Kitin (C8H13O5N)n(/[invalid input: 'icon']ˈktn/) merupakan sejenis polimer berantai panjang daripada N-asetilglukosamina, iaitu terbitan glukosa, dan ditemui di pelbagai tempat di seluruh alam semula jadi. Ia merupakan komponen utama bagi dinding sel kulat, rangka luar haiwan artropod seperti krustasia (cth. ketam, udang karang dan udang) dan serangga, radula moluska, dan paruh sefalopod (cth. sotong). Dari segi struktur, kitin boleh dibandingkan dengan polisakarida selulosa dan, dari segi fungsi pula, dengan protein keratin. Chitin juga terbukti berkesan untuk sesetengah tujuan perubatan dan perindustrian.

Struktur molekul kitin yang menunjukkan dua unit N-asetilglukosamina yang berulang-ulang untuk membentuk rantaian panjang dalam rangkaian β-1,4.

Asal-usul nama sunting

Istilah "kitin" berasal dari bahasa Perancis iaitu chitine yang mula-mula tersiar pada tahun 1836. Istilah-istilah ini berasal dari bahasa Yunani iaitu chitōn yang bermaksud moluska, yakni dipengaruhi oleh satu lagi perkataan Yunani iaitu khitōn yang bermaksud "tunik" atau "frok". Perkataan itu mungkin berasal dari perkataan Semitik tengah *kittan, perkataan Akkad kitû atau kita’um yang bermaksud flaks atau linen, dan perkataan Sumeria gada atau gida.[1]


Kimia, sifat fizikal dan fungsi biologi sunting

Struktur kitin diselesaikan oleh Albert Hofmann pada tahun 1930. Kitin merupakan sejenis polisakarida terubah suai yang mengandungi nitrogen; ia disintesiskan daripada unit-unit N-asetilglukosamina (secara tepatnya, 2-(asetilamino)-2-deoksi-D-glukosa). Unit-unit ini membentuk rangkaian β-1,4 kovalen (yang serupa dengan rangkaian di antara unit-unit glukosa yang membentuk selulosa). Oleh itu, kitin boleh ditakrifkan sebagai selulosa dengan satu kumpulan hidroksil pada setiap monomer yang diganti dengan suatu kumpulan amina asetil. Ini membolehkan bertambah eratnya ikatan hidrogen sesama polimer yang bersebelahan, maka menguatkan lagi matriks kitin-polimer.

 
Seekor riang-riang menyalin rangka luarnya yang penuh dengan kitin.

Dalam bentuk tak terubahsuainya, kitin adalah lutcahaya, mudah dilenturkan, membingkas, dan agak tahan lasak. Bagaimanapun, bagi artropod, ia lazimnya terubah suai menjadi terbenam dalam sklerotin, sejenis matriks berprotein samak yang membentuk sebahagian besar rangka luar. Dalam bentuk jatinya, kitin berasa keras, tetapi bagi kebanyakan invertebrat ia lazimnya didapati sebagai komponen bahan komposit. Digabungkan dengan kalsium karbonat, seperti dalam cangkerang krustasia, ia menghasilkan komposit yang lebih kuat, lebih keras dan kaku daripada kitin yang jati, lebih tahan lasak daripada bahan mineral itu sendiri.[2] Satu lagi perbezaan antara kitin jati dan komposit boleh dilihat dengan membandingkan dinding tubuh yang mudah lentur di antara segmen-segmen beluncas (terutamanya kitin) dengan elitron yang kaku dan ringan pada kumbang (yang mengandungi sejumlah besar sklerotin).[3]

Kegunaan sunting

Pertanian sunting

Kebanyakan kajian terkini menunjukkan bahawa kitin merupakan pengaruh yang baik untuk mekanisme pertahanan dalam tumbuhan.[4] Ia turut dinilai sebagai sejenis baja yang boleh meningkatkan hasil tanaman pada keseluruhannya.[5] EPA memantau penggunaan kitin untuk pertanian di Amerika Syarikat.[6] Kitosan dihasilkan daripada kitin secara pendeasetilan.

Perindustrian sunting

Kitin digunakan dalam pelbagai proses perindustrian. Ia digunakan sebagai bahan penambah untuk menebalkan dan menstabilkan makanan dan bahan farmaseutikal. Kitin juga bertindak sebagai pengikat dalam pencelup warna, fabrik, dan bahan lekat.

Rujukan sunting

  1. ^ Heritage dictionary of the English Language: Fourth Edition. 2000. entry for chiton
  2. ^ Campbell, N. A. (1996) Biology (4th edition) Benjamin Cummings, New Work. p.69 ISBN 0-8053-1957-3
  3. ^ Gilbert, Lawrence I. (2009). Insect development : morphogenesis, molting and metamorphosis. Amsterdam Boston: Elsevier/Academic Press. ISBN 978-0-12-375136-2.
  4. ^ "Linden, J., Stoner, R., Knutson, K. Gardner-Hughes, C. "Organic Disease Control Elicitors". Agro Food Industry Hi-Te (p12-15 Oct 2000)" (PDF).
  5. ^ "Chitosan derived from chitin, Chitosan Natural Biocontrol for Agricutlural & Horticultural use".
  6. ^ "EPA: Chitin; Poly-N-acetyl-D-glucosamine (128991) Fact Sheet".


Pautan luar sunting