Panji Semerang
Filem Panji Semerang merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Singapura yang ketika itu sebahagian dari Malaya pada tahun 1961. Filem Panji Semerang diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna.
Panji Semerang | |
---|---|
Pengarah | Omar Rojik Penolong pengarah: Kemat Hassan |
Penulis | Omar Rojik |
Lakon layar | Omar Rojik |
Cerita oleh | S. Kadarisman |
Dihasilkan oleh | Vee Meng Shaw |
Dibintangi | Aziz Jaafar S. Kadarisman Saadiah Dayang Sofia Kemat Hassan Zainon Fiji Normadiah |
Sinematografi | R. C. Purushotham |
Disunting oleh | H. R. Narayana |
Muzik oleh | Osman Ahmad Yusuff B Gurindam: H.M. Rohaizad Tarian: Mustarjo |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Shaw Brothers |
Tarikh tayangan | 1961 |
Masa tayangan | 110 minit |
Negara | Singapura |
Bahasa | Melayu |
Pengarah
suntingFilem Panji Semerang diarah oleh pengarah Omar Rojik pada 1961 dan dibantu oleh Kemat Hassan.
Ringkasan
suntingFilem Panji Semerang adalah berdasarkan Hikayat Panji Semirang, mungkin yang paling popular di kalangan banyak cerita Panji. Ia menggariskan mitos asas rakyat dan kerajaan-kerajaan Jawa. Ia bermula dengan keturunan dari kerajaan syurga 3 orang putera dan seorang puteri separa dewa yang mendirikan kerajaan-kerajaan mereka masing-masing di muka bumi - Prabu Kuripan, Prabu Daha, Prabu Gegelang dan Ratu Biku Gandasari.
Watak utama dalam kisah itu adalah Puteri Galuh Candra Kirana (Saadiah). Beliau adalah anak kepada Gusti Prabu Daha (S. Kadarisman), Raja Kerajaan Daha. Gusti Prabu Daha mempunyai seorang isteri, Permaisuri Puspa Ningrat / Gusti Ratu (Habsah Omar) dan dua orang gundik iaitu Mahadewi (Saamah) dan Paduka Liku (Normadiah). Anak perempuan kepada Paduka Liku ialah Puteri Galuh Adjeng (Dayang Sofia), manakala Galuh Candra Kirana (Saadiah) adalah anak perempuan kepada Permaisuri dan dibesarkan oleh Mahadewi.
Hubungan antara kedua-dua puteri, Galuh Candra Kirana dan Galuh Adjeng, semakin bermasalah dari semasa ke semasa, dengan kedua-duanya bersaing untuk merebut kasih sayang dan perhatian ayah mereka, Prabu Daha. Candra Kirana akhirnya dilamar oleh Putera dari Kerajaan Prabu Kuripan, Raden Inu Kartapati (Aziz Jaafar). Ini menimbulkan kecemburuan oleh saudara tirinya, dan dia mula merancang menentangnya. Paduka Liku merancang untuk meracun Permaisuri dengan bantuan dari Jaksa (Omar Suwita) demi mendapatkan tempat sebagai Permaisuri Gusti Ratu di sisi Prabu Daha agar perancangannya berjalan dengan lancar.
Sementara itu, di Kerajaan Prabu Kuripan melalui rajanya Gusti Prabu (Shariff Dol) telah mengetahui perkhabaran kemangkatan Permaisuri Gusti Ratu tempoh hari. Raden Inu Kartapati telah mengutus dua buah hadiah utama kepada kerabat Prabu Daha sebagai balasan kerana bersetuju mengahwinkan dengan puterinya, Candra Kirana. Salah satu hadiah utama tersebut telah di ambil oleh Galuh Adjeng dan hanya satu hadiah sahaja diberikan kepada Candra Kirana iaitu sebuah anak patung dewa dari kerajaan syurga. Galuh Adjeng yang mendapat anak patung yang diperbuat dari gangsa ingin merampas pula anak patung buatan dari kayu milik Candra Kirana sehingga membuatkan mereka bergaduh. Paduka Liku berjaya memperdayakan Prabu Daha dengan menyatakan masalah tersebut berpunca dari Candra Kirana. Prabu Daha akhirnya menjadi murka. Setelah menimbulkan kemurkaan Prabu Daha, Candra Kirana dihukum hidup dalam buangan oleh ayahandanya. Sebelum itu, dia telah dibawa ke istana, dikecam secara terbuka dan rambutnya dipotong oleh Prabu Daha. Setelah dilucutkan gelaran kebangsawanan istana yang dipesakainya dan penghormatan beliau, Candra Kirana melarikan diri dari tempat Kerajaan Prabu Daha bersama pengikut rapatnya.
Ketika hidup di dalam buangan, Candra Kirana berjanji untuk menebus dirinya dan bermulalah kehidupan barunya disitu. Dengan rambutnya dipotong pendek, dia memutuskan untuk menukar identiti kepada seorang putera dan mengisytiharkan bahawa selepas ini, dia akan dikenali sebagai Putera Raden Panji Semirang Asmarantaka (Saadiah). Dia menyarung pakaian putera dan lengkap bersenjata. Dengan berpindah ke sempadan antara Kerajaan Daha dan Kuripan, dia mendirikan kerajaannya sendiri. Candra Kirana segera menarik sebilangan besar pengikut yang berhijrah ke sana, walaupun tiada seorang pun daripada rakyatnya sedar bahawa Panji sebenarnya seorang wanita.
Tidak lama kemudian Panji Semirang membangunkan reputasi sebagai seorang panglima perang yang ganas dan bercita-cita tinggi. Dia mengisytiharkan perang terhadap negara-negara jiran tetangganya dan menitahkan tentera beliau untuk menyerang Kuripan. Panji juga mengarahkan tentera beliau untuk menculik rakyat Kuripan dan Daha yang melancong di tanah beliau, terutamanya anak dara dari Kerajaan Kuripan.
Akhirnya, Panji juga terpaksa berhadapan dengan putera Kuripan, Raden Inu Kertapati setelah rombongan perkahwinan di antara Raden Inu Kertapati ke kerajaan Daha ditahan oleh tentera Panji. Panji dengan sopan menjemput Raden Inu ke istananya dan melayannya dengan begitu baik. Raden Inu yang terpukau dengan kesopanan dan budi pekerti Panji mula merasa akrab. Akibat perlu berurusan di Daha, Raden Inu terpaksa meninggalkan Panji. Sebelum berangkat pergi, Panji Semerang menghadiahkan sehelai selendang / cindai kepada Raden Inu Kertapati.
Di Daha pula, Raden Inu diminta oleh bapa saudanyanya, Gusti Prabu Daha iaitu untuk berkahwin dengan puteri Galuh Adjeng Daha sebaliknya, yang kebetulan menjadi adik kepada Galuh Candra Kirana (Panji Semerang) itu. Walaupun bersetuju dengan perkahwinan itu, Raden Inu yang keberatan tetap berusaha untuk mencari dimanakah Galuh Candra Kirana menghilangkan diri. Dalam pencarian tersebut, Raden Inu bertemu pula dengan ibunda Candra Kirana, Mahadewi, dan akhirnya mengetahui kisah sebenar yang berlaku beberapa bulan yang lalu.
Panji Semerang pula seterusnya membawa rombongan beliau dan bersemayam di gunung, untuk menghadap Ratu Biku Gandasari (Zainon Fiji), salah satu daripada nenek moyang separa dewata yang merupakan antara orang pertama yang turun dari kayangan dan tinggal di tanah Jawa. Ratu Biku Gandasari memberi nasihat kepada Panji Semerang dan rombongan beliau agar tinggal bersamanya. Sementara itu Raden Inu, yang tidak dapat untuk meneruskan pernikahannya dengan Galuh Adjeng, melarikan diri dari istana. Beliau juga menukar identiti kepada Pangeran Panji Djajeng Kesuma (Aziz Jaafar), dan menakluk kesemua negeri-negeri naungan di sekitar Kerajaan Kuripan. Apabila tiba di kerajaan Gegelang, beliau tidak menyerang tetapi menghadap bapa saudaranya yang merupakan raja di sana iaitu Prabu Ramada (Kemat Hassan) untuk meraikan perkahwinannya dengan Puteri Nilawati (K. Fatimah) yang merupakan salah seorang tawanan dari kerajaan-kerajaan yang berjaya ditewaskan.
Sementara itu di gunung pula, Biku Gandasari terserempak dengan Galuh Candra Kirana yang dalam penyamaran sebagai lelaki. Oleh itu, Biku Gandasari menasihati agar Candra Kirana tidak menggunakan identiti Galuh Candra Kirana atau Panji Semerang tetapi kali ini bertukar sebagai penghibur istana iaitu Warga Asmara (Saadiah), ketua Gambus Muar. Biku Gandasari menyuruhnya membuat persembahan di hadapan Pangeran Panji Djajeng Kesuma di kerajaan Gegelang.
Akhirnya Raden Inu Kertapati (sebagai Pangeran Panji Djajeng Kesuma) bertemu dengan Panji Semerang yang dicintainya, yang kini berubah kepada penghibur lelaki, Gambus Warga Asmara. Dipanah penampilan yang sungguh tidak asing akan Warga Asmara, Raden Inu bersungguh-sungguh berjumpa dengannya. Kemudian Panji Djajeng Kesuma ada bertanya kepada Warga Asmara adakah dia pernah bersua dengan Panji Semerang. Warga Asmara menyatakan dia tidak mengenali Panji Semerang tersebut. Puteri Nilawati pula terpikat dengan keayuan Warga Asmara yang mirip seperti Panji Semerang. Warga Asmara menolak cinta tersebut kerana sama jantinanya. Terdapat khabar berita bahawa Warga Asmara adalah Panji Semerang yang juga Galuh Candra Kirana sehingga dia terpaksa mengaku identitinya kepada Raden Inu Kertapati. Akhirnya kedua-dua kekasih ini bersatu semula dan Galuh Candra Kirana dijadikan sebagai permaisuri kedua. Manakala Jaksa disumpah oleh Biku Gandasari dan dipanah petir ketika mendaki gunung dan Paduka Liku pula disumpah menjadi gila dan lemas di dalam kolam istana. Di kesudahan cerita, Raden Inu Kertapati hidup berbahagia disamping dua orang permaisurinya manakala Galuh Adjeng pula berkahwin dengan Raden Sarikan (Ahmad C) yang merupakan anakanda kepada Prabu Ramada.
Pelakon
sunting- Saadiah sebagai Galuh Candra Kirana / Panji Semerang / Warga Asmara
- Aziz Jaafar sebagai Raden Inu Kertapati / Pangeran Panji Jaeng Kesuma
- S. Kadarisman sebagai Gusti Prabu Daha
- Normadiah sebagai Paduka Liku
- Sa'amah sebagai Mahadewi
- Dayang Sofia sebagai Galuh Adjeng
- Habsah Omar sebagai Permaisuri Puspa Ningrat /Gusti Ratu
- Mustarjo sebagai Wak Perkasa / Semar
- Zainon Fiji sebagai Ratu Biku Gandasari
- Omar Suwita sebagai Jaksa
- Kuswadinata sebagai Sendakar
- Kemat Hassan sebagai Gusti Prabu Ramada
- Ahmad C sebagai Raden Sarikan
- K. Fatimah sebagai Puteri Nilawati
- Ibrahim Pendek sebagai Pengikut Raden Inu
- H. M. Busra sebagai Pengikut Raden Inu
- Malek Sutan Muda sebagai Memanda menteri Panji Semerang
- M. Zain
Lagu
suntingRujukan
suntingPautan luar
sunting- http://www.filemkita.com/filem/p/panji_semerang_01 dicapai pada 23 Jun 2017
- https://letterboxd.com/film/panji-semerang/ dicapai pada 23 Jun 2017
- http://retroevergreen.com/filem-klasik/filem-melayu-klasik/panji-semerang-1961 Diarkibkan 2015-07-15 di Wayback Machine dicapai pada 23 Jun 2017