Perak telah terbukti wujud pada zaman pra sejarah lagi. Dianggarkan negeri Perak telah diduduki oleh manusia zaman batu lama semenjak 400,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi lagi.

Prasejarah sunting

Penemuan arkeologi di Kota Tampan di Lenggong membuktikan terdapatnya penempatan manusia Zaman Batu Lama di Tanah Melayu.

Malah satu rangka fosil telah dijumpai dan digelarkan Perak Man. Penemuan dari carigali tersebut menunjukkan negeri Perak diduduki secara terus menerus sepanjang Zaman Hoabinhian seterusnya Zaman Batu Baru dan Zaman Logam.

Selepas itu Perak juga dijangkakan mengalami zaman Hindu/Buddha, yang tersebar secara menyeluruh semua kawasan di Tanah Melayu.

Asal Usul Nama sunting

Pelbagai tafsiran telah dibuat mengenai pengambilan nama "PERAK" sebagai sebuah negeri yang besar.

  • Menurut satu cerita yang menarik sebagaimana yang dititahkan sendiri oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Idris A'fifullah Shah (Sultan Perak ke-33) mengatakan di zaman kerajaan Melayu Melaka sebelum wujudnya nama NEGERI PERAK, Negeri Perak terbahagi kepada tiga daerah iaitu Beruas, Manjung dan Janin (Hulu Perak di bawah pemerintahan Tun Saban ). Manjung dan Beruas dibawah takluk Melaka. Penghulu Manjung ketika itu ialah Tok Mahsuka. Dikatakan ketiga-tiga Ketua Daerah telah bermesyuarat untuk menyatukan daerah-daerah mereka menjadi satu negeri dengan memakai nama yang khusus. Mereka bercadang untuk menamakan MELAKA tetapi didapati tidak begitu sesuai kerana Negeri Melaka masih wujud walaupun dibawah kekuasaan Empayar Portugis. Lantas mereka teringatkan pula bahawa salah satu punca utama yang membawa kepada keunggulan, kebesaran dan keharuman nama Melaka ialah peranan dan tanggung jawab Bendahara Tun Perak. Maka ketiga-tiga Ketua Daerah tersebut bersetuju untuk menamakan negeri baru ini sebagai Negeri Perak. Oleh sebab pada ketika itu Negeri Perak belum mempunyai Raja lalu Tok Mahsuka berkehendakkan supaya Negeri baru ini mempunyai Raja yang berdaulat.
  • Hikayat Merong Mahawangsa pula mengatakan bahawa nama Negeri Perak ini ada kaitannya dengan cerita putera Raja Marong Mahapudi Sat yang di katakan telah pergi meneroka untuk membuka sebuah negeri baru, Putera tersebut telah sampai sebuah sungai besar dan terdapat pula bertasik, melingkungi tiga atau empat buah pulau. Putera tersebut telah berkata.. " Tempat ini elok dijadikan sebuah negeri...", lalu baginda pun memanah ke udara dengan menggunakan sebilah anak panah yang diperbuat daripada 'perak' dan busarnya dinamakan 'Indera Sakti'. Apabila anak panah tersebut jatuh terjunam ke atas sebuah daripada pulau-pulau yang berkenaan maka dinamakanlah tempat itu sebagai Pulau Indera Sakti dan negerinya dinamakan Negeri Perak.
  • Dalam cerita-cerita yang lain terdapat juga kisah-kisah saperti : seekor ikan Haruan besar mengicah-ngicah anaknya hingga air sungai menjadi keruh putih berkilat saperti perak di Chegar Galah dalam buku A.Halim Nasir.[1]
  • Warna bijih timah yang putih berkilat apabila dipanah cahaya matahari dan berbagai-bagai cerita lagi.

Adunan daripada fakta sejarah dan unsur lagenda hingga terciptanya nama 'Negeri Perak' itu menggambarkan bahawa pemilihan nama "PERAK" itu sangat bertetapan dengan kekayaan khazanah yang dikandungi oleh bumi Perak itu sendiri. Justeru kekayaan ini lah pergolakan sejarah Negeri Perak semakin bergelora satelah empayar Kerajaan Melayu Melaka berpecah pada tahun 1511 dan munculnya kuasa-kuasa Portugis, Acheh, Bugis, Siam, Minangkabau, Belanda dan akhir sekali Inggeris di merata perairan Nusantara ini.

Kerajaan Purba sunting

Menoleh kembali ke zaman silam Negeri Perak akan terjelmalah berbagai-bagai gambaran cetusan sejarahnya yang menjadi mutiara pusaka bumi Perak yang tiada ternilai harganya. Sebagai salah sebuah Negeri Melayu yang tertua, Negeri Perak telah melalui liku-liku zamannya sejak sebelum menjelangnya tahun masehi lagi.

Sebelum munculnya nama "Negeri Perak" Kitab "Sejarah Melayu" ada menceritakan nama-nama kerajaan atau negeri seperti Gangga Negara yang sekarangnya terletak di jajahan Dinding, Beruas dan Manjung yang masih kekal namanya hingga sekarang. Penemuan monumen-monumen bersejarah peninggalan zaman tersebut telah menggambarkan kegemilangan sejarahnya tersendiri yang masih tersembunyi dari penglihatan dan pengamatan generasi di zaman moden ini.

Lanjutan Kesultanan Melaka sunting

Gambaran sejarah Negeri Perak bertambah jelas lagi apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam tahun 1511 dan Sultan Mahmud Shah melarikan diri dan akhirnya bersemayam di Kampar (Sumatera) dan ditabalkan sebagai Sultan Kampar.

Kewibawaan Raja-Raja Melayu Melaka serta struktur pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka yang begitu sesuai dan berpengaruh di kalangan Negeri-negeri Melayu ketika itu telah mendorongkan orang-orang Perak untuk mengutuskan Tun Saban yang memerintah kawasan Hulu Sungai Perak hingga ke Kuala Temong, bersama-sama Nakhoda Kassim pergi mengadap Sultan Mahmud Shah di negeri Kampar untuk memohonkan agar seorang daripada putera baginda menjadi Sultan Perak. Permohonan itu telah diperkenankan oleh Sultan Mahmud Shah dan baginda telah menitahkan putera baginda, Raja Muzzafar supaya berangkat ke Perak dengan dikurniakan segala alat kebesaran warisan kerajaan Negeri Melaka untuk menjadi Raja di Perak.

Maka belayar lah Rombongan DiRaja menyeberangi Selat Melaka dan apabila sampai di Kuala Sungai Perak di suatu tempat bernama 'Beting Beras Basah', bahtera Raja Muzzafar Shah telah terdampar di atas sebuah beting dan tidak dapat dimudik. Tiba-tiba angin ribut datang dengan laut yang bergelora. Perbagai ikhtiar dibuat namun bahtera baginda tetap tidak berganjak. Maka di situlah baginda berseru dengan melafazkan kata-kata :-

"Selilit Tanah Minangkabau, Selengkung Pulau Perca, Dilengkung ular Saktimuna, Sebenarnya Aku keturunan Raja, Jauhkan segala malapetaka, Perpisahan Aku di Selat Melaka...."

Sebaik sahaja baginda habis melafazkan kata-kata itu, tiba-tiba muncul 'JIN' yang sangat besar sahingga mencecah awan yang tinggi. Jin tersebut telah berkata kepada baginda.... Sekiranya Tuanku hendak bersemayam dan memerintah Negeri Perak ini, hendaklah Tuanku buangkan Mahkota Tuanku ke dalam laut......

Maka Raja Muzzaffar pun mengambil mahkota baginda dan dibuangkan kedalam laut. Secara tiba-tiba laut yang bergelora menjadi tenang dan beting yang timbul hilang dari pandangan. Satelah itu barulah bahtera baginda boleh belayar semula dan mudik ke Air Mati. Disana lah baginda di tabalkan dan tempat baginda bersemayam itu dinamakan Tanah Abang.

Daripada keturunan Sultan Muzzaffar Shah inilah wujudnya jurai keturunan Kesultanan Negeri Perak yang terus menerus memerintah hingga ke zaman sekarang. Pusat-pusat pemerintahan Sultan-Sultan Negeri Perak tidak menetap di suatu tempat sahaja bahkan sering bertukar dari suatu tempat ke suatu tempat jika keadaan memaksa atau ada tempat-tempat lain yang lebih sesuai.

Pusat pemerintahan sunting

Pusat pemerintahan Sultan Perak adalah juga istana Sultan Perak. Istana sultan berubah-ubah dari Hilir Perak hingga ke Kuala Kangsar. Kebanyakan tempat-tempat ini terletak di tebing sebelah kanan Sungai Perak. Di sekitar Kampung Gajah memang banyak sekali makam-makam Sultan Perak.

Di antara pusat-pusat pemerintahan yang ada tercatat di dalam sejarah ialah :-

  1. Tanah Abang - iaitu ditepi Sungai Perak yang sekarang di panggil Air Mati ,di dalam Mukim Bota, Makam Sultan Muzzaffar Shah 1 (Sultan Perak Pertama)
  2. Kota Lama Kanan
  3. Geronggong dalam Mukim Pulau Tiga,Kampung Gajah
  4. Semat dalam Mukim Senggang,
  5. Bota Kanan atau disebut juga sebagai Brahman Indera
  6. Pulau Tiga, Kampung Gajah
  7. Pulau Cempaka Sari di Parit
  8. Pulau Indera Sakti di kuala Sungai Kinta , Kampung Gajah
  9. Pasir Pulai Indera Mulia , Kampung Gajah
  10. Bandar Baharu , Kampung Gajah - pejabat JWW Birch , British
  11. Pasir Panjang, Kampung Gajah
  12. Durian Sebatang, Teluk Intan - Sultan Abdullah Muhamad Shah 1874
  13. Sayong, Kuala Kangsar
  14. Batak Rabit, Teluk Intan

dan akhir sekali di Bukit Chandan, Kuala Kangsar iaitu semasa zaman Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah di tabalkan menjadi Sultan Perak yang ke 28.

Sultan Perak dari pertama hingga sekarang.

Sultan-Sultan Perak
Bilangan Sultan Pemerintahan
1 Sultan Mudzaffar Shah I 1528 - 1549
2 Sultan Mansur Shah I 1549 - 1577
3 Sultan Ahmad Tajuddin Shah 1577 - 1584
4 Sultan Tajul Ariffin Shah 1584 - 1594
5 Sultan Alauddin Shah 1594 - 1603
6 Sultan Mukaddam Shah 1603 - 1619
7 Sultan Mansur Shah II 1619 - 1627
8 Sultan Mahmud Shah I 1627 - 1630
9 Sultan Sallehuddin Shah 1630 - 1636
10 Sultan Mudzaffar Shah II 1636 - 1653
11 Sultan Mahmud Iskandar Shah 1653 - 1720
12 Sultan Alauddin Mughayat Shah 1720 - 1728
13 Sultan Mudzaffar Shah III 1728 - 1752
14 Sultan Muhamad Shah 1744 - 1750
15 Sultan Iskandar Dzulkarnain 1752 - 1765
16 Sultan Mahmud Shah II 1765 - 1773
17 Sultan Alauddin Mansur Shah 1773 - 1786
18 Sultan Ahmaddin Shah 1786 - 1806
19 Sultan Abdul Malik Mansur Shah 1806 - 1825
20 Sultan Abdullah Muadzam Shah 1825 - 1830
21 Sultan Shahabuddin Riayat Shah 1830 - 1851
22 Sultan Abdullah Muhammad Shah I 1851 - 1857
23 Sultan Jaafar Safiuddin Muadzam Shah 1857- 1865
24 Sultan Ali al-Mukammal Inayat Shah 1865 - 1871
25 Sultan Ismail al-Muabidin Riayat Shah (mangkat: 1889) 1871 - 1874
26 Sultan Abdullah Muhammad Shah II (mangkat: 1922) 1874 - 1876
27 Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah 1876 - 1887
28 Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah 1887 - 1916
29 Sultan Abdul Jalil Nasruddin al-Muhtaram Shah 1916 - 1918
30 Sultan Iskandar Shah 1918 - 1938
31 Sultan Abdul Aziz al-Mutasim Billah Shah 1938 - 1948
32 Sultan Yussuf Izzuddin Shah 1948 - 1963
33 Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah 1963 - 1984
34 Sultan Azlan Muhibbuddin Shah 1984 - 2014
35 Sultan Nazrin Muizzudin Shah 2015 -

Istana Sultan Perak sunting

 
Istana Kenangan

Pada peringkat awal ,tidak ada istana kukuh daripada batu yang dibina untuk Sultan Perak bersemayam. Istana Sultan Perak pada masa itu terdiri daripada binaan kayu yang bermutu tinggi dan di bina di tepi Sungai Perak. Kawasan tepi sungai Perak terutama di Hilir Perak ,memang tidak ada kawasan berbukit-bukau.

Apabila Raja Idris ditabalkan menjadi Sultan dalam tahun 1877, baginda telah membuat istana di atas sebuah bukit berhampiran dengan Batang Hari kerana Sayong selalu sahaja di tenggelami air apabila Sungai Perak bah. Akhirnya bukit tersebut dinamakan Baginda dengan sebutan Bukit Chandan, gelarannya Seri Andalan.

Menurut ceritanya nama ini adalah mengambil sempena nama seekor gajah Sultan Yusuf yang bernama Kulup Chandan. Kononnya pada suatu hari gajah Kulub Chandan ini telah lari lalu Raja Idris (ketika itu sebagai Raja Muda) bersama juak-juaknya keluar mengikuti jejak-jejak gajah tersebut hingga sampai ke kaki Gunung Bubu. Setibanya disini baginda telah bertembung dengan seorang tua berjanggut panjang yang memakai jubah putih. Dengan tidak semena-mena orang tua tersebut berdatang sembah lalu berkata...

" Tuanku adalah bakal menjadi Sultan Perak dan manakala Tuanku telah ditabalkan menjadi Sultan kelak, jangan lah bersemayam di Sayong lagi tetapi hendaklah Tuanku membuat Istana diatas bukit yang di pinggir Batang Hari, Perak. Maka gajah yang bernama Kulup Chandan itu hendaklah Tuanku bebaskan tujuh hari selepas daripada pertabalan Tuanku itu...."

Diringkaskan cerita, maka Raja Idris pun ditabalkanlah menjadi Sultan Perak yang ke 28 dan segala pesanan 'orang tua' tersebut telah ditunaikan oleh baginda. Mulai dari tarikh itu kekal lah nama Bukit Chandan sebagai tempat terletaknya Istana Rasmi Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

Sistem Pemerintahan sunting

Di zaman pemerintahan silam, sistem pemerintahan Kesultanan Negeri Perak masih meneruskan konsep ketradisionalan Kesultanan Melayu Melaka dengan sedikit perubahan dan penyesuaian dengan keadaan negeri dan masyarakat. Sistem gelaran Orang-Besar-Besar Negeri masih mewarisi Kesultanan Melaka tetapi terdapat sedikit perubahan iaitu dengan mengwujudkan gelaran-gelaran baharu saperti Orang Besar Lapan, Enam Belas dan Tiga Puluh Dua disamping mengekalkan konsep gelaran dan fungsi Orang Besar Empat Kesultanan Melaka. Tetapi gelaran Orang Besar Empat ini juga telah di ubah mengikut kesesuaian zaman dan masyarakat dan sekarang gelaran ini di kenali sebagai :-

  • Tengku Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja wakil al Sultan Wazir Kabir.
  • Tengku Orang Kaya Besar Maharaja Di Raja.
  • Tengku Orang Kaya Temenggung Paduka Raja.
  • Tengku Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.

Di zaman pemerintahan Sultan Muzzaffar Shah jawatan Bendahara Paduka Raja telah disandang oleh Megat Terawis. Megat Terawis dikatakan berasal dari kerabat di raja Pagar Ruyong (Minangkabau) yang datang ke Perak bersama-sama Sultan Muzzaffar Shah dari Kampar. Sultan Muzzaffar Shah telah melantik beliau sebagai Bendahara bagi mengantikan Tun Muhammad setelah Megat Terawis berjaya menghapuskan Tun Saban yang bersengketa dengan baginda.

Corak pemerintahan tradisional ini walau pun dari kacamata barat dianggap sebagai amalam feudal yang tidak demokrasi tetapi jika diteliti dari segi pentadbirannya jelas menunjukkan bahawa sistem pemerintahan demokrasi telah lama dipraktikkan di Negeri Perak sebelum Inggeris menerjah masuk. Ini dapat dilihat dalam sistem perlantikan Sultan, pembesar negeri dan strultur pemerintahan itu sendiri.

Sejak dari perlantikan tersebut keturunan Megat telah memegang jawatan Bendahara Perak hinggalah akhir kurun ke 18 apabila Bendahara Megat Abu Kassim menyerahkan balik jawatan tersebut kepada Sultan Iskandar Zulkarnain kerana satu perbalahan.

Di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1756-1770) Negeri Perak menempuh kegemilangan sejarahnya. Zaman ini lah disifatkan oleh ahli-ahli sejarah sebagai zaman keemasan. Hakikat ini dapat dilihat daripada catatan yang terdapat didalam Hikayat Misa Melayu yang menceritakan dengan jelas khusus mengenai zaman tersebut dan perihal kebijaksanaan kepimpinan dan kegagahan baginda memerintah negeri. Syair "Sultan Perak Melawat Jajahan Takluknya" sebagaimana yang terdapat didalam hikayat ini adalah satu contoh yang begitu terkenal lagi menggambarkan keadaan pemerintahan dan masyarakat di zaman tersebut.

Campurtangan Inggeris di Perak sunting

Percampuran dasar Inggeris terhadap Negeri-negeri Melayu di akhir kurun ke 19 telah mendorongkan pihak British untuk mengubah sikap berdagang dan campurtangan dalam urusan politik dan pertadbiran - iaitu penjajahan secara langsung atau tidak langsung terhadap kesemua Negeri Melayu di Semenanjung. Saperti helang kelaparan mereka hanya menunggu peluang dan ketika yang sesuai untuk menyambar terus kemakmuran Negeri Perak. Inggeris yang telah lama mengkaji sistem pentadbiran, struktur, sosial, ekonomi dan politik bumiputera di Negeri-Negeri Selat dan di negara-negara yang dijajahnya telah berjaya menyingkap segala aspek kehidupan masyarakat Melayu dan menggunakan kelemahan-kelemahan yang terdapat untuk menguasai terus Negeri Perak dengan memperalatkan institusi-institusi traditional. Peluang ini tercapai apabila berlaku perselisihan merebut takhta kerajaan semasa Sultan Ali Al-Mukamal Inayat Shah, Sultan Perak ke 24 mangkat di Sayong pada tahun 1871. Raja Muda Abdullah yang bersemayam di batak Rabit sepatutnya mudik ke Sayong untuk ditabalkan sebagai Sultan tetapi beliau enggan berbuat demikian. Ini telah mengakibatkan jenazah Almarhum tidak dapat dimakamkan selama sebulan, dan bagi menyelesaikan masalah ini Raja Bendahara Ismail telah ditabalkan sebagai Sultan.

Maka berlakulah perselisihan yang berlarutan diantara Raja Abdullah dengan Sultan Ismail. Di samping ini terdapat pula pergaduhan besar dan sikap bermusuhan diantara dua kongsi gelap pelombong-pelombong Cina, Ghee Hin dan Hai San disekitar Kelian Puah dan Kelian Baharu dan berlarutan hingga ke negeri-negeri lain. Peperangan telah berlaku disepanjang tahun 1861- 1862 dan 1871-1874.

Pergaduhan-pergaduhan dan perselisihan merebut takhta kerajaan ini telah di pergunakan sepenuhnya oleh pihak Inggeris untuk mencampuri urusan dalam Negeri Perak supaya kepentingan mereka tidak terjejas dan kekayaan Negeri Perak dapat di eksplotasikan sepenuhnya bagi menampung keperluan ekonomi negara ibunda mereka. Raja Abdullah dan beberapa orang Orang Besar-Besar Perak telah berunding di Pulau Pangkor. Wakil-wakil kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San juga turut hadir. Maka pada 20 Februari 1874 termeterinya satu perjanjian yang di namakan Perjanjian Pangkor.

Kejayaan Inggeris dalam babak pertama dalam siri penjajahan mereka di Tanah Melayu ini telah menjatuhkan mertabat kuasa mutlak Raja Melayu terhadap tanah air mereka sendiri dengan hanya menjadi Sultan sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Urusan pentadbiran dan ekonomi dalam negeri terserah bulat-bulat kepada budibicara Residen Inggeris yang secara langsung di pertanggung jawabkan oleh Gabenor Negeri Selat untuk melaksanakan rancangan pembangunan raksaksa - Sistem Residen.

Perjanjian Pangkor dan perlaksanaan sistem Residen ini pada dasarnya telah dapat meredakan seketika persengketaan di antara golongan-golongan yang bersengketa dalam Negeri Perak. Dengan bersenjatakan Perjanjian Pangkor yang pada anggapan Inggeris akan di patuhi oleh semua pihak dan tidak akan di tentang oleh orang-orang Melayu yang selama ini dianggap mudah di pergaul-gaulkan, J.W.W.Birch, Residen Inggeris yang pertama telah memulakan tugasnya tanpa menaruh sebarang buruk sangka atau perasaan curiga.

Orang Besar-Besar Perak dan Sultan Abdullah sendiri akhirnya menyedari akan kesilapan mereka menandatangani Perjanjian Pangkor yang secara langsung mengetepikan hak tradisi mereka dalam urusan kutipan cukai dan menguasai hasil mahsul dalam jajahan masing-masing telah menghadapi jalan buntu bagi menghadapi kekuatan kuasa penjajah Inggeris ini. Akhirnya mereka telah mengambil jalan singkat dengan membunuh J.W.W. Birch dan pengiring-pengiringnya di Pasir Salak pada 2 November 1875.

Berikutan daripada peistiwa berdarah ini Inggeris telah melancarkan perang besar-besaran terhadap orang-orang Melayu Perak dengan tujuan untuk menangkap pembunuh J.W.W. Birch. Pasukan-pasukan polis, tentera dan tentera laut Inggeris dibawah pimpinan Kapten Speedy telah mengepung perairan Perak. Rumah-rumah orang-orang Melayu yang di syaki telah di bakar, kota pertahanan orang-orang Melayu di Batak Rabit telah di serang habis-habisan dan akhirnya ditawan. Inggeris terus mara di sepanjang Sungai Perak dan membunuh tanpa belas kasihan. Sungguh pun kekurangan senjata dan tektik peperangan oarng-orang Melayu Perak masih mampu melawan serangan Inggeris saperti yang di lakukan di Kota Lama. Peperangan Perak ini telah berlanjutan hingga ke tahun 1876 dan akhirnya kesemua yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W. birch ditangkap dan dibicarakan peperangan ini ditamatkan.

Nasionalisme di negeri Perak sunting

Maka tercatatlah dalam sejarah bangsa Melayu dan Negeri Perak nama-nama saperti Dato' Maharaja Lela, Dato' Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Che' Gondah, Ngah Ahmad, Laksamana Tun Mohamad Amin, Syahbandar, Che' Ngah Ibrahim,dato pendekar ahmad,dan lain-lain lagi disamping Sultan Abdullah sendiri sebagai penebus maruah bangsa Melayu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dan hak mutlak Kesultanan Melayu. Ramai diantara mereka yang dihukum gantung dan di buang negeri di asingkan di Pulau Seychelles di Lautan Hindi ada juga yang hilang jejak seperti dato pendekar ahmad dan lain nya tetapi perjuangan mereka akan terus menjadi aspirasi generasi kini.

Peristiwa tersebut telah memberikan pengajaran yang berguna kepada Inggeris dalam merancanakan rancangan penjajahan mereka yang selanjutnya. Raja Yusuf telah diangkat sebagai Sultan Perak yang ke 27 (1877-1887) bergelar Sultan Yusuf Sharifuddin Muzzaffar Shah dan Raja Idris yang menghakimkan perbicaraan kes pembunuhan J.W.W.Birch telah diangkat menjadi Raja Muda. Sistem pertadbiran negeri telah diperkemaskan lagi dan dipersesuaikan dengan dasar Inggeris. Pembesar-pembesar negeri yang tidak sesuai telah di pencenkan dan yang berkebolehan serta masih taat kepada pemerintah telah dijadikanpegawai bergaji tetap dan mesti bekerja untuk Inggeris atas nama titah perintah Sultan.

Perjuangan Kemerdekaan di Negeri Perak sunting

Perak adalah merupakan tanah keramat yang menjadi saksi lahir ramai pejuang kemerdekaan khususnya dari kalangan mereka yang dilabel sebagai berhaluan kiri. Nama-nama pejuang kemerdekaan seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Al-Fadhil ust Abu Bakar Al-Baqir, Ahmad Boestamam, Abdul Majid Salleh dan ramai lagi adalah mereka yang berasal dari negeri ini. Selain itu, gerakan-gerakan yang kemerdekaan juga banyak dilancarkan dan bergiat aktif di negeri Perak. Gerakan kesedaran dan perjuangan kemerdekaan oleh Al-Fadhil Ustaz Abu Bakar Al-Baqir di Maahad Ehya' Al-Sharif, gunung Semanggol sebagai contoh adalah merupakan sebuah gerakan kemerdekaan Tanah Melayu yang dipimpin oleh golongan ulama' dan agamawan sehingga tertubuh Parti Hizbul Muslimin (HAMIM).

Akibat dari suara dan sikap yang lantang menuntut kemerdekaan, maka parti ini ditakuti oleh pihak penjajah British. Maka dilemparkanlah kepada mereka tuduhan dan tohmah-tohmah. Ia juga dituduh sebagai parti "merah" (komunis). Dato' Onn Jaafar, yang pada masa itu memimpin UMNO, bersikap agak lunak, bahkan dengan secara sindiran mengingatkan anggota UMNO bahawa pertubuhan politik di Gunung Semanggol itu ialah suatu bahaya dari gunung yang patut diawasi. Pengaruh Gunung Semanggol dalam membentuk pemikiran umat Islam di Malaya sesungguhnya amat ketara. Ketakutan pihak berkuasa British terhadap perkembangan cita-cita Islam dalam politik memuncak ketika pada 29 Julai 1948, pukul 12 tengah hari tiga orang pemimpin utama HAMIM ditangkap. Mereka ialah Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi, dan Ustaz Abdul Rauf Nur. Syeikh Abu Bakar dibebaskan daripada tahanan dalam bulan Oktober 1952. Ekoran daripada penahanan ini HAMIM menjadi lumpuh dan akhirnya terkubur.

Selain dari HAMIM, tokoh Nasionalisme Perak Dr Burhanuddin Al-Helmy telah mengasaskan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang juga dikenali Parti Nasionalis Melayu (PNM) (bahasa Inggeris: Malay Nationalist Party) pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Negeri Perak. Parti ini merupakan parti politik Melayu yang pertama ditubuhkan selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu Parti ini menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris. PKMM menyebarkan pengaruhnya melalui akhbar-akhbar hariannya iaitu Suara Rakyat, Pelita Malaya dan Semboyan Baharu dan terbitan bulanan iaitu majalah Berjuang dan Voice of the People.

Malahan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin Dr Burhanuddin ditubuhkan lebih awal daripada Umno dan melaungkan slogan “Merdeka”. Walaupun akhirnya Umno yang berjaya mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah Inggeris melalui rundingan selepas semua parti progresif seperti PKMM diharamkan, peranan dan sumbangan gerakan ini dalam mendapatkan kemerdekaan tidak boleh dinafikan.

Tanggal 26 November 2015, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memberi anugerah kepada Dr Burhanuddin Al-Helmy dengan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak yang membawa gelaran Datuk Seri secara Anumerta.

Ehwal Semasa Negeri Perak sunting

Pembangunan ekonomi telah di lipatgandakan dengan pembukaan lombong-lombong baru yang lebih moden dan ladang-ladang getah dan ini telah menyebabkan munculnya bandar-bandar baru disekitar kawasan perekonomian. Bagi menghubungkan rangkaian bandar-bandar baru saperti Taiping dan Ipoh, jalan-jalan raya dan perkhidmatan keretapi telah diwujudkan. Bandartraditional Melayu telah ditinggalkan kesepian kerana segala kepentingan ekonomi dan urusan perniagaan telah tertumpu di sekitar kawasan yang baru dibangunkan oleh penjajah Inggeris. Maka terasinglah orang Melayu dan tinggal lah mereka kesepian dengan corak penghidupan lama mereka di kawasan pertanian, di kuala-kuala sungai dan bandar tradisional warisan mereka.

Penduduk-penduduk Perak telah berkembang pesat dengan penghijrahan beramai-ramai buruh-buruh kaum Cina dan India untuk mengusahakan sektor perlombongan bijih dan ladang getah. Maka daripada sinilah wujudnya masyarakat majmuk yang dapat dikenali daripada identiti kegiatan ekonomi masing-masing.

Negeri Perak sungguh beruntung kerana golongan-golongan Kerabat Di Raja saperti Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah, Sultan Iskandar Shah dan Raja Sir Chulan masih lantang bersuara dan memperjuangkan nasib rakyat yang di kekang penjajah.

Dalam menghadapi aliran perkembangan politik moden di pertengahan tahun 1940-an hinggalah Tanah Melayu mengalami bahana Perang Dunia Kedua, seterusnya detik-detik kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sejarah Negeri Perak berkait rapat dengan sejarah Tanah Melayu pada umumnya. Dalam hal ini negeri Perak telah melahirkan ramai tokoh-tokoh dan pejuang kemerdekaan yang masih harum namanya menjadi kebanggaan generasi sekarang. Sehingga kini payungan di raja Kesultanan Perak masih utuh menaungi kemakmuran negeri dan menjadi lambang kedaulatan dan kekuatan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

Pautan luar sunting