Saleem

Penyanyi lelaki Malaysia

A. M. Salim bin Abdul Majeed, juga lebih dikenali sebagai Saleem Iklim (31 Ogos 1961 – 14 Oktober 2018) merupakan seorang penyanyi lelaki Malaysia yang merupakan vokalis kumpulan Iklim yang meraih kejayaan dalam industri muzik pada dekad 1990-an.[1]

Saleem
Saleem mengadakan persembahan di Anugerah MeleTOP Era 2016.
Kelahiran
A. M. Salim bin Abdul Majeed

(1961-08-31)31 Ogos 1961
Meninggal dunia14 Oktober 2018(2018-10-14) (umur 57)
Sebab kematianKemalangan jalan raya
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras, Kuala Lumpur
PendidikanSijil Pelajaran Malaysia (SPM)
Pekerjaan
  • Penyanyi
  • Pemuzik
Tahun aktif1985–2018
Pasangan
  • Napsiah Mohamed (bercerai)
  • Juriah @ Juliana Bachok (sehingga kematiannya)
Anak-anak3 (termasuk Syafiq Farhain)
Kerjaya muzik
Genre
InstrumenVokal
Syarikat rakaman
Warner Music Malaysia
Pengkarya berkait
Iklim

Dikenali oleh media tempatan sebagai "Raja Balada Malaysia", beliau merupakan bekas anak didik penggubah muzik terkenal, Wan Zul. Lagu nyanyian beliau ciptaan Wan Zul dan M. Nasir telah meletakkan dirinya sebagai salah seorang artis tanah air yang terkenal dan diminati ramai sebaris dengan artis-artis popular yang lain pada masa itu seperti Jamal Abdillah, Ekamatra dan Wings.

Iklim telah menerbitkan 8 album studio setakat ini, dan mendapat tempat dalam industri muzik menerusi lagu "Suci Dalam Debu" pada tahun 1990. Saleem telah merakamkan 11 album solo. Beliau dan kumpulannya telah berjaya menempa nama di luar negara seperti Indonesia, Singapura, Brunei, selatan Filipina, selatan Thailand, Pulau Krismas dan Kepulauan Cocos di Australia. Saleem dikenali kerana "kekuatan vokalnya" dan suaranya yang "serak-serak basah".[1][2] Beliau ialah bapa kepada Syafiq Farhain yang turut mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi.

Kehidupan awal sunting

Saleem dilahirkan pada 31 Ogos 1961 di Kampung Permaisuri, Setiu, Terengganu. Beliau berdarah kacukan India Muslim sebelah bapa dan Melayu sebelah ibu. Sebelum berkecimpung dalam bidang muzik, beliau bercita-cita untuk menjadi seorang nelayan yang berjaya. Walau bagaimanapun, cita-cita tersebut tidak tercapai. Sebaliknya, beliau meneruskan hidup dengan menjadi penolong tukang masak di Institut Teknologi MARA (ITM; kini Universiti Teknologi MARA atau UiTM) kampus Dungun sebelum beliau mencipta nama sebagai seorang penyanyi.

Iklim sunting

Saleem mengasaskan bersama Iklim pada tahun 1985 bersama Umarul Mahdzar, Mohamad Salim, Fadhil Suhaimi dan Kamaruddin. Ahli asal kumpulan ini terdiri daripada gabungan pemuzik-pemuzik mantap dari kumpulan yang pada asalnya dikenali sebagai The Kids di arena muzik di Terengganu pada waktu itu. Kumpulan Iklim mendapat namanya sempena keadaan iklim dan cuaca yang tidak menentu di pantai timur yang kerap dilanda ribut dan hujan lebat.[3]

Pada awal 1989, sebelum mencipta nama, kumpulan ini kerap mengadakan persembahan di kelab sosial dan kelab malam dan juga beberapa undangan eksklusif serta majlis kenduri kahwin di sekitar negeri kelahiran mereka.

Pada tahun 1990, Saleem dan kumpulannya menandatangani kontrak rakaman bersama Suara Cipta Sempurna Records (kini dikenali sebagai Rock Record) dan merakamkan album pertama mereka yang bertajuk Satu Kesan Abadi. Sebagai ahli kumpulan Iklim, Saleem menikmati kejayaan meluas pada dekad 1990-an dengan lagu hits seperti "Suci Dalam Debu", "Hakikat Sebuah Cinta" dan "Satu Kesan Abadi".

Berikutan kejayaan album sulung mereka, yang mencatat jualan sebanyak 150,000 unit sekaligus mendapat sambutan hangat di Malaysia, Indonesia dan Singapura,[4] Saleem dan anggota kumpulan Iklim telah ditawarkan untuk menjayakan sebuah filem yang berjudul Suci Dalam Debu arahan Zulkifli M. Osman lakonan Julia Rais dan Sidi Oraza.[5][6] Walau bagaimanapun, watak Saleem dan anggota kumpulan Iklim dalam filem itu kurang menonjol dan boleh dipertikaikan walaupun suara beliau sering berkumandang di awal dan akhir filem tersebut.

Saleem kemudian merakamkan 5 lagi album sehingga beliau meninggalkan kumpulan itu pada November 1995 untuk meneruskan kerjaya muzik secara solo selepas beberapa kali menafikan akan disingkirkan daripada Iklim.[7] Album terakhirnya bersama Iklim ialah Salam Perpisahan yang dikeluarkan pada Ogos 1996.

Kerjaya solo sunting

Selepas meninggalkan Iklim, Saleem menandatangani kontrak rakaman bersama Warner Music Malaysia dan merakamkan album solo pertamanya, Juwita pada tahun 1998 meskipun popularitinya menurun akibat beberapa isu dan kontroversi yang melibatkannya. Beliau sanggup berulang alik antara Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur bagi menjalani proses rakaman.[8] Album ini, menurut Saleem, ia bertemakan keinsafan dan mengharapkan jutaaan kemaafan daripada peminat kerana keterlanjurannya dengan dadah.

Pada tahun 1999, "Juwita" telah berjaya masuk ke pertandingan akhir Muzik Muzik terbitan TV3. Saleem mendendangkan lagu itu secara langsung di hadapan penonton. Akan tetapi, nasib tidak menyebelahinya, Saleem gagal untuk memenangi sebarang anugerah di pertandingan itu. Desas-desus mengatakan bahawa suara Saleem hampir tidak keluar dan tersekat-sekat ketika menyampaikan lagu tersebut. Susulan kejayaan album Maaf/Juwita, Saleem telah diberi kesempatan untuk merakamkan beberapa album seperti Bunga Emas bersama bekas kumpulannya, Iklim serta berpeluang berduet dengan Rahmat Ekamatra, Jamal Abdillah dan M. Nasir.

Saleem telah dipelawa oleh Syed Azlan Syed Abu Bakar (Arab) untuk pembikinan album baharu yang mana ia merupakan kompilasi lagu-lagunya dahulu daripada Iklim yang diberi tajuk Saleem Raja Balada. Album ini mendapat sambutan yang baik di pasaran sekaligus menerima pensijilan Platinum dengan jumlah pembelian mencapai beberapa puluhan ribu unit.

Albumnya, Epigoni (2006) telah mencatat jualan yang membanggakan dan menerima pensijilan Emas berikutan penjualan telah mencecah lebih daripada 15 ribu unit sejak tiga minggu berada di pasaran. Konsep album beliau pada kali ini ialah pembikinan semula lagu-lagu lama dendangan Amy Search, Shima, Bumiputra Rockers, Sudirman, Wings dan lain-lain.

Beliau membuat persembahannya di Showcase Saleem Raja Balada - Syokkk Ooo di Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 20 April 2018 dan dihadiri seramai 500 peminatnya.[1]

Kemudian, pada 9 September, Saleem mengadakan persembahan solonya di konsert Saleem Live In KL yang berlangsung di House, G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur yang mana ia dihadiri seramai 1,000 penonton dan menjadi persembahan terakhir beliau.[1][2]

Bakat sunting

Saleem dikenali kerana suaranya yang kedengaran "serak-serak basah", menurut Nadia Azam dari Malaysiakini,[2] dan "kekuatan vokalnya" seperti yang dijelaskan oleh Ramlah Zainal dari Harian Metro.[1]

Vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim yang pernah bekerjasama dengan Saleem, menyifatkan beliau sebagai penyanyi yang tiada tolok bandingnya dan antara artis yang paling senang bekerjasama.[9] Beliau turut berkata, Saleem ialah insan berbakat yang tiada pengganti.[10]

Kehidupan peribadi sunting

Saleem telah berkahwin sebanyak dua kali dan mempunyai 3 anak daripada perkahwinan tersebut. Anak lelakinya, Syafiq Farhain turut terlibat dalam bidang muzik.[11]

Kontroversi sunting

Pada tahun 1994, Saleem telah digam daripada muncul di televisyen dengan membuat persembahan dalam pertandingan akhir Muzik Muzik di TV3. Larangan tersebut ialah arahan daripada kerajaan kerana keterlibatan Saleem dengan dadah. Lagu Iklim yang masuk ke dalam carta akhir pertandingan Muzik-Muzik 94 itu ialah "Bukan Aku Tak Cinta". Sebagai gantinya, seorang penyanyi wanita, Adilla diberi kepercayaan untuk menyampaikan lagu itu ke pertandingan. Malang sekali ia tidak membawa sebarang kejayaan. Kontroversi timbul apabila secara terbuka, Saleem mengkritik penampilan Adilla yang sewenang-wenangnya menukar rentak lagu tersebut daripada sentimental Balada kepada irama keroncong. Dalam sesi temuramah dengan siaran televisyen, Saleem telah beberapa kali mengeluarkan perkataan "Macam mana boleh jadi macam ni?" dengan nada sinis berbaur tidak puas hati sambil diapit oleh ahli-ahli kumpulan Iklim yang lain persis lagak sebagai seorang samseng berjaket kulit dengan berkaca mata hitam.

Pada tahun 1993, Saleem terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang meragut nyawa seorang anggota tentera darat.[12][13] Pada akhir tahun yang sama, beliau telah ditangkap di Jalan Chow Kit akibat pengambilan dadah yang berlebihan. Berita tergempar yang memalukan itu telah disiarkan dalam televisyen serta terpampang di dada akhbar-akhbar tempatan. Penangkapan tersebut menyebabkan Saleem dipenjara. Justeru itu, Segala lagu Saleem dan rakaman persembahannya telah digam oleh pihak kerajaan daripada disiarkan sehingga beliau dibebaskan kelak.[14][15]

Sakit dan kematian sunting

Pada Februari 2018, Saleem dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia selepas mengalami sakit kepala kronik. Beliau dilaporkan stabil selepas menerima rawatan selama beberapa hari.[16]

Beliau kemudian dimasukkan ke hospital sama akibat kemalangan motosikal yang dialaminya pada 21 September 2018. Beliau mengalami kecederaan pada bahagian tulang rusuk sehingga beliau dalam keadaan koma. Pada 14 Oktober 2018, beliau akhirnya telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 6:15 pagi.[17] Perkara itu telah disahkan oleh anaknya, Iera Fakhira. Jenazah beliau telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras, Kuala Lumpur selepas solat Zohor.[18][19][20]

Diskografi sunting

Album bersama Iklim
Album solo
Album kompilasi
  • 1993 - Dunia
  • 1994 – Saleem Unplugged
  • 1995 – Seribu Penghargaan
  • 1995 – Tribute To Ramli Sarip
  • 1996 – Akustika Warisan Abadi The Unplugged 2
  • 1997 - Sambutlah Tanganku
  • 1997 – Emas Selamanya
  • 1997 – Dirgahayu 1 - Iklim
  • 1998 – Dirgahayu 2 - Saleem
  • 2000 – Koleksi Ori: Sesuatu Yang Abadi
  • 2001 – 3 Dimensi Popular (bersama Ramli Sarip dan Nash Elias)
  • 2004 – Saleem Iklim dan Rahmat Ekamatra
  • 2005 – Memori Hit: Iklim
  • 2005 – Iklim: Musim Bermusim
  • 2006 – Saleem: Raja Balada
  • 2007 – Tribute To Alleycats
  • 2008 – Saleem & Iklim: Terunggul
  • 2008 – Rahmat Ekamatra vs Saleem Iklim
  • 2010 – Keunggulan Saleem

Konsert sunting

  • 1994 – Konsert Iklim
  • 2007 - Zoom In Bersama Saleem
  • 2008 - Konsert Amal Kasih/Orkestra Saleem & Datuk Jamal Abdillah
  • 2013 - Konsert Lima Legenda
  • 2015 - Konsert KLIM Live at Muar
  • 2016 - Anugerah MeleTOP Era 2016
  • 2017 - Konsert Pesona
  • 2018 - Konsert Saleem di House G Tower Hotel
  • 2018 - Rancangan Akhir Mentor Otai

Anugerah dan pencalonan sunting

Tahun Anugerah Kategori Keputusan
1993 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1993 Penyanyi Lelaki Popular Tercalon
Anugerah Industri Muzik Pertama Vokal Lelaki Terbaik Dalam Album Tercalon
1999 Anugerah Industri Muzik ke-6 Vokal Lelaki Terbaik Tercalon
2001 Anugerah Industri Muzik ke-8 Tercalon
2002 Anugerah Industri Muzik ke-9 Tercalon
2005 Anugerah Industri Muzik ke-12 Tercalon
2006 Anugerah Industri Muzik ke-13 Tercalon

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e Ramlah Zainal (11 September 2018). "Saleem imbau zaman gemilang". Harian Metro. Dicapai pada 10 Jun 2019.
  2. ^ a b c Nadia Azam (7 Ogos 2018). "Saleem akan buktikan dia masih ada 'taji'". Malaysiakini. Dicapai pada 10 Jun 2019.
  3. ^ "Guts and hopes that paid off". The Malay Mail. 23 Ogos 1991. Dicapai pada 11 Jun 2021.
  4. ^ "Iklim—dari kampung ke album Inggeris". Berita Harian Singapura. 26 September 1991. m/s. 5. Dicapai pada 10 Jun 2019.
  5. ^ "Lagu 'Iklim' dijadikan filem". Berita Minggu Singapura. 9 Disember 1990. m/s. 8. Dicapai pada 10 Jun 2019.
  6. ^ "Iklim pula akan berlakon dalam filem". Berita Minggu Singapura. 20 Januari 1991. m/s. 8. Dicapai pada 10 Jun 2019.
  7. ^ "Sah! Saleem, Ikilm berpisah". Berita Harian Singapura. 24 November 1995. m/s. 6. Dicapai pada 10 Jun 2019.
  8. ^ "Saleem bakal siapkan album solo pertama". Berita Harian Singapura. 23 Januari 1998. m/s. 6. Dicapai pada 10 Jun 2019.
  9. ^ Sudirman Mohd Tahir (14 Oktober 2018). "'Saleem tiada tolok bandingnya'". Harian Metro. Dicapai pada 10 Jun 2019.
  10. ^ Hilmi Malik (14 Oktober 2018). "'Saleem tiada pengganti'". Astro Awani. Dicapai pada 10 Jun 2023.
  11. ^ Norhayati Nordin (16 Mac 2020). Masih ada rindu Harian Metro. Dicapai pada 29 November 2020.
  12. ^ "Saleem dipenjara sebabkan kematian askar". Berita Harian Singapura. 19 September 1995. m/s. 6. Dicapai pada 16 Jun 2019.
  13. ^ "Rock singer caused man's death". The New Paper. 21 September 1995. m/s. 19.
  14. ^ "Saleem, bekas penyanyi Iklim ditahan kerana dadah". Berita Harian Singapura. 26 Januari 1996. m/s. 6.
  15. ^ "Drugs: Saleem held". The New Paper. 25 Januari 1996. m/s. 2.
  16. ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed (24 Februari 2018). "Saleem masuk hospital akibat sakit kepala kronik". Berita Harian. Dicapai pada 10 Jun 2018.
  17. ^ "Popular singer Saleem Iklim dies". Malaysiakini. 14 Oktober 2018. Dicapai pada 20 Jun 2019.
  18. ^ "Saleem Iklim meninggal dunia". Utusan Online. Dicapai pada 2018-10-14.
  19. ^ "Iklim Frontman Saleem Dies At 57". Star2.com (dalam bahasa Inggeris). Star2.com. 2018-10-14. Dicapai pada 2018-10-14.
  20. ^ "Jenazah Saleem selamat dikebumikan". Sinar Harian. 2018-10-14. Dicapai pada 2018-10-15.

Pautan luar sunting