Kalendar Cina
Kalendar Cina (bahasa Inggeris: Chinese calendar ) merupakan takwim lunisolar, iaitu sama jenis dengan takwim Ibrani dan kalendar Hindu, yang menggabungkan unsur takwim qamari dengan takwim suria. Di negara China sekarang, takwim Gregorius digunakan untuk kebanyakan kegiatan harian, namun kalendar Cina masih digunakan untuk menanda perayaan orang Cina tradisi seperti Tahun Baru Cina, perayaan Duan Wu, dan Perayaan Kuih Bulan, serta dalam bidang astrologi, seperti memilih tarikh sesuai untuk melangsungkan perkahwinan atau merasmikan pembukaan bangunan baru. Oleh sebab setiap bulan mengikuti satu kitaran bulan, kalendar ini juga digunakan untuk menentukan fasa kitaran bulan.
Di China, kalendar tradisional ini dikenali sebagai "kalendar pertanian" manakala kalendar Gregorian dikenali sebagai "kalendar umum" atau "kalendar Barat". Satu lagi nama bagi kalendar Cina ialah "kalendar Yin" yang dipetik daripada rujukan kepada aspek kitaran bulan kalendar ini, manakala kalendar Gregorian dipanggil "kalendar Yang" yang merujuk kepada aspek kitaran matahari. Kalendar Cina juga bergelar "kalendar lama" (Cina Tradisional: 舊曆 , Cina Ringkas: 旧历 , pinyin: jìulì) setelah "kalendar baru" (Cina Tradisional: 新曆 , Cina Ringkas: 新历 , pinyin: xīnlì), iaitu kalendar Gregorian digunakan sebagai kalendar rasmi. Kalendar tradisi juga merujuk kepada "Kalendar Xia"; namun, kalendar Xia secara tepatnya tidak merujuk kepada kalendar Cina ini, sebaliknya merujuk kepada satu kalendar yang pernah digunakan oleh kaum Cina sebelum ini.
Sejarah
suntingPermulaan berlegenda
suntingMenurut legenda, kalendar Cina berkembang sejak alaf ketiga sebelum Masihi. Para pengkaji mengiktiraf kalendar Cina sebagai takwim yang paling lama masih digunakan di dunia. Kalendar ini dikatakan adalah ciptaan pemerintah sulung yang legenda, Huang Di atau Maharaja Kuning, yang memerintah, sekitar 2698-2599 SM. Pemerintah legenda keempat, Maharaja Yao, menambahkan bulan lompat dalam kalendar ini. Kitaran "batang-dahan"60 tahun mula digunakan untuk menandakan hari-hari sewaktu alaf kedua sebelum Masihi. Tradisi menetapkan tahun pertama dalam kitaran pertama pada 2637 AD (rujuk Herbert A. Giles, A Chinese-English Dictionary (1912), dan pengarang Barat lain yang mengarang sewaktu penghujung dinasti Qing). Maka kitaran yang bermula pada 1984 adalah kitaran yang ke-78. Ada yang menetapkan tahun asalan tersebut pada 2697 SM (ketika Huang Di masih belum dewasa), menjadikan kitaran ini yang ke-79.
Sejarah awal
suntingBukti arkeologi terawal mengenai kalendar Cina muncul pada tulang ramalan pada alaf kedua sebelum Masihi dinasti Shang yang memaparkan tahun lunisolar yang lazimnya 12 bulan namun kadang-kadang adanya bulan ke-13, lebih-lebih lagi bulan ke-14. Menambahkan bilangan bulan dalam tahun kalendar memastikan peristiwa tahun baru tetap dilangsungkan dalam satu musim sahaja, sepertimana takwim Gregorius meletakkan satu hari tambahan pada bulan Februari setiap empat tahun.
Catatan Zhou Timur awal, seperti Sejarah Musim Bunga dan Musim Luruh, memberikan pemahaman yang lebih bagus mengenai kalendar yang digunakan ketika Dinasti Zhou. Setahun biasanya ada 12 bulan, yang lamanya 29 dan 30 hari berselang-seli (dengan satu hari tambahan dari masa ke semasa bagi mengejar "perpisahan" antara kalendar dan kitaran bulan sebenar), dan bulan lompat juga ditambah secara sembarangan pada akhir tahun.
Hukum-hukum sembarangan pada interkalasi hari dan bulan menyebabkan kalendar setiap negeri kadang-kadang sedikit berbeza. Maka, catatan seperti Sejarah tersebut selalunya akan menentukan sama ada kalendar yang digunakan (kalendar Lu) serentak dengan kalendar Diraja (yang digunakan raja-raja Zhou).
Walaupun tradisi menyatakan bahawa dalam negeri Zhou, setahun bermula pada anak bulan sebelum solstis musim sejuk, Sejarah Musim Bunga dan Musim Luruh nampaknya menunjukkan bahawa (sekurangnya di Lu) kalendar Yin (yang digunakan ketika dinasti Shang, dengan tahunnya bermula pada anak bulan pertama selepas solstis musim sejuk) digunakan sehingga pertengahan abad ke-7, dan bahawa permulaan setahun beralih sebulan ke belakang sekitar tahun 650 SM.
Menjelang tercetusnya Zaman Negeri-negeri Berperang, perkembangan dalam astronomi dan matematik membolehkan penciptaan kalendar terkira (yang mana bulan dan hari lompatditentukan melalui satu panduan tertenu, dan bukannya secara sembarangan). Kalendar sìfēn 四分 (baki suku) yang bermula sekitar 484 BC, adalah kalendar Cina terkira yang pertama, dan bernama demikian kerana menggunakan tahun suria 365¼ hari, disamping Hukum Kitaran 19 tahun (235 bulan) yang dikenali di Barat sebagai kitaran Metonik. Setahun bermula pada anak bulan sebelum solstis musim sejuk, dan bulan lompat dimasukkan pada akhir tahun.
Pada 256 SM, apabila raja Zhou terakhir menyerahkan wilayah baginda ke negeri Qin, satu kalendar baru (iaitu kalendar Qin) mula digunakan, mengikut prinsip-prinsip yang sama seperti kalendar Sifen, kecuali setahun bermula sebulan lebih awal (anak bulan kedua terakhir sebelum solstis musim sejuk, yang kini jatuh pada bulan kedua setahun). Kalendar Qin digunakan ketika dinasti Qin dan awal dinasti Han Barat.
Kalendar Taichu
suntingMaharaja Wu dinasti Han Barat memperkenalkan pembaharuan yang telah menentukan kalendar Cina semenjak itu. Dalam kalendar Tàichū 太初 (Permulaan Besar) baginda pada tahun 104 SM, dalam setahun solstis musim sejuk jatuh pada bulan sebelas dan mana-mana bulan (29 atau 30 hari) ditetapkan sebagai bulan lompat apabila matahari tidak menghabiskan tempoh utama (iaitu, kekal dalam bitnang zodiak yang sama keseluruhannya). Oleh sebab pergerakan min matahari digunakan untuk menghitung jiéqì (Cina Tradisional: 節氣 , Cina Ringkas: 节气 ) (atau petanda bermusim) sehingga tahun 1645, bulan lompat ini boleh jatuh pada mana-mana bulan secara sama rata pada setahun. Gabungan matahari dan bulan (anak bulan astronomi) dihitung berpandukan gerakan min kedua-dua matahari dan bulan sehingga tahun 619, iaitu tahun kedua dinasti Tang, apabila pakar kronologi mula menggunakan gerakan sebenar berasaskan dua parabola yang saling mengimbangi (dengan komponen linear dan kubik kecil). Malangnya, parabola-parabola ini tidak bertemu pada gerakan min dengan lancarnya, sebaliknya bertemu dengan ketakselanjaran.
Matahari dan bulan sebenar
suntingDengan pengennalan astronomi Barat ke China melalui golongan Jesuit, gerakan kedua-dua matahari dan bulan mula dihitung dengan sinusoid untuk kalendar Shíxiàn (時憲書 , Buku Keakuran Masa) 1645 pada dinasti Qing yang direka oleh Jesuit Adam Schall. Kali ini, gerakan matahari sebenar digunakan untuk menghitung jiéqì, yang menyebabkan bulan lompat sering terjadi antara bulan kedua hingga kesembilan, tetapi jarang selepas bulan kesepuluh hingga bulan pertama. Sebilangan kecil tempoh musim luruh-sejuk mempunyai satu atau dua bulan kalendar yang mana matahari memasuki dua bintang zodiak, diselangi dua atau tiga bulan kalendar yang mana matahari kekal dalam satu bintang.
Minggu
suntingBiasanya, hari-hari dalam seminggu diberi nombor dan dikenali sedemikian; Isnin ialah hari pertama seminggu, Selasa ialah hari ke-2, Rabu ialah hari ke-3, Khamis ialah hari ke-4, Jumaat ialah hari ke-5, dan Sabut ialah hari ke-6. Ahad pula ialah hari Matahari dan oleh itu adalah satu-satunya hari yang tidak bersinambung dengan corak penamaan hari seminggu. Nombor-nombor hari Isnin hingga Sabtu adalah sama dengan ISO 8601. Oleh sebab kebelakangan ini ramai warga China mengambil kelepasan pada hari Ahad setiap minggu, maka Isnin dijadikan hari pertama seminggu seiring dengan amalan industri dan komersial biasa, namun banyak kalendar China menandakan hari Ahad sebagai hari pertama seminggu.
Pembaharuan Gregorian dan perubahan waktu 1929
suntingTakwim Gregorius diterima oleh pemerintah Republik China yang baru ditubuhkan pada 1 Januari 1912 untuk urusan rasmi, namun rakyat jelata masih memakai kalendar tradisional. Status takwim ini kurang jelas antara tahun 1916 dan 1921 apabila China dikuasai oleh beberapa panglima perang bermusuhan yang disokong kuasa kolonial asing. Sejak tahun 1921 hingga 1928 panglima-panglima ini masih merebut China utara, namun kerajaan Kuomintang mengawal China selatan dan memakai takwim Gregorius. Setelah Kuomintang menyusun semula pemerintahan Republik China pada 10 Oktober 1928, takwim ini diterima secara rasmi bermula pada 1 Januari 1929. Dengan ini, zon waktu untuk seluruh negara disuaikan kepada zon waktu pantai yang selama ini digunakan di pelabuhan perjanjian Eropah sepanjang pantai China sejak tahun 1904. Ini mengubah permulaan setiap hari kalendar, bagi kalendar tradisonal dan Gregorius, dengan menambah 14 minit dan 26 saat dari tengah malam Beijing ke tengah malam di longitud 120° di timur Greenwich.
Hal ini bagaimanapun menimbulkan beberapa kemusykilan, seperti ketika Perayaan Kuih Bulan tahun 1978 di mana anak bulan dilihat pada 3 September 1978, pada jam 00:07 Waktu Piawai China[1]. Menurut zon waktu Beijing lama, anak bulan terjadi pada jam 23:53 pada 2 September, maka bulan kelapan qamari bermula pada hari yang berbeza pada kalendar. Maka penduduk Hong Kong (yang memakai kalendar tradisional) menyambut perayaan ini pada 16 September, manakala penduduk tanah besar merayakan perayaan tersebut pula pada 17 September.[2]
Hukum kalendar
suntingHukum-hukum berikutnya menggariskan kalendar Cina sejak kira-kira 104 SM.
- Bulan-bulan dalam kalendar ini merupakan bulan qamari. Ini bermakna hari pertama setiap bulan yang bermula pada tengah malam ialah hari bulan baru secara astronomi. (Adalah diingatkan bahawa, meskipun begitu, satu "hari" dalam kalendar Cina mula pada pukul 11 malam dan bukannya 12 malam.)
- Setiap tahun ada 12 bulan biasa, yang diberi nombor mengikut susunan (1 hingga 12) dan juga mempunyai nama alternatif. Setiap tahun kedua atau ketiga mempunyai bulan lompat (Cina Tradisional: 閏月 , Cina Ringkas: 闰月 , pinyin: rùnyuè) yang muncul selepas mana-mana bulan biasa. Bulan lompat itu diberi nombor sama bulan biasa sebelumnya, namun ditempatkan secara interkalari.
- Setiap jiéqì dalam tahun solar Cina bersamman dengan kemasukan matahari kepada satu lambang zodiak tropika (satu tempoh atau bucu utama).
- Matahari sentiasa melalui solstis musim sejuk (memasuki Capricorn) pada bulan ke-11.
- Jika terdapat 12 bulan antara dua kejadian bulan ke-11 berturut-turut, sekurang-kurangnya satu daripada 12 bulan itu mestilah bulan penuh yang dilalui matahari yang kekal dalam lambang zodiak yang sama (tiada tempoh atau bucu utama muncul dalamnya). Jika hanya satu bulan sebegini terjadi, maka bulan tersebut dijadikan bulan lompat, jika dua bulan sebegini terjadi pula, hanya bulan pertama dijadikan bulan lompat.
- Waktu-waktu bulan baru astronomi dan matahari memasuki lambang zodiak baru ditentukan dalam Zon Masa Cina oleh Balai Cerap Gunung Ungu (紫金山天文台 Zǐjīnshān Tiānwéntái) di pinggir kota Nanjing menggunakan persamaan astronomi moden.
Lambang zodiak yang dimasuki matahari dalam satu-satu bulan dan longitude ekliptik tanda kemasukan itu biasanya menentukan nombor susunan bulan biasa itu. Bulan Pertama, zhēngyuè, secara harfiah bermaksud bulan utama. Bulan-bulan yang selebihnya diberi nombor susunan, iaitu bulan ke-2, bulan ke-3, dan sebagainya.
# | Nama Cina | Longitud | Lambang Zodiak |
---|---|---|---|
11 | 十一月 shíyīyuè | 270° | Capricorn |
12 | 十二月 shí'èryuè | 300° | Aquarius |
1 | 正月 zhēngyuè | 330° | Pisces |
2 | 二月 èryuè | 0° | Aries |
3 | 三月 sānyuè | 30° | Taurus |
4 | 四月 sìyuè | 60° | Gemini |
5 | 五月 wǔyuè | 90° | Cancer |
6 | 六月 liùyuè | 120° | Leo |
7 | 七月 qīyuè | 150° | Virgo |
8 | 八月 bāyuè | 180° | Libra |
9 | 九月 jiǔyuè | 210° | Scorpio |
10 | 十月 shíyuè | 240° | Sagittarius |
Ada yang percaya bahawa kesamaan tersebut sebagai sentiasa benar, namun terdapat pengecualian. Misalnya, Tahun Baru Cina tidak semestinya jatuh pada bulan baru kedua selepas solstis musim sejuk, atau selepas jieqi Air Hujan. Satu pengecualian bakal terjadi pada 2033-2034, apabila solstis musim sejuk menjadi jieqi kedua dalam bulan ke-11. Bulan selepasnya ialah bulan tanpa kemasukan dan maka dijadikan bulan lompat, dan satu bulan ke-12 menyusul dengan kedua-dua jieqi Aquarius dan Pisces (dingin besar dan air hujan). Maka, Tahun Harimau bermula pada bulan baru ketiga selepas solstis musim sejuk, dan juga terjadi selepas jieqi Pisces (air hujan), pada 19 Februari.
Satu lagi peristiwa seumpamanya adalah pada tahun 1984-85, setelah matahari memasuki Capricorn pada 270° dan Aquarius pada 300° pada bulan 11, kemudiannya memasuki Pisces pada 330° pada bulan seterusnya, yang sepatutnya menyebabkan bulan itu menjadi bulan 1. Matahari tidak memasuki apa-apa bintang zodiak pada bulan selepasnya. Untuk mengekalkan solstis musim sejuk pada bulan 11, bulan yang sepatutnya bulan 1 menjadi bulan 12, dan bulan selepasnya menjadi bulan 1, menyebabkan Tahun Baru Cina jatuh pada 20 Februari 1985 selepas matahari sudah melalui Pisces pada 330° pada bulan sebelumnya, dan bukannya pada bulan yang bermula pada hari itu.
Takwim-takwim qamari Cina dan Gregorius selalu selari balik setiap 19 tahun (kitaran Metonik). Kebanyakan orang Cina mendapati bahawa hari jadi Cina dan Barat mereka sering jatuh pada hari yang sama pada hari jadi ke-19, ke-38 dan sebagainya. Namun begitu, kitaran 19 tahun dengan satu set bulan lompat tertentu hanyalah satu anggaran, jadi suatu corak bulan lompat yang hampir seiras dalam kitaran berikutnya akan berubah jua setelah suatu gandaan 19 tahun ke kitaran 19 tahun yang agak berbeza.
Zodiak Cina hanya digunakan untuk menamakan tahun dan tidak digunakan dalam penghitungan sebenar kalendar. Sebenarnya, fahaman Cina mempunyai sistem buruj yang berbeza sekali.
Kesemua 12 bulan berkait rapat dengan pertanian, maka juga dinamakan sempena tumbuhan:
- Primens (bulan pertama) 正月 : Bahasa Latin primus mensis.
- Apricomens (bulan aprikot) 杏月 : Pokok aprikot berbunga.
- Peacimens (bulan pic) 桃月 : Pokok pic berbunga.
- Plumens (bulan plum) 梅月 : Buah mei masak.
- Guavamens (bulan delima) 榴月 : Pokok delima berbunga.
- Lotumens (bulan teratai) 荷月 : Pokok teratai berbunga.
- Orchimens (bulan anggerik) 蘭月 : Pokok anggerik berbunga.
- Osmanthumens (bulan osmanthus) 桂月 : Pokok osmanthus berbunga.
- Chrysanthemens (bulan kekwa) 菊月 : Pokok kekwa berbunga.
- Benimens (bulan bagus) 良月 : Bulan bagus.
- Hiemens (bulan musim sejuk) 冬月 : Bulan musim sejuk.
- Lamens (bulan akhir) 臘月 : Bulan terakhir.
Penandaan tahun
suntingTahun pemerintahan
suntingTahun-tahun Cina tradisional tidak dinomborkan secara berterusan seperti mana sistem Masihi/Sebelum Masihi. Biasanya, pengiraan tahun rasmi sentiasa menggunakan suatu bentuk tahun pemerintahan. Sistem ini bermula pada tahun 841 SM ketika dinasti Zhou. Sebelum ini, tahun tidak ditandakan langsung, maka peristiwa bersejarah tidak dapat ditentukan tarikh tepatnya.
Pada tahun 841 SM, Raja Li Hu dari Zhou (周厲王胡 ) digulingkan oleh pemberontakan orang awam (國人暴動 ), dan pada 14 tahun berikutnya negara ditadbir oleh satu majlis menteri kanan dalam satu tempoh yang dikenali sebagai Keregenan (共和行政 ). Pada zaman ini, tahun-tahun ditanda sebagai Tahun Pertama, Ke-2, Ke-3, dsb. Keregenan.
Kemudiannya, tahun-tahun ditanda sebagai tahun pemerintahan, cth. tahun 825 SM ditandai sebagai Tahun ke-3 Raja Xuan dari Zhou (周宣王三年 ). Sistem ini digunakan sehingga awal dinasti Han, apabila Maharaja Wen dari Han (漢文帝劉恒 ) memperkenalkan nama pemerintahan. Selepas ini, kebanyakan maharaja menggunakan satu atau lebih nama pemerintahan untuk menandakan pemerintahan mereka. Biasanya, maharaja memperkenalkan nama baru apabila naik takhta, kemdian beralih ke nama baru untuk menandakan peristiwa penting, atau menamatkan apa yang dipercayai sebagai kitaran nasib malang. Namun, pada dinasti Ming, setiap maharaja biasanya hanya memakai satu nama pemerintahan bagi pemerintahan mereka. Pada dinasti Qing, setiap maharaja hanya memakai satu nama untuk pemerintahan mereka.
Sistem ini berterusan sehingga Republik China diasaskan, di mana pemenritahan tersebut mengira tahun penubuhannya sebagai Tahun Republik mulai tahun 1912. Oleh itu, 1912 ialah Tahun Pertama Republik, manakala tahun 1949 ialah Tahun ke-38. Sistem ini masih digunakan untuk tujuan rasmi di Taiwan. Bagi tempat-tempat lain di China, pada tahun 1949 Republik Rakyat China memilih sistem Common Era (iaitu sama dengan Masihi/Sebelum Masihi), seiring dengan piawaian antarabangsa.
Kitaran batang-dahan
suntingSistem penandaan tahun bersejarah yang lain di China merupakan yang brasaskan kitaran 60 tahun batang-dahan. Sistem ini berasaskan dua bentuk perhitungan: satu kitaran 10 Batang Samawi dan satu kitaran 12 Dahan Duniawi. Setiap tahun dinamakan sempena pasangan satu batang dan satu dahan (干支 gānzhī). Batang Samawi dihubungkan dengan Yin Yang dan Lima Unsur. Kitaran 10 tahun terkini bermula pada tahun 1984, 1994, dan 2004. Dahan Duniawi pula berkaitan dengan 12 bintang Zodiak Cina. Setiap Dahan Duniawi juga dikaitan dengan sejenis haiwan, sama-sama dikenali sebagai 12 Haiwan. Kitaran 12 ahun terkini bermula pada tahun 1984, 1996 dan 2008.
Oleh sebab nombor 10 (Batang Samawi) dan 12 (Dahan Duniawi) mempunyai faktor sepunya 2, cuma setengah daripada 120 kombinasi batang-dahan yang boleh dibentuk akan sebenarnya terjadi. Kitaran 60 tahun yang terbentuk mengambil nama jiǎzǐ (甲子 ) sempena tahun pertama dalam kitaran, iaitu Batang Samawi "jiǎ" dan Dahan Duniawi "zǐ". Istilah "jiǎzǐ" juga digunakan sebagai kata kiasan yang bererti "sepenuh jangka hayat"—seseorang yang hidup melebihi satu jiǎzǐ jelasnya dirahmati.
Mula-mulanya, sistem ini digunakan untuk menanda hari, bukan tahun. Bukti terawalnya didapati pada tulang ramalan dari c.1350 SM pada Dinasti Shang. Sistem pentarikhan ini masih diamalkan ke hari ini, dan masih didapati dalam kalendar Cina moden. Meskipun batang-dahan tidak boleh digunakan untuk menyimpulkan hari sebenar dalam peristiwa bersejarah, namun boleh membantu pertukaran tarikh Cina ke kalendar lain dengan lebih tepat.
Sekitar dinasti Han, kitaran batang-dahan mula digunakan untuk menanda tahun. Sistem 60 tahun ini berkitar secara berterusan, serta menentukan haiwan atau bintang zodiak kelahiran seseorang. Kitaran-kitarasn ini tidak bernama, dan digunakan bersempena nama pemerintahan yang diisytiharkan oleh Maharaja. Contohnya: 康熙壬寅 (Kāngxī rényín) (1662 M) ialah tahun 壬寅 (rényín) pertama ketika pemerintahan 康熙 (Kāngxī), iaitu nama pemerintahan seorang maharaja dinasti Qing.
Bulan dan jam juga boleh ditandai dengan Batang Samawi dan Dahan Duniawi, namun sebaliknya selalu disebut dengan angka Cina. Dalam astrologi Cina, empat pasangan Batang-Dahan membentuk Lapan Aksara (八字 bāzì).
Penomboran berkesinambungan
suntingTiadanya "asalan" atau titik permulaan tepat bagi kalendar Cina yang diterima sejagat. Menurut tradisi, kalendar ini direka oleh Huang Di (黄帝 ) pada tahun ke-61 pemerintahannya pada apa yang dikenali dalam kalendar Gregorius sebagai tahun 2637 SM. Ramai yang menganggap tarikh ini sebagai asalannya, iaitu tahun pertama kitaran 60 tahun yang pertama dalam kalendar Cina, tetapi ada juga orang lain yang menganggap tarikh permulaan pemerintahan Huang Di pada tahun 2697 SM sebagai asalan. Oleh sebab tarikh-tarikh ini genap 60 tahun jurangnya, maka tidak kisahlah yang mana wajar digunakan untuk menentukan urutan batang/dahan atau bintang astrologi untuk mana-mana tahun berikutnya. Contohnya, 2006 ialah tahun 丙戌 (bǐngxū) dan Tahun Anjing tanpa mengira sama ada tahun dikira mulai 2637 SM atau 2697 SM. Meskipun mulan-mulanya 2637 SM dikenal pasti sebagai asalan kalendar,kini ramai yang lebih gemar 2697 SM.
Pengenaan sistem penomboran berterusan bagi kalendar Cina kebanyakannya merupakan kepentingan bagi mubaligh Jesuit dan orang Barat lain yang beranggapan bahawa kalendar semestilah berterusan. Bagaimanapun, pada awal abad ke-20, sebilangan penyokong republik China mula mendukung penggunaan kitaran batang-dahan bernombor berterusan secara luas, agar penandaan tahun tidak bergantung kepada nama pemerintahan Maharaja. (Ini merupakan sebahagian cubaan mereka untuk menyahsahkan Dinasti Qing.)
Pada masa itu, Sun Yat-sen mengenal pasti 2698 SM sebagai asalan kalendar Cina, dan pilihan inilah yang diamalkan ramai masyarakat Cina seberang laut di luar Asia Tenggara seperti Chinatown, San Francisco. Namun begitu, 2698 SM adalah tidak tepat atas sebab berikut: Kitaran 60 tahun kini bermula dengan tahun 1984, iaitu tahun 甲子 (jiǎzǐ). Dengan datum ini, pengiraan menunjukkan baahwa kedua-dua tahun 2637 SM (iaitu 4620=77x60 tahun dari 1984 M) dan 2697 SM (iaitu 4680=78x60 tahun dari 1984 M) merupakan tahun jiazi; manakala 2698 SM pula tidak, maka tidak boleh diterima sebagai asalan. Kesilapan ini mungkin timbul akibat terlepas perhatian fakta bahawa 1 M menyusuli 1 SM secara langsung, tanpa apa-apa "tahun sifar" di antaranya.
Andai 2637 SM dijadikan asalan, maka tahun 2007 ialah tahun ke-4644. Jika 2697 SM pula, tahun 2007 M ialah tahun ke-4704. Namun begitu, bagi orang Cina moden, tahun-tahun dikenali melalui penandaan Masihi sahaja. Tahun 2007 M tidak pernah dipanggil Tahun 4644 atau 4704.
Persamaan antara sistem
suntingPautan berikutnya memberikan penukaran tarikh kalendar Cina ke tarikh Barat: http://www.sinica.edu.tw/~tdbproj/sinocal/luso.html
Jadual ini menunjukkan nama tahun batang/dahan, persamaan pada kalendar Barat (Gregorius), dan maklumat berkaitan yang lain untuk dekad ini. (Kesemua tahun ini merupakan sebahagian kitaran 60 tahun yang ke-79, atau ang ke-78jika menerima 2637 SM sebagai asalan.)
Urutan Jiǎzǐ (甲子 ) |
Batang/ Dahan |
Gānzhī (干支 ) | Tahun… [a] | Penomboran Berterusan [b] |
Kalendar Gregorius [c] |
Tahun Baru (chūnjié, 春節 ) |
---|---|---|---|---|---|---|
15 | 5/3 | wùyín (戊寅 ) | Harimau Tanah | 4695 | 1998 | 28 Jan |
16 | 6/4 | jǐmăo (己卯 ) | Arnab Tanah | 4696 | 1999 | 16 Feb |
17 | 7/5 | gēngchén (庚辰 ) | Naga Logam | 4697 | 2000 | 5 Feb |
18 | 8/6 | xīnsì (辛巳 ) | Ular Logam | 4698 | 2001 | 24 Jan |
19 | 9/7 | rénwǔ (壬午 ) | Kuda Air | 4699 | 2002 | 12 Feb |
20 | 10/8 | guǐwèi (癸未 ) | Kambing Air | 4700 | 2003 | 1 Feb |
21 | 1/9 | jiǎshēn (甲申 ) | Kera Kayu | 4701 | 2004 | 22 Jan |
22 | 2/10 | yǐyǒu (乙酉 ) | Ayam Kayu | 4702 | 2005 | 9 Feb |
23 | 3/11 | bǐngxū (丙戌 ) | Anjing Api | 4703 | 2006 | 29 Jan |
24 | 4/12 | dīnghài (丁亥 ) | Khinzir Api | 4704 | 2007 | 18 Jan |
25 | 5/1 | wùzǐ (戊子 ) | Tikus Tanah | 4705 | 2008 | 7 Feb |
26 | 6/2 | jǐchǒu (己丑 ) | Lembu Tanah | 4706 | 2009 | 26 Jan |
27 | 7/3 | gēngyín (庚寅 ) | Harimau Logam | 4707 | 2010 | 14 Feb |
28 | 8/4 | xīnmăo (辛卯 ) | Arnab Logam | 4708 | 2011 | 3 Feb |
- [a] Permulaan setiap tahun zodiak sewajarnya bersamaan dengan hari pertama tahun qamari.
- [b] Seperti yang dibincangkan tadi, terdapat banyak kesulitan dalam menentukan satu asas untuk kronologi nombor tahun berterusan. Nombor-nombor yang diseranaikan di sini adalah terlebih 60 jika 2637 SM dijadikan asalan; dan terkurang 1 jika 2698 SM pula dijadikan asalan. Maka itu, menurut beberapa sumber, tahun 2006 Gregorian boleh bersamaan dengan 4643, atau 4704 pun.]
- [c] Walau bagaimanapun, persamaan antara tahun Cina lunisolar dan tahun Gregorius suria sudah tentu tidak tepat. Bulan-bulan pertama setiap tahun Gregorius—iaitu yang sebelum Tahun Baru Cina—tergolong dalam tahun Cina sebelumnya. Contohnya, 1–28 Januari 2006 bersamaan dengan yǐyǒu atau 4702. Maka, mungkin adalah lebih tepat untuk menyatakan bahawa tahun Gregorius 2006 bersamaan dengan tahun 4702–4703.]
Tahun suria lawan tahun qamari
suntingTerdapat satu perbezaan antara tahun suria dan tahun qamari dalam kalendar Cina kerana kalendar itu lunisolar. Setahun qamari (年 nián) adalah dari satu tahun baru Cina ke yang lain, manakala setahun suria (歲 suì) pula sama ada tempoh antara dua ekuinoks musim bunga atau tempoh antara dua solstis musim sejuk (lihat bahagian Jiéqì). Tahun qamari hanya digunakan untuk pentarikhan, manakala tahun suria, terutamanya yang antara solstis musim sejuk, digunakan untuk menomborkan bulan.
Tempoh suria
suntingBulan-bulan dalam kalendar Cina menurut fasa bulan. Oleh itu, bulan-bulan tidak mengikut musim tahun suria dengan tepatnya. Untuk membantu para petani menentukan bila untuk menanam atau menuai, para pendraf kalendar memasukkan 24 penanda bermusim yang mengikut tahun suria, iaitu jiéqì (節氣 ).
Istilah Jiéqì (terjemahan harfiahnya "nod cuaca") boleh diterjemah sebagai "Tempoh Suria". Setiap nod adalah ketika matahari mencapai salah satu daripada 24 titik yang dijarakkan sama rata sepanjang ekliptik, termasuk solstis dan ekuinoks, ditampatkan pada jarak 15 darjah. Oleh sebab penghitungan berasaskan suria, jiéqì ini jatuh lebih kurang pada hari yang sama setiap tahun dalam takwim suria (cth. kalendar Gregory), tetapi tidak membentuk apa-apa corak yang jelas dalam kalendar Cina. Tarikh-tarikh berikut adalah anggaran dan mungkin berbeza sedikit dari tahun ke tahun kerana hukum interkalasi (iaitu sistem tahun lompat) kalendar Gregory. Jiéqì diterbitkan dalam almanak petani setiap tahun. Tahun Baru Cina biasanya jatuh pada hari anak bulan yang terdekat dengan lìchūn.
Dalam jadual di bawah, ukuran diberi dalam piawaian astronomi garis bujur gerhana, kosong darjah terletak pada titik ekuinoks musim bunga. Dalam astronomi Cina, musim berpusatkan solstis dan ekuinoks, sementara dalam pemahaman Barat, musim bermula solstis dan ekuinoks. Maka istilah Awal Musim Bunga dan Perayaan Musim Bunga jatuh pada bulan Februari, meskipun keadaan di Hemisfera Utara masih agak dingin di latitud beriklim sederhana.
Garis bujur gerhana |
Nama Cina | Tarikh Gregorius (anggaran) |
Terjemahan | Huraian |
---|---|---|---|---|
315° | [[Lichun|立春 lìchūn]] | 4 Februari | bermulanya musim bunga | musim bunga bermula di sini menurut pemahaman Cina mengenai musim |
330° | [[Yushui|雨水 yǔshuǐ]] | 19 Februari | air hujan | mulai titik ini, suhu lebih mungkin menyebabkan hujan berbanding salji |
345° | [[Jingzhe|啓蟄 qǐzhé (驚蟄 jīngzhé)]] |
5 Mac | serangga bangkit | apabila serangga yang berhibernasi bangun |
0° | [[Chunfen|春分 chūnfēn]] | 21 Mac | ekuinoks musim bunga | pembahagi tengah musim bunga (menurut definisi musim Cina) |
15° | [[Qingming|清明 qīngmíng]] | 5 April | cerah dan terang | perayaan Cina yang mana kubur nenek moyang diselenggara |
30° | [[Guyu|穀雨 gǔyǔ atau gǔyù]] | 20 April | hujan bijian | hujan membantu biji-bijian tumbuh |
45° | [[Lixia|立夏 lìxià]] | 6 Mei | bermulanya musim panas | (menurut definisi musim Cina) |
60° | [[Xiaoman|小滿 xiǎomǎn]] | 21 Mei | bijian berisi | bijian menjadi berisi |
75° | [[Mangzhong|芒種 mángzhòng atau mángzhǒng]] | 6 Jun | bijian dalam bulir | jejanggut bijian bertumbuh |
90° | [[Xiazhi|夏至 xiàzhì]] | 21 Jun | solstis musim panas | kemuncak musim panas (ketinggian matahari) |
105° | [[Xiaoshu|小暑 xiǎoshǔ]] | 7 Julai | bahang kecil | apabila bahang mula tidak tertahan |
120° | [[Dashu|大暑 dàshǔ]] | 23 Julai | bahang besar | masa paling hangat dalam setahun |
135° | [[Liqiu|立秋 lìqiū]] | 7 Ogos | bermulanya musim luruh | (menurut definisi musim Cina) |
150° | [[Chushu|處暑 chùshǔ]] | 23 Ogos | kurangnya bahang | har. tinggal dalam bahang |
165° | [[Bailu|白露 báilù]] | 8 September | embun putih | lembapan memeluwap menyebabkan embun menjadi putih; petanda musim luruh menjelang |
180° | [[Qiufen|秋分 qiūfēn]] | 23 September | ekuinoks musim luruh | pembahagi tengah musim luruh (menurut definisi musim Cina) |
195° | [[Hanlu|寒露 hánlù]] | 8 Oktober | embun sejuk | embun mula bertukar menjadi fros |
210° | [[Shuangjiang|霜降 shuāngjiàng]] | 23 Oktober | turunnya fros | kehadiran fros dan penurunan suhu |
225° | [[Lidong|立冬 lìdōng]] | 7 November | bermulanya musim sejuk | (menurut definisi musim Cina) |
240° | [[Xiaoxue|小雪 xiǎoxuě]] | 22 November | salji kecil | saji mula turun |
255° | [[Daxue|大雪 dàxuě]] | 7 Disember | salji besar | maranya musim ribut salji |
270° | [[Dongzhi|冬至 dōngzhì]] | 22 Disember | solstis musim sejuk | kemuncak musim sejuk (ketinggian matahari) |
285° | [[Xiaohan|小寒 xiǎohán]] | 6 Januari | dingin kecil | kedinginan mula menjadi tidak tertahan |
300° | [[Dahan|大寒 dàhán]] | 20 Januari | dingin besar | masa paling sejuk dalam setahun |
Nota: Jiéqì ketiga asalnya dipanggil 啓蟄 (qǐzhé) tetapi ditukar kepada 驚蟄 (jīngzhé) ketika zaman Maharaja Jing dari Han (漢景帝 ) agar mengelak tertulis nama asal baginda 啓 (juga ditulis sebagai variannya 啟 ).
Rujukan
suntingLihat juga
suntingPautan luar
sunting- Rules for the Chinese Calendar
- Chinese Zodiac Chart Find your Chinese Zodiac sign based on your date of birth.
- Calendar Conversion
- Gregorian-Chinese calendar converterOnline: only for the republican age (after 1912)
- Two-Thousand-Year Chinese Calendar Converter (in Chinese) - works for all dates from the Han Dynasty until 2100
- Convert Gregorian to Chinese Lunar and Solar Dates Diarkibkan 2011-07-11 di Wayback Machine
- Pages from the Hong Kong Observatory website
- The 24 Solar Terms of Jieqi Diarkibkan 2008-01-18 di Wayback Machine
- Heavenly Stems and Earthly Branches Diarkibkan 2018-11-04 di Wayback Machine