seorang pekerja makmal bernama Hairi (lakonan Saiful Apek) meraih kuasa luar biasanya apabila terminum kopi yang tercemar oleh cicak radioaktif yang lebur dalamnya, lalu mereka pakaian serba merah bersisik lalu berazam menentang kuasa kejahatan yang diketuai majikan makmal Hairi, iaitu Dr. Klon (Aznil Nawawi). Filem ini mencapai hasil kutipan RM5.2 juta di pawagam dan merupakan antara filem-filem yang paling berjaya dalam sejarah filem Malaysia terkini.[7]

Pada tahun 2011, diperkenalkannya watak adiwira kanak-kanak BoBoiBoy melalui sebuah siri televisyen animasi terbitan Animonsta Studios. BoBoiBoy mendapat kuasanya daripada sebuah robot dari angkasa lepas, yang mana dia boleh memanipulasi tiga elemen iaitu angin, tanah dan petir, serta berpecah menjadi tiga. Kawan-kawan terdekatnya juga mendapat kuasa super, maka bersama-sama mereka membentuk sebuah kumpulan adiwira muda yang mempertahankan dunia dari ancaman seekor makhluk asing bernama Adu Du yang hendak menawan bumi demi sumber koko.

Singapura

sunting

Salah satu watak adiwira terawal diciptakan di Singapura ialah Pluto-man yang muncul dalam komik The Valiant Pluto-man of Singapore (1983) karya Roger Wong diberikan kekuatan dan kelajuan luar biasa selepas ditembak sinaran elektron oleh makhluk asing dari Pluto. Pada 1985, pihak Pasukan Polis Singapura melancarkan watak Kapten V yang berperanan sebagai maskot Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan negara tersebut. [8]

United Kingdom

sunting

Adiwira United Kingdom mula muncul dalam Zaman Emas tidak lama selepas adiwira Amerika terawal menjadi laris di UK.[9] Kebanyakan wira British asli terhad dalam majalah komik antologi seperti Lion, Valiant, Warrior, dan 2000AD. Marvelman, atau Miracleman di Amerika Utara, mungkin sekali adiwira British asli yang paling terkenal (meskipun banyak berdasarkan Captain Marvel). Popular pada tahun 1960-an, pembaca British makin menggemari Marvelman dan pengarang-pengarang komik UK zaman sekarang yang bernama Alan Moore dan Neil Gaiman mengembalikan Marvelman dalam satu siri yang memperbaharui watak-wataknya dalam unsur yang lebih serius, iaitu pendekatan yang agak menonjol dalam wira British yang terbaru, seperti Zenith.

Rujukan

sunting
  1. ^ Per Lawrence Journal-World (March 17, 2006): "'V for Vendetta' is S for Subversive", by Jon Niccum, "The Dark Knight: Batman — A NonSuper Superhero", Gamespot: PS2 Games: Batman Begins Diarkibkan 2007-06-25 di Wayback Machine, Spotlight Comics Annual #2 (May 2002); "The Religious Affiliation of Comic Book Characters: Rev. Dr. Christopher Syn, the Scarecrow of Romney Marsh (one of the world's first masked crime-fighters)" (no date) Diarkibkan 2008-09-15 di Wayback Machine, and other sources.
  2. ^ "Superhero - Definition and More from the Free Merriam-Webster Dictionary". Diarkibkan daripada yang asal pada 5 November 2014. Dicapai pada 26 Mac 2016.
  3. ^ Monier-Williams, Monier (1981). A Sanskrit-English Dictionary. Delhi, Varanasi, Patna: Motilal Banarsidass. m/s. 20 – melalui Edi Sedyawati dkk (1994), m/s. 207.
  4. ^ Monier-Williams (1981). Ibid. m/s. 1005 - melalui Edi Sedyawati dkk (1994), m/s. 198-199
  5. ^ "'wira' - Maklumat Kata". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Dicapai pada 14 Januari 2020.
  6. ^ Benton, Mike. The Comic Book in America: An Illustrated History (Taylor Publishing: Dallas, Texas, 1989), pp. 178-181 Diarkibkan 2014-04-29 di Wayback Machine, reprinted at website Religious Affiliation of Comics Book Characters: "The Significant Seven: History's Most Influential Super-heroes" [sic]
  7. ^ Wahida Asrani (2007-01-03). "Erra bintang utama Cicak-Man 2?". [hhtp://mstar.com.my mSTAR Online]. External link in |publisher= (bantuan)[pautan mati kekal]
  8. ^ Lee, Jacqueline; Chiang Yu Xiang (Okt–Dis 2021). "Singapore Comics: Panels Past and Present". BiblioAsia. Jil. 17 no. 3. National Library Board. m/s. 4–11.CS1 maint: date format (link)
  9. ^ British Superheroes: The Forites
Sumber utama
  • Edi Sedyawati; Ellya Iswati; Kusparyati Boedhijono; Dyah Widjajanti D. (1994). Kosakata Bahasa Sanskerta dalam Bahasa Melayu Masa Kini. Jakarta, Indonesia: Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa. Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia.

Pautan luar

sunting