Noor Azizah

Pelakon wanita veteran Malaysia

Datin Noor Azizah binti Dato' Seri Azizul Hassan atau lebih dikenali sebagai Noor Azizah (26 Mac 1947 – 7 April 2025) merupakan seorang pelakon di Malaysia.


Noor Azizah
Kelahiran
Noor Azizah binti Dato' Seri Azizul Hassan

(1947-03-26)26 Mac 1947
Meninggal dunia7 April 2025(2025-04-07) (umur 78)
Kampung Sungai Paloh, Ipoh, Perak
Sebab kematianSesak nafas
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Paloh, Ipoh, Perak
PekerjaanPelakon
Tahun aktif1965–2000
Terkenal keranaWatak Masmera / Mastika dalam filem 6 Jahanam
PasanganDatuk Nik Hussein
Ibu bapaDato' Seri Azizul Hassan bin Haji Abdul Rani (bapa)
Toh Puan Datin Seri Hasiah (ibu)
Julie Faridah (ibu tiri)
SaudaraNoor Aziah Jasmin binti Azizul Hassan

Kehidupan awal

sunting

Noor Azizah dilahirkan pada 26 Mac 1947 di Kinta, Ipoh, Perak, merupakan anak kepada O.K.K Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja Dato' Seri Azizul Hassan Bin Haji Abdul Rani yang merupakan seorang pegawai kanan polis dan Orang Besar Jajahan Kinta.

Kerjaya

sunting

Pada tahun 1965 bermulalah sejarah pembabitannya dalam dunia filem. Beliau menjadi pelakon tambahan dalam filem sulungnya iaitu Dayang Senandong arahan Jamil Sulong. Sebaik selesai filem itu, beliau ditawarkan pula filem Sri Andalas (1966) arahan S. Kadarisman. Kemudian, muncul dalam filem ketiga, A-Go-Go '67 (1967). Untuk filem ini beliau 'dinaikkan pangkat' apabila disenaraikan sebagai pelakon utama. Filem A-Go-Go '67 arahan Omar Rojik membariskan Ahmad Nisfu, Aziz Jaafar, Normah Zainal, S. Shamsuddin, Kuswadinata, Ali Fiji, M. Rafiee, Ibrahim Pendek dan Habsah Buang. Sejak itulah, beliau tidak menoleh ke belakang lagi terhadap dunia lakonan.

Ketika berada dalam zaman keemasannya itu, secara tiba-tiba beliau menyatakan hasrat menarik diri daripada dunia filem. Niatnya itu dibatalkan selepas dipujuk Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Almarhum) yang kemudian memilihnya berlakon dalam filem Raja Bersiong (1968). Bagi Noor Azizah, beliau berasa bertuah kerana Tunku sudi memilihnya untuk memegang watak penting bersama Sarimah, Zaiton, Rahmah Rahmat dan Normadiah.

Apabila studio Malay Film Productions, Jalan Ampas Singapura ditutup pada lewat tahun 60-an, kerjaya seni beliau seolah-olah terhenti kerana penghijrahan pelakon dan pengarah ke Kuala Lumpur. Beliau kemudian dilamar Omar Rojik untuk muncul dalam filem arahan pertamanya di Kuala Lumpur. Beliau yang masih menetap di Johor Bahru dipujuk oleh Jaafar Abdullah supaya menetap di Kuala Lumpur. Kebetulan, bapanya yang ketika itu pegawai polis ditukarkan ke Klang. Ini mencerahkan harapannya untuk meneruskan kerjaya seninya.

Menerusi Studio Merdeka di Hulu Klang, Noor Azizah muncul dalam banyak filem seperti Kembang Layu (1970) dan Durjana (1971). Semasa di puncak kegemilangannya, Noor Azizah sering digandingkan dengan Ahmad Mahmud atau Ed Osmera selain P. Ramlee. Pada tahun 1969, Noor Azizah diberi penghormatan oleh P. Ramlee kerana diberikan dua watak dalam filem Enam Jahanam keluaran Studio Merdeka, Kuala Lumpur iaitu sebagai Masmera dan Mastika. Masmera ialah isteri kepada seorang peniaga dan pendekar terkenal bernama Tantari (P. Ramlee). Turut berlakon dalam filem tersebut ialah seniman Yusof Latiff sebagai Damburi.

Selain Enam Jahanam, P. Ramlee mengambilnya berlakon dalam filem Dr. Rushdi (1970) dan Jangan Tinggal Daku (1971). Sebelum itu, Jins Shamsuddin menggandingkannya bersama P. Ramlee dalam filem arahan pertamanya Di-Belakang Tabir (1969). Filem lain yang pernah dibintanginya ialah Perintah Seri Paduka (1970), Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh (1971), Sayang Anakku Sayang (1976), Cinta dan Lagu (1976) dan Pendekar (1977).

Selain filem terbitan tempatan, beliau pernah membintangi filem Thailand bertajuk Vendetta, selain dua filem terbitan Indonesia iaitu Jangan Kau Tangisi dan Malin Kundang selain pernah muncul dalam siri TV Australia, Bailey's Birds.

Hinggalah pada era 80-an, Noor Azizah masih mewarnai dunia filem dan drama TV. Namun sejak sedekad lalu, namanya semakin sepi sehinggalah tampil semula sebagai artis undangan dalam filem Soal Hati arahan Othman Hafsham pada 2000.

Filemografi

sunting
Tahun Tajuk Watak Catatan
1965 Dayang Senandong Puteri Mawarni Filem pertama, pelakon tambahan
1966 Sri Andalas Melor
1967 A-Go-Go '67 Fauziah
1968 Raja Bersiong Nangti
1969 6 Jahanam Masmera / Mastika
Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh
1970 Di-Belakang Tabir Faridah / Hamidah
Kembang Layu Normala
Perintah Seri Paduka
Dr. Rushdi Karmila
1971 Jangan Tinggal Daku Tahirah
Durjana
Malin Kundang Ditemukan dengan bintang filem utama Indonesia, Rano Karno
1972 Belang Pertanda
1974 Jangan Kau Tangisi Filem Indonesia
1976 Sayang Anakku Sayang Noraini
Cinta dan Lagu
1977 Pendekar
2000 Soal Hati Puan Zaiton Filem terakhir, penampilan khas
Tahun Tajuk Watak Saluran TV
1977 Bailey's Bird Doktor Susan Lim Seven Network

Kematian

sunting

Datin Noor Azizah Azizul Hassan menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarganya di Ipoh, Perak pada pukul 3 pagi, 7 April 2025.

Pemergian seniwati berusia 78 tahun itu disahkan adiknya, Puteh Zabidah yang memaklumkan pada awalnya Allahyarham mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.

Rujukan

sunting

Pautan luar

sunting