Bahasa Melayu Malaysia

dialek bahasa Melayu yang dipakai secara rasmi di Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 "bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu"

Bahasa Melayu Malaysia (seringkali dikenali sebagai Bahasa Melayu Standard dan Bahasa Melayu Baku) ialah satu bentuk bahasa Melayu yang dikawalselia pemiawaiannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan digunakan sebagai bahasa kebangsaan rasmi di Malaysia. Bahasa Melayu Malaysia mempunyai lebih daripada 80% kosa katanya berkognat dengan kosa kata Bahasa Indonesia dan dituturkan oleh lebih daripada 15 juta orang di Malaysia. Bahasa Melayu ini ialah bahasa kebangsaan negara Malaysia seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, menyebut bahawa: "Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu".[3] Piawai bahasa ini juga digunakan di negara Singapura dan Brunei, dan turut berstatus rasmi di negara-negara tersebut.[4]

Bahasa Melayu Malaysia
بهاس ملايو مليسيا
Bahasa Melayu Standard/Baku
Asli kepada Malaysia
Penutur bahasa
B1: Sedikit
B2: Dituturkan oleh sebahagian besar penduduk di Malaysia , walaupun kebanyakannya mempelajari dialek Melayu tempatan atau bahasa ibunda lain terlebih dahulu[1]
Bentuk awal
Bahasa Melayu Kuno
  • Bahasa Melayu Klasik Johor-Riau
Tulisan Rumi (rasmi) dan Jawi (rasmi di Brunei)[2]
Status rasmi
Bahasa rasmi di
 Malaysia
 Brunei
 Singapura
Dikawal selia olehDewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei
Majlis Bahasa Melayu Singapura
Kod bahasa
ISO 639-3zsm
Glottologstan1306

SejarahSunting

Pada era kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama) memperkenalkan istilah "Bahasa Malaysia" sebagai nama untuk bahasa kebangsaan Malaysia kerana terpengaruh dengan negara jiran Indonesia. Istilah ini kemudiannya diguna pakai secara meluas. Sebenarnya istilah Bahasa Malaysia itu tidak disumbangkan oleh Tuanku Abdul Rahman (Yang di-Pertuan Agong Pertama) tetapi timbul secara spontan selepas tragedi 13 Mei 1969. Hal ini terbukti dalam liputan akhbar pada masa tersebut. Pada masa itu, wujud semacam persetujuan ramai terhadap istilah Bahasa Malaysia. Namun, tiada pemindaan dilakukan terhadap penakrifan bahasa kebangsaan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia pada ketika itu. Disebabkan itulah penggunaan kembali istilah "Bahasa Melayu" menggantikan "Bahasa Malaysia" berlaku pada tahun 1986 sejajar dengan pernyataan "Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu" dalam perlembagaan Malaysia.[5][6]

Pada tahun 2007, berlaku kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan kabinet mengenai istilah bahasa rasmi negara sama ada istilah "Bahasa Melayu" atau "Bahasa Malaysia" yang sebenarnya betul. Ada usaha dilakukan oleh kabinet Malaysia pada 4 Jun 2007 untuk menukarkan penggunaan "Bahasa Melayu" kepada "Bahasa Malaysia" kerana ingin menanamkan semangat perpaduan kaum dalam kalangan rakyat walaupun usaha ini tidak membuahkan hasil ketara[7][8][9]. Kabinet mengarahkan semua kementerian, universiti dan pusat pengajian tinggi supaya memaklumkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menggunakan istilah "Bahasa Malaysia" dalam surat-menyurat, notis dan dokumen. Namun perkara itu sebenarnya sukar untuk dilaksanakan secara menyeluruh kerana perkara 152 perlembagaan Malaysia jelas mengatakan bahasa rasmi negara adalah bahasa Melayu dan bukannya bahasa Malaysia.

Perkara 152. Bahasa kebangsaan

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa-

(a)

tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(b)

tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

Pada tahun 2022, isu nama bahasa rasmi mendapat kritikan daripada Indonesia kerana hasrat perdana menteri Malaysia yang ke-9 iaitu Ismail Sabri mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN.[10][11] Cadangan ini mendapat tentangan keras dari menteri Indonesia Nadiem Makarim kerana menurutnya Bahasa Indonesia adalah lebih layak[12][13][14][15]. Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Kamaruddin M. Said berkata "selagi Malaysia berkeras namakan bahasa rasmi negara adalah bahasa Melayu dan bukannya bahasa Malaysia selagi itu Indonesia akan menolak kita"[16][17]. Perbincangan ini sekaligus menjejaskan status nama bahasa rasmi Malaysia yang jelas menyebut bahasa Melayu.[18][19][20]

Kaedah menulisSunting

Penulisan bahasa Melayu Malaysia telah mengalami beberapa perubahan dan menggunakan beberapa jenis sistem tulisan yang saling berganti. Sistem yang pertama dipakai ialah tulisan Pallava yang berasal dari India. Dengan penyebaran agama Islam, penggunaan sistem tulisan Jawi berkembang di negeri-negeri Melayu seawal abad ke-15. Pada penghujung abad ke-19, sistem tulisan Rumi mula digunakan dalam penulisan bahasa Melayu.

Dalam zaman pascamoden, Bahasa Melayu Malaysia biasanya ditulis dalam tulisan Rumi. Tulisan Rumi merupakan sistem penulisan rasmi Bahasa Melayu Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Tulisan Jawi kini sangat kurang digunakan tetapi kekal sebagai sistem tulisan alternatif terutamanya bagi pengupacaraan agama.

Bahasa Melayu Malaysia kini menggunakan sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu yang telah diisytiharkan penggunaannya pada 16 Ogos 1972 oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak dan Presiden Indonesia, Suharto. Dengan persetujuan ini, bahasa Melayu di Malaysia dan bahasa Indonesia menggunakan sistem ejaan yang sama untuk sistem tulisan rumi bagi kedua-dua bahasa tersebut.

Skop PenggunaanSunting

Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi tunggal Persekutuan dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia pada 1968. Manakala di Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa rasmi di samping bahasa Inggeris.

Pengaruh bahasa asing dalam bahasa MelayuSunting

Sejak zaman kuno, Bahasa Melayu Malaysia telah lama banyak menyerap pengaruh bahasa-bahasa asing seperti Sanskrit, Inggeris, Portugis, Jawa, Arab dan sebagainya.

Pengaruh SanskritSunting

Pengaruh PortugisSunting

Terdapat 131 perkataan yang berasal daripada bahasa Portugis.[21] Beberapa contoh perkataan Portugis yang diserap dalam bahasa Melayu ialah:

Bahasa PortugisBahasa Melayu
ArmárioAlmari
BolaBola
CamisaKemeja
DadoDadu
GarfoGarpu
IgrejaGereja
LimãoLimau
ManteigaMentega
DomingoMinggu
PadrePaderi
ToalhaTuala
JanelaJendela
EscolaSekolah
SabadoSabtu
SabãoSabun
SapatoSepatu

Ragam tidak formal di MalaysiaSunting

Zaman kontemporari telah memperlihatkan perkembangan perbendaharaan kata secara tidak formal dalam Bahasa Melayu Malaysia, terbentuk daripada pengubahsuaian terhadap perkataan-perkataan bersumber daripada Bahasa Melayu Piawai atau bahasa-bahasa lain, sering digunakan terutamanya di kalangan masyarakat bandar, yang mungkin sukar difahami di kalangan generasi terdahulu.

Ekoran hal tersebut, wujudnya tiga jenis ragam bahasa tidak formal pada bahasa Melayu Malaysia, iaitu: bahasa basahan, bahasa pasar dan bahasa rojak. Berikut merupakan perbandingan ragam-ragam bahasa tersebut:

Ragam bahasa Contoh ayat
Bahasa baku Tahukah encik biasanya berapa harga kain ini dijual? Empat belas ringgit untuk satu meter, memang mahal. Lebih baik encik beli kain ini dengan saya, harga pun baru sepuluh ringgit sahaja, lebih murah di kedai ini!
Bahasa basahan (dialek Johor-Selangor) Encik tahu tak biasenye harge kain ni berape? Empat belas semite, mahal tau... Baik beli dengan saye, harge pun baru sepuloh ringgit je, kat sini lagi murah!
Bahasa pasar Lu tau biasa ini kain jual halga belapa? Ampat balas samite, manyak mahal oh... Mali sini beli sama gua, halga sapulu saja, sini punya manyak mulah!
Bahasa rojak Sir you tahu tak kain ni original price dia berapa? Fourteen ringgit per meter, mahal tau... Baik beli dengan I, harge baru ten ringgits, kat sini lagi cheap!

Bahasa basahan MelayuSunting

Bahasa basahan Melayu, juga dikenali sebagai bahasa percakapan Melayu, adalah bahasa yang digunakan dalam percakapan sehari-hari [22] antara penutur asli bahasa Melayu. Laras percakapan wujud dalam mana-mana bahasa di dunia, tetapi dalam konteks Bahasa Melayu Malaysia, padanan laras basahannya adalah berpaksi kepada pemendekan kosa kata laras baku, penggunaan kosa kata bersumber utama dari dialek Johor-Selangor moden dan bersumber sampingan dari pelbagai dialek Melayu atau bahasa kerabat Melayu. Bahasa ini berubah mengikut peredaran zaman, maka wujudnya keadaan mereka yang bergenerasi lama tidak memahami ragam percakapan dari generasi baharu. Antara perkataan-perkataan yang seringkali dianggap sebagai bahasa basahan adalah awek (kekasih perempuan); balak (kekasih lelaki); tak (tidak); usya/usha (tinjau); skodeng (intai); cun (cantik); poyo/slenge (berlagak, perangai teruk, mutu rendah) dan lain-lain. Kata ganti nama majmuk baharu telah dibentuk daripada kata ganti nama asal dan perkataan orang. Contohnya, kitorang (kita + orang, ganti kami); korang (kau + orang, "kamu semua"); diorang atau derang (dia + orang, "mereka").

Antara perkataan yang digunakan pada abad ke-21 ialah:

Perkataan

Tidak Rasmi

Perkataan Rasmi
bleh/leh boleh/dapat
tak leh tidak boleh/tidak dapat
ni ini
tu itu
ko engkau/kamu/awak
korang, diorang, kitorang kau orang (kamu semua), dia orang (mereka), kitorang (kita)
nape kenapa
camne macam mana/bagaimana
camtu/cegitu macam itu
camni/canni/cegini macam ini
pi (ragam utara) /gi (ragam selatan)/pegi pergi
kat dekat/di
ne mana
tau tahu
je/aje sahaja
a'ah ya
makwe/awek teman wanita
pakwe/balak teman lelaki
minah perempuan
mamat lelaki
skodeng mengintai
cun cantik/lawa
jom mari/ayuh
poyo/selenge teruk/buruk
blah beredar/berambus (bergantung kepada konteks dan nada)
mai (ragam utara)/meh mari
apesal/sal/pehal apa pasal/apa hal
tak yah tidak payah
pastu selepas itu/habis itu
amik ambil
pekena makan/minum
jap (ragam selatan) / sat (ragam pantai timur) sekejap
pisyang/pishang rasa bosan sampai tak tahu nak buat apa
bai lah/sangat (contoh: aku pisyang bai)
beb weh kawan
ek (dialek Johor) eh
ke (bentuk tunggal) -kah (kata penegas yang hanya boleh berbentuk imbuhan akhir)
kekwat berlagak
membawang mengumpat
kencing menipu
menganjing memerli

Bahasa pasar di MalaysiaSunting

Bahasa pasar didefinisikan sebagai salah satu ragam bahasa Melayu yang dituturkan oleh penutur bukan asli Melayu (biasanya orang Cina dan India dalam konteks Malaysia) tetapi tidak menguasai sepenuhnya, atau seperti yang dituturkan oleh penutur asli Melayu kepada penutur bukan asli Melayu yang diketahui yang penutur tidak asli tersebut kurang fasih bertutur dalam bahasa Melayu yang betul.[23] Seperti namanya "bahasa pasar", ragam bahasa ini digunakan di tempat perdagangan terbuka seperti pasar pagi yang melibatkan kepelbagaian etnik, dan biasanya orang Melayu menggunakan ragam ini tanpa sedar dengan orang yang kurang mahir dalam bahasa Melayu supaya dapat mengurangkan kesalahfahaman dalam urusan harian.

Bahasa Melayu rojakSunting

Sebilangan penutur bahasa Melayu, terutamanya di Kuala Lumpur, juga sering menukar bahasa (beralih kod) antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, yang seterusnya membentuk bahasa rojak. Bahasa rojak ialah bahasa yang bercampur aduk kata-kata yang digunakan oleh penuturnya, [24], terutamanya di kalangan penutur asli Melayu yang mempelajari dua atau lebih bahasa. Fenomena ini seringkali melibatkan peralihan kod antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Tetapi perlu diingatkan bahawa bahasa rojak yang dimaksudkan di sini berbeza dengan Manglish, walupun kedua-dua bahasa ini dikategorikan sebagai bahasa kreol tetapi bahasa rojak yang dimaksudkan sini masih lagi mempunyai kerangka bahasa Melayu tetapi Manglish pula menggunakan bahasa Inggeris sebagai tunjang bahasanya.

Contoh pinjaman kata yang digunakan ialah: Bestlah tempat ni (Baguslah tempat ni); kau ni terror lah (Kau ni hebatlah). Fenomena ini melahirkan rasa kurang senang di kalangan pencinta bahasa di Malaysia, yang sering memperjuangkan penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul.

Lihat jugaSunting

RujukanSunting

  1. ^ Ethnologue report for language code: zsm. Ethnologue.com. Retrieved on 2010-10-19.
  2. ^ "Kedah MB defends use of Jawi on signboards". The Star. 2008-08-26. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-10-25. Dicapai pada 2010-11-19.
  3. ^ Teks PDF oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia-Perkara 152. Bahasa kebangsaan.
  4. ^ Steinhauer, Hein (2005). "Colonial History and Language Policy in Insular Southeast Asia and Madagascar". Dalam Adelaar, Alexander; Himmelamnn, Nikolaus (penyunting). The Austronesian languages of Asia and Madagascar. London: Routledge. m/s. 65–86. ISBN 9780700712861.
  5. ^ Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 152
  6. ^ Teks PDF oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia-Perkara 152. Bahasa kebangsaan.
  7. ^ https://www.bharian.com.my/kolumnis/2015/12/109757/kaum-cina-wajib-kuasai-bahasa-melayu
  8. ^ https://www.utusan.com.my/rencana/2020/09/cakap-melayu-pun-masih-pelat/
  9. ^ https://www.kosmo.com.my/2020/11/28/tidak-fasih-bahasa-melayu-memalukan/
  10. ^ https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/04/443334/bahasa-melayu-boleh-jadi-bahasa-kedua-dalam-asean
  11. ^ https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/941497/sokongan-indonesia-tingkat-peluang-bahasa-melayu-sebagai-bahasa-rasmi
  12. ^ https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2022/04/942658/menteri-indonesia-tolak-bahasa-melayu-jadi-bahasa-rasmi-kedua-asean
  13. ^ https://www.sinarharian.com.my/article/196438/GLOBAL/Menteri-Indonesia-tolak-cadangan-bahasa-Melayu-bahasa-rasmi-kedua-ASEAN
  14. ^ https://www.utusan.com.my/luar-negara/2022/04/menteri-indonesia-bantah-bahasa-melayu-dijadikan-bahasa-asean/
  15. ^ https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/948112/bantah-bahasa-melayu-jadi-bahasa-kedua-asean-bersifat-politik
  16. ^ https://www.astroawani.com/berita-malaysia/indonesia-akan-tolak-selagi-malaysia-guna-istilah-bahasa-melayu-357992
  17. ^ https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/948219/guna-bahasa-melayu-supra-untuk-bahasa-rasmi-kedua-asean
  18. ^ https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/05/958132/sejarah-bahasa-melayu-akan-lenyap-jika-diganti-nama-lain
  19. ^ https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/04/942682/pada-asasnya-bahasa-indonesia-adalah-bahasa-melayu
  20. ^ https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bukan-bahasa-malaysia-tapi-bahasa-melayu-sebagai-bahasa-pengantar-asean-pm-362536
  21. ^ http://www.youtube.com/watch?v=pycewToY3_A
  22. ^ "Bahasa basahan". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2020.
  23. ^ "Bahasa pasar". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2020.
  24. ^ "Bahasa rojak". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2020.