Papadom
Papadom merupakan sebuah filem komedi drama keluarga Malaysia tahun 2009 arahan Afdlin Shauki yang turut berkhidmat sebagai penulis skrip dan cerita asal.[2][3][4][5] Filem ini diinspirasikan dari filem College Road Trip (2008) terbitan Walt Disney. Ia dibintangi oleh Afdlin sebagai Saadom, seorang peniaga nasi kandar yang terlalu kuat bekerja sehingga berjaya mengejar impian hidupnya, namun dia gagal dalam tanggungjawabnya sebagai suami kepada Munira dan bapa kepada Miasara. Situasi ini berubah apabila Saadom kehilangan isteri kesayangannya yang maut dalam satu kemalangan ketika ingin melihat anaknya menerima anugerah di sekolah selepas suaminya memberikan alasan sibuk. Liyana Jasmay melakonkan watak sebagai Miasara, anak perempuan Saadom dan Noorkhiriah sebagai Munirah, isteri Saadom.[6][7][8]
Papadom | |
---|---|
Pengarah | Afdlin Shauki |
Penulis | Afdlin Shauki |
Cerita oleh | Afdlin Shauki |
Dihasilkan oleh | Gayatri Su-Lin Pillai (eksekutif) |
Dibintangi | |
Sinematografi | Helmi Yusof |
Disunting oleh | Mindy Wong |
Muzik oleh | Pacai |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Astro Shaw |
Tarikh tayangan | 8 Oktober 2009 (Malaysia) |
Masa tayangan | 115 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM 1.44 juta[1] |
Pecah panggung | RM 3.40 juta[1] |
Filem ini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 8 Oktober 2009 oleh Tayangan Unggul.[9] Ia menerima ulasan positif daripada pengkritik filem dan menjadi kejayaan komersial apabila ia meraih kutipan pecah panggung RM3.40 juta melepasi kos belanjawan RM1.44 juta. Ia meraih lima anugerah di Festival Filem Malaysia ke-22 termasuk Filem Terbaik, walaupun belum ditayangkan kepada umum ketika temasya berlangsung pada 5 hingga 8 Ogos.[10][11][12] Kesinambungannya, Papadom 2 ditayangkan pada 14 Disember 2013.[13]
Plot
suntingDi Pulau Pinang, terdapat sepasang penggerai tidak berada yang bernama Saadom (Afdlin Shauki) dan Munirah (Noorkhiriah). Mereka menjual nasi kandar dan papadum di tepi jalan. Tibalah harinya, apabila Munirah dikejarkan ke hospital dan berjaya melahirkan cahaya mata bernama Miasara. Semenjak itu, Saadom berazam untuk menambah rezeki untuk menampung ahli baru keluarganya. Oleh itu, dia bersama dua orang rakannya Ali (Adham Malekh) dan Alan (Pete Teo) bersepakat untuk mengembangkan perniagaan Saadom dari gerai menjadi kedai makan 24 jam yang banyak cawangan, ditambah pula kilang pemprosesan papadum. Alang-alang mengejar kekayaan, Saadom seolah-olah kurang memberi perhatian kepada isteri dan anaknya. Selalunya dia terlupa untuk menyambut hari jadi Miasara, sebaliknya hanya mampu menawarkan hati anaknya dengan papadum selepas parti tamat.
Ketika Miasara berusia 10 tahun, pada satu hari Munirah menengking Saadom melalui telefon sewaktu mengangkut Miasara dalam kereta, sehingga tidak memberi perhatian kepada pemanduan lalu terlibat dalam kemalangan jalan raya. Munirah yang begitu parah cederanya dirawat di hospital lagi, malang sekali hayatnya sampai situ sahaja, namun Saadom sempat mendengar pesanan terakhir dari isterinya agar Miasara dijaga dengan baik.
Tahun demi tahun berlalu, Miasara (Liyana Jasmay) sudah mencapai usia remaja. Selama ini, ke mana Miasara pergi, Saadom sentiasa mengekorinya, lambat-laun menimbulkan rasa malu Miasara yang semakin matang. Pada satu hari seperti biasa, Saadom mengekori Miasara ke sekolah tetapi kali ini disambut dengan Cikgu Midon yang patah lengan kirinya dan tabik dengan rasa segan. Seperti biasa, Saadom juga menyapa kawan-kawan Miasara untuk berkongsi makanan tetapi kali ini mereka hendak "berdiet". Kali ini, datangnya pengetua sekolah untuk menghalau Saadom buat selamanya. Rupa-rupanya Saadom telah mengganggu sesi latihan silat yang diajar oleh Cikgu Midon yang dihadiri Miasara tempoh hari; Saadom menyangka guru itu menyeksa anaknya lalu hendak membalas dendam. Sebaliknya, peristiwa itu memalukan lagi Miasara.
Sejak itu, Miasara selalu terasa terganggu apabila melihat kelibat bapanya mengekorinya ke sini sana. Kerana terlihat wajah bapa sendiri, Miasara gagal dalam ujian memandu, nasib baik Saadom merayu agar guru memandu memberi satu peluang lagi. Dalam kehampaan, Miasara tiba-tiba melonjak keriakan setelah kawannya Yvonne (Chelsia Ng) memberitahunya dia ada 20 gred A dari SPM. Miasara menyambut kecemerlangannya dengan berparti di rumah Yvonne, walaupun dijejaki Saadom lagi. Kali ini, Saadom menengking seorang hadirin lelaki yang menyapa Miasara "tanpa bersopan santun", akibatnya Miasara lari keluar dari parti dengan sebak tak terkawal di tengah hujan lebat.
Dalam pencarian Miasara di tengah cuaca buruk, Saadom terasa amat kesal dengan dirinya sehingga dia terbayangkan Munirah yang mengawasi segala pergerakan mereka berdua (dalam bentuk "hantu" yang hanya boleh dilihat oleh Saadom sendiri). Akhirnya Saadom berjaya menjumpai Miasara di perhentian bas. Sejak itu, Saadom mula menuruti apa yang disuarakan oleh bayangan Munirah dalam nuraninya. Tiba masanya keputusan yang penting bagi Miasara iaitu memilih institusi pengajian tinggi. Walaupun dinasihati oleh bapanya agar memilih kolej yang berdekatan, Miasara tekad untuk melanjutkan pelajaran di Lembah Klang.
Pada tahun berikutnya, Miasara dihantar oleh Saadom ke perkarangan asrama UiTM, Shah Alam untuk memulakan pengajiannya dalam kursus perfileman, dengan harapan agar bapanya berpegang pada janji agar tidak mengekorinya ke sana sini lagi. Yvonne juga sama kampus dengan Miasara. Mereka berdua ditunjukkan bilik mereka oleh senior mereka, Shasha (Scha) sambil dimaklumkan bahawa wujudnya seorang jejaka menawan yang mengaji di kampus itu, iaitu Hisham Hashim (Farid Kamil), yang mana Shasha ialah ketua kelab peminatnya. Shasha menegah Miasara dan Yvonne dari cuba bercinta dengan Hisham, tidak dilupakan juga menggesa mereka agar menyertai pasukan soraknya. Pada saat dia wajib membebaskan Miasara, Saadom masih tidak berupaya melakukan demikian, maka dia mengambil kerja sebagai tukang kebun di perkarangan kampus (dengan pondok sebagai tempat rehatnya yang dijadikan "markas rahsia") agar tidak melepaskan Miasara dari pandangan tanpa disedari.
Di kelas pertama kursus perfileman, para pelajar diminta menyuarakan pendapat masing-masing mengenai seni perfileman. Miasara mengenali si lurus bendul bernama Mat (Que Haidar), atau nama penanya Wajib Tayang, yang menarik perhatian kelas dengan hujah-hujah yang berani tetapi mengelirukan. Giliran Miasara pula, dan luahannya disambut tepukan tangan dari dalam dan luar kelas, oleh Saadom sendiri. Guru kelas perfileman iaitu Cikgu Balqis (Vanidah Imran) menyedari kehadiran Saadom lalu menunjukkan minat terhadap penyamar tukang kebun itu. Selepas kelas, Miasara dan Yvonne tengah mengenali Mat dengan lebih lanjut apabila munculnya jejaka bernama Hisham Hashim yang selalu gadis di mana sahaja dia berada. Hisham yang juga mengikuti kursus perfileman menjemput Miasara dan Yvonne ke lokasi penggambaran filem seram "Puaka Padang Ragbi" di padang ragbi. Sebagai persediaan, Saadom sengaja bertembung dengan Mat untuk mendapatkan maklumat mengenai Miasara.
Tibanya hari penggambaran filem Hisham itu, di mana kehadiran Miasara dan Yvonne di set penggambaran dan bermesra bersama Hisham menyakitkan hati Shasha yang tiba bersama pasukan soraknya. Ejekan oleh Shasha dan pasukan soraknya terhadap kedua-dua "freshie" yang pernah ditegurnya agar menjauhi Hisham itu menimbulkan pergaduhan antara kedua-dua pihak yang turut disaksikan oleh Saadom. Sungguhpun terjadinya pergaduhan berikut, namun kemesraan antara Miasara dan Hisham yang baru berputik tidak tergugat pun. Sebaliknya, makin hari mereka makin rapat dan inilah yang membimbangkan Saadom kerana Hisham seolah-olah ada nafsu berahi. Pada satu petang, Saadom mengekori Miasara dan Hisham ke pawagam lalu membuat kacau dengan melaung kebakaran palsu sehingga menakutkan semua penonton. Sekembali di asrama, Saadom memerhati Hisham bagaikan hendak berintim dengan Miasara sehingga menggoncang kereta Hisham dan menyamar sebagai hantu semata-mata untuk mengelakkan perbuatan yang tidak diingini antara mereka.
Lama-kelamaan, Yvonne merasa tersisih oleh Miasara yang asyik tertarik oleh Hisham, sekaligus memberi peluang kepada Shasha untuk merampas Yvonne dari Miasara sebagai balasan kepada Miasara yang nampaknya telah merampas Hisham darinya. Sementara itu, Saadom meminta bantuan Mat untuk memisahkan Miasara dan Hisham, lantas menjadikan Mat sebagai teman Miasara. Saadom memesan Mat agar bersiap dengan benda-benda yang digemari oleh Miasara sejak kecil iaitu papadum dan anak patung. Pada satu tengah hari, Saadom dan Mat menyorok dalam daun pokok di hadapan asrama, di mana mereka menyaksikan Miasara dihantar balik oleh Hisham, lalu menyedari Yvonne sedang berpindah ke tempat Shasha sebagai kesan keruntuhan persahabatan lama antara mereka gara-gara Hisham. Ketika Shasha dan geng menjemput Yvonne, tiba-tiba Saadom terjatuh dengan bisingnya sehingga dapat didengar di asrama.
Shasha mengekori Saadom ke pondoknya, lantas menyedari selama ini Saadom telah mengintai Miasara ke sana sini bagaikan kaki perempuan. Oleh yang demikian, selepas meninggalkan satu amaran kepada Saadom, Shasha mendapat ikhtiar baru untuk menjatuhkan air muka Miasara. Saadom meneruskan misi demi anaknya itu, kali ini menyamar sebagai pemeriksa kesihatan kerajaan yang beralaskan pakaian pejabat ihsan Alan dan Ali yang sebenarnya tidak bersetuju bahawa Saadom terus mengawasi anaknya sedemikian lagi. Dengan samaran baru itu, Saadom pergi ke kampus untuk berjumpa dengan Hisham untuk memberitahunya bahawa Miasara mengalami penyakit kusta, sementara Mat mendekati Miasara di bilik rakaman bunyi dengan cuba menarik hati Miasara mengikut pesanan Saadom, tetapi gagal pula setelah Miasara diminta keluar. Di luar, Miasara menjumpai Hisham di tangga, tetapi Hisham mencabut lari dengan begitu cepat.
Tibanya hari pencalonan Hisham dalam Festival Filem Malaysia dikhabarkan dalam berita, disambut baik oleh seluruh kampus. Miasara menemui Hisham sekali lagi di Galeri PTAR, kali ini untuk mendengari perdaya penyakit Miasara yang dikhabarkan kepada Hisham tempoh hari. Miasara membetulkan Hisham bahawa itu perbuatan keji Shasha, lantas menggagalkan peluang Shasha untuk merampas kembali Hisham.
Apa yang dirancangkan Shasha seterusnya adalah menyatukan semula Miasara dan Saadom tanpa disedari terdahulu oleh mereka berdua di malam buta, sewaktu jamuan meraikan pencalonan Hisham. Ini dilakukan dengan bantuan Saadom, menghantar kad jemputan kepada mereka beranak dengan nama Shasha dan Yvonne sebagai penghantar kad masing-masing kepada si bapa dan anak. Di jamuan pada waktu malam, Shasha menggah-gahkan penyatuan Miasara dan "tukang kebun" kepada teman-temannya termasuk Yvonne. Rancangan jahat Shasha akhirnya berhasil apabila Miasara ditepuk, berpaling ke belakang lantas mengecam muka bapanya dalam gelap lalu pengsan.
Saadom cemas berlari dengan anaknya yang tidak sedar dalam pangkuannya ke pondok untuk menenangkan hati Miasara. Shasha mengambil kesempatan dengan merakam perbuatan Saadom bersama-sama kawan-kawan lain termasuk Hisham, Mat dan guru-guru. Dalam pondok, sekali lagi Miasara merayu kepada bapanya agar melepaskannya dan hidup berbahagia tanpa hari-hari terpaksa gelisah akan gerak-geri anak sendiri. Hisham membawa beberapa orang kawan yang sebengis samseng untuk menyerbu pondok dan menyeksa Saadom sebelum pergi begitu sahaja tanpa mendengar penjelasan Miasara, diikuti oleh kemasukan Cikgu Balqis untuk membawa Saadom ke muka pengadilan sebelum sempat mendengar penjelasan Miasara mengenai hubungannya dengan Saadom (yang sebelum ini diberitahu oleh Shasha bahawa Saadom itu kaki perempuan yang mengintai Miasara), bersandarkan bukti rakaman dalam telefon bimbit kamera Yvonne.
Cikgu Balqis berjaya membebaskan Saadom dari tahanan polis, tetapi dengan berita buruk bahawa Miasara mungkin akan dibuang dari kursus disebabkan perbuatan Saadom sendiri. Oleh yang demikian, Saadom dijemput oleh Cikgu Balqis ke kampus untuk melihat karya filem anaknya yang menceritakan perihal dirinya selaku bapa tersayang Miasara. Dengan rasa terharunya Saadom menonton hasil kerja anaknya sendiri sambil teringatkan masa lampau sejak kelahiran Miasara hingga ke hari ini, akhirnya dirinya merasa bagaikan sudah berjaya sebagai seorang bapa. Cikgu Balqis berjaya merayu kepada dekan perfileman agar Miasara kekal mengaji di kursus perfileman.
Di penghujung filem, Miasara sekelas berkhemah di hutan. Melalui perbualan telefon, Saadom mampu memesan anaknya agar sentiasa membaca Surah Yaasin ketika berjauhan dari orang tua, padahal Saadom sebenarnya dekat sekali dengan Miasara di tengah hutan sambil memburu beruang buas.
Pelakon
suntingWatak utama
sunting- Afdlin Shauki sebagai Saadom — Seorang peniaga nasi kandar dan papadum yang berasal dari Pulau Pinang dan juga bapa yang terlalu melindungi anaknya, Miasara setelah kehilangan isteri dalam kemalangan. Oleh itu, dia sanggup pergi sejauh mana yang mampu agar memastikan anaknya sentiasa selamat, biarpun menimbulkan situasi yang hanya menjatuhkan muka Miasara. Di kampus yang dimasuki oleh Miasara, Saadom menyamar sebagai tukang kebun dan mencari peluang untuk memerhati gerak-geri anaknya, sehingga disalah sangka sebagai kaki perempuan.
- Liyana Jasmay sebagai Miasara — Anak tunggal kepada Saadom yang memburu kebebasan dari perlindungan bapanya yang berlebihan. Dia sangka dirinya sudah melepaskan diri setelah memasuki universiti, tanpa menyedari dirinya masih dalam pengawasan bapanya secara senyap-senyap. Kehidupan sebagai siswa universiti yang berasrama tidak begitu lancar, apabila terpaksa berdepan dengan masalah mengimbangi persahabatan dan cinta yang nyata menimbulkan kedengkian kawan-kawan sendiri.
- Noorkhiriah sebagai Munirah — Isteri kepada Saadom dan ibu kepada Miasara yang terkorban susulan kemalangan jalan raya sewaktu Miasara kecil dulu. Beberapa tahun kemudian, beliau kembali dalam bentuk bayangan nurani Saadom yang terlalu melindungi anak mereka. Sepanjang masa mengawasi Miasara di kampus, Saadom banyak bersandar pada bantuan bayangan Munirah.
- Vanidah Imran sebagai Balqis — Pensyarah yang mengelola kelas perfileman yang dihadiri oleh Miasara. Balqis menunjukkan minat kepada Saadom yang memerhati kelasnya dari luar tingkap padahal Saadom sebenarnya sedang memerhati anaknya.
Watak pembantu
sunting- Farid Kamil sebagai Hisham Hashim — Siswa tampan yang menjadi kegilaan ramai siswi di universiti, juga menceburi bidang perfileman. Miasara menjalinkan hubungan cukup mesra dengan Hisham sehingga menimbulkan kecurigaan Saadom, di samping menyebabkan Shasha menjadi dengki.
- Scha Al-Yahya sebagai Shasha — Watak jahat utama filem ini. Pada mulanya, dialah kelab peminat Hisham Hashim yang juga memiliki pasukan sorak sendirinya. Shasha paling tidak suka Miasara mendekati Hisham, maka dia membalas dendam dengan memperalatkan Yvonne dan Saadom untuk menjatuhkan muka Miasara.
- Chelsia Ng sebagai Yvonne — Kawan karib Miasara sejak bangku sekolah, mula-mulanya berkongsi asrama dengan Miasara. Tetapi setelah berasa tersisih oleh hubungan Miasara dengan Hisham, dia dihasut oleh Shasha agar menyertai gengnya untuk mengajar Miasara, tetapi lama-kelamaan menyedari rancangan jahat Shasha untuk menjatuhkan muka Miasara.
- Que Haidar sebagai Mat — Pelajar di kelas yang sama dengan Miasara, penuh wawasan sebagai pengkarya filem muda tetapi tidak pandai meluahkan perasaan. Dia menjadi alat terpenting misi Saadom untuk memastikan kesejahteraan Miasara ketika 'berjauhan' dari bapanya.
- Harun Salim Bachik sebagai Hussin — Majikan kepada Saadom yang bertugas sebagai tukang kebun di halaman universiti.
- Adham Malekh sebagai Ali — Sahabat niaga Saadom.
- Pete Teo sebagai Alan Lim — Sahabat niaga Saadom.
Watak undangan
sunting- Din Beramboi sebagai Cikgu Memandu Miasara
- Maimon Mutalib sebagai Guru Besar
Penerbitan
suntingPapadom ialah filem keenam arahan Afdlin Shauki dan filem kedua arahannya bersama Tayangan Unggul selepas Baik Punya Cilok (2005).[14][15] Filem ini berdasarkan daripada kehidupan Afdlin sendiri sebagai bapa dan suami. Afdlin mengakui bahawa beliau amat bergantung kepada isterinya, Christina Orow, untuk membesarkan dua anak perempuan mereka – Miasara dan Anais – kerana waktu kerjanya yang sibuk dan kadangkala tidak teratur.[16] Beliau mendapat idea untuk mengarahkan Papadom setelah mendengar pelbagai kes pencabulan dan hak asasi kanak-kanak yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya sehingga membabitkan kematian.[17] Untuk filem ini, beliau menjadikan filem-filem arahan Yasmin Ahmad sebagai sumber inspirasinya untuk berkarya.[10][18] Afdlin berkata:
"Ketika FFM22, saya amat meminati filem Talentime. [Allahyarhamah] Yasmin telah berjaya mengangkat konsep kekeluargaan yang semakin terbiar. Oleh itu, Papadom dihasilkan selepas saya melihat sendiri cara saya bekerja selama ini. Saya telah bertanya pada diri tentang apa akan jadi jika orang yang selalu diharapkan untuk menjaga anak-anak iaitu isteri tidak berada dalam hidup,".[10]
Menurut Afdlin, Papadom merupakan filem yang tidak ada yang sama daripada segi pelakon. Ia membolehkan beliau berkenalan dengan pelakon yang belum pernah bekerja di bawah arahannya sebelum ini.[10] Beliau turut menjelaskan bahawa filem ini begitu dekat di hatinya kerana ia merupakan sebuah "filem mengenai keluarga saya".[19] Liyana Jasmay, yang terkenal dengan filem-filem lakonannya seperti Castello (2006) dan Histeria (2008), memegang watak sebagai Miasara. Papadom menandakan kerjasama sulung Liyana bersama Afdlin. Liyana mengakui wataknya dalam Papadom lebih dekat dengan dirinya sambil menjelaskan wataknya ialah "seorang anak yang bakal ke kolej, yang ingin bebas dari ibu bapanya".[20] Kos pembikinan filem ini bernilai RM1.44 juta dengan penggambarannya dijalankan pada November 2007 di sekitar Pulau Pinang dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Shah Alam.[6][21]
Tema
suntingMenurut Utusan Malaysia, genre komedi yang menjadi fokus utama Papadom disusun dengan rapi dan tidak retorik kerana dialog-dialog yang diketengahkan lebih bersifat "jujur", malah turut membawa mesej anak-anak juga mahukan kebebasan tidak boleh terlalu dikongkong sebaliknya perlu dikawal dengan nilai-nilai kasih sayang yang tinggi.[22] Dalam kenyataannya mengenai filem arahannya ini, Afdlin berkata antara intipati yang disampaikan dalam Papadom ialah mencari persimpangan di antara berhibur dan menyelami maksud pengalaman dan penceritaan yang mungkin pernah terjadi kepada individu terbabit dan pengalaman seseorang bersama bapanya dan bagaimana hendak menceritakan pengalaman itu kepada orang lain.[23]
Keluaran dan sambutan
suntingTayangan
suntingPapadom pada asalnya dijadualkan untuk tayangan perdana rasmi pada 2008,[6] bagaimanapun ia ditayangkan secara rasmi pada 8 Oktober 2009 di 43 pawagam di seluruh negara.[24][25][26] Filem ini diberi penarafan PG-13 oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Kutipan pecah panggung
suntingPada empat hari terawal tayangannya, filem Papadom dilaporkan berjaya meraih kutipan mencecah RM 1 juta,[27][28] sekaligus terletak di tangga kedua carta kutipan pawagam mengekori filem Surrogates pada hujung minggu tersebut.[29] Filem ini berjaya meraih kutipan jualan tiket sebanyak RM2.4 juta dalam tempoh 13 hari tayangan perdananya.[30] Selepas lebih tiga minggu ditayangkan, dilaporkan bahawa filem ini berjaya mengutip RM 3.3 juta, sekaligus melitupi kos penerbitan berganda dua.[31] Setelah mengakhiri tayangannya di pawagam, dilaporkan kutipan keseluruhan filem ini adalah pada RM 3.5 juta,[32][33][34] sekaligus mengatasi kutipan filem Momok The Movie (RM2.1 juta) dan Jin Notti (RM2.5 juta) berdasarkan keputusan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengikut Syarat Wajib Tayang.[35]
Ulasan kritis
suntingLai Swee Wei dari Cinema Online mengulas, "Filem ini memberi satu kisah yang unik dan mempunyai maksud tersembunyi. Pada mulanya, kasih Mia kepada papadom ayahnya itu ditunjukkan, memberikan satu kisah yang tersendiri pada akhir filem. Moral filem ini juga jelas dan mudah difahami kerana ia menunjukkan kesedaran betapa penting keluarga dalam hidup seseorang", lantas memberikan markah 3.5 bintang kepada filem Papadom.[36] Menulis untuk Berita Minggu, Siti Ruqaiyah Hashim memuji keupayaan Afdlin yang "sentiasa mencari sisi serta perspektif lain dalam kehidupan manusia diangkat sebagai tema karya beliau" dan mengulas bahawa elemen introspektif yang ditonjolkan dalam Papadom sehebat filem Anakku Sazali karya P. Ramlee.[37] Menulis untuk Berita Harian, Zaidi Mohamad mengulas bahawa filem ini menyingkap "perasaan sayang yang mendalam seorang ayah kepada anaknya" dan "menekankan tema kekeluargaan dan cinta sesama manusia".[23] Hans Hanis dari portal Rollo di Pelicula mengulas bahawa "filem ini sangat hebat bagi penulis dari segi isi, jalan cerita dan segala-galanya" dan memuji barisan pelakon kerana menampilkan gaya lakonan yang "sangat-sangat hidup".[38] Ruby.my memberi penarafan 10 bintang untuk filem ini sambil mengulas "Kadang-kadang kita tak sedar orang yang kita perlu dah ada di depan mata, tetapi kita tetap mencari yang lain" dan "...terfikir, setiap kali ibu dan bapa kita ada, kita dapat keputusan cemerlang dalam apa pun kita buat. Kita sentiasa dijaga dan berasa selamat. Kehidupan yang diberi oleh ibu bapa sangat sempurna. Walaupun pernah buat kesilapan, kita dapat juga berubah dari melakukannya sekali lagi".[39] Sultan Muzaffar pula berpendapat Papadom memperlihatkan kematangan Afdlin berbanding filem-filemnya yang terdahulu dan menulis "Afdlin sangat unik kerana boleh buat penonton ketawa dan menangis dalam sekelip mata".[40]
Komen retrospektif
suntingAziz M. Osman, yang pernah bekerja di bawah arahan Afdlin menerusi Buli Balik (2006) berkata: "Saya benci Afdlin sebab buat saya menangis menonton Papadom".[30] Mamat Khalid, terkenal dengan hasil karyanya seperti Lang Buana (2003), Rock (2005) dan Kala Malam Bulan Mengambang (2008) pula berkata: "Saya suka kerja Afdlin dalam Papadom kerana kematangannya dalam sudut pembikinan filem. Segala kerja-kerja disusun atur menjadikannya sebuah karya yang jujur...".[30]
Anugerah
suntingPapadom telah menerima 10 pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-22, memenangi 5 anugerah termasuk Filem Terbaik sekaligus memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM100,000. Filem ini juga menerima 7 pencalonan di Anugerah Skrin 2010, namun tidak memenangi sebarang anugerah.
Tahun | Anugerah | Kategori | Penerima/Karya tercalon | Keputusan |
---|---|---|---|---|
2009 | Festival Filem Malaysia ke-22[41][42] | Penataan Seni Terbaik | Nazrul Asraff | Tercalon |
Skor Muzik Asal Terbaik | Pacai | Menang | ||
Cerita Asal Terbaik | Afdlin Shauki | Menang | ||
Lakon Layar Terbaik | Tercalon | |||
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik | Noorkhiriah | Tercalon | ||
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik | Que Haidar | Tercalon | ||
Pelakon Wanita Terbaik | Liyana Jasmay | Menang | ||
Pelakon Lelaki Terbaik | Afdlin Shauki | Menang | ||
Pengarah Filem Terbaik | Tercalon | |||
Filem Terbaik | Papadom | Menang | ||
2010 | Anugerah Skrin 2010[43] | Filem Terbaik | Tercalon | |
Pengarah Filem Terbaik | Afdlin Shauki | Tercalon | ||
Pelakon Wanita Terbaik | Liyana Jasmay | Tercalon | ||
Pelakon Lelaki Terbaik | Afdlin Shauki | Tercalon | ||
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik | Noorkhiriah | Tercalon | ||
Lakon Layar Terbaik | Afdlin Shauki | Tercalon | ||
Festival Filem Asia Osaka 2010 | Filem Terbaik Pilihan Penonton | Papadom | Tempat Ketiga | |
Anugerah Shout! 2010 | Best On Screen Chemistry Award | Afdlin Shauki & Liyana Jasmay | Menang |
Pembikinan semula
suntingPada November 2009, ketika di acara tayangan perdana My Spy, Afdlin Shauki mengumumkan bahawa filem Papadom akan diterbitkan semula dalam versi Tamil untuk pasaran kaum India,[33] lebih-lebih lagi proses penterjemahan lakon layar dijalankan pada masa itu.[44] Versi Tamil ini diberi tajuk Appalam, dan dibintangi oleh Gana Pragasam sebagai Appalasamy (padanan Saadom) dan wajah baru Raja Ilya sebagai Shruti (padanan Miasara, anak perempuan kepada Appalasamy), namun masih mengekalkan khidmat pengarah filem asalnya iaitu Afdlin Shauki untuk versi ini.[45] Afdlin menjelaskan perbezaan versi Tamil dengan filem asalnya, "Perbezaan utama Appalam dan Papadom adalah hubungan anak perempuan dengan ayahnya yang lebih beremosi. Tambahan pula, hubungan ayah dan anak yang ditonjolkan dalam keluarga India berbeza dengan keluarga Cina dan Melayu." Penggambaran Appalam dijalankan pada awal tahun 2010.[45] Tambahnya lagi, watak Shruti berbeza dengan Miasara kerana mengejar cita-cita sebagai penari, dan bukan bergiat dalam industri perfileman.[46]
Kesinambungan
suntingFilem ini diumumkan oleh Afdlin pada 2011 dengan beliau kembali mengarah, menulis skrip dan menjayakan watak Saadom. Liyana Jasmay juga kembali menjayakan watak Miasara. Turut kembali menjayakan watak masing-masing ialah Vanidah Imran, Chelsia Ng dan Scha Al-Yahya. Pelakon yang terlibat termasuk Khir Rahman, Hans Isaac dan Riezman Khuzaimi. Astro Shaw, Ismail Holdings dan syarikat milik Afdlin, Vision Works menerbitkan kesinambungan filem ini. Papadom 2 telah ditayangkan secara rasmi pada 14 Disember 2013.[13] Afdlin dilaporkan merancang akan menghasilkan filem Mamadom sebagai lanjutan kepada dua filem Papadom.[47][48]
Rujukan
sunting- ^ a b TAYANGAN FILEM CEREKA TEMPATAN 2009, Dicapai pada 16 Oktober 2009
- ^ "Papadom". Berita Harian. 4 Oktober 2009. Dicapai pada 31 Oktober 2019.
- ^ Zainuri Misfar (9 November 2007). "Papadom filem terbaru Afdlin". Berita Harian. Dicapai pada 31 Oktober 2019.
- ^ "Sentuhan Papadom". Metro Ahad. 27 September 2009. Dicapai pada 31 Oktober 2019.
- ^ "Afdlin Shauki buat Papadom lepas Cuci". Berita Harian Singapura. 18 November 2007. m/s. 21.
- ^ a b c Budiey (27 November 2007). "Sinopsis Filem Papadom Arahan Afdlin Shauki". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 31 Oktober 2011.
- ^ Elrafaei Sapi (10 Ogos 2009). "Kekuatan dua beranak". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Ogos 2009. Dicapai pada 3 November 2011.
- ^ "Sayang si bapa". Kosmo!. 27 September 2009.
- ^ "Papadom (2009) - Movie - Yahoo! Malaysia Movies". Malaysia.movies.yahoo.com. Dicapai pada 29 October 2009.
- ^ a b c d Metra Syahril Mohamed (1 Oktober 2009). "Mainan emosi dalam Papadom". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Oktober 2009. Dicapai pada 31 Oktober 2011.
- ^ Tengku Elena Tengku Mahamad (8 Oktober 2009). "Dad in charge". New Straits Times. Dicapai pada 31 Oktober 2019.
- ^ "Dalam tawa spontan ada sindiran". Berita Minggu. 27 September 2009. Dicapai pada 31 Oktober 2019.
- ^ a b "Papadom 2, karya terbaik Afdlin Shauki". mSTAR Online. 17 Disember 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 November 2018. Dicapai pada 7 Februari 2014.
- ^ Elrafaei Sapi (10 Ogos 2009). "Papadom pengalaman peribadi Afdlin". Harian Metro. Dicapai pada 31 Oktober 2019.
- ^ Lai Swee Wei (25 September 2009). "Take a bite out of "Papadom"". Cinema Online. Dicapai pada 1 November 2011.
- ^ Azhariah Kamin (9 Oktober 2009). "Dad Afdlin Shauki stars in Papadom". The Star Online. Dicapai pada 1 November 2011.
- ^ Rozdan Mazalan (22 November 2007). "Papadom papar pengalaman Afdlin". Berita Harian. Dicapai pada 31 Oktober 2019.
- ^ Lai Swee Wei (2 Oktober 2009). "Afdlin Shauki is papa-dom". Cinema Online. Dicapai pada 1 November 2011.
- ^ Zul Husni Abdul Hamid (10 Ogos 2009). "Ini filem mengenai keluarga saya". Berita Harian. Dicapai pada 31 Oktober 2009.
- ^ Li Ee Kee (5 Disember 2009). "Tuah Liyana Jasmay". gua.com.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Februari 2010. Dicapai pada 6 Disember 2009.
- ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed (11 November 2007). "Afdlin 'sibuk' buat Papadom". Berita Minggu. Dicapai pada 31 Oktober 2019.
- ^ "Komedi dan air mata Papadom". Utusan Malaysia. 13 September 2009. Dicapai pada 1 November 2011.
- ^ a b Zaidi Mohamad (10 Oktober 2009). "Kasih bapa sepanjang masa". Berita Harian. Dicapai pada 31 Oktober 2019.
- ^ "Air mata kerana Papadom". Metro Ahad. 18 Oktober 2009. Dicapai pada 31 Oktober 2019.
- ^ Zaidi Mohamad (6 Oktober 2009). "Papadom masuk panggung Khamis". Berita Harian. Dicapai pada 31 Oktober 2019.
- ^ "Promosi Papadom suram?". Berita Minggu. 11 Oktober 2009. Dicapai pada 31 Oktober 2019.
- ^ "Kutipan 'Papadom' Cecah RM1 juta". gua.com.my. 13 Oktober 2009. Dicapai pada 16 Oktober 2009.
- ^ Nurulhisham Abdul Latiff (14 Oktober 2009). "Papadom kutip RM1j dalam empat hari". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Oktober 2009. Dicapai pada 16 Oktober 2009.
- ^ Lai Swee Wei (12 Oktober 2009). "Papadom bags RM1 million". Cinema Online. Dicapai pada 16 Oktober 2009.
- ^ a b c "Filem 'Papadom' berjaya kutip RM2.4 juta dalam masa 13 hari". mStar Online. 22 Oktober 2009. Dicapai pada 1 November 2011.
- ^ "Dengarnya...: Filem Papadom kutip lebih RM3.3 juta". Berita Harian. 4 November 2009. Dicapai pada 8 November 2009.[pautan mati kekal]
- ^ Lai Swee Wei (23 November 2009). "Papadom remake & sequel". Cinema.com.my. Dicapai pada 25 November 2009.
- ^ a b Lai Swee Wei. "Papadom". Tupai.com.my. Dicapai pada 8 November 2009.[pautan mati kekal]
- ^ Normah Becok (4 November 2009). "Filem Papadom kutip lebih RM3.3 juta". New Straits Times. Dicapai pada 31 Oktober 2019.
- ^ Siti Azira Abd. Aziz (5 November 2009). "Filem 'Papadom' berjaya atasi filem kontroversi 'Jin Notti' dan 'Momok'". mStar Online. Dicapai pada 1 November 2011.
- ^ Lai Swee Wei (12 Ogos 2009). "Papadom". Cinema Online. Dicapai pada 8 November 2009.
- ^ Siti Ruqaiyah Hashim (1 November 2009). "Elemen introspektif dalam Papadom sehebat Anakku Sazali". Berita Minggu. Dicapai pada 31 Oktober 2019.
- ^ Hans Hanis (19 Oktober 2009). "Review Filem: Papadom". Rollo de Pelicula. Dicapai pada 1 November 2011.
- ^ "Papadom Terbaik Dari Afdlin Shauki". Ruby.my. 11 Oktober 2009. Dicapai pada 1 November 2011.
- ^ "Papadom 8 Oktober 2009 ini di seluruh Malaysia". Sultan Muzaffar. 7 Oktober 2009. Dicapai pada 1 November 2011.
- ^ Abdul Aziz Itar (11 Ogos 2009). "Kemenangan bersejarah Afdlin". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Ogos 2009. Dicapai pada 1 November 2011.
- ^ Niezam Abdullah (9 Ogos 2009). "Papadom Filem Terbaik FFM22". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Ogos 2009. Dicapai pada 1 November 2011.
- ^ Shazryn Mohd Faizal (24 Disember 2010). "ASK2010 menghampiri kemuncak". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Disember 2010. Dicapai pada 1 November 2011.
- ^ "Versi Baru & Sekuel PAPADOM". Tupai.com.my. 29 Nov 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-12-30. Dicapai pada 5 Mac 2010.
- ^ a b "APPALAM dijangka lebih beremosi!". Tupai.com.my. 3 Mac 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-03-13. Dicapai pada 5 Mac 2010.
- ^ Thani Hasbullah (3 Mac 2010). "Sharifah Amani Hampir Diperkosa?". Murai.com.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-03-04. Dicapai pada 5 Mac 2010.
- ^ Ashraf Nasser (6 Disember 2013). "Afdlin Shauki berhasrat terbit sekuel "Papadom 2"". Yahoo! News. Dicapai pada 1 November 2018.
- ^ Ashraf Nasser (5 Disember 2013). "Afdlin Shauki: "Papadom 2" sangat dekat dengan diri saya". Yahoo! News. Dicapai pada 1 November 2018.