Tuaran

Pekan dan Daerah di Sabah, Malaysia

Tuaran (Tulisan Jawi: توارن‎), adalah sebuah pekan besar yang terletak di Daerah Tuaran, Bahagian Pantai Barat, barat laut Sabah, Malaysia di Pulau Borneo. Penduduknya dianggarkan sekitar 128,200 pada tahun 2019 dengan separuh penduduknya terdiri dari suku kaum Dusun, sebagian besar dari sub kelompok Lotud serta Bajau. Selebihnya kebanyakannya masyarakat Cina Malaysia, terutamanya dari subkumpulan Hakka dan Melayu. Bandar ini bersempadan dengan tiga sisi oleh Sungai Tuaran. Tuaran terletak 34 kilometer di utara ibu negara Sabah iaitu Kota Kinabalu, dan terletak di sepanjang lebuh raya utama yang menghubungkan Kota Kinabalu dengan utara Sabah. Daerah Tuaran berkeluasan kira-kira 1,166 kilometer persegi. Tuaran juga terkenal dengan binaan 9 tingkat Pagoda Cina yang dijadikan lambang dan mercu tanda pekan ini.

Tuaran
Transkripsi lain
 • Jawiتوارن
Jata Tuaran
Etimologi: Tawaran
Lokasi pekan dan daerah Tuaran
Lokasi pekan dan daerah Tuaran
Tuaran yang terletak di Malaysia Timur
Tuaran
Tuaran
Koordinat: 6°11′N 116°14′E / 6.183°N 116.233°E / 6.183; 116.233Koordinat: 6°11′N 116°14′E / 6.183°N 116.233°E / 6.183; 116.233
Negara Malaysia
Negeri Sabah
BahagianPantai Barat
DaerahTuaran
Pentadbiran
 • BadanMajlis Daerah Tuaran
 • Pegawai DaerahHadzlan Hj. Jablee
 • Pegawai EksekutifJackley Gielbert
 • MPYang Berhormat Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO) (Tuaran)
Keluasan
 • Jumlah1,166.00000 km2 (450.195117 batu persegi)
Penduduk
 (2019)
 • Jumlah128,200
 Populasi di sekitar Daerah Tuaran
Zon waktuUTC+8 (Waktu Malaysia)
Kawasan KejirananTamparuli, Tenghilan, Topokon
Tamu MingguanAhad
Nombor platSA (1980-2018)
SY (2018-2023)
SJ (2023-)
SK
Laman sesawangww2.sabah.gov.my/md.trn/ ww2.sabah.gov.my/pd.trn/
sebahagian pekan tuaran

Bandar ini merupakan destinasi persinggahan yang begitu popular kepada para pelancong dan masyarakat yang dalam perjalanan pergi/balik ke/dari bandar-bandar di utara Sabah seperti (Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, dan Tenghilan) dan bagi mereka yang dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu. Bandaraya Kota Kinabalu terletak hanya 34 km ke selatan Tuaran. Kota Tuaran telah mengalami suatu betuk pembesaran kawasan yang drastik tetapi kini pembesaran kota ini mengalami sedikit hambatan akibat bentuk muka bumi Tuaran yang agak terhad berikutan terdapatnya sungai yang mengelilingi bandar ini.

Etimologi

sunting

Asal-usul Tuaran

sunting
 
bangunan urusetia daerah tuaran

Asal-usul nama Tuaran dipetik daripada sumber asli pada tahun 1813 oleh seorang rakyat British, iaitu Sir Stamford Raffles melalui surat yang ditulisnya kepada Setiausaha British di India untuk memohon kebenaran bagi memasuki Borneo Utara.[1] Sir Stamford Raffles selaku Gabenor British di Jawa ketika itu telah menggunakan pelawaan daripada Kerajaan Brunei sebagai alasan utama beliau untuk membuat permohonan kebenaran berkenaan. Tujuan pelawaan daripada Kerajaan Brunei kepada Sir Stamford Raffles adalah disebabkan oleh masalah lanun yang semakin berleluasa di Borneo Utara terutamanya di kawasan Jawaran.[2] Kawasan Jawaran yang dimaksudkan dalam surat Sir Stamford Raffles kepada Setiausaha British di India adalah merujuk kepada kawasan Tuaran.[3]

Sumber kedua adalah berkenaan dengan Ekspedisi Panassang[4] yang dilakukan oleh para pasukan konstabel pimpinan Kapten John Smith pada Februari 1886. Ekspedisi berkenaan adalah bertujuan untuk menghapuskan kegiatan memburu kepala dalam kalangan penduduk tempatan terutamanya di Kampung Panassang dan lima lagi kampung yang lain, iaitu Sampang, Sirimboton, Tiangat, Sawar, dan Sigalow. Kesemua kampung tersebut telah dibakar oleh pasukan konstabel British sebagai tanda amaran kepada penduduk tempatan agar menghentikan amalan tradisi memburu kepala. Hal ini kerana, amalan tersebut telah menjejaskan pentadbiran British di Borneo Utara. Berdasarkan keterangan dalam Ekspedisi Panassang, ekspedisi ini boleh juga dikaitkan dengan satu lagi ekspedisi yang dikenali sebagai ‘Ekspedisi Tawaran’.[5] ‘Ekspedisi Panassang’ adalah merujuk kepada ekspedisi ke Tuaran yang terletak di kawasan Pantai Barat.[6]

Nama Tuaran dipercayai berasal dari perkataan bahasa Melayu yakni tawaran yang bermaksud 'jualan' atau 'tawar' atau 'diskaun' atau 'promosi'.[7] Nama ini dipercayai berasal daripada fungsi pasar dimana para penduduk bumiputera yang datang dari perkampungan tepi bukit dan genting bukit datang ke Tuaran untuk menjual hasil tanaman mereka kepada para nelayan pantai dan masyarakat Cina pantai.

Terdapat juga sumber yang mengatakan bahawa nama Tuaran diambil sempena dengan nama sungai air tawar atau Sungai Tuaran,[8] iaitu satu-satunya sungai yang terdapat di daerah Tuaran. Walau bagaimanapun, nama Tuaran juga dikaitkan dengan nama ‘Tawarran’ sebelum diubah nama kepada ‘Tuaran’. Perkataan ‘Tawarran’ adalah diambil sempena kegiatan tawar-menawar dalam kalangan para pembeli untuk mendapatkan sesuatu daripada penjual. Kegiatan tawar-menawar dalam kalangan masyarakat Tuaran tersebut menunjukkan bahawa aktiviti perdagangan telah pun wujud di daerah berkenaan sebelum kedatangan pihak British. Aktiviti perdagangan yang dijalankan oleh masyarakat tempatan di daerah Tuaran lebih dikenali sebagai tamu[9] ataupun tamu mingguan. Sebelum kedatangan kuasa asing di daerah Tuaran, tamu merupakan sebuah pasar terbuka yang menjadi medan perdagangan barter antara suku kaum Kadazandusun dan Bajau, seperti hasil-hasil pertanian dan tangkapan laut.[10]

Sejarah

sunting

Pemerintahan

sunting

Sebelum kedatangan pihak British, Tuaran merupakan tanah jajahan kepada dua tampuk pemerintahan, iaitu pemerintah Kesultanan Sulu yang berpusat di Balambangan dan pemerintah Kesultanan Brunei.[11] Namun, Kesultanan Brunei lebih banyak menguasai kawasan Tuaran. Hal ini kerana, sebahagian besar daripada kawasan Tuaran dipercayai terletak di bawah jajahan pemerintahan Kesultanan Brunei.

Ketika Tuaran berada di bawah taklukan Kesultanan Brunei, Tuaran telah mempunyai struktur pentadbiran yang lengkap dan teratur. Hal ini kerana, beberapa orang pembesar istana Kesultanan Brunei telah pun dilantik dengan gelaran seperti Datuk Bendahara, Datuk Temenggung, dan Datuk Syahbandar. Walaupun struktur pentadbiran semasa pemerintahan Kesultanan Brunei dikatakan tersusun dan serba lengkap, namun pelaksanaan oleh para pembesar yang diperintahkan untuk mentadbir kawasan-kawasan tanah jajahan baginda adalah berdasarkan budi bicara dan mengikut kemahuan mereka sendiri. Hal ini telah menjejaskan pelaksanaan struktur pentadbiran Kesultanan Brunei.

Oleh itu, timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan. Misalnya, seorang bangsawan Brunei yang bernama Shariff Jahir[12] ketika diberi kuasa mentadbir Tuaran telah bertindak melantik Nakhoda Radin yang berbangsa Dayak dan berasal dari Sarawak sebagai pembantunya. Shariff Jahir telah mengarahkan Nakhoda Radin untuk menjaga kawasan Tuaran. Selain itu, Nakhoda Radin turut berperanan dalam mengutip cukai daripada para penduduk tempatan. Campur tangan orang asing dalam soal pentadbiran di kawasan Tuaran dan ditambah lagi dengan pemungutan cukai yang membebankan, telah mendapat tentangan dalam kalangan penduduk tempatan. Reaksi negatif para penduduk tempatan akibat ketidakadilan struktur pentadbiran di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei, telah membawa kepada kesanggupan mereka untuk menerima pentadbiran daripada kuasa asing, iaitu pihak British.

Keadaan ini dapat dilihat apabila tiada sebarang tentangan yang ketara daripada penduduk pribumi Sabah apabila dengan rasminya tanah air mereka diperintah oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB), iaitu pada bulan November 1881.[13] Pemerintahan secara rasmi SBBUB ke atas Sabah pada bulan November 1881, telah membawa kepada kemunculan Sabah sebagai satu unit politik yang tersendiri. Hal ini kerana, sebelum pemerintahan SBBUB, Sabah terletak di bawah kedaulatan dua kesultanan, iaitu Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei. Begitu juga pada bulan November 1884, apabila Tuaran bersama-sama dengan Padas-Klias dan Bongawan telah diserahkan secara rasmi oleh Kesultanan Brunei kepada SBBUB dengan bayaran tahunan sebanyak $3,000.[14] Rentetan daripada penyerahan beberapa tanah jajahan Kesultanan Brunei kepada SBBUB telah menandakan bermulanya pemerintahan kuasa asing di Tuaran.

Pantadbiran SBBUB yang bermula pada tahun 1884 telah membawa kepada perlantikan seoarang ketua dari suku kaum Bajau, iaitu Pengiran Subudin sebagai Ketua Daerah untuk membantu Pegawai Daerah (DO).[15] Kemudian pada tahun 1887, seorang lagi ketua dari suku kaum Kadazandusun telah dilantik untuk membantu Pengiran Subudin melaksanakan hal ehwal pentadbiran daerah Tuaran. Tujuan pihak SBBUB melantik penduduk tempatan untuk menjawat beberapa jawatan dalam pentadbiran daerah Tuaran adalah untuk menunjukkan sistem pentadbiran SBBUB adalah bersifat tempatan dan bukannya bersifat pemerintahaan kuasa asing semata-mata. Pentadbiran daerah Tuaran dilaksanakan di sebuah Pejabat Daerah Tuaran yang ditubuhkan pada abad ke-19. Bangunan pejabat daerah Tuaran pada mulanya hanya merupakan sebuah pondok kecil yang dibina di sebuah kampung, iaitu Kampung Kota.[16] Penubuhan pejabat daerah tersebut bertujuan untuk memudahkan pihak SBBUB mentadbir para penduduk di daerah Tuaran.

Cerita Rakyat

sunting

Legenda Rumah Panjang Indai dan Perang Sindaat - Kisah Dari Dusun Lotud

sunting

Pada suatu masa dahulu, terdapat sekelompok besar manusia yang mendiami sebuah rumah panjang di sebuah tempat yang disebut Indai di Tuaran. Rumah panjang itu sangatlah panjang sehingga jika terjadi kematian di ujung rumah panjang itu pada siang hari maka berita itu hanya akan diketahui oleh orang yang berada di ujung rumah panjang yang satu lagi pada besok harinya. Jikalau seseorang memetik ranting selasih dan berjalan dari hujung ke hujung rumah panjang itu, ranting selasih itu akan menjadi layu pada saat orang itu sampai di hujung rumah panjang itu.

Jumlah penduduk di rumah panjang itu sangatlah banyak sehingga apabila pelepah kelapa jatuh di jalan utama perkampungan itu pada siang hari, pada petang hari semua daun dari pelepah itu akan tertanggal habis daripada batangnya (kerana dipijak-pijak). Dan pada petang hari, ketika perempuan-perempuan dari perkampungan itu menuju ke sungai berdekatan untuk mencuci periuk nasi mereka sebelum memasak nasi untuk makan petang, jumlah kerak nasi yang terbuang di sungai dapat menghalang aliran air.

Suatu hari, seorang wanita tua bernama Odun Lumbanyang tinggal di salah satu bilik di bagian tengah rumah panjang itu telah pergi ke sebuah rawa untuk menangkap ikan menggunakan sebuah jaring penangkap ikan. Namun anehnya, tidak seperti sebelumnya dia menangkap banyak ikan, kali ini dia tidak berhasil menangkap walau seekor ikan pun. Dia mencoba menjala terus tetapi tetap tidak berhasil menangkap seekor ikan kecuali seekor ketam kecil.

Dia membuang ketam itu namun tetap terjala lagi, dan berapa kali dia membuang ketam itu jauh-jauh tetap saja ketam itu tetap terjala dijaring ikannya. Akhirnya dia memutuskan untuk mengambil ketam itu dan meletakkannya di dalam “baraitnya”.

Dan walaupun dia masih mencoba menangkap ikan di bagian-bagian lain rawa tersebut sehingga tengah hari, dia tetap tidak menangkap apa-apa. Kerana kelelahan, di memutuskan untuk pulang ke rumah dan ketika hampir sampai ke rumah, dia tiba-tiba merasa kasihan dengan ketam di baraitnya itu karena menurutnya masih terlalu kecil untuk dimakan. Dia kemudian meletakkan ketam itu di sebuah mangkuk dari tempurung kelapa, dengan air yang cukup untuk ketam itu tenggelam.

Ketika dia bangun pada siang besoknya, dia terkejut karena mendapati bahwa ketam kecil itu sudah membesar dalam satu malam, memenuhi mangkuk tempurung kelapanya. Dia kemudian memutuskan untuk meletakkan ketam itu ke dalam “tagu” (sebuah bekas/kontainer yang diperbuat dari kulit pohon)

Pada pagi besoknya, ketam itu membesar lagi, memenuhi seluruh “tagu” itu. Kerana tidak memiliki wadah yang cukup besar untuk ketam itu, dia memutuskan untuk meletakkan ketam itu di sebuah kolam tempat kerbau berkubang, di depan rumahnya. Pada besok paginya, ketam itu membesar menjadi sangat besar sampai memenuhi kolam kubangan kerbau itu.

Pada malam itu, ketam itu memberitahu orang tua itu dalam mimpinya, dia berkata, “terima kasih karena telah menjaga saya. Saya sebenarnya datang kepada kamu karena suatu tujuan penting. Saya di sini datang untuk melindungi perkampungan ini dari seekor naga yang cukup kuat, yang akan menyerang perkampungan ini dari arah laut. Saya akan berangkat malam ini karena saya akan membesar lagi menjadi lebih besar untuk melawan naga itu di kuala sungai, dan jika ada siapapun yang kelak melihat air sungai menjadi berwarna putih ketika masa air pasang, maka kamu akan mengetahui bahwa itulah darah saya yang akan mengalir keluar pada hari saya melawan naga itu.” Pada besok harinya, ketam itu sudah tiada lagi di kolam kubangan itu. Setelah beberapa hari berlalu,Odun Lumban diberitahu bahwa air sungai telah menjadi putih tepat pada air pasang, dia spontan teringat kembali kata-kata ketam yang muncul dalam mimpinya.

Karena merasa risau dengan ketam itu, dia menaiki perahunya lalu menuju ke kawasan tepi laut, dan sungguh benar ketamnya itu sedang berlawan dengan seekor naga, dengan ukuran yang sangat besar.

Pada suatu ketika salah satu dari penyepit ketam itu hampir patah karena sengitnya perlawanan itu, wanita tua itu kemudian ke dalam hutan untuk mengambil mengambil rotan dan membantu mengikat penyepit ketam yang cedera itu, ini berhasil memberikan kekuatan baru kepada ketam itu sehingga pada pertarungan seterusnya, akhirnya ketam itu berjaya memenangi perlawanan, membunuh naga itu.

Dengan ucapan selamat tinggal, ketam itu kemudiannya menyelam memasuki laut, sementara Odun Lumban memutuskan untuk mengambil beberapa dari tulang naga itu sebagai cenderamata dari peristiwa hebat itu. Ketika di hadapan rumah panjang, dia menanam tulang itu di hadapan berenda rumahnnya. Tidak lama setelah itu tumbuhlah pokok kolian dari tulang itu.

Namun ajaibnya pokok kolian ini mengeluarkan buah yang terbuat daripada emas. Apabila pokok itu menjadi semakin besar, lebih banyak buah emas yang dikeluarkannya, seluruh penduduk rumah panjang itu mulai memetik dan memiliki ketulan-ketulan buah emas yang semakin hari semakin membanyak, yang kemudiannya dari emas itu mereka membuat peralatan rumah dari emas tersebut- senduk, pinggan, pemarut kelapa (Pongonguan), alat penampi (lilibu/rilibu) dan sebagainya.

Sebuah perkampungan yang hari ini bernama Selupoh (beberapa kilometer dari Indai), terutamanya di sekitar sebuah tasik kecil (yang merupakan bagian dari sungai Tauran) saat ini berhadapan dengan kediaman OKK Imbun Orow, yang biasa disebut sebagai Libu-Libu karena pernah ditemukan dua alat penampi (lilibu) di kawasan tersebut. Akan tetapi artifak bersejarah itu sudah dibawa keluar ke daerah lain dan saat ini hilang tidak diketahui. Sebuah pemarut kelapa emas dan pencedok nasi emas (kikiriw) juga ditemukan di beberapa tempat di Tuaran. Tidak lama kemudian, penduduk Indai menjadi begitu kaya, dan dari kekayaan mereka itu timbul sifat tinggi diri dan angkuh. Pada suatu hari, dua orang lelaki Indai yang nakal dan jahat telah merancang suatu penipuan besar. Mereka telah mengambil sebiji batu besar lalu mengukirnya menjadi sebuah bulatan dan melapisinya dengan emas dari pohon kolian itu. Mereka membawa bebola emas yang berisi batu itu ke Bongawan dengan sebuah bot dan pergi menemui pemilik sebuah tajau besar atau guci yang sangat berharga dan disanjungi di daerah Bongawan, yang dipanggil Gurunon.

Kedua penipu itu menawarkan bola emas mereka untuk ditukarkan dengan Gurunon, akan tetapi tajau suci itu merupakan ikon spiritual dan simbol kemegahan penduduk Bongawan dan tidak ternilai harganya, sehingga pemilik tajau itu menolak tawaran tersebut.

Akan tetapi setelah beberapa kali dipujuk oleh kedua penipu itu dengan meyakinkan betapa besarnya nilai bola emas itu, pemilik Gurunon itu akhirnya bersetuju untuk menukarkan Gurunon itu dengan bebola emas dari pohon Kolian Indai yang memang sudah terkenal dan termashyur di mana-mana.

Dengan kegembiraan yang meluap, kedua penipu itu menaiki sampan mereka dan menuju ke laut untuk pulang ke Indai. Akan tetapi salah seorang dari mereka tidak dapat menahan kegembiraannya, mulai bernyanyi sekuat hatinya, “Salu-salu bulawan, nokotuhun Gurunon!” (Setelah keliru untuk emas, Gurunon telah menjadi rendah!)

Dia malah menyanyikan lebih kuat lagi sekalipun temannya yang satu sudah menyuruhnya supaya diam. Seorang yang kebetulan berada di tebing sungai mendengar nyanyian itu, dia tertanya-tanya mengapa lelaki itu menyanyikan demikian. Akan tetapi orang itu tahu nama Gurunon, sebuah tajau yang sangat terkenal dan dipuja-puja di kalangan kaum Dusun di Bongawan.

Kedua lelaki itu bergegas ke rumah pemilik Gurunon itu, dan berdasarkan kejadian itu dia menanyakan apa yang dimaksudkan oleh panyanyi yang menyanyikan “Salu-salu bulawan, nokotuhun Gurunon!” kerana takut dengan apa yang terjadi kemudian mereka membelah bebola emas itu dan dengan sangat terkejut mendapati ternyata di dalamnya hanyalah batuan belaka.

Berita itu menjadi sebuah tamparan hebat untuk masyarakat tersebut dengan perasaan ngeri dan marah yang teramat sangat. Perasaan marah yang meluap-luap untuk membalas dendam, kerana perasaan aib menguasai msyarakat Dusun Bongawan tersebut, mereka memutuskan untuk melakukan pembalasan dendam ke atas orang-orang Indai yang sudah pasti sebuah balas dendam yang dahsyat dan mematikan. Dengan menggunakan keahlian para ahli sihir yang paling berkuasa (Bobolian), mereka pertama-tama menghantar tiga ekor naga yang dipanggil Topirik (ertinya,makhluk yang menyeret ke atas), karena naga itu menghinggapi hujung sebuah pohon hutan berdekatan dengan rumah panjang Indai.

Hari demi hari banyak kanak-kanak didapati hilang tanpa jejak, semua usaha mencari kanak-kanak itu tidak berhasil menemukan walau satu pun dari mereka. Akan tetapi penduduk Indai menyedari bahwa semua kanak-kanak yang hilang itu ialah kanak-kanak yang pergi bermain di hutan. Oleh kerana itu, beberapa orang dewasa, yaitu pahlawan dihantar untuk mengintip kanak-kanak tersebut agar diketahui apa sebenarnya yang menyebabkan mereka hilang. Kelompok pengintip itu akhirnya melihat ada naga di atas sepohon pokok tinggi di mana dari naga itu diturunkan banyak “sungut” (semacam tentakel) yang sangat cantik, bercahaya dan mengedipkan kilauan cahaya yang berwarna-warni. Karena sangat tertarik dengan “tali” aneh yang tidak pernah mereka lihat sebelumnya, kanak-kanak itu bermain dengan “tali” tersebut. Hujung tentakel semacam “tali” itu akan berputar/bergulung dan menggangkat naik (pirik) kanak-kanak itu dan dengan serta merta dilahap oleh makhluk itu.

Dalam aksi pembalasan dendam itu, penduduk kampung telah datang lalu memotong tentakel Topirik, meskipun kelihatan seperti naga, namun memiliki badan pendek seperti tunggul kayu. Akan tetapi kulitnya bersisik, sama seperti tantakelnya, bercahaya dan memancarkan cahaya dengan cahaya yang berwarna-warni. Walaupun demikian, penduduk menyadari bahwa serangan mematikan dari makhluk Topirik hanyalah suatu permulaan untuk kejadian yang lebih dahsyat yang akan menyusul.

Untuk merayakan keberhasilan mereka menyelesaikan misteri, gaibnya anak-anak dan keberhasilan membunuh naga itu, mereka mengambil kulit Topirik, mengeringkannnya untuk dibuat gendang. Akan tetapi mereka terkejut apabila pukulan pertama ke atas gendang itu, gendang itu mengeluarkan bunyi yang aneh, gendang itu berkata: “Tob, tob, Mitobok” (Tob, tob, saling menikam satu sama lain!), dan penduduk kampung itu seakan-akan dipukau dengan serta-merta mengambil pisau dan parang dan mulai saling menikam satu sama lain, melupakan siapa mereka, menyebabkan ratusan terbunuh.

Tanpa mengetahui apa penyebabnya mereka saling berbunuhan, mereka sekali lagi memukul gendang itu dan sekali lagi gendang itu berbunyi, “Tob, tob, Mitotok” (Tob, tob, saling menetak/memarangi satu sama lain!) dan penduduk kampung sekali lagi seperti dipukau tidak sadarkan diri mengambil parang dan pedang kemudian mulai saling menetak sesama mereka, sekali lagi ratusan penduduk kampung mati. Menyadari kengerian dari kuasa sihir yang mematikan dari gendang itu, mereka memutuskan untuk mengakhiri bahaya itu dengan membakar gendang itu.

Mereka menyangka bahwa mereka sudah mengatasi dan melalui malapetaka buruk itu. Namun masih ada yang lebih buruk dan paling ngeri yang akan menyusul tiba. Orang Dusun Bongawan kemudian menghantar “kepala babi terbang” ke rumah panjang Indai, dengan dahsyatnya, hinggap dan bertenggek di atas Sinunkiap (bahagian dari bumbung/atap rumah yang dapat dibuka untuk cahaya masuk), dan mulai berkokok seperti ayam jantan.

Setiap kali kepala babi terbang itu berkokok, ratusan orang yang mendengar kokokannya akan serta-merta jatuh mati. Kepala babi itu kemudian akan terbang ke atas“Sinungkiap” lain di bahagian lain rumah panjang itu, dan sekali lagi mulai berkokok sehingga menyebabkan ratusan lagi mati.

Penduduk Indai dicengkam ketakutan dan menyedari tidak ada yang dapat mereka lakukan untuk melawan bahaya yang mengerikan itu telah mengambil keputusan untuk menginggalkan rumah panjang itu. Empat kelompok besar dibentuk, kelompok pertama memilih untuk berhijrah ke Kadamaian di Kota Belud, kelompok kedua memilih untuk berhijrah ke lembah Tambunan, kelompok ketiga memilih berhijrah ke dataran Keningau, dan kelompok yang keempat pula berhijrah ke Nunuk Ragang.

Ini merupakan pengakhiran untuk Indai. Selepas penghijrahan itu, tempat itu dibiarkan untuk beberapa abad lamanya, dan kaum Lotud yang baru kemudian datang menetap di Tuaran tidak berani untuk mendirikan penempatan di kawasan tersebut kerana percaya tempat itu telah disumpahi atau dikutuk. Indai tidak pernah diduduki lagi sehingga pada awal tahun 1950-an ketika beberapa dari kaum Lotud membuka kawasan tersebut. Cerita Indai memang memiliki unsur-unsur Ghaib, akan tetapi ia dapat dipercayai dan dikenali sebagai kekuatan sihir, terutama pada zaman-zaman dahulu kala.[17]

Demografi penduduk

sunting

Jumlah penduduk sekitar Tuaran

sunting

Pada tahun 2010, jumlah populasi di sekitar Tuaran didapati sebanyak 3,253 dan majoritinya etnik kaum Kadazan-Dusun (Kebanyakkannya Dusun Lotud) mempunyai penduduk seramai 1,070.[18] Seterusnya, diikuti oleh etnik kaum cina sebanyak 784 dan etnik bajau seramai 2389.[18]

Berikut merupakan jumlah penduduk di sekitar Tuaran pada tahun 2010 mengikut kumpulan etnik, kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan negeri, Malaysia;

Jumlah penduduk mengikut kumpulan etnik, kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan negeri, Malaysia, 2010[18]
Tahun Melayu Kadazan/Dusun Bajau Murut Bumiputera Lain Cina India Lain-lain Bukan Warganegara Malaysia Jumlah Keseluruhan
2010 367 1,070 2389 21 364 784 15 50 88 3,253
2020 (Akan Datang)

Jantina

sunting

Berikut merupakan jumlah penduduk sekitar Tuaran pada tahun 2010 mengikut pecahan jantina seperti berikut;

Jantina[18]
Tahun Lelaki Perempuan Jumlah
2010 1,628 1,625 3,253

Geografi

sunting

Tuaran merupakan pekan yang menjadi pintu masuk ke Utara dan Timur Negeri Sabah. Ini bererti perjalanan menuju ke Kota Belud, Kudat, Ranau, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau harus melalui Daerah Tuaran. Banjaran Crocker merupakan bentuk muka bumi yang paling dominan di Daerah Tuaran dengan ketinggian diantara 1200 hingga 2500 meter dari paras laut.[19] Lebih kurang 65% muka bumi daerah Tuaran adalah kawasan berbukit bukau. Kawasan tanah rata hanya terdapat di sebahagian kecil daerah Tuaran dan kawasan ini hanyalah kawasan pesisir pantai dan juga sedikit kawasan di sebelah menyebelah hilir sungai Tuaran bermula dari Pekan Tamparuli hinggalah ke muara sungai Tuaran. Sungai Tuaran merupakan sungai yang terpenting di bukan sahaja untuk daerah Tuaran kerana sungai inilah yang menjadi sumber air bersih yang diproses untuk keperluan Daerah Tuaran dan juga sebahagian besar Kota Kinabalu.

Budaya

sunting

Setiap pagi ahad, Tuaran akan dimeriahkan dengan pembukaan Pasar Tamu yang merupakan pasar besar ala tradisional yang menjual pelbagai barangan domestik rakyat Sabah khususnya dari daerah Tuaran dan sekitarnya. Diantara barangan yang dijual adalah seperti sayur-sayuran tuaian, buah-buahan tuaian, ikan dan makanan laut, kek tradisional, produk tembakau tradisional, cenderamata dan banyak lagi. Pasar Tamu sudah banyak menarik ramai pelancong ke Tuaran kerana barangan dan hasil tuaian yang dijual sangat mengujakan dengan harga yang sangat berpatutan. Pasar Tamu yang tedapat di Tuaran ini adalah yang kedua selepas satu lagi Pasar Tamu yang terdapat di Kota Belud. Perbezaan antara kedua-dua Pasar Tamu ini boleh dilihat dari segi saiz pasar dan nilai barang esotik yang dijualnya.

Minuman tempatan

sunting

Tuaran adalah lokasi bagi Bahar yakni suatu minuman keras tradisional seperti 'liquor' yang terkenal, sama seperti air todi yang diperbuat dari air kelapa yang dicampur dengan ekstrak kulit kayu.[20] Manakala masyarakat tempatan memanggilnya "rosok" yang akhirnya air tersebut bertukar menjadi warna merah.[21] Minuman ini telah diperakui secara ujian kimia bahawa ia mengandungi kadar kosentrasi anti-oksidan yang tinggi. Malangnya, walau bagaimanapun, minuman ini berbau agak tajam (tengit) dan tidak disenangi untuk diminum, ia akan bertukar menjadi busuk dengan cepat dan menjadi masam dalam sehari.[22]

Makanan tempatan

sunting
 
Mi Tuaran.

Mi Tuaran, juga dikenali sebagai 'Mi Goreng Tuaran' yang merupakan salah satu dari makanan tradisi di Sabah. Gentian mi tersebut diperbuat dari adunan sebati antara kuning telur dan tepung gandum, dimana apabila mi digoreng ini akan meningkatkan sensasi aroma telur tersebut. Gorengan mi biasanya memakan masa lebih kurang 5-10 minit pada suhu yang tinggi dan membiarkan tekstur mi menjadi kuning keemasan dan garing di bahagian bawah mi. Kemudian sayur sawi akan dimasukkan ketika proses gorengan dijalankan. Sebelum dihidang, mi biasanya akan dicampurkan dengan hirisan halus charseow, misalnya hirisan daging babi manis di paggang dan cecincin telur goreng berputar. Namun bagi masyarakat Muslim, penggunaan daging babi dalam makanan adalah diharamkan, maka alternatif lain yang boleh digunakan adalah dengan menghidangkan mi Tuaran ini dengan hirisan daging lembu atau kambing.

Orang Terkenal

sunting

Artis tempatan

sunting
  • Rey Kimara
  • Maldini Sidney

Galeri

sunting

Pautan luar

sunting

  Kategori berkenaan Tuaran di Wikimedia Commons

Rujukan

sunting
  1. ^ Cornelia Elny, Buyug (2010-02-23). "Sejarah Awal Tuaran". bonzers86.blogspot.com. Dicapai pada 2020-02-08.
  2. ^ "SEJARAH/ASAL USUL DAERAH TUARAN". sabah.gov.my. Dicapai pada 2020-02-08.
  3. ^ Cornelia Elny, Buyug (2010-02-23). "Sejarah Awal Tuaran". bonzers86.blogspot.com. Dicapai pada 2020-02-08.
  4. ^ K.P., Tabrett (1998). ""Early Constabulary Expeditions in British North Borneo, 1883 to 1888"". Sabah Society Journal. 15: 41–58.
  5. ^ "The British North Borneo Herald". The British North Borneo Herald. 1886. m/s. 23. |access-date= requires |url= (bantuan)
  6. ^ Cornelia Elny, Buyug (2010-02-23). "Sejarah Awal Tuaran". bonzers86.blogspot.com. Dicapai pada 2020-02-08.
  7. ^ Ash, Nordin (2015-09-08). "7 Asal Usul Nama Tempat Di Sabah Yang Tak Ramai Orang Tahu". sabah.gov.my. Dicapai pada 2020-02-08.
  8. ^ "Profil Daerah Tuaran, Doket 33". Sabah:Arkib Negeri Sabah. m/s. 24. |access-date= requires |url= (bantuan)
  9. ^ Gusni, Saat (2003). "Komuniti Samah-Bajau di Bandar". Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia: 31–32.
  10. ^ Cornelia Elny, Buyug (2010-02-23). "Sejarah Awal Tuaran". bonzers86.blogspot.com. Dicapai pada 2020-02-08.
  11. ^ "SEJARAH/ASAL USUL DAERAH TUARAN". sabah.gov.my. Dicapai pada 2020-02-08.
  12. ^ "Profil Daerah Tuaran, Doket 33". Sabah:Arkib Negeri Sabah. m/s. 24. |access-date= requires |url= (bantuan)
  13. ^ Sabihah, Osman (1985). "Pentadbiran Pribumi Sabah 1881-1941". Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia-Yayasan Sabah: 15.
  14. ^ Ranjit Singh, D. S. (2003). The Making of Sabah (1865-1941): The Dynamics of Indigenous Society Second Edition). University of Malaya: University of Malaya Press. m/s. 153.
  15. ^ Noor Afni, Mohd Jati (2006). "Adat Perkahwinan Masyarakat Bajau Pantai Barat: Satu Kajian di Kampung Sungai Damit, Tuaran". Sekolah Sains Sosial: Universiti Malaysia Sabah: 26.
  16. ^ "Nota Taklimat Daerah Tuaran". 1991. m/s. 1. |access-date= requires |url= (bantuan)
  17. ^ "Legenda Rumah Panjang Indai dan Perang Sindaat - Kisah Dari Dusun Lotud". borneohistory57.blogspot.com. 2016-05-28. Dicapai pada 2020-02-11.
  18. ^ a b c d "Jumlah penduduk mengikut kumpulan etnik, kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan negeri, Malaysia, 2010" (PDF). 2012-02-27.
  19. ^ "BENTUK MUKA BUMI". www.sabah.gov.my/. 2020. Dicapai pada 2020-01-17.
  20. ^ Imam Muhammad, Jibril Al-Khair (2010-12-02). "Jom Kenali Sabah-2". unikorndragon.blogspot.com. Dicapai pada 2020-02-11.
  21. ^ "Rosok". prpm.dbp.gov.my. Dicapai pada 2020-02-11.
  22. ^ "Bahar". yuspiyuz.wixsite.com. Dicapai pada 2020-02-11.