Buka menu utama

Barisan Sosialis atau Socialist Front (SF) atau nama penuhnya Barisan Sosialis Rakyat Malaya (Malayan People's Socialist Front) dibentuk pada 26 Ogos 1958, terdiri daripada Parti Rakyat Malaya (PRM) dan Parti Buruh Malaya (LPM) pada mulanya dan disertai kemudiannya Parti Perhimpunan Kebangsaan atau National Convention Party (PPK) bagi membentuk satu pakatan politik yang telah bergiat cergas dan mendominasi beberapa pihak berkuasa kerajaan tempatan di Semenanjung Malaysia pada era 1950-an dan 1960-an.[1]

Barisan Sosialis
Socialist Front
SF
Diasaskan26 Ogos 1958
Dibubarkan1969
Ibu pejabatKuala Lumpur
KeahlianParti Rakyat Malaya (PRM)
Parti Buruh Malaya (LPM)
Parti Perhimpunan Kebangsaan (PPK)
IdeologiSosialis

Dalam Pilihan raya umum Tanah Melayu 1959 yang pertama, SF telah memenangi 8 kerusi di peringkat kebangsaan menjadikannya party yang ketiga besar di Parlimen Malaysia selepas PERIKATAN dan Parti Islam Se-Malaya (PAS).

Semasa rancangan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman untuk mengembangkan Tanah Melayu menjadi satu persekutuan yang lebih besar Malaysia pada 1961 telah mengamitkan kerjasama di antara pelbagai parti pembangkang di Parlimen. Maka SF telah berkerjasama dengan Parti Negara, Parti Progresif Penduduk (PPP), Parti Demokratik Bersatu atau United Democratic Party (UDP) dan Parti Islam Pan-Malaysia (PMIP), untuk membantah rancangan yang dilihat sebagai agenda tersendiri PERIKATAN.

Sementara itu, SF juga memperkuatkan penguasaannya di peringkat kerajaan tempatan seperti di Pulau Pinang, di mana SF telah menguasai 14 dari 15 kerusi bagi kerajaan tempatan George Town selepas pilihan raya Majlis Bandaran pada 1961. Pada 1965, SF telah menguasai majlis bandaran di Pulau Pinang dan Melaka serta juga majlis tempatan di Seremban dan Serdang. Faktor-faktor kemiskinan, gaji upah yang kecil dan kesihatan serta perkhidmatan bekalan elektrik dan air menjadi tapak sosialisme berkembang ketika itu. Aktivis kesatuan sekerja, N. Patkunam, seorang ahli pengasas dan ahli jawatankuasa pusat Parti Buruh Malaya telah memenangi kerusi majlis tempatan Sungai Pinang pada pilihan raya 1958 dan 1961 dan seterusnya dilantik Timbalan Datuk Bandar pada 1960. Sebagai seorang guru yang muda, beliau telah menjual tanah pusaka ibu bapanya di Green Lane dan menyerahkan hasil jualannya kepada partinya demi untuk memperjuangan menwujudkan satu masyarakat sosialis yang dapat menbenteras kemiskinan dan mendokong pembahagian kekayaan negara secara adil dan saksama.

SF telah bertambah kukuh apabila bekas Menteri Pertanian (1955-63), Abdul Aziz Ishak, membawa parti barunya Parti Perhimpunan Kebangsaan atau National Convention Party (PPK) untuk menyertai gabungan Barisan Sosialis (SF) apabila beliau disingkirkan daripada UMNO.[2] Kerana tekanan hasil pengaruh SF yang berkembang, kerajaan persekutuan Perikatan telah berusaha menjatuhkannya melalui propaganda mengaitkan sosialisma dengan komunisma dan mendakwanya anti-agama. Pengaruh puak berhaluan kiri SF yang bertambah semakin kuat telah menyebabkan tindakan keras dari kerajaan Perikatan pimpinan UMNO.

Pada 1963, sejurus selepas peristiwa Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1963, kerajaan telah mengambil tindakan ke atas beberapa ahli politik dan aktivis pembangkang. SF dilihat sebagai pro-Indonesia dan semua pemimpin Barisan Sosialis telah diberkas. Antara mereka yang ditahan dan ditangkap ialah Ahmad Boestamam (presiden PRM), Ishak Haji Muhammad (presiden PBM), Abdul Aziz Ishak (presiden PPK) serta Datuk Kampo Radjo (kemudian menjadi presiden PRM), Tan Kai Hee, Tan Hock Hin, Dr. Rajakumar, Hasnul Hadi, Tajuddin Kahar dan ratusan yang lain. Rapat umum dan demonstrasi besar-besaran telah diadakan pada 13 Februari 1965 di Kuala Lumpur sempena ulang tahun kedua penahanan Ahmad Boestamam[3] dan lain-lain untuk menentang penangkapan beramai-ramai aktivis dan pemimpin SF di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan tuduhan penglibatan kegiatan "subversif". Akibatnya pada Pilihan raya umum Malaysia 1964, SF hanya dapat memenangi 2 kerusi. Pembatalan pilihan raya kerajaan tempatan 1965 selepas pengisytiharan Darurat pada 1964 akibat Konfrontasi terus memberi kesan dan melemahkan pengaruh SF.[4]

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1969, Barisan Sosialis (SF) yang sebelum ini bertanding dan berjaya dalam Pilihan Raya Umum Tanah Melayu 1959 dan Pilihan Raya Umum Malaysia 1964 telah roboh berikutan pertikaian antara Parti Rakyat Malaya (PRM) dan Parti Buruh Malaya (LPM) mengenai isu-isu bahasa dan lain-lain meninggalkan PRM bertanding 6 kerusi di atas dirinya sendiri.[5] Barisan Sosialis akhirnya terus semakin lemah dan terkubur kerana mendapat tekanan kuat dari pihak kerajaan pemerintah akibat berlakunya tragedi rusuhan kaum Peristiwa Mei 13 pada 1969.

Pautan LuarSunting

Lihat jugaSunting

RujukanSunting

  1. ^ Penang Story: Facing Up to Storm Clouds : The Labour Party of Malaya, Penang Division, 1963 – 1969
  2. ^ Weiss, Meredith Leigh (2005). Protest and Possibilities: Civil Society and Coalitions for Political Change in Malaysia. Palo Alto: Stanford University Press. m/s. 324. ISBN 0804752958. 
  3. ^ Weiss, Meredith Leigh (2005). Protest and Possibilities: Civil Society and Coalitions for Political Change in Malaysia. Palo Alto: Stanford University Press. m/s. 324. ISBN 0804752958. 
  4. ^ Socialist Party of Malaysia: Building socialism while capitalism crumbles, Links – International Journal of Socialist Renewal, "Left sails through the turbulent times", By SANTHA OORJITHAM, 2008/10/26, NST
  5. ^ Watershed elections of 1969, 8 August 2007, Malaysian History