Sejarah Negeri Pahang bermula sebelum didirikan kerajaan Melayu Melaka, wilayah bahagian selatan Semenanjung Tanah Melayu semuanya termasuk dalam kawasan kerajaan Pahang. Orang Jawa Majapahit zaman dahulu menyebut Semenanjung Tanah Melayu sebagai Pahang sahaja. Pada awal kurun Masihi ke 16, pada permulaan terdirinya kerajaan Melayu Johor, sempadan Negeri Pahang Darul Makmur; di sebelahnya sampai ke Sedili Besar dan di utara sampai ke Terengganu; sempadan ke baratnya pula sampai ke Rembau, Selangor dan Perak. Negeri Pahang Darul Makmur sekarang ini di sebelah utara dan baratnya dilingkungi oleh banjaran gunung dan di sebelah timurnya terbentang Laut China Selatan.

Negeri Pahang Darul Makmur ialah sebuah negeri yang terbesar di Semenanjung Tanah Melayu dengan keluasan 35,515 km². Kemasyhuran dan kehebatan namanya pada masa dahulu menjadi rebutan kerajaan yang ada di sekelilingnya. Pada masa ini Pahang adalah negeri di Semenanjung dengan terbahagi kepada sebelas daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Temerloh, Jerantut, Bentong, Raub, Lipis, Cameron Highlands dan Bera. Manakala penduduknya pula terdiri dari berbagai kaum dan bangsa.

Asal Usul Nama Negeri Pahang sunting

Pada zaman dahulu Negeri Pahang Darul Makmur mempunyai berbagai nama. Pengarang China menyebutnya sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pang-Heng, Pong -Fong, Phe-Hang,Pang-Kang dan lain-lain. Pada tahun 1225 Chao Ju-Kua telah mengarang sebuah buku bernama Chu-Fan-Chi, beliau menyatakan di antara beberapa buah negeri yang ditakluki di bawah kuasa San-fo-chi ialah negeri yang bernama Peng-keng. Peng-keng itu ialah Negeri Pahang Darul Makmur.

Orang Arab dan orang Eropah zaman dahulu menyebut Pam, Pan, Phang, Paam, Pao, Paon, Phaan, Paham, Fanhan, Phang dan Pahagh. G.R. Tibbetts, seorang ahli sejarah yang mengulas kisah yang ditulis dengan huruf Arab dalam buku karangan Mas'udi itu pada pendapat Tibbetts ialah Pahang. Dia lebih setuju menyebut perkataan Fanjab itu sebagai Fanhan, Panghang atau Panhang. Semuanya itu dimaksudkan Pahang. Ada setengah pendapat menyatakan Pahang berasal dari bahasa Siam asli ertinya timah. Orang Siam asli yang dulunya mendiami negeri ini dengan membuka lombong bijih timah terutama di Sungai Tembeling.

Mengikut cerita orang tua-tua Melayu pula, pada zaman dahulu di Sungai Pahang iaitu bertentangan dengan Kampung Kembahang, ada sebatang pokok kayu mahang yang besar rebah melintang menyeberangi sungai itu.Dari pokok mahang itu kononnya berasal nama Negeri Pahang Darul Makmur itu.Gelaran tua bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang dan ibu negeri pada zaman dahulu iaitu Pekan.Sebelum ditakluk oleh kerajaan Melayu Melaka ia dikenali sebagai Pura.

Pahang Zaman Pra-Sejarah sunting

Penyelidikan telah dibuat oleh ahli kaji purba secara ilmiah di beberapa tempat di Negeri Pahang Darul Makmur iaitu di gua-gua batu, di gunung-gunung, di tempat berhampiran dengan sungai, di tanah perlombongan lama dan juga di tempat lapang. Jumpaan benda purba terdiri daripada batu, tembikar, gangsa dan besi kuno buatan orang zaman purbakala.

Tempat tersebut ialah di gua batu kapur seperti Kota Tongkat, Kota Gelanggi dekat Jerantut; Gua Kecil, Raub; Gunung Senyum; Bukit Chintamanis, Karak; Sungai Lembing, Tersang, Kuala Lipis Sungai Selinsing Sungai Tui, Nyong, Teluk Lubuk Puai, Batu Pasir Garam, Bukit Jong dan Kg. Padi di persimpangan Sungai Tembeling dan beberapa tempat lagi di sepanjang Sungai Pahang. Antara benda purba yang dijumpai tertanam dalam tanah di negeri ini ialah barang dan perkakas yang dibuat daripada batu oleh orang zaman batu pertengahan (mesolithic). Barang-barang tersebut ialah kapak genggam, beliung dan pahat.

Ahli kaji purba menyatakan manusia zaman batu pertengahan yang mendiami Negeri Pahang Darul Makmur tinggal di gua batu dan gua-gua di gunung-ganang negeri ini dan mereka adalah kumpulan yang mula-mula datang ke Semenanjung Tanah Melayu dan Tanah Besar Benua Asia. Rombongan Melayu Proto mendiami Semenanjung termasuk Pahang dan pulau-pulau Nusantara ialah dalam lingkungan 3,000 atau 2,000 sebelum Masehi.

Dari aspek pertanian, barang dan perkakas buatan orang zaman batu akhir yang telah dijumpai dalam tanah ialah benda yang berupa mata lembing, pisau, sabit, cangkul, tenggala dan lain-lain perkakas ganjil yang dibuat daripada besi zaman dahulu. Tempat yang dijumpai terutamanya di tepi Sungai Lembing, Teluk Lubuk Puai Jong tepi Sungai Lipis. Di Kampung Batu Pasir Garam di tepi Sungai Tembeling, dijumpai pecahan muka gendang zaman dahulu yang diperbuat daripada gangsa. Gendang gangsa ini digunakan oleh orang yang memakai kebudayaan gangsa.Dr. Linehan berpendapat gendang gangsa ini ditukangi di Indo-China dan dibawa dari negeri Funan ke Ulu Tembeling antara kurun Masihi ketiga iaitu dibawa bersama-sama dengan perkakas dari besi kuno (tulang mawas).

Mengikut ahli kaji manusia dan ahli sejarah, orang Melayu pesisir (DeutroMalays) ialah nenek moyang orang Melayu yang tinggal di daerah pantai Semenanjung Tanah Melayu. Pendek kata pada zaman dahulu kala selain daripada orang asli iaitu orang Semang dan puaknya di Negeri Pahang Darul Makmur telah didiami oleh manusia yang disebut dalam ilmu sejarah sebagai manusia zaman batu pertengahan, zaman batu akhir atau permulaan zaman gangsa lagi.

Pemerintahan Negeri sunting

Menurut riwayat tua pemerintahan negeri ini dijalankan dengan cara pemerintahan beraja dari semenjak zaman dahulu kala membawa ke masa sekarang. Keturunan raja Melaka itulah yang lama sekali berkuasa di Negeri Pahang Darul Makmur dan pemerintahan daripada waktu itu memakai gelaran Sultan dan keturunan ini memerintah lebih dari 200 tahun semenjak daripada raja bernama Sultan Mahmud Shah yang masyhur di dalam Sejarah Marhum Mangkat Di julang dalam tahun 1699.

Setelah itu pemerintah Pahang pindah kepada keturunan Bendahara Tuan Habib Abdul Majid, Bendahara Padang Saujana Johor. Dari titisan keluarga dan zuriat ini juga telah menjadikan Negeri Pahang Darul Makmur terputus dari takluk Riau dan telah menubuhkan satu pemerintahan merdeka, berkuasa penuh sebelum ini, menjalinkan persahabatan dengan Sultan hinggalah sekarang ini.

Pihak Inggeris telah meluaskan kuasanya ke Negeri Pahang Darul Makmur, Residen pertama iaitu J.P.Rodger telah dilantik dalam bulan Oktober 1888. Perkara utama yang diberikan perhatian oleh Inggeris ialah menentukan tempat letaknya pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur. Tiga tahun kemudian iaitu dalam tahun 1891 pusat pentadbiran ini dipindahkan dari Pekan ke Lipis. Rancangan ini hanya untuk buat sementara sahaja tetapi rancangan yang dikatakan sementara itu telah memakan masa lebih dari 64 tahun kerana pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur hanyalah dipindahkan ke Kuantan pada tahun 1955.

Cadangan untuk pemindahan pusat pentadbiran ini telah dibuat semenjak tahun 1901 lagi, tetapi keputusan muktamad untuk memindahkan pusat pentadbiran Negeri Pahang dari Kuala Lipis ke Kuantan diambil pada 2 Mac 1953; Bagi memilih tempat yang bersesuaian bagi pusat pentadbiran Negeri Pahang, pihak Kerajaan Negeri telah memusatkan pandangannya kepada dua kawasan iaitu Temerloh / Mentakab dan Kuantan. Tetapi disebabkan bentuk mukabumi Temerloh / Mentakab yang tidak rata dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk pembangunannya maka Kuantan telah diputuskan untuk dijadikan ibu negeri Pahang Darul Makmur.

Pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur telah dipindahkan ke Kuantan pada hari Sabtu 27 Ogos 1955 dengan dirasmikan oleh Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’azzam Shah, manakala pada 28 Februari 1970, bangunan pentadbiran pusat berpindah ke Wisma Sri Pahang.

Sistem Perhubungan Awal Di Negeri Pahang sunting

Pada zaman dahulu di Negeri Pahang Darul Makmur sungai-sungai seperti Sungai Pahang, Sungai Kuantan, Sungai Bebar, Sungai Rompin, Sungai Endau, Sungai Tembeling, Sungai Jelai, Sungai Semantan dan cawangan-cawangan sungai itu serta beberapa buah sungai kecil yang lain telah digunakan sebagai jalan perhubungan. Begitu juga perhubungan antara Negeri Pahang Darul Makmur dan negeri-negeri lain di sekitarnya. Orang yang hendak pergi ke Kelantan ikut Sungai Tanum anak Sungai Jelai atau ikut Sungai Sat dan Sungai Sepia, kedua-duanya anak Sungai Tembeling. Sungai Sepia itu boleh juga digunakan jika hendak pergi ke Negeri Terengganu. Perhubungan dengan Negeri Perak dihubungi oleh jalan-jalan yang lebih sukar iaitu ikut Sungai Bertam dan Sungai Lipis. Kedua-duanya adalah anak Sungai Jelai. Perhubungan dengan Negeri Selangor pula melalui Sungai Semantan dan cawangannya.

Jalan yang utama digunakan oleh orang pada zaman dahulu ialah jalan yang menghubungkan Negeri Pahang Darul Makmur dengan daerah-daerah di Hulu Muar dan Negeri Melaka. Jalan ini dari Negeri Pahang Darul Makmur ikut (mudik) Sungai Pahang; kemudian masuk ke sebuah anak Sungai Pahang yang bernama Sungai Bera, selepas itu ikut pula sebuah anak Sungai Bera bernama Sungai Serting. Pada suatu tempat di hulu Sungai Serting, naik ke darat sejauh tiga ratus ela, masuk pula Sungai Jempol, menghilir Sungai Jempol dan masuk ke Sungai Muar. Dari Muar bolehlah pergi ke Melaka dan tempat-tempat lain di barat Semenanjung Malaysia. Jalan inilah yang telah diikuti oleh Sultan Mahmud Shah Melaka dan putera baginda Sultan Ahmad setelah ia dikalahkan oleh orang-orang Portugis di Pagoh dan Bentayan (Kuala Muar) pada akhir tahun 1511. Jalan ini juga yang digunakan oleh Sultan Ali (putera Sultan Husain Shah Singapura) dari Kampung Umbai, Melaka yang pergi berjumpa Bendahara Wan Ahmad di Pahang (Pekan) pada tahun 1863.

Manuel Godinho de Erédia, seorang pengarang dan pegawai Portugis di Melaka (tahun 1613) menyatakan: "Dari Melaka jalan menempuh Penarikan itu boleh sampai ke Pahang (dan sebaliknya), hanya enam hari perjalanan".

Perahu jalak telah digunakan bukan sahaja membawa kargo dan barang-barang tetapi juga untuk membawa penumpang. Jalak boleh memuatkan dua belas penumpang dan lebih kurang 15 tan kargo. Dari Kuantan ke Kuala Pahang sewa yang dikenakan untuk satu perjalanan ialah $25.00. Syarikat Lombong Bijih Timah Sungai Lembing (PCCL) telah memulakan perkhidmatan harian antara bandar Kuantan dan Pasir Kemudi. Dari Pasir Kemudi penumpang dan kargo dibawa dengan keretapi ke Sungai Lembing.

Sebelum siap jalanraya dari Jerantut ke Kuantan, pegawai di Ulu Pahang yang hendak ke Kuantan akan menggunakan perahu atau rakit menghilir Sungai Pahang atau untuk pergi ke Pekan.

Setelah beberapa tahun kerajaan Inggeris mentadbir Pahang, usaha membina jalanraya pun dimulakan. Pada penghujung tahun 1910 jalan sepanjang 18 batu dari Kuantan menuju Ulu Pahang siap dibuka kepada orang ramai. Feri mula dibuka dan digunakan oleh orang ramai pada 5 September 1910 di Kuantan. Dalam tahun 1918 jalan raya Jerantut-Kuantan dapat dihubung terus ke Kuala Lipis. Hujung tahun 1933, jalan raya dari Pekan ke Kuantan dibuka dengan rasminya. Kemudahan perhubungan negeri ini terus maju dengan banyaknya pembinaan jalan raya, jambatan dan lapangan terbang serta pelabuhan. Kesemuanya ini dapat memendek dan memudahkan perjalanan serta perhubungan antara satu tempat dengan satu tempat di Negeri Pahang Darul Makmur di Malaysia dan negara-negara jiran seperti Singapura di sebelah selatan dan Thailand di sebelah utara.

Lihat juga sunting

Pautan luar sunting