UNIC
UNIC ialah sebuah kumpulan nasyid Malaysia.[3] Kumpulan ini merupakan rakan seangkatan kepada Inteam, Ae-man dan Mestica yang turut berada di bawah Hijjaz Records Sdn Bhd. Album pertama mereka yang berjudul You And I See dikeluarkan pada 2002,[4] telah mencatatkan jualan melebihi 40,000 unit di seluruh Malaysia. Berdasarkan sambutan yang diberikan oleh peminat nasyid, sehingga kini UNIC telah bertahan selama 20 tahun dalam persada seni dan telah berjaya menerbitkan lapan buah album studio dan enam album kompilasi.[5]
UNIC | |
---|---|
Berasal dari | Malaysia |
Genre | Nasyid |
Tahun aktif | 2002-kini |
Syarikat rakaman | Hijjaz Records (2002-2009) NAR Records (2002) EMI (2003-2007) Warner Music Malaysia (2008-2009) UNIDOTMY Pro (2010-kini) |
Ahli | Bazli Hazwan (2002 - kini) Fakhrul Radhi (2008 - kini) Fitri Haris (2002-2009, 2022 - kini) |
Bekas ahli | Fadzli Aziz (2004-2014) Wan Najdi (2016-2020) Hafiz Hamidun (2003-2006) Syed Azlan (2007-2009) Wan Shah (2002-2004) Afendi Jahri (2002-2003)[1][2] |
Sejarah Awal
suntingKumpulan UNIC telah ditubuhkan pada tahun 2001 oleh tiga orang remaja yang bersekolah di negeri Johor iaitu Mohamad Fitri bin Mohamad Haris (Fitri), Bazli Hazwan bin Che Osman (Bazli) dan Wan Sharifuddin bin Wan Hassan (Wan Shah). Pada ketika itu, Fitri dan Bazli sama-sama belajar di SMKA Bandar Penawar, Kota Tinggi sementara Wan Shah pula menetap dan belajar di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
Segalanya bermula setelah Fitri berkawan dengan Wan Shah semasa mereka menyertai pertandingan nasyid mewakili kumpulan masing-masing di peringkat negeri Johor. Kebetulan, Wan Shah telahpun berkawan dengan salah seorang staf Hijjaz Music Entertainment (kemudiannya dikenali sebagai Hijjaz Records) dan daripada staf itulah Wan Shah sering mendapat cenderamata dari kumpulan Hijjaz. Atas pelawaan daripada staf itulah Wan Shah mengambil insiatif untuk membentuk kumpulan nasyid dan mula mengajak Fitri untuk turut bersamanya dalam misi mereka untuk menjadi artis rakaman dan turut meminta Fitri untuk mencari anggota lain. Teringatkan Bazli yang turut berkongsi minat yang sama, Fitri terus sahaja merekrutnya untuk memenuhi hasrat Wan Shah. Bermula dari situlah, Fitri dan Bazli akan pergi ke rumah Wan Shah pada setiap hujung minggu untuk sesi latihan nasyid.
Setelah tamat SPM pada tahun 2001, mereka bertiga telah pergi ke Kuala Lumpur untuk melihat sendiri kumpulan Hijjaz dan pejabat milik kumpulan tersebut. Pada ketika itu, mereka menginap di rumah salah seorang staf Hijjaz Records dan mereka datang ke pejabat Hijjaz Records selama tiga hari berturut-turut. Pada hari ketiga mereka berada di Hijjaz Records, Hashim Ngadiman dan Faizal Hijjaz telah memanggil mereka bertiga untuk diuji bakat. Seminggu kemudian, mereka telah menerima tawaran untuk menjadi artis rakaman Hijjaz Records memandangkan pada ketika itu Hijjaz Records sedang mencari artis rakaman yang terdiri daripada kalangan remaja. Pihak Hijjaz Records telah memberikan kontrak rakaman kepada mereka dan meminta mereka untuk mempelajari dan meneliti kontrak tersebut sebelum menerima tawaran untuk menjadi artis rakaman. Dua minggu kemudian, mereka bertiga akhirnya menerima tawaran tersebut dan bermulalah karier mereka dalam industri nasyid tanah air.
Perjalanan Karier
sunting2001-2002 : Afendi Pelengkap UNIC & Album "You And I See"
suntingSetelah mereka menjadi artis rakaman Hijjaz Records secara rasmi, mereka yang pada ketika itu bergerak tanpa nama kumpulan telah mencari dan menghasilkan material untuk album pertama bersama kumpulan Hijjaz. Namun begitu, masalah mula timbul apabila mereka bergerak hanya tiga orang sedangkan pihak pengurusan mahukan mereka bergerak dengan minimum empat orang anggota. Disebabkan itulah mereka perlu mencari ahli keempat untuk memudahkan proses rakaman album yang kemudiannya membawa kepada kemasukan seorang anak muda bernama Mohd Afendi bin Haji Jahri sebagai ahli keempat. Afendi yang turut dikenali sebagai Apen atau Fendi merupakan staf yang baru sahaja bekerja dengan Hijjaz Records setelah tamat SPM. Mereka berempat kemudiannya segera memulakan proses rakaman untuk album pertama mereka dan pada ketika itulah Hijjaz telah memberi nama UNIC kepada kumpulan yang dianggotai oleh empat orang remaja ini. Nama UNIC berasal daripada singkatan "You And I See" mengikut sebutan huruf di mana ia juga merupakan judul salah satu lagu mereka yang dimuatkan dalam album tersebut. Setelah beberapa ketika, proses rakaman tersebut akhirnya siap dan terhasillah album pertama mereka yang menggunakan nama You And I See sebagai judul album. Album ini diterbitkan oleh Hijjaz Records dan diedarkan oleh NAR Records. Menariknya, Wan Shah turut menyumbangkan lagu ciptaannya sendiri iaitu Anak Soleh dalam album ini.
Berbekalkan lagu hit Hanya Tuhan Yang Tahu[6], mereka tidak mengambil masa yang lama untuk meraih populariti. Bukan itu sahaja, lagu Hanya Tuhan Yang Tahu juga turut popular dalam carta muzik Era FM pada ketika itu. Nama UNIC kemudiannya terus menjadi sebutan para peminat nasyid tambah-tambah lagi dengan imej mereka yang sentiasa memakai jaket dan berkopiah pada ketika itu. Populariti mereka yang semakin meningkat itu menjadikan mereka antara kumpulan nasyid yang sering mendapat undangan untuk membuat persembahan di sekolah-sekolah dan juga universiti.
2003 : Pengunduran Afendi, Penyertaan Hafiz Hamidun & album See You Di IPT
suntingSetelah lebih kurang setahun UNIC menghasilkan album pertama mereka, mereka terus mengorak langkah dengan menghasilkan material untuk album kedua. Malangnya, sebelum proses menghasilkan album kedua berlangsung, UNIC menghadapi ujian getir apabila Afendi telah meninggalkan kumpulan tersebut beberapa bulan sebelum itu. Ini telah memberi ruang kepada pemuda yang berasal dari negeri Perak bernama Mohammad Hafiz bin Hamidun (Hafiz) untuk diserap sebagai anggota kumpulan UNIC. Pada ketika itu, Hafiz yang juga pelajar jurusan Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah dilamar oleh Hijjaz Records pada tahun 2002 sebagai sessionist untuk kumpulan UNIC memandangkan pada ketika itu UNIC banyak mendapat undangan membuat persembahan dan ada ketikanya anggota asal UNIC tidak dapat hadir.
Namun, penyertaan Hafiz dalam UNIC bukannya mudah kerana beliau diberi tempoh percubaan selama tiga bulan oleh Hijjaz Records sebelum diserap sebagai anggota kekal. Akhirnya, Hafiz berjaya mengharungi tempoh percubaan selama tiga bulan dengan baik sekaligus melengkapkan anggota UNIC yang sedia ada untuk merakamkan album kedua. Pada tahun 2003, UNIC berjaya menghasilkan album kedua yang diberi judul See You Di IPT. Album kedua UNIC ini diterbitkan oleh Hijjaz Records, namun kali ini diedarkan oleh syarikat rakaman terkemuka, EMI setelah kontrak kerjasama Hijjaz Records dengan NAR Records tamat sebelum proses rakaman album kedua UNIC berlangsung.
Berbekalkan lagu hit Remaja, Ke Makam Bonda, Demi Cinta Suci dan Zinnirah, album ini sekali lagi mendapat tempat di hati peminat nasyid dan mencatatkan jualan yang membanggakan. Lagu judul album ini, See You Di IPT juga mendapat sentuhan daripada anggota UNIC iaitu Wan Shah bersama dengan Isman Hijjaz dan salah seorang staf Hijjaz yang bernama Atie. Album ini juga menjadi titik tolak kepada penghasilan telemovie yang juga berjudul See You Di IPT yang dikeluarkan pada tahun 2004 di mana telemovie ini menampilkan anggota UNIC itu sendiri, Bell Ngasri (ketika itu dikenali sebagai Nasrizal Ngasri), Bienda dan ramai lagi.
2004-2005 : Pengunduran Wan Shah, Penyertaan Fadzli Aziz & Album Satu Tekad
suntingSepertimana yang berlaku sebelum menghasilkan album See You Di IPT, skrip yang sama berulang kembali pada tahun 2004 apabila Wan Shah meninggalkan kumpulan UNIC atas sebab-sebab yang tertentu. Tempat Wan Shah terus sahaja digantikan oleh anak jati Kota Bharu, Kelantan bernama Ahmad Fadzli bin Abdul Aziz (Fadzli/Pali) yang telahpun mengenali anggota UNIC sebelum itu. UNIC yang ketika itu dianggotai oleh Fitri, Hafiz, Bazli dan Fadzli kemudiannya menghasilkan album ketiga yang berjudul Satu Tekad yang kemudiannya berada di pasaran pada tahun 2005, terbitan Hijjaz Records dan edaran oleh EMI.
Album Satu Tekad boleh dikatakan sebagai album terbaik yang pernah dihasilkan oleh UNIC. Ini kerana banyak lagu mereka dalam album ini hit dan menjadi siulan ramai, antaranya Satu Tekad, Insan Bernama Kekasih, Balqis, Sekolahku dan Erti Syukur (menampilkan Razin Mestica). Lagu Cahaya Cinta yang turut terkandung dalam album ini merupakan lagu ciptaan salah seorang anggota UNIC iaitu Hafiz bersama dengan Frizdan.
2006-2007 : Pengunduran Hafiz, album Tika Itu & Penyertaan Alan
suntingPada tahun 2006, anggota UNIC telah berkurang menjadi tiga orang setelah Hafiz mengambil keputusan untuk bergerak secara solo dan tidak menyambung kontraknya bersama Hijjaz Records. Lebih kurang setahun selepas itu, UNIC telah menghasilkan album ketiga mereka yang berjudul Tika Itu pada tahun 2007. Tidak seperti album mereka yang sebelum ini, album ini cuma memuatkan lapan lagu sahaja dan antaranya ialah Atas Nama Cinta, Lafaz Yang Tersimpan, Mencari Yang Maha Satu (menampilkan Cat Farish) dan Kau, Kawan, Sahabat Dan Teman. Tidak lama selepas itu, UNIC menerima anggota baharu dengan kemasukan bekas anggota kumpulan Rast bernama Syed Mohd. Azlan bin Syed Amirruddin (Alan). UNIC kemudiannya menampilkan Alan dalam versi VCD untuk album Tika Itu. Album ini juga masih mendapat tempat di hati peminat walaupun pada ketika itu industri nasyid dilihat semakin suram dengan kemunculan kumpulan muzik yang membawa genre baharu.
2009 : Album Langkah Tercipta, Pengunduran Fitri & Penyertaan Fakhrul
suntingPada tahun 2009, UNIC telah menghasilkan sebuah album kompilasi yang diberi judul Langkah Tercipta. Dalam album ini, UNIC memuatkan lagu-lagu popular mereka sejak dari tahun 2002 di samping memuatkan empat lagu baharu iaitu Bicara Tentang Cinta, Jalan Pulangku, Hanyut dan Langkah Tercipta.
Album ini merupakan album yang amat signifikan pada UNIC kerana banyak peristiwa yang berlaku selepas penghasilan album ini, antaranya ialah album ini merupakan album terakhir UNIC di bawah label Hijjaz Records. Album ini juga merupakan album pertama UNIC yang menampilkan Juara Akademi Al-Quran musim ketiga, Mohd Fakhrul Radhi bin Khamarudin (Fakhrul) sebagai ahli baru UNIC dan album ini adalah album terakhir Fitri bersama UNIC sebelum bergerak solo selepas itu.
2010-2022 : UNIC Kekal Bertiga, UNIC Bergerak Sendiri, Pengunduran Fadzli (2015), REUNIC 1.0 (2017) & Perkembangan Terkini
suntingSelepas album Langkah Tercipta diterbitkan, UNIC telah menamatkan kontrak mereka dengan Hijjaz Records pada awal tahun 2010 setelah lapan tahun bersama. Namun begitu, Alan telahpun meninggalkan UNIC untuk fokus pada kerjaya beliau di belakang tabir dan bermulalah karier UNIC yang bergerak hanya tiga orang sahaja iaitu Bazli, Fadzli dan juga Fakhrul. Mereka bertiga kemudiannya menubuhkan syarikat mereka sendiri iaitu UNIC Records[7] (kini UNIC Dot My Pro) pada tahun 2010. Tujuan penubuhan syarikat ini adalah untuk memenuhi kehendak pasaran dalam bidang penerbitan album, buku dan bahan‐bahan yang berbentuk pendidikan untuk segenap lapisan masyarakat dan juga berfungsi sebagai pengedar kepada produk‐produk UNIC Records dan pelanggan UNIC.
UNIC terus bergerak maju bersama dengan dua buah lagi syarikat yang diuruskan mereka sendiri iaitu UNIC Nasyeed and Training Consultant (UNTC) dan UNIC Biotrade.[8][9] Setiap syarikat yang ditubuhkan mempunyai fungsi tersendiri dalam usaha mereka menyampaikan dakwah kepada masyarakat.
“Hiburan Berilmu Rohani Terpandu” menjadi slogan mereka. Misi UNIC Records adalah untuk meneroka, berkembang dan menjalankan usaha dakwah menerusi bidang‐bidang yang diceburi selaras dengan kemajuan dan perkembangan negara.
Namun pada awal tahun 2015, UNIC sekali lagi berkurang seorang anggota apabila Fadzli mengambil keputusan untuk meninggalkan UNIC kerana ingin fokus kepada kerjaya beliau seorang konsultan dan penceramah motivasi. Pengunduran Fadzli menjadikan UNIC kekal dengan dua anggota iaitu Bazli dan Fakhrul. Namun pada bulan September 2016, UNIC telah mengumumkan Wan Najdi bin Wan Mohd Noh atau Imam Muda Najdi sebagai ahli baru mereka. Najdi sebelum itu telah mengikuti aktiviti UNIC sejak tahun 2015 lagi seperti konsert amal dan lain-lain. UNIC mengumumkan ahli terbaru mereka melalui media sosial Instagram, Facebook dan Twitter UNIC.
Pada April 2017, UNIC adalah antara peserta yang telah berentap menerusi program terbaharu iaitu Gema Gegar Vaganza (GGV) yang mengangkat lagu ketuhanan sebagai konsep pertandingan. Mereka telah mempersembahkan lagu Hanya Tuhan Yang Tahu pada minggu pertama. Pada konsert akhir Gema Gegar Vaganza (GGV), UNIC telah mempersembahkan lagu pertama mereka iaitu Ainul Mardiah dan lagu kedua battle bersama kumpulan Saujana mempersembahkan lagu Kalah Dalam Menang. Melalui persembahan akhir tersebut UNIC telah dinobatkan sebagai Juara untuk Gema Gegar Vaganza 2017 dengan hadiah kemenangan sebanyak RM 100,000 dan trofi.
Pada tahun yang sama, UNIC telah mengadakan konsert REUNIC di mana UNIC bergabung semula dengan bekas-bekas anggotanya iaitu Hafiz Hamidun, Fitri Haris dan Fadzli Aziz di atas satu pentas. Biarpun projek khas ini tidak dapat disertai oleh tiga lagi bekas anggota UNIC iaitu Wan Shah, Afendi dan Alan, konsert REUNIC yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan dari para peminat yang sememangnya menantikan projek reunion daripada mereka.
Namun setelah 4 tahun bersama, akhirnya Najdi telah mengundurkan diri pada 10 Jun 2020 di laman sosial Instagramnya. Namun begitu, beliau mengundur diri dari kumpulan tersebut kerana sudah lama tidak mengadakan persembahan di mana-mana acara sejak berlakunya Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pada 18 Mac 2020 yang lepas. Walau bagaimanapun, pengunduran Najdi tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berjuang di dalam dunia seni dan secara tidak langsung kumpulan ini masih dianggotai oleh dua orang yang sama iaitu Bazli dan Fakhrul.
2022-kini : Sirih Pulang Ke Gagang, Fitri Kembali Ke UNIC & REUNIC 2.0
suntingIbarat sirih pulang ke gagang, akhirnya pada 6 Julai 2022, UNIC telah mengumumkan ahli ketiga mereka dengan kembalinya salah seorang pengasasnya, Fitri Haris menerusi majlis pelancaran single terbaharu mereka berjudul Fatimah, ciptaan Bazli dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya. Kembalinya Fitri ternyata menggembirakan peminat-peminat setia mereka yang sememangnya merindui suaranya dan menginginkan Fitri untuk kembali bersatu dengan kumpulan asalnya.
Seterusnya pada 4 Ogos 2022, UNIC berjaya mengadakan perjumpaan bersama bekas-bekas anggota mereka untuk merealisasikan projek REUNIC buat kali kedua. Untuk projek reunion kali ini, kemunculan semula tiga anggota terawal UNIC iaitu Wan Shah,Apen dan Alan telah mendapat respon yang sangat positif daripada peminat-peminat UNIC yang merindui kelibat mereka berdua, tambahan pula mereka tidak dapat bersama dalam projek REUNIC yang pertama pada tahun 2017.
Selain itu, UNIC bersama bekas-bekas anggotanya iaitu Hafiz Hamidun, Fadzli Aziz, Wan Shah, Apen dan Najdi juga sedang dalam proses merakamkan semula lagu yang dipetik dari album kedua mereka iaitu Sebuah Pertemuan sebagai simbolik ulang tahun ke-20 UNIC.
Anggota Kumpulan
suntingAnggota Terkini
- Bazli Hazwan bin Che Osman (Bazli Hazwan) - Mula menganggotai UNIC pada tahun 2002 sehingga kini. Dilahirkan di Perlis dan dibesarkan di Kota Tinggi, Johor.
- Mohd Fakhrul Radhi bin Khamarudin (Fakhrul Radhi) - Mula menganggotai UNIC pada tahun 2008 sehingga kini. Berasal dari Alor Setar, Kedah.
- Mohamad Fitri bin Mohamad Haris (Fitri Haris) - Mula menganggotai UNIC pada tahun 2002 sebelum mengundurkan diri pada tahun 2009. Kembali menyertai UNIC pada tahun 2022 setelah 13 tahun bergerak sebagai penyanyi solo, untuk menggantikan Wan Najdi yang meninggalkan UNIC pada tahun 2020. Berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan dibesarkan di Johor.
Bekas Anggota
- Ahmad Fadzli bin Abdul Aziz (Fadzli Aziz) - Mula menganggotai UNIC pada tahun 2004 untuk menggantikan Wan Shah yang meninggalkan UNIC pada tahun yang sama. Sempat bersama UNIC selama 10 tahun sebelum mengundurkan diri pada tahun 2014 untuk menumpukan perhatian kepada kerjaya sebagai konsultan dan motivator. Berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
- Wan Najdi bin Wan Mohd Noh (Wan Najdi) - Mula menganggotai UNIC pada tahun 2016 untuk menggantikan Fadzli Aziz yang meninggalkan UNIC pada tahun 2014. Sempat bersama UNIC selama 4 tahun sebelum mengundurkan pada tahun 2020 kerana pandemik COVID-19. Berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
- Mohd Hafiz bin Hamidun (Hafiz Hamidun) - Mula menganggotai UNIC pada tahun 2003 untuk menggantikan Afendi Jahri yang meninggalkan UNIC pada tahun yang sama. Sempat bersama UNIC selama 3 tahun sebelum mengundurkan diri pada tahun 2006 untuk bergerak secara solo. Berasal dari Teluk Intan, Perak
- Syed Mohd. Azlan bin Syed Amirruddin (Syed Azlan) - Mula menganggotai UNIC pada tahun 2007 untuk menggantikan Hafiz Hamidun yang meninggalkan UNIC pada tahun 2006.Sempat bersama UNIC selama 2 tahun sebelum mengundurkan diri pada tahun 2009 untuk menumpukan perhatian kepada kerja kerja di belakang tabir.
- Wan Sharifuddin bin Wan Hassan (Wan Shah) - Mula menganggotai UNIC pada tahun 2002. Sempat bersama UNIC selama 2 tahun sebelum mengundurkan diri pada tahun 2004. Berasal dari Bachok, Kelantan
- Mohd Afendi bin Haji Jahri (Afendi Jahri) - Mula menganggotai UNIC pada tahun 2002. Sempat bersama UNIC selama 1 tahun sebelum mengundurkan diri pada tahun 2003. Berasal dari Gombak, Selangor.
Garis Masa
suntingDiskografi
suntingAlbum Studio
suntingTahun | Judul | Jualan |
---|---|---|
2002 | You And I See
|
40,000 unit
|
2003 | See You Di IPT
|
|
2005 | Satu Tekad
|
|
2007 | Tika Itu
|
|
2010 | Nur Muhammad
|
|
2011 | Hijrah
|
|
2012 | UNIC Edisi Khas
|
|
2012 | Selawat Relaksasi
|
|
2013 | Doa
|
|
Album Himpunan & Kompilasi
suntingTahun | Judul | Jualan |
---|---|---|
2002 | Nur Kasih
|
|
2004 | Kalimah Cinta
|
|
2005 | Nur Kasih 2
|
|
2005 | Kalimah Cinta 2
|
|
2009 | Langkah Tercipta
|
|
2015 | UNIC Greatest Hits (2015)
|
|
2016 | UNIC Zikir Munajat
|
|
2018 | The Best of UNIC
|
|
2018 | Kompilasi Doa & Zikir Munajat
|
|
Lagu dan single
sunting- "Ainul Mardhiah" (2017)
- "Sucikan Hati" (2017)
- "Sedar ft Caprice" (2017)
- "Zinnirah" (2018)
- "Langit Jingga" (2019)
Kontroversi
suntingPenjenamaan nama kumpulan
suntingSetelah menamatkan kontrak bersama Hijjaz Records, beberapa masalah telah timbul dan antaranya ialah penamaan nama rasmi UNIC. Hijjaz Records menyatakan bahawa nama UNIC adalah hak milik syarikat mereka. Dengan itu nama UNIQUE dan UNIQ telah digunakan sebagai ganti tetapi telah mendatangkan beberapa masalah seperti kekeliruan dalam kalangan peminat setia UNIC. Setelah mereka berbincang dengan pihak pengurusan Hijjaz Records, akhirnya mereka mendapat semula nama UNIC dan digunakan sehingga kini.
Selain itu, terdapat sumber yang mengatakan bahawa sebahagian bekas anggota UNIC telah berikrar bahawa mereka tidak mahu menyertai lagi UNIC sama ada melalui reunion mahupun berhubung lagi dengan UNIC. Antara anggota UNIC yang tidak ingin bersama reunion ialah Wan Shah. Walaubagaimanapun, Wan Shah masih mengekalkan hubungan baik dengan anggota UNIC yang lain iaitu Fitri dan Afendi.
Anugerah dan pencalonan
suntingTahun | Anugerah | Pencalonan | Keputusan |
---|---|---|---|
2002 | Anugerah Era | Artis Kolaborasi Duo/Berkumpulan Popular | Menang |
Tahun | Anugerah | Pencalonan | Keputusan |
---|---|---|---|
2018 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017 | Artis Kolaborasi Duo/Berkumpulan Popular | Tercalon |
Trivia
sunting- Kumpulan UNIC merupakan kumpulan nasyid yang seringkali mengalami pertukaran anggota dari satu album ke satu album. Ini menjadikan Bazli sebagai satu-satunya anggota UNIC yang kekal dari awal penubuhan sehingga kini.
- Selama hampir 2 dekad UNIC dalam industri muzik tanah air, mereka sepatutnya boleh berbangga kerana ahli dan bekas ahli UNIC berjaya dalam bidang masing-masing.
- Hafiz Hamidun telah menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu Arteffects Productions (kini Arteffects Media) pada tahun 2006 setelah menamatkan kontraknya bersama Hijjaz Records, sekaligus meninggalkan UNIC pada waktu itu. Kini, beliau mencapai banyak kejayaan di mana syarikat miliknya berkembang maju dan terkenal bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara juga.
- Fitri Haris pula kini bergelar seorang pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan memegang status Doktor Falsafah. Fitri yang popular dengan panggilan Angah juga menghasilkan beberapa buah lagu solo dan satu album zikir setelah meninggalkan UNIC pada tahun 2009.
- Selain menyanyi, Bazli juga merupakan seorang usahawan yang berjaya di mana beliau bersama isterinya kini menjual beberapa produk makanan iaitu "Sambal Kentang Viral".
- Pada tahun 2017, Bazli telah kehilangan anak sulungnya, Muhammad Syahid yang meninggal dunia akibat kanser limfoma. Bazli kemudiannya menujukan lagu Bintang Syurga yang popular pada waktu itu khas buat anaknya.
- Fadzli Aziz kini berjaya sebagai seorang penceramah motivasi. Beliau dilihat sering mengadakan seminar terutamanya yang berkenaan dengan rumah tangga.
- Pada awal pembabitannya dalam nasyid, Fadzli sebenarnya merupakan anggota kumpulan Allwise yang dikatakan akan menjadi artis rakaman Hijjaz Records. Namun, kumpulan tersebut tidak dapat meneruskan karier mereka dan Fadzli kemudiannya menyertai UNIC biarpun dirinya turut dilamar untuk menyertai kumpulan Devotees.
- Afendi merupakan abang kepada Muhammad Safwan Jahri, bekas anggota kumpulan Ae-man yang turut bernaung di bawah label Hijjaz Records sebelum menyertai kumpulan Nice pada tahun 2007.
- Najdi merupakan adik kepada bekas anggota kumpulan Saujana, Najran yang sebelum itu pernah bersama Alan dalam kumpulan Rast.
- Bazli, Fadzli, Fakhrul & Fitri merupakan anggota dan bekas anggota UNIC yang berada dalam UNIC semasa 2 era berbeza. Pertama, era Hijjaz Records. Kedua, era UNIC Dot My Pro.
Rujukan
sunting- ^ [Penghijrahan Hafiz Hamidun Diarkibkan 2017-09-07 di Wayback Machine. Utusan Malaysia. Capaian 20 Mac 2012.
- ^ Dakwah terbaru Hafiz Hamidun. Utusan Malaysia. Capaian 20 Mac 2012.
- ^ https://web.archive.org/web/20150121022116/http://www.hmetro.com.my/node/25115
- ^ Kumpulan Unic pop dakwah. Utusan Malaysia. Capaian 20 Mac 2012.
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-04. Dicapai pada 2018-01-04.
- ^ Unic susun strategi 2006. Utusan Malaysia. Capaian 20 Mac 2012.
- ^ 'Tidak selamanya kami menyanyi'. Harian Metro. Capaian 20 Mac 2012.
- ^ UNIC terus atur langkah. Harian Metro. Capaian 22 Mac 2012.
- ^ UNIC anjur kem. Harian Metro. Capaian 22 mac 2012.