Pembiakan tampang

pembiakan aseks tumbuhan

Pembiakan tampang atau pembiakan vegetatif ialah sejenis pembiakan aseks bagi tumbuhan yang mana tumbuhan baru tumbuh daripada fragmen atau keratan pokok induk, atau struktur pembiakan yang terubah suai.[1][2] Melalui proses ini, tumbuhan dapat membiak tanpa memerlukan biji benih atau spora.[3][4] Genetik anak pokok sama dengan induk.

Pertumbuhan anak baru di sepanjang birai daun setawar padang, Kalanchoe pinnata.
Kalanchoe daigremontiana membentuk anak benih di sepanjang birai daun. Setelah matang, ia akan gugur dan mengakar pada mana-mana tanah subur di bawahnya.
Pembiakan tampang keratan batang berusia kurang daripada seminggu. Beberapa spesies lebih sesuai dengan kaedah ini berbanding yang lain.
Keladi liar membiak secara tampang melalui pembentukan umbisi dan sulur.

Banyak tumbuhan boleh membiak secara semula jadi melalui kaedah ini, namun turut berlaku secara buatan. Pakar hortikultur mengembangkan teknik pembiakan tampang yang memakai propagul tampang untuk mereplikakan tumbuhan. Kadar kemenjadian dan kesukaran pembiakan ini amat berubah-ubah. Monokotiledon selalunya tiada kambium pembuluh, menjadikannya lebih sukar dibiakkan.

Kebaikan dan keburukan sunting

Pembiakan tampang ialah pembiakan yang menggunakan bahagian-bahagian tampang tumbuhan seperti akar, batang dan daun untuk memperbanyakkan tumbuhan yang sama dengan induknya. Tumbuh-tumbuhan yang dihasilkan secara demikian dipanggil "klon". Bahagian-bahagian tampang ini menarik lantaran setiap selnya mewakili pokok induk keseluruhannya. Oleh itu, pokok yang dibiakkan lebih seratus tahun dahulu sama dengan yang dibiakkan sekarang. Di Malaysia, industri tanaman buah naga (atau pitaya) hampir musnah akibat serangan penyakit Erwinia kerana anak benih yang digunakan semuanya daripada keratan sama yang mudah diserang penyakit.[5]

Kebaikan sunting

Kebaikan-kebaikan pembiakan tampang adalah boleh mendapatkan anak pokok yang seragam dan sama (true-to-type) dengan tumbuhan asal, dengan ciri-ciri anak pokok yang menyamai induknya. Tumbuhan lebih cepat berbunga atau berbuah dan boleh dibiakkan sepanjang tahun; kebanyakkannya akan tumbuh 3-5 tahun lebih awal berbanding penanaman secara biji benih. Selain itu, pembiakan tampang boleh dibuat dengan jumlah yang banyak dalam satu-satu masa dan sesuai untuk tujuan pertanian komersial. Kaedah ini juga dapat digunakan untuk membiakkan tumbuhan yang tidak mengeluarkan biji benih banyak dan bernas, termasuk tumbuhan yang sukar dibiakkan semacam anggerik yang mempunyai biji yang terlalu halus dan pokok yang mempunyai kedormanan tinggi.[5][6]

Keburukan sunting

Terdapat beberapa kelemahan atau keburukan dalam pembiakan tampang iaitu bukan semua jenis tumbuhan dapat dibiakkan dengan kaedah ini. Kadang-kadang, berlaku kejadian di mana pemindahan penyakit lebih mudah terjadi terutama berkaitan serangan virus. Kaedah pembiakan tampang ini juga memerlukan kemahiran teknikal yang agak rumit dan perkakasan khas.[5] Atas ketiadaan akar tunjang, pokok yang dibiakkan melalui kaedah keratan batang atau tut mudah untuk tumbang.[6]

Kaedah dan jenis sunting

Terdapat dua jenis pembiakan tampang iaitu secara semula jadi dan buatan. Kaedah ini bergantung kepada sifat semula jadi tumbuhan tersebut dan kesesuaiannya.[5]

Kaedah Semula jadi sunting

Tumbuhan membiak secara sejadi dan buatan. Kaedah pembiakan tampang paling biasa melibatkan pembentukan tumbuhan baru daripada struktur mengkhusus tumbuhan matang. Bagi akar liar (adventitious roots), iaitu akar yang muncul daripada struktur tumbuhan selain akar semacam batang dan daun, batang, daun dan akar yang terubah suai memainkan peranan penting dalam kemampuan tumbuhan untuk membiak secara sejadi. Batang, daun dan akar terubah suai yang membenarkan pembiakan tampang ialah:[7]

Rayapan (runner) sunting

Turut disebut "stolon", rayapan atau batang rayap ini ialah batang terubah suai yang tumbuh daripada batang nyata di bawah tanah, berlainan dengan rimpang. Apabila mereka membiak, tunas pada batang terubah suai akan mengeluarkan batang. Tunas itu lebih terasing berbanding yang ditemukan pada rimpang.[8]

Contoh tumbuhan yang mengeluarkan rayapan ialah strawberi dan spesies rumput.

Bebawang (bulb) sunting

Bebawang ialah keratan membengkak batang yang terletak di pusat tumbuhan baru. Mereka selalunya tertanam dan dilitupi daun tebal dan berlapis yang menyediakan makanan untuk tumbuhan baru.[9]

Contoh tumbuhan dengan bebawang ialah bawang putih, bawang merah, bakung dan tulip.

Umbi (tuber) sunting

Umbi berkembang daripada sama ada batang ataupun akar. Umbi batang tumbuh daripada rimpang atau rayapan bengkak yang menyimpan makanan sedangkan umbi akar berkembang daripada akar yang terubah suai untuk menyimpan makanan, dan terus membesar lalu membentuk tumbuhan baru.[8]

Contoh umbi batang ialah kentang dan ubi, sebaliknya umbi akar pula ialah keledek dan bunga sarang tebuan.

Rimpang (rhizome) sunting

Rimpang ialah batang yang menjalar di bawah permukaan tanah dan tumbuh sebagai pokok baru.[perlu rujukan]

Contoh tumbuh dengan rimpang ialah halia, kunyit dan asparagus.

Umbisi (corm) sunting

Umbisi ialah keratan batang berbuku-buku yang menyimpan makanan dalam tisu lembut dan pejal, dan dilitupi daun bak kertas. Umbisi dibandingkan dengan bebawang dengan isinya terdiri daripada tisu pejal, sebaliknya bebawang terdiri daripada lapisan daun.[10]

Contoh tumbuhan yang mengeluarkan umbisi ialah Gladiolus dan talas.

Sulur (sucker) sunting

Turut disebut "tunas akar", sulur ialah batang tumbuhan yang timbul daripada tunas pada dasar batang atau akar tumbuhan induk.[11]

Contoh tumbuhan yang mempunyai sulur ialah epal, keladi dan pisang.

Anak tumbuhan (plantlet) sunting

Anak tumbuhan ialah struktur kecil yang muncul dari birai daun, yang mampu membentuk akar dan terpisah dari daun tumbuhan induk.[12]

Contoh tumbuhan yang mengeluarkan anak ialah Kalanchoe daigremontianum, yang turut disebut setawar.

Anakan (keiki) sunting

Anakan ialah tunas tambahan yang terbentuk pada tangkai tampang atau tangkai bunga beberapa genus anggerik.[13]

Contoh tumbuhan yang mengeluarkan anakan ialah anggerik genus Phalaenopsis, Epidendrum, dan Dendrobium.

Benih dara[a] (apomixis) sunting

Apomixis ialah pembiakan aseks melalui benih tanpa melibatkan meiosis dan persenyawaan, membentuk klon anak berinduk betina.[14]

Contohnya dapat ditemukan pada rumput spesies Poa bulbosa.

Kaedah buatan sunting

Pembiakan tampang kultivar tertentu yang ada ciri-ciri idaman ialah amalan biasa. Ia dilakukan oleh petani dan pakar hortikultur untuk mengeluarkan tanaman yang lebih baik dengan kualiti terpilih. Kaedah paling umum dalam pembiakan tampang buatan ialah:[7]

Keratan (cutting) sunting

Keratan tumbuhan, selalunya batang dan daun, dipotongkan dan ditanam. Akar liar tumbuh daripada keratan dan tumbuhan baru akan terbentuk. Selalunya keratan itu akan diberikan hormon sebelum ditanam untuk mempercepatkan pertumbuhan.[15] Contohnya ros dan bunga raya.

Cantuman (grafting) sunting

Cantuman melibatkan penyambungan mata tunas (scion) atau keratan terpilih pada batang tumbuhan lain yang disebut pokok penanti, yang sedia berakar dalam tanah. Kesudahannya, kededua sistem tisu akan tercantum atau bersepadu, dan pokok dengan ciri-ciri tumbuhan cantuman terbentuk.[16] Contohnya pauh dan jambu batu.

Terdapat tiga jenis cantuman:[5]

  1. Cantuman tunas atau cantuman dekatan – menyandingkan dua anak benih dan mengikis bahagian kambium di kedua-dua batang anak benih.
  2. Cantuman mata tunas – mencatumkan mata tunas dengan pokok penanti.
  3. Cantuman belahan (cleft budding) – pokok penanti dibelah dua untuk disisipkan mata tunas.

Perlapisan (layering) sunting

Perlapisan ialah proses melibatkan lenturan dahan atau batang tumbuhan agar ia menyentuh tanah dan ditutupkan dengan tanih. Akar liar terbentuk daripada keratan tumbuhan yang tertimbus, yang disebut "lapisan". Kaedah pembiakan tampang ini berlaku secara sejadi. Kaedah lain yang sama iaitu pengetutan melibatkan pengikisan dan penanaman ulang dahan tumbuhan yang akan membentuk pokok.[17]

Terdapat empat jenis lenturan:[5]

  1. Lenturan pucuk (tip layerage)
  2. Lenturan busut
  3. Lenturan peparitan
  4. Lenturan udara atau pengetutan – kambium pokok dikikis dan dibalutkan dengan kepalan tanah.

Kultur tisu sunting

Dalam kultur tisu, sel tumbuhan diambil daripada banyak bahagian tumbuhan lalu dikultur dan dipupukkan dalam wadah yang steril.[b] Sekelompok tisu hidup yang disebut kalus dikulturkan dalam wadah yang sarat hormon dan kemudian berkembang menjadi anak benih yang akan ditanam dan langsung berkembang menjadi tumbuhan hidup.[18]

Catatan sunting

  1. ^ Gabungan kata daripada benih, "biji buah kecil" dan dara, "belum me­lakukan persetubuhan, tidak bersenyawa", merujuk pada ciri benihnya yang terbentuk.
  2. ^ Dibiarkan tumbuh dan berkembang dalam bekas yang bebas sepenuhnya daripada mikroorganisma.

Rujukan sunting

  1. ^ "vegetative reproduction"". Istilah Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 2022-06-23.
  2. ^ "vegetative propagation". Istilah Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 2022-06-23.
  3. ^ Britannica, The Editors of Encyclopaedia (1 Mei 2022). "vegetative reproduction". Encyclopedia Britannica. Dicapai pada 23 Jun 2022.
  4. ^ RRB, Leakey (31 Disember 2004). "Physiology of vegetative reproduction". Encyclopedia of Forest Sciences. doi:10.1016/B0-12-145160-7/00108-3. Dicapai pada 4 Januari 2022.
  5. ^ a b c d e f Dato' Mohd Anim Hosnan (29 Ogos 2010). "PEMBIAKAN TAMPANG TUMBUHAN". Anim Agro Technology. Dicapai pada 2022-06-23.
  6. ^ a b Nurul Hazimah binti Mat Isa (2018). Pembiakkan Tumbuhan. Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti. m/s. 24-25. ISBN 978-967-0823-64-5.
  7. ^ a b Forbes, James C.; Forbes, Jim C.; Watson, Drennan (1992-08-20). Plants in Agriculture. Cambridge University Press. ISBN 9780521427913.
  8. ^ a b Hickey, Michael; King, Clive (2000-11-16). The Cambridge Illustrated Glossary of Botanical Terms. Cambridge University Press. ISBN 9780521794015.
  9. ^ Kawasaki, Maria Lucia (1991-07-01). "Plant form. An illustrated guide to flowering plant morphology. By Adrian D. Bell". Brittonia. 43 (3): 145. doi:10.2307/2807042. ISSN 0007-196X. JSTOR 2807042.
  10. ^ Pate, J. S.; Dixon, Kingsley Wayne (1982). Tuberous, cormous and bulbous plants : biology of an adaptive strategy in Western Australia (dalam bahasa Inggeris). Nedlands, W.A. : University of Western Australia Press. ISBN 978-0855642013.
  11. ^ Oliver, Chadwick Dearing (1980-01-01). "Forest development in North America following major disturbances". Forest Ecology and Management. 3: 153–168. doi:10.1016/0378-1127(80)90013-4. ISSN 0378-1127.
  12. ^ Roest, S.; Bokelmann, G.S. (1975-12-01). "Vegetative propagation of Chrysanthemum morifolium Ram. in vitro". Scientia Horticulturae. 3 (4): 317–330. doi:10.1016/0304-4238(75)90046-1. ISSN 0304-4238.
  13. ^ Zotz, Gerhard (1999). "Vegetative propagation in an epiphytic orchid occurrence and ecological relevance" (PDF). Ecotropica. 5.
  14. ^ Spillane, Charles; Curtis, Mark D; Grossniklaus, Ueli (June 2004). "Apomixis technology development—virgin births in farmers' fields?". Nature Biotechnology. 22 (6): 687–691. doi:10.1038/nbt976. ISSN 1546-1696. PMID 15175691. S2CID 656911.
  15. ^ Ofori, D.A.; Newton, A.C.; Leakey, R.R.B.; Grace, J. (1996-08-01). "Vegetative propagation of Milicia excelsa by leafy stem cuttings: effects of auxin concentration, leaf area and rooting medium". Forest Ecology and Management. 84 (1–3): 39–48. doi:10.1016/0378-1127(96)03737-1. ISSN 0378-1127.
  16. ^ "Kumar, G. (2011). "Propagation of Plants by Grafting and Budding" (PDF). Pacific Northwest Extension. m/s. 3–5" (PDF).
  17. ^ "Indiana Yard and Garden – Purdue Consumer Horticulture - Purdue University". Indiana Yard and Garden - Purdue Consumer Horticulture (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-04-20.
  18. ^ Reilly, Kathryn (4 April 1977). "VEGETATIVE PROPAGATION OF RADIATA PINE BY TISSUE CULTURE: PLANTLET FORMATION FROM EMBRYONIC TISSUE" (PDF). Forest Research Institute, New Zealand Forest Service, Rotorua. 7: 199–206.

Lihat juga sunting