Pakma

genus tumbuhan

Pakma, padma atau patma ialah sejenis bunga dalam genus tumbuhan berbunga parasit Rafflesia dari keluarga Rafflesiaceae. Spesiesnya berbunga sangat besar, dengan kudupnya muncul dari tanah atau terus dari pangkal batang pokok perumahnya; satu spesies mempunyai bunga yang terbesar di dunia. Genus ini memuatkan kira-kira 28 spesies (termasuk empat spesies yang belum selesai dicirikan sesuai yang dikenal pada 1997 oleh Willem Meijer dalam monograf terbaru genus itu), dan ditemukan di seluruh Asia Tenggara.

Pakma
Rafflesia arnoldii Bengkulu 01.jpg
Bunga pakma raksasa
di Bengkulu, Indonesia.
Pengelasan saintifik s
Alam: Plantae
Klad: Trakeofit
Klad: Angiosperma
Klad: Eudikot
Klad: Rosid
Order: Malpighiales
Keluarga: Rafflesiaceae
Genus: Rafflesia
R.Br. ex Thomson bis[1]
Spesies

Lihat ceraian pengelasan

Ia julung kali diberi perhatian oleh orang Barat melalui penemuan oleh pakar bedah dan alamiah Perancis, Louis Deschamps di Jawa antara 1791 dan 1794, namun catatan dan gambarannya yang dirampas oleh British pada 1803, belum diterbitkan kepada sains barat sampailah 1861.[2]

PenamaanSunting

Perkataan padma (Jawi: ڤدما), pakma (Jawi: ڤقما) dan patma (Jawi: ڤتما) menyerap daripada Sanskrit: पद्म, rumi: padma yang bermaksud "teratai".[3][4] Nama "pakma" selalunya dipakai untuk spesies R. hasseltii,[5][6][3] Nama "padma" pula khusus di Indonesia untuk spesies R. arnoldii yang juga disebut "padma raksasa".[7] Nama patma daripada bahasa Jawa.[6]

Tumbuhan ini mempunyai banyak nama julukan lain termasuk "bunga pecah belah", "bunga kubis", "bunga akar", "kekuanga" (atau "kukuanga"), "yak-yak", "wusak", "tumbuakar", "wusak-tombuakar", "cendawan matahari", "kerubut", "kemubut", "sikinlili", "ambai-ambai", "ambun", "pelimun" (atau "petimun") dan "sekedai".[8][9][10] Bunga kubis, bunga akar dan bunga tumbuakar dipakai khusus untuk menyebut spesies R. tuanku-halimii.[11] Tumbuhan ini turut disebut bunga bangkai (corpse flower) namun nama tersebut merujuk pada tumbuhan spesies Amorphophallus titanum.

TaksonomiSunting

Genus Rafflesia dinamakan sempena Stamford Raffles, pendiri jajahan di Singapura yang mengetuai ekspedisi British pertama yang menemukan bunga ini di hutan hujan Indonesia di Bengkulu, Sumatera pada tahun 1818. Orang British pertama melihat bunga ini dalam ekspedisi tersebut adalah Joseph Arnold selepas seorang penjawat Melayu yang bekerja untuknya menemukan sekuntum bunga ini lalu menunjukkan kepadanya.[5]

BotaniSunting

Pakma ialah tumbuhan yang aneh. Bunganya yang kembang mengeluarkan bau yang teramat busuk, dan tumbuhan ini juga agak berat. Tidak seperti tumbuhan lain, ia tidak mempunyai daun untuk memproses karbon dioksida dan cahaya matahari bagi menghasilkan gula dan oksigen. Ia juga tidak mempunyai akar untuk menyerap air dan mineral dari tanah untuk diproses sebagai protein. Apa yang ada cumalah tisu-tisu yang kelihatan seperti tiub-tiub halus yang panjang memasuki tumbuhan perumah. Hal ini menunjukkan ciri bunga pakma sebagai sejenis parasit yang tidak perlu menghasilkan nutrisinya sendiri tetapi hanya perlu menyerap nutrisi tersebut daripada perumahnya yang juga merupakan tumbuh-tumbuhan lain.[12]

 
Rafflesia.

Selalunya apa yang dilihat kelihatan seperti bunga yang besar. Bunga ini merupakan organ seks yang kadangkala dilihat di tempat paling atas sesuatu tumbuhan yang melingkar atau biasanya terdapat pada mana-mana permukaan tanah yang agak lembap. Warna yang merah kecoklatan bagi kelopaknya, ditaburi dengan bintik-bintik putih menghasilkan bau yang amat tidak menyenangkan, hampir sama dengan bau yang dikeluarkan daging atau bangkai yang reput.

Sesetengah percaya[nyatakan menurut siapa?] bahawa bau busuk ini menarik perhatian lalat dan serangga lain, dan membantu dalam menyebarkan benih raflesia. Agar benih ini dapat tumbuh dan membesar, ditemukan bahawa lingkaran tumbuhan perumah mesti dirosakkan dengan apa cara sekalipun bagi membolehkan tiub-tiub raflesia itu dapat memasukkan benihnya ke dalam tumbuhan perumah.[perlu rujukan]

Kerosakan pada tumbuhan perumah boleh dihasilkan dengan cara dipijak oleh haiwan. Benih-benih akan melekat pada tapak kaki haiwan yang berlalu dan dipindahkan ke tempat lain di mana benih ini akan mencari tumbuhan perumah yang boleh dijadikan tempat tinggal. Walau bagaimanapun, hal ini tidak boleh dibuktikan. Didapati bahawa tumbuhan ini selalunya dijumpai di kawasan yang berlaku banyak aktiviti dan kurang di kawasan lain.[perlu rujukan]

SpesiesSunting

 
Kuntum Rafflesia keithii, bergaris pusat sekitar 80 cm, berdekatan Taman Nasional Rafflesia Bengkulu, Indonesia.
 
Bunga Rafflesia kerrii berdekatan Langkat, Indonesia.
 
Tiga kuntum Rafflesia pricei tumbuh mendamping berdekatan Gunung Kinabalu, Borneo.

Spesies diterimaSunting

Setakat Oktober 2020, Plants of the World Online menerima spesies berikut:[13]

TaburanSunting

Semenanjung MalaysiaSunting

Raflesia boleh ditemukan di sepanjang kawasan Semenanjung Malaysia dan Thailand di semenanjung Tanah Melayu.[15][16]

MalaysiaSunting

Di Semenanjung, bunganya boleh ditemukan di beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu. Di Perak, tiga spesies bunganya dapat ditemukan di Taman Negeri Royal Belum dan hutan simpan Gerik iaitu Rafflesia kerrii, Rafflesia cantleyi dan Rafflesia azlanii. Rafflesia azlanii dinamakan sempena Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.[15] Sementara itu, dua spesies bunga berperumah Tetrastigma dapat ditemukan di tiga tempat di Kelantan. Spesies Rafflesia cantleyi dapat ditemukan di Ulu Sat dan Chabang Tongkat, sedangkan Rafflesia kerrii ditemukan di Lojing.[17] Tambahan lagi, dua tempat di Pahang di mana bunganya boleh ditemukan adalah hutan simpan Lembah Benum dan Lata Jarum.[18][19] Di Terengganu pula, bunga spesies Rafflesia cantleyi dapat ditemukan di Kuala Berang. Bunga yang ditemukan di sini tergantung pada akar pokok perumahnya bermeter-meter dari permukaan tanah, tidak macam bunga biasa yang ditemukan pada akar tanah.[20]

Kawasan bunga ini dijadikan tarikan pelancong untuk pendaki dan peminat kerencaman biologi, dan menimbulkan kesedaran dalam kalangan orang tempatan.[17][18][19][20]

ThailandSunting

Di Thailand, raflesia boleh ditemukan di Taman Negara Khao Sok di mana bunganya dikira dan dipantau oleh renjar taman.[16]

BorneoSunting

Spesies tempatan Borneo termasuklah Rafflesia arnoldii, R. cantleyi, R. hasseltii, R. keithii, R. kerrii, R. pricei, R. tengku-adlinii dan R. tuan-mudae. R. arnoldii gah selaku bunga tunggal terbesar di dunia.[21]

MalaysiaSunting

R. keithii adalah spesies endemik di Sabah dan yang terbesar dalam tiga spesies raflesia yang ditemukan dalam wilayah Malaysia. Bunganya berukuran dalam 60 cm ke 80 cm. Oleh ukurannya, bunganya sering ditemukan tumbuh di lantai hutan pada batang atau akar bawah tanah Tetrastigma lanceolarium. R. keithii kebanyakannya ditemukan di sekitar kawasan Poring, Sabah.[22][23]

MindanaoSunting

Spesies Mindanao pula disebut Rafflesia schadenbergiana sempena pakar alamiah Alexander Schadenberg, yang julung kali menemukan spesies itu di kaki Gunung Apo pada 1882. Dengan bunga hampir semeter, ia menyamai ukuran anak duduk. Di Mindanao, spesies itu telah dilihat di Davao del Sur, selatan Cotabato dan Gunung Kitanglad di Bukidnon.[24] R. mira dan R. magnifica adalah dua nama untuk spesies tunggal. Deduanya ditemukan di Gunung Candalaga di Maragusan, Lembah Compostela.

Spesies ketiga di Mindanao adalah R. mixta yang setakat ini hanya ditemukan di bandar Mainit, Surigao del Norte. Ia menunjukkan gabungan tiga ciri raflesia Filipina, iaitu: bentuk dan ukuran proses mengerucut dalam R. schadenbergiana, ukuran bunga dan bintil tenda bunga yang tersebar jarang R. spesiosa, dan kesamaan menyeluruh ukuran bunga, bau yang lemah, gegendang dan morfologi ramentum R. mira.[25] Spesies keempat adalah Rafflesia verrucosa yang ditemukan hanya di Gunung Kampalili di wilayah Davao Oriental.[26]

EkologiSunting

 
Kitar hidup Rafflesia arnoldii.

Spesies Rafflesia dikatakan holoparasit bagi akaran genus Tetrastigma iaitu pepanjat dari keluarga anggur, Vitaceae. Mereka dengan itu menjadi hiperparasit lantaran Tetrastigma sendiri adalah parasit berstruktur bagi pokok yang mereka panjat untuk mendapatkan cahaya. Rafflesia muncul sebagai "spesies-spesifik", dengan setiap spesies Rafflesia sejadinya hanya tumbuh pada satu ke tiga spesies Tetrastigma. Daripada 57 spesies dikenal Tetrastigma, hanya sepuluh diketahui menjadi pokok perumah. Daripada genap 30 spesies Rafflesia pula, pokok tumpangnya hanya diketahui dari sekitar setengah spesiesnya.

Spesies tertentu Tetrastigma digemari dalam kalangan Rafflesia: T. tuberculatum adalah pokok perumah bagi sekurang-kurangnya 15 spesies, dan hanya dua spesies Filipina diketahui tidak menjangkitinya. Kededua T. papillosum dan T. diepenhorstii pula memperumahkan sekurang-kurangnya dua spesies. Bunganya boleh bertunas pada tempat berlainan; R. cantleyi berbunga pada pepanjat sekitar dua meter dari tanah,[27] sedangkan R. zollingeriana sering bertunas pada akar dan muncul dari tanah.

Nisbah jantinanya boleh jadi pencong. Bagi R. lobata, terdapat sekurang-kurangnya sembilan bunga jantan untuk setiap bunga betina.[28] Kekadang, terdapat bunga dengan kededua jantina pada satu-satu kedudukan untuk memastikan pendebungaan dan pembiakan seks berlaku. Ini pun belum berpada: bunga betina apapun masih boleh mengeluarkan buah dan menjadi agamospermus.[27] Perbungaan selalunya tetap dan tapak itu akan terus berbunga untuk berdekad-dekad.[29]

Bagi Rafflesia arnoldii, bunganya dilawati oleh lalat Drosophila colorata, Chrysomya megacephala dan Sarcophaga haemorrhoidalis. Semut hitam genus Euprenolepis memakan kudup yang berkembang dan boleh memusnahkannya.[30] Mamalia yang diketahui memakan bunganya adalah tupai kekes (Tupaia javanica) dan landak Sunda (Hystrix javanica). Mamalia yang dicatatkan merosakkan kudup atau bunganya, selalunya dengan memijak atau menghancurkannya pula adalah babi hutan (Sus scrofa), kucing batu (Felis bengalensis), rusa Jawa (Cervus timorensis), kijang (Muntiacus muntjak) dan banting (Bos javanicus).[27]

Lihat jugaSunting

RujukanSunting

  1. ^ "Rafflesia". International Plant Names Index. The Royal Botanic Gardens, Kew, Harvard University Herbaria & Libraries, Australian National Botanic Gardens. Dicapai pada 4 Jun 2022.
  2. ^ Willem, Meijer (1997). "Rafflesiaceae". Flora Malesiana. 13. Leiden: Hortus Botanicus Leiden, di bawah naungan Yayasan Flora Malesiana. m/s. 1–42. ISBN 90-71236-33-1.
  3. ^ a b Wilkinson, Richard James (1932). "pakma". A Malay-English dictionary (romanised). II. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 198 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
  4. ^ Monier-Williams, Monier (1981). A Sanskrit-English Dictionary. Delhi, Varanasi, Patna: Motilal Banarsidass. m/s. 584. - melalui Edi Sedyawati dkk. (1994). Kosakata Bahasa Sanskerta dalam Bahasa Melayu Masa Kini. Jakarta, Indonesia: Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia. m/s. 129.
  5. ^ a b Keng, Hsuan (1978). Orders and Families of Malayan Seed Plants (ed. dikemaskini). Singapura: Singapore University Press (original published by University of Malaya Press 1969). m/s. 106.
  6. ^ a b Burkill, Isaac Henry (April 1930). "An Index to the Malay Vernacular Names with comments". The Gardens' Bulletin; Straits Settlements. 3 (6 (bahagian 2)): 300. Dicapai pada 27 Oktober 2020.
  7. ^ Padma raksasa : Center of the World Reference. Dicapai pada 17 Jun 2022
  8. ^ Farawahida Abu Zaharin; Dzulhelmi Nasir; Suriyanti Su Nyun Pau (16 Julai 2018). "The Spectacular Rafflesia". Zoologist. Dicapai pada 5 Jun 2022.
  9. ^ "Rafflesia". Singapore Infopedia. Dicapai pada 5 Jun 2022.
  10. ^ Tim Literasi (24 April 2019). "Perbedaan Bunga Bangkai dan Rafflesia". SMK Manajemen Penerbangan Pekanbaru. Dicapai pada 2022-06-05.
  11. ^ MyBIS (2022). "Rafflesia tuanku-halimii". Malaysia Biodiversity Information System. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Pusat Kepelbagaian Biologi Malaysia & Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia. Dicapai pada 17 Jun 2022.
  12. ^ Barkman, T. J. (20 Januari 2004). "Mitochondrial DNA sequences reveal the photosynthetic relatives of Rafflesia, the world's largest flower". PNAS. 101 (3): 787–792. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  13. ^ "Rafflesia R.Br. ex Gray". Plants of the World Online. Taman Botani Diraja, Kew. Dicapai pada 2020-10-26.
  14. ^ "Rafflesia leonardi Barcelona & Pelser". Parasitic Plant Connection. Dicapai pada 19 Januari 2022.
  15. ^ a b "Dua lokasi di Hulu Perak subur Rafflesia". Harian Metro. 25 Mac 2018. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  16. ^ a b "Where to see Rafflesia in Thailand – the biggest flower in the world". 203 Challenges (dalam bahasa Inggeris). 30 Januari 2019.
  17. ^ a b "Tiga lokasi bunga Pakma di Kelantan [METROTV]". Harian Metro. 3 Februari 2021. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  18. ^ a b "Bunga rafflesia antara 4 produk baharu pelancongan di Lembah Benum". Harian Metro. 29 Disember 2020. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  19. ^ a b "Tarikan bunga gergasi di Lata Jarum". Harian Metro. 16 Januari 2020. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  20. ^ a b "Rafflesia juga ditemui tergantung". Harian Metro. 21 Februari 2018. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  21. ^ "Rafflesia Facts - Rafflesia, The World's Largest Bloom". RafflesiaFlower.com. Dicapai pada 14 September 2016.
  22. ^ Peters, Robert Francis; Ting, Yap Yih (2016). "Protection of Rafflesia through the Appreciation of the Dusun's Indigenous Knowledge; A Preliminary Case Study at Poring-Sabah" (PDF). Journal of Tropical Biology and Conservation. 13: 27–42. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  23. ^ Emmons, Louise H.; Nias, Jamili; Briun, Alim (1991). "The Fruit and Consumers of Rafflesia keithii (Rafflesiaceae)". Association for Tropical Biology and Conservation. 23 (2): 197–199. JSTOR 2388307. Dicapai pada 10 Februari 2021.
  24. ^ Barcelona, J.F., P.B. Pelser, A.M. Tagtag, R.G. Dahonog & A.P. Lilangan. 2008. The rediscovery of Rafflesia schadenbergiana Göpp. ex Hieron. (Rafflesiaceae). Flora Malesiana Bulletin 14: 162-165.
  25. ^ M.E. Manting, R.B. Arbolonio, R.B. Caballero & P.B. Pelser. 2014. Rafflesia mixta (Rafflesiaceae), a new species from Surigao del Norte, Mindanao, Philippines
  26. ^ Balete, D.S., P.B. Pelser, D.L. Nickrent & J.F. Barcelona. 2010. Rafflesia verrucosa (Rafflesiaceae), a new species of small-flowered Rafflesia from eastern Mindanao, Philippines. Phytotaxa 10: 49-57.
  27. ^ a b c Susatya, Agus (Oktober 2011). Rafflesia Pesona Bunga Terbesar di Dunia (PDF) (dalam bahasa Indonesia). Jakarta: Direktorat Kawasan Konservasi dan Bina Hutan Lindung. m/s. 67–69, 83–84, 86. ISBN 978-602-19319-0-5.
  28. ^ Lestari, Dewi; Hikmat, Agus; Zuhud, Ervizal Amir Muhammad (April 2014). "Conservation Strategy of Rafflesia zollingeriana Koord in Meru Betiri National Park, East Java". Jurnal Manajemen Hutan Tropika (Journal of Tropical Forest Management). 20 (1): 9. doi:10.7226/jtfm.20.1.9. ISSN 2087-0469. Dicapai pada 8 November 2020.
  29. ^ Maezulpah, N.; Briliawan, B. D.; Fairuz, R.; Iman, D. T.; Pratama, M.; Ahsania, D. A.; Nurhayati; Saidah, I.; Nurhaeni, W.; Hidayati, S. N.; Khoirunnisa, E.; Tyas, A.; Hikmat, Agus (2019). "Population structure and conservation strategy of Rafflesia zollingeriana Koord. in Bandealit Resort, Meru Betiri National Park". IOP Conference Series: Earth and Environmental Science. 394 (1): 012008. Bibcode:2019E&ES..394a2008M. doi:10.1088/1755-1315/394/1/012008. S2CID 214086640. Dicapai pada 7 November 2020.
  30. ^ Pranata, Syafroni; Sulistijorini; Chikmawati, Tatik (September 2019). "Ecology of Rafflesia arnoldii (Rafflesiaceae) in Pandam Gadang, West Sumatra". Journal of Tropical Life Science. 9 (3): 243–251. doi:10.11594/jtls.09.03.05. S2CID 242647106 Check |s2cid= value (bantuan). Dicapai pada 30 Oktober 2020.

Pautan luarSunting