Songket

kain tenunan Melayu yang ditenun dengan emas atau perak berasal daripada Semenanjung Tanah Melayu

Songket atau sungkit (Jawi: سوڠكيت) merupakan sejenis kain tenunan Nusantara yang berasal daripada Semenanjung Tanah Melayu. Ia dihasilkan dengan mesin tradisional yang menghasilkan lakaran rumit menggunakan benang emas atau perak. Ia kain lazim yang dibusanakan dalam adat-adat perkahwinan bagi seluruh etnik Melayu.

Songket
Songket khas Terengganu Kain Limar Songket Bertabur dari abad ke-19, tersimpan di Muzium Tekstil, Universiti George Washington
Bahansutera, kapas, emas, perak
Tempat asalTerengganu, Malaysia [1][2]
Songket
NegaraMalaysia
DomainPenenun tradisional
Rujukan01505
KawasanAsia Pasifik
Sejarah inskripsi
Inskripsi2021 (sesi ke-16)
SenaraiRepresentative List
Lagu Kain Songket dicipta oleh M.Siden dan dinyanyikan oleh Rokiah Wanda dan Hamzah Dolmat pada tahun 1949

Songket ialah kain tenun mewah yang biasanya dikenakan ketika kenduri, perayaan atau pesta; pada zaman dahulu songket dipakai khusus hanya bagi golongan bangsawan - keluarga kerabat diraja dan orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif lakaran songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar.

Songket mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang.

Songket buatan tempatan di Malaysia telah menerima pengiktirafan antarabangsa oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menyenaraikannya dalam kategori warisan kebudayaan tidak ketara pada tarikh 17 Disember 2021.[3]

Peristilahan

sunting

Secara etimologinya, istilah songket merujuk kepada "sungkit" mahupun "sangkut" yang bermakna "mengait", "menyungkit" atau "mencungkil".[4][5]

Sejarah

sunting

Songket tradisionalnya ditenun menggunakan alat tenun Melayu yang dipanggil 'kek' dengan benang emas sebagai benang lilit.[6] Penggunaan benang emas menandakan kualiti tinggi kain itu dan orang yang memakainya berasal dari keluarga yang kaya dan berpengaruh. Pada zaman dahulu, hanya pemerintah, ahli keluarga diraja, dan wakil-wakil penting negara yang dibenarkan memakainya.[7]

Dari segi sejarah, songket juga dikenali dengan beberapa nama lain dalam karya-karya klasik; seperti 'kain emas', 'sulam benang emas', 'kain berpaku emas', 'jong sarat' (penuh corak benang emas, popular di Brunei), 'teluk berantai' dan 'bersuji air emas'.[8] Istilah "songket" sendiri berasal daripada perkataan Melayu 'sungkit' (kedua-duanya dieja secara serupa sebagai "سوڠکيت" dalam tulisan Jawi), yang bermaksud untuk mengeluarkan atau menarik benang dari belakang kain atau untuk menenun menggunakan benang emas dan perak.

Kain emas masyarakat Melayu memiliki asal-usulnya sejak zaman Kerajaan Langkasuka.[9] Kerajaan yang terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu sejak abad pertama Masihi. Semenanjung Tanah Melayu merupakan pusat kebudayaan Melayu yang ketara, mempunyai kelebihan tempoh naungan diraja yang tidak terjejas sehingga hari ini. Sejarah Dinasti Liang (506-566 Masihi) melaporkan bahawa Raja Langkasuka berpakaian dengan 'kain berwarna ros dengan bunga emas'.[10] Pada abad ke-13, semasa laluan perdagangan timur berkembang di bawah Dinasti Song, terdapat rujukan kepada tekstil buatan tempatan serta keunggulan tenunan di Semenanjung Tanah Melayu dalam pelbagai catatan China dan Arab.[11] Pada tahun 1225, 𝐂𝐡𝐚𝐮 𝐉𝐮 𝐊𝐮𝐚 melaporkan bahawa isteri dan anak perempuan keluarga kaya di Brunei mengenakan apa yang beliau gambarkan sebagai 'kain sutera berwarna emas cair'.[12]

Penghasilan songket berkembang pesat di Semenanjung Tanah Melayu semasa zaman Kesultanan Melaka, apabila aktiviti perdagangan ke Semenanjung Tanah Melayu mencapai puncaknya pada abad ke-15.[13] Bandar pelabuhan Melaka telah menarik pedagang dari India, China, dunia Arab, dan Barat melalui India, secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan songket hingga mencapai tahap matangnya, melalui pengaruh yang mempersonakan dari budaya Cina, India, dan Islam.[14] Sutera sebagai bahan asasnya berasal dari China, manakala tekstil lain dan teknik tenunan menunjukkan petunjuk pengaruh India. Pada masa yang sama, penggunaan mahir benang emas dan perak untuk mencipta motif yang menarik tanpa menggambarkan haiwan atau manusia menonjolkan pematuhan yang teguh terhadap ajaran Islam.[15]

Pelbagai catatan dalam Kesusasteraan Melayu klasik menekankan tekstil diberi kedudukan yang istimewa, terutamanya kain emas atau songket yang sangat dihormati sebagai simbol kecantikan, kekuatan, dan darjat.[16] Penggunaan yang ketara kain emas di istana diraja dan adat istiadat telah ditekankan berulang kali dalam teks seperti Hikayat Hang Tuah dan Adat Raja Melayu yang merupakan dua catatan penting berkenaan Kesultanan Melaka. Dalam Hikayat Hang Tuah, dinyatakan ciri-ciri pakaian songket yang menjadi milik Raja Melaka, iaitu:[17]

...pertama serual berantelas dengan emas berumbai-umbaikan mutiara dan permata merah, berkain ungu bertepi emas dipahat bersirat benang emas kembayat ditatah pudi manikam, ikat pinggang bersuji air emas diragam dan berbaju anta kesuma dan berdestar bertepi, bersirat emas dipahat awan berarak...

Berdasarkan teks tersebut, pakaian Raja Melaka dapat dijelaskan seperti berikut:[18]

  1. Kain berwarna ungu, bahagian tepinya berhiaskan sulaman dengan benang emas (gambaran kain songket) dari Kembayat (Cambay atau Gujerat); ditatah dengan butiran (pudi) dan permata (manikam).
  2. baju antakesuma, iaitu baju layang.
  3. seluar (disebut serual) iaitu daripada bahan berkilat, sutera atau satin berhias dengan sulaman (ikatan) emas dan berumbai mutiara/permata merah di bahagian kaki.
  4. Ikat pinggang berhias sulaman emas (suji air emas).
  5. Ikat kepala/destar (tanjak) berhias emas (bersirat emas daripada tenunan songket) dengan corak 'awan berarak'.

Selain itu kain songket juga dinyatakan ketika peristiwa Hang Jebat menderhaka kepada Raja Melaka, beliau telah mengambil kain berpakan emas (kain bertenunkan emas) dan tanjak bersulam emas dari peti milik raja untuk dipakai olehnya:[19]

Maka Hang Jebat pun mandi berlangir pada pasu emas tempat raja mandi. Maka ia memakai bau-bauan; maka ia pun menyuruh mengambil peti pakaian raja itu. Maka diambilnya kain raja yang berpakankan emas itu dipakainya dan baju raja daripada rambuti itu pun dipakainya. Maka destar daripada emas yang berpermata itu dipakainya.

Dalam Adat Raja-raja Melayu (manuskrip yang merekodkan catatan tentang adat istiadat zaman Kesultanan Melaka) telah dinyatakan penggunaan songket secara jelas dalam upacara bercukur bagi putera raja Melaka:[20]

Maka baginda pun memanggillah segala menteri hulubalang dengan imam khatib bercukur, maka dibubuhkan putera baginda itu di atas tilam keemasan, maka diselimuti dengan kain songket, maka oleh inangda dibawanya keluar dengan bedak langirnya dengan nyiur ditebuk sebutir dan penganan mentah seceper dan beras setalam dan padi setalam dan bunga rampai emas seceper dan bunga rampai perak seceper....

Tambahan pula, penggunaan songket telah diungkapkan dalam istiadat pengebumian jenazah Raja Melaka:[21]

Setelah sudah, diletakkanlah keranda marhum itu pada sama tengahnya, lalu ditutup dengan kain songket yang berpakankan emas, kemudian ditutup dengan kain cadar yang berpakankan emas punca dengan tepinya. Sama tengah kain itu ditulis dengan air emas; kemudian dibubuhkanlah selasas yang dikarang dengan segala bunga-bungaan.

Tenunan songket mula diperkenalkan pada peringkat istana Terengganu semasa pemerintahan Sultan Marhum Janggut (1733-1793). Baginda sultan telah menitahkan Datuk Panglima Dalam pergi ke China untuk mendapatkan benang-benang dan bahan pencelup yang digunakan untuk meniru kain cindai yang telah lama dikenali dalam kalangan istana. Sekembalinya dari sana, Datuk Panglima Dalam telah meminta ibunya Wan Sharifah untuk membuat tenunan itu. Beberapa alat yang dikenali sebagai kek telah direka sendiri oleh beliau. Tenunan songket ini seterusnya telah dijadikan pakaian sultan dan golongan istana. Malah Sultan Sulaiman yang memerintah dari tahun 1920 hingga 1942 telah merekacipta motif-motif dan ragam hias untuk dijadikan pakaian songket baginda.[22]

Tengku Sayyid Ali memerintah negeri Siak dari tahun 1784-1810. Baginda juga dikenali dengan nama Sultan Assaidis Asyarif Ali Abdul Jalil Syaifuddin Baalawi. Pada zaman pemerintahannya baginda telah memanggil seorang penenun dari Terengganu bernama Wan Siti Wan Karim untuk mengajar tenunan kepada anak-anak raja dan golongan bangsawan di Siak. Wan Siti Wan Karim merupakan seorang penenun yang dibawa khas ke Siak pada masa pemerintahan Sultan Sayyid Ali. Justeru wujud perhubungan yang baik antara Kerajaan Siak dengan Kerajaan Terengganu pada ketika itu. Sehingga kini, tenunan Melayu Riau yang masih bertahan ialah tenunan Siak. Sempena dengan namanya, tenunan songket Siak adalah berasal dari Siak Sri Indrapura.[23]

Dalam surat Residen Singapura pertama iaitu William Farquhar kepada Yang Di-pertuan Muda Terengganu bertarikh 18 Zulhijjah 1234 Hijrah atau 8 Oktober 1819, beliau menyatakan terima kasih kepada pihak kerajaan Terengganu di atas pemberian dua helai kain songket:[24]

Daripada itu maka adalah kita bermaklumkan kepada sahabat kita seperti warkah al-ikhlas daripada sahabat kita yang dibawa Nakhoda Abdullah serta dengan sebuah perahu pengail dan dua helai kain songket itu telah selamatlah sampai kepada kita. Barang yang termazkur dalamnya mafhumlah kita serta menerima kasih banyak-banyak kepada sahabat kita.

Songket sebagai busana diraja juga disebutkan dalam naskah Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi pada tahun 1849:[25]

Begitu jugalah senangnya Abdul Kadir menjadi Tengku Muda. Terkelip-kelip mata orang Melaka melihat hal itu. Kadang-kadang dia memakai cara Keling, kadang-kadang cara Melayu, seperti raja-raja, memakai keris, berkain songket, berbaju sikap, dan bersapu tangan telepuk.

Pengenalan songket ke Sumatera masih tidak diketahui kerana kurangnya rujukan kesusasteraan, sama ada dari catatan asing atau tempatan. Terdapat dakwaan oleh Retno Purwanti, Retno dan Sondang Martini Siregar dari Indonesia bahawa terdapat kemiripan motif pada arca purba dari kompleks candi Bumiayu di Sumatra Selatan, dengan motif songket moden.[26] Dakwaan ini bagaimanapun masih belum dapat disahkan. Seorang sarjana yang lain, Lesley S. Pullen, berpendapat bahawa arca-arca di Bumiayu sebenarnya menonjolkan penggunaan pakaian berjahitan pada zaman awal dalam sejarah pakaian Jawa, bukannya Melayu.[27] Pentarikhan arca-arca tersebut iaitu antara abad ke-11 dan awal abad ke-13 meletakkkan ianya dari zaman awal Jawa Timur.[28] Menurut catatan tempatan pada abad ke-16, Baginda Ali membawa ilmu mengenai songket dari Selangor, Semenanjung Tanah Melayu ke Silungkang di Sumatra Barat, tanah Minangkabau.[29] Tenunan songket dari Silungkang kemudiannya tersebar ke Pandai Sikek dan Payakumbuh.[30] Kemudian seperti yang telah dinyatakan tadi, pada abad ke-18, Kerajaan Terengganu telah memberikan satu set alat tenun berserta seorang tukang tenun bernama Wan Siti Binti Wan Karim kepada negeri Siak. Songket yang dikembangkan di Siak ini kemudiannya mempengaruhi tenunan songket di Pekanbaru dan Indragiri.[31][32]

Pada zaman kini

sunting
 
corak motif kain songket

Berdasarkan bahan, kaedah pembuatan, dan harga; Songket pada asalnya merupakan kain mewah golongan bangsawan yang menunjukkan keluhuran dan maruah pemakainya. Tetapi kini songket bukan sahaja ditujukan untuk orang kaya dan berada, kerana harganya berbeza-beza; daripada yang biasa dan agak murah, kepada yang eksklusif dengan harga yang sangat mahal. Kini dengan penggunaan benang emas sintetik, songket tidak lagi semahal dahulu apabila menggunakan emas asli. Namun begitu, songket yang berkualiti terbaik masih dinilai sebagai bentuk seni yang anggun dan agak mahal.

Di beberapa kawasan Palembang, songket masih memiliki nilai jual tinggi kerana pembuatannya masih menggunakan sutera dan emas asli sebagai bahan asas.[33]

Sejak dahulu lagi, songket telah menjadi pilihan popular untuk pakaian perkahwinan tradisional Melayu, Palembang, Minangkabau, Aceh dan Bali. Kain ini sering diberikan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan sebagai salah satu persembahan perkahwinan. Pada hari ini, pakaian rasmi lelaki Melayu sering memakai songket sebagai kain yang dililit di atas seluar atau sebagai ikat kepala, tanjak, atau ikat kepala. Bagi wanita pula, songket dibalut sebagai kain sarung yang digabungkan dengan Kebaya atau Baju kurung.

Walaupun berasal daripada kraf tradisional, industri songket merupakan kraf yang terus hidup dan dinamik. Penenun songket kini cuba mencipta motif baharu yang lebih moden serta pilihan warna yang lebih lembut. Ini adalah usaha untuk memastikan songket sentiasa dikemas kini dan diminati orang ramai. Sebagai objek seni, songket sering dibingkai dan digunakan untuk menghiasi bilik. Aplikasi moden kain songket sangat pelbagai, bermula dari beg wanita, songkok, malah telefon bimbit.

Corak dan motif

sunting
 
Songket khas pengantin

Corak dan motif songket mencerminkan kekayaan alam persekitaran dengan perwujudan cita rasa budaya, sehingga songket memiliki motif-motif tradisional yang sudah menjadi ciri budaya wilayah penghasil kraf. Motif tersebut tercipta dikeranakan rupa semula jadi di sekeliling kawasan tersebut berupa tumbuh tumbuhan, bunga, haiwan, alam dan lain-lain. Misalnya motif flora yang biasa terdapat pada songket Melayu adalah motif pucuk buluh atau Pucuk Rebung, Tampuk Manggis, Bunga Cengkih, Bunga Melor, Bunga Cempaka, Bunga Tanjung, Bunga Matahari, Bunga Cina dan lain-lain. Apa yang menariknya motif –motif tradisi ini masih lagi digunakan sehingga ke hari ini. Walaubagaimanapun, dalam pembentangan ini kami hanya memokuskan beberapa sampel motif.[34]

Pucuk Rebung atau motif pucuk buluh merupakan hiasan utama yang terdapat pada permukaan songket Melayu terutamanya dibahagian kepala kain. Antara nama motif-motif ini ialah Pucuk Rebung Berjuang, Pucuk Rebung Tunjuk Langit, Pucuk Rebung Kendung, Pucuk Rebung Gigi Bota dan Pucuk Rebung Putu atau Pucuk Rebung Siku Keluang. Ada pepatah Melayu yang mengatakan “jika mahu dilenturkan buluh, biarlah dari rebungnya”. Pengajaran yang boleh dipelajari daripada falsafah ini adalah bagaimana cara untuk mendidik kanak-kanak atau untuk membina sikap, perlu bermula pada peringkat awal kehidupan itu. Jika kanak-kanak ini tidak didik sejak kecil dikhuatiri boleh menjejaskan pertumbuhannya. Oleh itu didikan peringkat awal juga sebahagian daripada konsep kesuburan. Kedudukan Pucuk Rebung Tunjuk Langit yang menunjukkan ke arah atas langit dari segi bahasa menyimbolkan kepercayaan dan cahaya Islam yang berhubungan dengan kalimah Allah Maha Besar.

Motif Tampuk Manggis juga merupakan pilihan utama pereka tenunan songker. Buah manggis dianggap sebagai ratu bagi buah-buahan. Pengamal perubatan Melayu tradisi seringkali menggunakan pokok manggis yang dikatakan mujarab merawat penyakit. Bak kata pepatah Melayu “hitam-hitam si tampuk manggis, sungguhpun hitam dipandang manis” mengandungi unsur nasihat terutamanya apabila kita menilai seseorang. Kebaikan seseorang itu seharusnya dinilai daripada hati dan bukan sahaja daripada aspek fizikal luaran sahaja. Hal ini menunjukkan pemikiran yang kritis dan analisis mendalam dalam masyarakat Melayu sendiri yang mengamalkannya dan telah berbudaya sejak dahulu lagi. Terdapat tiga ciri-ciri keindahan dalam seni Melayu iaitu kehalusan, kesesuaian dan kebijaksanaan. Dalam kata lain, berdasarkan inilah kita boleh mengenalpasti keunikan kesenian Melayu.

Motif Bunga Teratai menyimbolkan salah satu daripada prinsip dalam kehidupan mereka. Bunga-bungaan sering digunakan sebagai simbol alam dan ketuhanan. Peletakan visual bunga membantu dalam memancarkan ketenangan, kehalusan dan perasaan dan emosi yang segar, prinsip hidup dan keyakinan kepada Allah manakala kelopak pula menyimbolkan manusia. Sebagai manusia, kehidupan yang diberikan adalah keyakinan, ketulenan, kekuatan dan aturan sosial. Konsep keindahan fizikal boleh dilihat dari mata yang memandang namun keindahan dalam dalaman hanya boleh ditanggap dari hati orang yang matang. Dalam kontek motif Bunga Teratai, terdapat kewujudan proses sinkratisme atau asimilasi antara kepercayaan agama dan animisme. Walaubagaimanapun, Islam telah beupaya memberi perubahan yang menyeluruh terutamanya terhadap rasionalisme dan intelektualisme.

Motif buah nenas juga salah satu daripada motif songket. Buah nenas biasanya digunakan untuk dimakan, ramuan makanan dan pencuci mulut. Lebih mendalam lagi, nenas adalah buahan yang membantu dalam menyeimbangkan makanan yang mengandungi lemak yang tinggi dan membantu dalam proses penghadaman.

Motif haiwan atau fauna sering menjadi pilihan dalam masyarakat Melayu terutamanya sebelum kedatangan dan penerimaan Islam. Tradisi ini berterusan walaupun selepas kedatangan Islam, walaubagaimanapun penggunaan semakin berkurangan. Motif haiwan yang dipilih dalam songket Melayu adalah haiwan yang akrab dengan orang Melayu dan haiwan ini mempunyai ciri-ciri seperti jinak, pelindung manakala ciri-ciri yang tidak baik mestilah dielakkan misalnya sifat bercakap besar atau sombong, cakap sia-sia dan suka berkelahi. Haiwan ini biasanya yang terdapat dalam motif songket adalah seperti ayam betina, ayam jantan, burung merak, rama-rama, lipan, ikan dan kelawar.

Ayam betina mengambarkan ciri-ciri haiwan yang sangat melindungi ahli keluarga. Semenjak penetasan anak-anak ayam lagi ayam betina telah menunjukkan ciri-ciri kasih sayang dan sebagai tempat perlindungan daripada anak-anaknya daripada ancaman. Kesuburan ayam betina terletak pada simbol berapa banyak telur yang ditetas. Berbeza pula ciri-ciri yang ada pada ayam jantan yang sering dianggap haiwan yang mempunyai tabiat tidak baik seperti suka bercakap besar dan sombong mengenai sesuatu pencapaian meskipun pencapaian tu adalah sesuatu yang sia-sia. Kedua-duanya mempunyai sikap yang berlawanan antara satu sama lain pantulan daripada realiti dan budaya dimana kita hidup.

Burung merak juga banyak dihasilkan oleh penenun. Merak adalah sejenis burung yang cantik terutamanya pada bahagian ekornya. Dalam konteks ini sesuatu keindahan dan penonjolannya tidak sahaja diukur sebagai sesuatu kesombongan dan keangkuhan diatas anugerah yang diterima. Budaya Melayu sering menekankan nilai-nilai misalnya berbudi bahasa dan baik hati dalam menyimbolkan ciri-ciri sifat individu.

Rama-rama boleh dilihat daripada putaran hidup rama-rama itu sendiri. Daripada ulat beluncas yang hodoh rupanya bertukar menjadi kepompong dan berkembang menjadi rama-rama yang cantik. Proses-proses ini menyimbolkan konsep kasih sayang dan keindahan dan kedua-dua konsep akan akan kekal selama-lamanya.Dapatkan URL pendek

Orang Melayu juga mendapat ilham motif-motif daripada kosmos misalnya bulan, matahari, bulan dan awan dalam membangunkan reka bentuk songket. Hubungan erat antara masyarakat Melayu dan persekitaran telah wujud sejak dahulu lagi dimana pelbagai penemuan dalam ilmu pengetahuan, pengertian dan kepercayaan telah dihasilkan. Masih terdapat banyak lagi rahsia tersembunyi yang masih belum dibuat penyelidikan dan didedahkan. Walaubagaimanapun, bergantung kepada usaha manusia itu sendiri untuk menemui sesuatu yang baik atau tidak. Dalam perbincangan ini, pengetahuan yang mendalam yang dipandu dengan aturan dan kepatuhan yang diperlukan, seperti pergerakan dan putaran alam ini. Bulan, bintang dan matahari menyimbolkan keindahan alam manakala awan melindungi alam disekitarnya. Perkara ini boleh dikaitkan dengan perkembangan Islam yang bermula di suatu tempat dan tersebar dan berkembang di diserata ceruk dunia untuk menyampaikan kebenaran yang sebenar untuk semua.

Penenun juga mengambil kehidupan nelayan dalam menghasilkan motif songket. Misalnya, motif Bintang Beralih sebenarnya adalah perletakan bintang dimana digunakan oleh nelayan sebagai panduan untuk mendapat tangkapan yang besar, motif ini juga adalah simbol kepada limpahan rezeki. Bintang yang berkelip-kelip adalah panorama yang indah. Ilham daripada situlah tukang Melayu juga menggunakan panorama ini sebagai panduan dimana dan masa bila sesebuah rumah itu sesuai dibina agar rumah itu akan dilimpahkan keberkatan dikemudian hari.

Terdapat juga penggunaan motif –motif alam benda atau objek harian yang berdasarkan kegunaan tertentu dan mempunyai ciri-ciri yang menarik. Kewujudan objek dipercayai membawa tuah yang baik, rahmat atau keuntungan atau perlindungan kepada pemakainya misalnya motif keris, mahkota, kipas tangan, tudung saji dan banyak lagi.

Keris adalah objek yang sangat penting dalam masyarakat Melayu tradisional yang digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Selain sebagai simbol lelaki Melayu tangkas dan berani, keris juga adalah objek yang mempunyai elemen magis. Keris sering digunakan dalam upacara ritual tradisi kerana keris dipercayai mempunyai semangat yang tersendiri. Semenjak keris mempunyai pengaruh kuat dan impak yang besar bagi orang Melayu, tidah menghairankan jika proses untuk membuat dan memulihara keris ini dilakukan dengan berwaspada, penuh adab dan secara artistik. R.O. Winstedt mengatakan ‘keris adalah hasil kerja tangan orang Melayu yang paling asli kecantikannya’. Kini keris adalah simbol kuasa, kedaulatan dan kemegahan bangsa Melayu. Oleh itu penenun songket sering menggunakan motif ini untuk melambangkan kekuatan orang Melayu.[35]

Motif Saik Kalamai, Buah Palo, Barantai Putiah, Barantai Merah, Tampuak Manggih, Salapah, Kunang-kunang, Api-api, Cukie Baserak, Sirangkak, Silala Rabah, dan Simasam yang merupakan motif khas songket Pandai Sikek, Minangkabau.[36]

Kefahaman ini juga ditentukan secara rekaan khusus: beberapa pemerintah daerah di Indonesia misalnya telah mempatenkan motif songket tradisional mereka. Dari 71 motif songket yang dimiliki Sumatra Selatan, baru 22 motif yang terdaftar di Direktorat Jenderal Hak Kekayaan Intelektual Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia. Dari 22 motif songket Palembang yang telah didaftarkan termasuk motif Bungo Intan, Lepus Pulis, Nampan Perak, dan Limar Beranti. Sementara 49 motif yang lain tidak berdaftar, termasuk motif Berante Berakam pada seragam rasmi. Selain motif Berante Berakam, beberapa motif lain yang belum terdaftar ialah motif Songket Lepus Bintang Berakam, Nago Besaung, Limar Tigo Negeri Tabur Intan, Limar Tigo Negeri Cantik Manis, Lepus Bintang Penuh, Limar Penuh Mawar Berkandang, dan sejumlah motif lain.[37]

Corak dan motif pada jubah graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)[38] juga menggunakan songket dengan direka dengan teliti untuk mencerminkan hubungan erat antara warisan budaya tempatan dan pencapaian akademik. Motif potong wajik, yang digunakan pada sulaman lapel jubah, melambangkan ketelitian dan kesempurnaan dalam seni tenunan songket tradisional Melayu, seiring dengan keunggulan akademik yang dikejar oleh para graduan.[39] Logo universiti yang terletak di dalam motif tersebut menggambarkan semangat kesatuan dan identiti UTM sebagai pusat ilmu. Sementara itu, tenunan lace yang menghiasi jubah menambahkan sentuhan sofistikasi, manakala warna hiasan yang dipadankan mengikut fakulti mencerminkan pelbagai bidang pengajian yang terdapat di UTM. Gabungan corak tradisional dengan reka bentuk moden ini memberikan jubah graduan UTM nilai simbolik yang tinggi, sebagai penghormatan kepada warisan Melayu dan kecemerlangan akademik.[40]

Kawasan pertukangan

sunting
 
Songket tradisional khas suku Sasak

Kawasan-kawasan di Asia Tenggara yang dikenali seni songketnya:


Proses pembuatan

sunting

Secara ringkasnya proses menenun songket adalah dengan menggunakan teknik menyungkit iaitu menggunakan lidi buluh atau bilah nibung melalui benang loseng/lungsin di permukaan alat tenun yang dipanggil kek tenun. Proses menyungkit dilakukan setelah benang karat butang disediakan. Benang karat butang digunakan untuk membuat reka corak atau sulaman benang emas.

Benang perlu dibersihkan sebelum dicelup ke dalam pewarna. Setelah pewarnaan dibuat benang perlu dikeringkan sebelum kerja selanjutnya dilaksanakan. Benang-benang ini dililit pada pelenting buluh kecil dilakukan dengan bantuan alat darwin dan alat pemutar rahat.

Benang loseng diregang di alat penenun (ianian) bagi menentukan saiz panjang atau jumlah helai kain yang akan ditenun sebelum digulung dengan sekeping papan loseng untuk disiapkan pada gigi atau sikat jentera. Setelah itu, kerja-kerja menyapuk dapat dilakukan

Dua urat benang loseng dikaitkan melalui setiap celah gigi jentera. Karak dibuat daripada benang asing yang digelung.

Corak digubah pada benang loseng menggunakan alat "lidi" agar benang loseng berangka genap dan ganjil dapat diarahkan turun naik secara berselang seli sewaktu menenun. Sebanyak tiga atau lima lembar benang disongketkan kemudian diikat dan dikenali sebagai proses ikat butang. Alat torak yang diisi dengan benang pakan atau benang emas, dimasukkan ke kiri dan kanan di celah-celah benang loseng mengikut corak yang telah ditentukan hinggalah menjadi sekeping kain. Kain yang telah siap ini dipotong mengikut saiz.

Galeri gambar sejarah

sunting

Nota Kaki

sunting
  1. ^ "Songket Malaysia (Malaysia)". Dicapai pada 2022-07-07.
  2. ^ Kheng, June Ngo Siok (2011). "Revitalising the Craft of Songket Weaving through Innovation in Malaysia". In: Seminar a Celebration of South East Asia Textiles, In conjunction with the celebration of Textile Carnival and Exhibition at Department of Museums Malaysia, Kuala Lumpur 2011.
  3. ^ CNN Indonesia (17 Disember 2021). "Songket Malaysia Diakui Jadi Warisan Tak Benda UNESCO". CNN Indonesia. Dicapai pada 17 Disember 2021.
  4. ^ "Sungkit". kbbi.kemdikbud.go.id. Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan. Dicapai pada 25 April 2021.
  5. ^ "Sungkit". prpm.dbp.gov.my. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Dicapai pada 10 Oktober 2022.
  6. ^ Norwani (1989), h. 48
  7. ^ Norwani (1989), h. 7
  8. ^ Siti Zainon (1994), h. 25
  9. ^ Sheppard (1972), h. 15
  10. ^ Pullen (2021), h. 34
  11. ^ Maznah (1996), h. 19
  12. ^ Bantong (2001)
  13. ^ Ahmad Sarji (2011), h. 114
  14. ^ Maznah (1995), h. 108
  15. ^ Maznah (1995), h. 108
  16. ^ Maznah (1996), h. 2
  17. ^ Kassim Ahmad (1975), h. 94
  18. ^ Siti Zainon Ismail (1993), h. 25
  19. ^ Kassim Ahmad (1975), h. 336
  20. ^ Tardjan Hadidjaja (1964), h. 11
  21. ^ Tardjan Hadidjaja (1964), h. 53
  22. ^ Arba’iyah Ab. Aziz (2021), h. 63
  23. ^ Arba’iyah Ab. Aziz (2021), h. 64
  24. ^ Badriyah Haji Salleh (1999), h. 101
  25. ^ Hikayat Abdullah By Hamzah Hamdani
  26. ^ Purwanti, Retno; Siregar, Sondang Martini (2016)
  27. ^ Pullen (2021), h. 114
  28. ^ Pullen (2021), h. 115
  29. ^ Deni Setiawan, S.Sn., M. Hum. (2022), h. 86
  30. ^ Dedi Arman (2014)
  31. ^ Lestari, S., & Riyanti, M.T. (2017), h. 39
  32. ^ Dedi Arman (2014)
  33. ^ "Mengenal Harga Songket Palembang - Semua Halaman - TRIBUNNEWS". TRIBUNNEWS.COM (dalam bahasa Indonesia). Dicapai pada 2022-09-30.
  34. ^ HAZIYAH HUSSIN (2009). Motif Alam dalam Batik dan Songket Melayu. Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s. 306.
  35. ^ Motif Songket Melayu : Pengucapan Falsafah https://faizalsidik.blogspot.com/2017/05/motif-songket-melayu-pengucapan-falsafah.html Dicapai pada 2023-12-28
  36. ^ "Tenun Songket Pandai Sikek (Sumatra Barat - Indonesia)". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-04-23. Dicapai pada 2010-10-24. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)
  37. ^ Sriwijaya Post. "Motif Abstrak Songket palembang". Sriwijaya Post. Dicapai pada 2012-01-16. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  38. ^ "Homepage UTM | Welcome to Universiti Teknologi Malaysia | Official Web Portal of Universiti Teknologi Malaysia". www.utm.my (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-09-10.
  39. ^ "CONVOCATION ATTIRE | Academic Management Division (AMD)" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-09-10.
  40. ^ Universiti Teknologi Malaysia (2023). Majlis Konvokesyen: Universiti Teknologi Malaysia. Malaysia: Universiti Teknologi Malaysia. m/s. 53–54.
  41. ^ The Malay handloom weavers: a study of the rise and decline of traditional ... By Maznah Mohamad
  42. ^ "Songket Terengganu (Terengganu - Malaysia)". Dicapai pada 28 Oktober 2022.
  43. ^ "Songket Terengganu (Terengganu - Malaysia)". Dicapai pada 28 Oktober 2022.
  44. ^ "Songket Pahang (Pahang - Malaysia)". Dicapai pada 28 Oktober 2022.
  45. ^ "Songket Sarawak (Sarawak - Malaysia)". Dicapai pada 6 Julai 2022.
  46. ^ "Songket Johor (Johor - Malaysia)". Dicapai pada 28 Oktober 2022.
  47. ^ "Songket Melaka (Melaka - Malaysia)". Dicapai pada 28 Oktober 2022.
  48. ^ "Songket Perak (Perak - Malaysia)". Dicapai pada 28 Oktober 2022.
  49. ^ "Songket Kedah (Kedah - Malaysia)". Dicapai pada 28 Julai 2022.
  50. ^ "Tenun Songket Pandai Sikek (Sumatra Barat - Indonesia)". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-04-23. Dicapai pada 2021-01-06.
  51. ^ National Geographic Traveller Indonesia, Vol 1, No 6, 2009, Jakarta, Indonesia, page 62
  52. ^ "Songket Brunei (Sambas - Brunei)". Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Mac 2021. Dicapai pada 28 Oktober 2022.
  53. ^ Siti Norkhalbi Haji Wahsalfelah. (3-5 Disember 2007). "Tamadun Brunei dan Kewujudan Seni Tenun". Seminar Sejarah Borneo, Pemeliharaan Sejarah Borneo dan Tamadun Borneo: Ke Arah Pengukuhan Negara Bangsa, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam. doi:10.13140/2.1.4659.1363.
  54. ^ "Songket Bangkok (Bangkok - Thailand)". Dicapai pada 27 Oktober 2022.
  55. ^ "Songket Thailand (Utara Thailand - Thailand)". Dicapai pada 27 Oktober 2022.
  56. ^ "Songket Thailand (Selatan Thailand - Thailand)". Dicapai pada 27 Oktober 2022.
  57. ^ "Songket Kemboja (Angkor Wat - Kemboja)". Dicapai pada 23 Jun 2023.
  58. ^ "Songket Kemboja (Phnom Penh - Kemboja)". Dicapai pada 23 Jun 2023.

Rujukan

sunting