Ning Baizura

Penyanyi dan pelakon wanita Malaysia

Ning Baizura Sheikh Hamzah (lahir 28 Jun 1975) atau lebih dikenali dengan Ning Baizura ialah seorang penyanyi dan pelakon wanita Malaysia.[1][2][3] Dilahirkan di Kajang, Selangor, beliau memulakan kerjaya muzik pada usia 17 tahun setelah memenangi tempat ketiga di pertandingan Voices of Asia yang berlangsung di Kazakhstan.[4] Beliau menandatangani kontrak bersama pelbagai label rakaman termasuk Sony Music dan telah menerbitkan sebanyak 12 album studio.[5]

Ning Baizura
Ning di majlis anjuran majalah OK! pada Ogos 2008.
Kelahiran
Ning Baizura binti Sheikh Hamzah

(1975-06-28) 28 Jun 1975 (umur 48)
Nama lainNing, Ning Dalton
Pusat pendidikanAkademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)
PekerjaanPenyanyi, pelakon
Tahun aktif1992–kini
PasanganOmar Sharif Christopher Layton Dayton (k. 2008)
Anak-anak1
Kerjaya muzik
GenrePop, R&B, Soul
InstrumenVokal
Syarikat rakaman
Warner Music Malaysia
Artists United
RIS Music Wijaya International
Musica Studio's
Pengkarya berkait
Hedi Yunus, Jay Jay, Nikki, Yanie, Nubhan, Shila Amzah, Jaclyn Victor

Dikenali sebagai penyanyi bersuara soprano dan kehebatan vokalnya yang versatil dan unik,[1][6] antara lagu-lagu yang menjulang nama Ning ialah "Curiga", "Kau dan Aku", "Asmara", "Kembali", "Selagi Ada... (Cinta)", "Awan Yang Terpilu" dan "Bukan Wanita Sempurna".[7] Selain bidang muzik, Ning juga berkecimpung dalam bidang lakonan. Antara filem-filem lakonannya ialah "Gemilang" (1997), "Maria Mariana II" (1998), "Mimpi Moon" (2001), "Lady Boss" (2005) dan "Diva" (2007). Beliau telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan dalam industri muzik dan lakonan, termasuk Anugerah Industri Muzik, Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian.[8][9]

Kehidupan awal sunting

Ning dilahirkan pada 28 Jun 1975 di Kajang, Selangor kepada kedua ibu bapa iaitu Allahyarham Sheikh Hamzah bin Sheikh Mohammed dan Satilah Abdullah.[10] Beliau mempunyai darah kacukan Arab, Melayu, Belanda, India, Cina dan Jawa.[11][12] Sewaktu beliau dilahirkan, beliau mengalami penyakit kuning dan bapanya, memutuskan untuk memanggilnya Ning, yang dipendekkan dari perkataan 'kuning'.[13] Beliau mempunyai adik-beradik seramai 8 orang dan merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Convent Kajang.[11]

Kerjaya sunting

Muzik sunting

Beliau mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian seawal usia empat tahun. Ketika beliau berusia sembilan tahun, beliau mula memasuki kelas vokal Soprano yang telah diajar oleh pemuzik profesional Indonesia, Siti Chairani. Pada waktu itu, beliau juga menyanyi bersama Koir Kebangsaan di Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan telah ditawarkan biasiswa penuh untuk belajar dalam bidang muzik di Vienna Conservatoire tetapi terpaksa ditolak atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Setelah bakatnya digilap, akhirnya Ning telah berjaya menyertai pertandingan Voice Of Asia di Kazakhstan dan telah berjaya memenangi tempat ketiga.[14]

Ning akhirnya telah melancarkan album sulung beliau iaitu "Dekat Padamu" pada September 1993.[15] Lagu pertama yang telah melonjakkan nama beliau ialah "Curiga"[16] sekaligus telah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik Pertama, menewaskan calon lain termasuk Nana Nurgaya dan Leina Hangat.[17][18] Selain itu, bakat luar biasa yang dimilikinya telah membawa namanya hingga merentasi ke beberapa negara seperti di Jepun, Singapura, Indonesia, Brunei dan beberapa lagi negara lain. Ia sekaligus mengiktiraf Ning sebagai artis antarabangsa setanding dengan Anita Sarawak dan Sharifah Aini.[19]

Album kedua Ning, yang menggunakan namanya sebagai tajuk album telah dikeluarkan pada lewat 1994. Untuk album ini, beliau memilih komposer dari negara luar termasuk Jepun, Thailand dan Indonesia.[20][21] Single pertama yang dikeluarkan untuk album ini ialah "Kau & Aku". Lagu itu juga telah dirakamkan semula oleh kumpulan Kool sebagai tanda penghargaan kepada Ning. Album ini merupakan album terakhir Ning bersama Sony Music.

Zaman kejatuhan Ning bermula ketika di pertengahan 1990-an. Namanya lesap begitu sahaja hingga menyebabkan beliau telah mengundurkan diri buat seketika. Selama beliau menyepikan diri, ramai pihak menyatakan bahawa kemananya Ning menghilangkan diri. Akhirnya, Ning berjaya bangkit semula dalam bidang seni apabila beliau diberi penghormatan beraksi bersama kumpulan Freedom selama dua hari di Matahari Cafe Bukit Antarabangsa pada 1 dan 2 Mei 1998.[22][23] Beliau kemudian muncul dengan album ketujuhnya yang merupakan album Inggeris kedua beliau iaitu "Natural Woman" (2001) yang diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat rakaman di Jepun.

Pada 26 Februari 2003, Ning muncul dengan album kelapan, "Selagi Ada...". Antara album yang dikeluarkan sebagai single ialah "Kembali" dan "Selagi Ada... (Cinta)".[24][25] Menerusi album ini, Ning telah dicalonkan bagi kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik di dalam Album (Wanita) di Anugerah Industri Muzik ke-11. Pada tahun yang sama, beliau dinobatkan sebagai pemenang kategori Vokal Wanita Pilihan di Anugerah Era 2003 sekaligus menamatkan dominasi Siti Nurhaliza yang memenangi kategori sama selama 2 tahun berturut-turut.[26][27] Setahun berikutnya, album kesembilannya, "Erti Pertemuan" telah dikeluarkan. "Awan Yang Terpilu" dikeluarkan sebagai single pertama.[28]

Ning ialah antara artis Malaysia yang menyumbangkan suara untuk sebuah lagu khas bertajuk "Suluhkan Sinar". Diterbitkan oleh KRU dan dikeluarkan pada Januari 2005, lagu ini ditujukan khas kepada mangsa-mangsa tragedi gempa bumi dan tsunami Lautan Hindi 2004 dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak. Artis-artis lain yang terlibat dalam projek ini ialah peserta-peserta "Akademi Fantasia", Erra Fazira, Dayang Nurfaizah, Alleycats, Jaclyn Victor, AC Mizal, Spider dan Anita Sarawak.[29] Juga pada tahun yang sama, beliau mengadakan konsert jelajah di Eropah, iaitu Ning Europe Summer Tour 2005.[30][31]

 
Ning di Konsert Tribute Sudirman pada April 2007.

Selain berjaya menaikkan namanya semula dalam bidang seni, Ning juga berjaya mendidik dua penyanyi baru, iaitu Nikki dan Yanie yang merupakan artis di bawah syarikat rakamannya.[32] Ning dan bekas pengurusnya, Vernon Kedit-Jolly menuju ke London, England untuk rakaman album Ning di sana. Mereka telah berbincang tentang pemasaran Ning di sana. Setelah berbincang, akhirnya pihak syarikat rakaman di sana bersetuju untuk memasarkan album Ning di beberapa negara Eropah di sana. Pada 28 Februari 2008, album bahasa Inggeris kedua Ning, East To West telah dikeluarkan. "Age of Pollution" telah dikeluarkan sebagai single pertama untuk album ini.[33]

Ning merupakan antara 120 selebriti popular tanah air yang menjayakan projek muzik di bawah kendalian Pete Teo, Malaysian Artistes For Unity (MAFU) yang bertujuan bagi meraikan kepelbagaian budaya dan idea Bangsa Malaysia menerusi lagu dan video. Selebriti yang terlibat termasuk Afdlin Shauki, Awie, Maya Karin, Jason Lo, Sharifah Amani, Adibah Noor dan lain-lain.[34]

Pada 6 Januari 2011, Ning bersama Jaclyn Victor dan Shila Amzah melancarkan sebuah album kolaborasi yang bertajuk "3 Suara" yang mengandungi 10 lagu termasuk "Di Mana Di Mana" dan "Beribu Sesalan" yang dikeluarkan sebagai single utama.[35][36] Album ke-12 Ning, "Dewa" dikeluarkan tidak lama kemudian.[37] Pada 2 Disember, Ning membuat persembahan di konsert Ning @ KL Live.[38]

Ning mengadakan konsert solonya, Konsert Pelangi Untukmu Ning Baizura yang pada asalnya dijadualkan akan diadakan pada 21 September 2013, namun ditunda kepada 16 November.[39] Album ke-13 Ning, "Kekal" dikeluarkan pada 29 November. Album ini memuatkan sebanyak 11 lagu yang mana 4 daripadanya ialah lagu baru manakala 7 lagi ialah lagu-lagu lamanya yang diberi nafas baru.[40] Pada tahun 2017, Ning melancarkan lagu Raya pertamanya, "Syawal Ini" hasil ciptaan Alwyn Santiago dan liriknya ditulis oleh Shah Shamshiri.[41]

Pada Julai 2020, Ning merakamkan single terbaharu, "Perwira" hasil nukilan Aubrey Suwito dan Ahmad Izham Omar yang ditujukan khas kepada tentera negara. Lagu ini merupakan lagu tema kempen Hari Pahlawan 2020 dan diterbitkan secara kerjasama antara Media Prima Berhad dan Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).[42][43][44]

Lakonan sunting

Kerjaya lakonan Ning bermula pada 1996 apabila beliau membintangi sitkom "Lontong" arahan Azwan Ali lakonan Ogy Ahmad Daud dan Salih Yaacob, yang mana beliau merupakan pelakon undangannya dengan memegang watak sebagai Eton. Pada tahun 1997, beliau menerima tawaran Yusof Haslam berlakon dalam filem "Gemilang" yang mana beliau berlakon bersama Erra Fazira dan Hans Isaac. Dalam filem ini, Ning memegang watak sebagai Rita. Kemudian pada tahun berikutnya, beliau berlakon dalam filem "Maria Mariana II" bersama Erra, Ziana Zain dan Awie, memegang watak sebagai Rozie. Pada tahun 2000, Ning melakonkan watak Nona Mansoor dalam filem romantik "Mimpi Moon" arahan Shuhaimi Baba lakonan Rashidi Ishak dan Kavita Kaur. 3 tahun kemudian, Ning berlakon dalam filem pendek "Malaikat di Jendela" arahan Osman Ali yang mana beliau melakonkan watak Hamidah, seorang bidan kampung yang kehilangan suami dan anaknya akibat AIDS.[45] Ia turut dibintangi oleh Saliza Ali, Soffi Jikan dan Haeriyanto Hassan.[46]

Pada tahun 2005, beliau berlakon bersama Saiful Apek dan Yusry KRU dalam filem komedi romantik "Lady Boss" arahan Abdul Razak Mohaideen. Dalam filem ini, Ning memegang watak sebagai Sheila, seorang bos wanita yang garang dan angkuh.[47] Pada tahun 2007, beliau memegang watak Kartika dalam filem "Diva" arahan Sharad Sharan.[48][49][50] Filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon dari Malaysia dan Indonesia. Ditayangkan pada 24 Disember 2009 untuk keluaran tayangan Malaysia, "Muallaf" arahan Yasmin Ahmad telah memperlihatkan Ning memegang watak ibu tiri Rohani dan Rohana, masing-masing dilakonkan oleh Sharifah Amani dan Sharifah Aleysha. Ning membintangi filem biopik "Mahathir: The Journey" arahan Hatta Azad Khan yang mana beliau melakonkan watak sebagai Marina Mahathir, anak sulung bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad. Beliau mengakui mengalami kesukaran untuk mendekati Marina bagi mendapatkan pandangan, namun bergantung kepada kajian yang dibuat.[51] Dari 13 hingga 28 April 2021, Ning membintangi drama "Madam E-Wallet" dengan memegang watak sebagai Dato' Qistina. Pada tahun 2022, beliau memegang watak Puan Sri Lily dalam drama "Kuasa".[52]

Perniagaan sunting

Ning juga turut berkecimpung dalam bidang perniagaan. Beliau memulakan perniagaan fesyen di bawah pengurusan StunNing Creations yang menghasilkan produk pakaian lelaki dan wanita serta kasut dan aksesori.[53]

Pada April 2018, beliau membuka sebuah restoran masakan Melayu yang dinamakan Tudung Periuk yang beroperasi di Plaza Damas, Damansara.[54] Ning turut memanfaatkan ruang di restoran itu sebagai mini galeri yang menempatkan gambar peribadi dan kenangan sepanjang 25 tahun menjadi anak seni.[55] Ning mengumumkan pada April 2019 bahawa restorannya itu telah ditutup pada Ogos 2018 selepas 3 bulan beroperasi.[56]

Kehidupan peribadi sunting

Beliau telah berkahwin dengan Omar Shariff Christopher Layton Dalton yang berbangsa Inggeris. Mereka mula bertemu di majlis perkahwinan rakan baik Ning di Bali, Indonesia. Hubungan mereka semakin akrab selepas mengikat tali pertunangan bersama. Mereka telah mengikat tali pertunangan pada 17 Julai 2007.[57] Pernikahan dua pasangan ini telah berlangsung pada 31 Januari 2008 di Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq di Bangsar, Kuala Lumpur.[58][59] Majlis resepsi mereka diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE dan telah dihadiri seramai 2,000 tetamu termasuk rakan-rakan artis.[60] Pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Ryan Sky Dalton yang dilahirkan pada 2013. Suami Ning, Dalton mempunyai 2 anak dari perkahwinan terdahulu.[61]

Di waktu lapang, Ning mempunyai hobi menyelam skuba.[62] Bapanya, Sheikh Hamzah meninggal dunia akibat sakit tua di usia 86 tahun pada 31 Ogos 2017.[63]

Kontroversi sunting

Perbalahan dengan Sony Music sunting

Pada tahun 1995, Ning mengambil tindakan mahkamah ke atas syarikat rakaman antarabangsa Sony Music Entertainment dan berjaya dalam kesnya, termasuk membebaskan diri daripada kontrak rakamannya. Kes beliau bukan sekadar mendapat liputan meluas media massa tempatan, bahkan media antarabangsa ketika itu termasuk majalah Billboard.[64][65][66]

Kenyataan fantasi seks sunting

Di sebalik populariti Ning yang begitu hebat suatu ketika dahulu, beliau juga sering menjadi mangsa kontroversi. Penampilan dan personaliti diri Ning juga sering dikritik oleh ramai pihak termasuklah tokoh-tokoh ahli politik.[67] Pernah suatu ketika dahulu beliau memperkatakan bahawa jika beliau ingin melakukan persetubuhan atau seks, beliau akan melakukan hubungan tersebut bersama dengan lebih dari seorang. Namun begitu, beliau akhirnya menarik balik kenyataanya itu dengan meminta maaf kepada khalayak umum.[68][69]

Ning telah mendedahkan dalam majalah FHM (For Him Magazine) versi Malaysia isu Julai 2000 bahawa dia antara lain lebih menggemari seluar dalam G-string dan sukakan seks di waktu pagi. Selain itu, dia juga berangan-angan melakukan hubungan kelamin dengan lima orang lelaki sekaligus.[70][71][72] Pada awalnya, temu ramah yang dijalankan dalam bahasa Inggeris ini tidak disedari masyarakat umum. Namun, apabila akhbar Mingguan Malaysia menyiarkan terjemahan temu ramah itu beberapa minggu kemudian, semua pihak mengecam Ning.[73] Ning akhirnya disuruh hadir ke Kementerian Penerangan Malaysia manakala pemeriksaan terhadap majalah FHM oleh pihak berkuasa adalah lebih ketat berbanding majalah-majalah lain.[74]

Kes saman sunting

Pada 12 Oktober 2010, Ning dibicarakan berhubung kes saman oleh seorang penerbit album dan pengurus warga Itali Luigi Bajona berjumlah RM1 juta.[75] Peguam Harleen Kaur mewakili Bajona dan Richard Wee Lopez bagi pihak Ning Baizura. Pada 7 Julai 2009, Bajona telah menguruskan persembahan Ning di Itali termasuk menyanyi di hadapan Prince Albert of Monaco di Paris, mendakwa Ning telah memfitnahnya pada 24 Januari 2009 melalui laman sosial Facebook.[75] Bajona sepatutnya mempromosikan dirinya dalam bidang nyanyian di peringkat antarabangsa tetapi hanya menyanyi di kelab-kelab kecil, malah beliau tidak menerima sebarang bayaran.[75]

Pencapaian cemerlang sunting

 
Ning pada 2008.

Pada tahun 2001, Ning Baizura telah mencipta rekod tersendiri apabila beliau menjadi artis Malaysia pertama menandatangani kontrak dengan stesen televisyen Singapura, sekaligus menerima pengiktitafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR).

Selain itu, Ning juga pernah menjadi duta untuk beberapa jenama terkenal dan model untuk pelbagai produk. Antaranya seperti Adidas, Guess, Christian Dior, The Charat Club, Formula One, Time, Sony, Imedeen[76] dan banyak lagi.[77] Beliau merupakan artis pertama merasmikan sebuah kelab hiburan terkenal iaitu Hard Rock Cafe di Beijing, China. Beliau juga ernah mengadakan persembahan secara eksklusif yang telah ditonton oleh kerabat diraja Eropah iaitu Raja Elbert. Ning juga telah menubuhkan beberapa syarikat termasuk Ning Baizura International, Ning, Inc. dan Ning & Associates serta HappenNings yang kesemuanya berkhidmat sebagai pasukan pengurusannya.

Diskografi sunting

Album studio

Filemografi sunting

Filem sunting

Tahun Tajuk Watak Catatan
1997 Gemilang Rita Filem pertama
1998 Maria Mariana II Rozie
1999 Bara Zety
2000 Mimpi Moon Nona
2004 Malaikat di Jendela Hamidah Filem pendek
2005 Lady Boss Sheila
2007 Diva Kartika
2009 Muallaf Datin
2010 Magika Puteri Gunung Ledang
2011 Cun! Candy
2012 Lagenda Budak Setan 2: Katerina Rafidah
2021 Mat Bond Malaya Ejen 4 Penampilan khas
2024 Korsaroff
TBA Mahathir: The Journey Marina Mahathir Pos-produksi

Telefilem sunting

Tahun Tajuk Watak Saluran TV
1995 Lontong Eton TV3
2003 Azura Azura VCD

Drama sunting

Tahun Tajuk Watak Saluran TV
2021 Madam E-Wallet Dato' Qistina TV3
2022 Kuasa Puan Sri Lily Astro Citra
TBA Kuasa: One Special. Three Heirs. No More Mercy

Anugerah dan pencalonan sunting

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan
1991 Voice of Asia Terbuka Dirinya sendiri Menang
1993 Anugerah Industri Muzik Pertama Artis Baru Terbaik Menang
Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) Tercalon
Video Muzik Terbaik "Curiga" Tercalon
Album Terbaik Dekat Padamu Menang
1994 Anugerah Juara Lagu ke-9 Balada "Curiga" Menang
1995 Anugerah Juara Lagu ke-9 Pop Rock "Kau dan Aku" Menang
Anugerah Industri Muzik ke-2 Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) Dirinya sendiri Tercalon
Album Pop Terbaik Ning Menang
Album Terbaik Tercalon
1996 Anugerah Industri Muzik ke-3 Video Muzik Terbaik "You and I" Tercalon
Lagu Terbaik "Teguh" Tercalon
1997 Anugerah Media Hiburan Cover Media Tercantik Dirinya sendiri Menang
1998 Anugerah Industri Muzik ke-5 Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) Tercalon
Album Pop Terbaik Tercalon
2002 Anugerah Industri Muzik ke-9 Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu "Curiga" (bersama Fairuz Hussein) Tercalon
Anugerah Parti Cit Cat Azwan Anugerah Ratu Diva Soul Dirinya sendiri Menang
2003 Anugerah Era 2003 Vokal Wanita Pilihan Menang
2004 Anugerah Industri Muzik ke-11 Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) Tercalon
Album Pop Terbaik Selagi Ada... Tercalon
Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu "Kembali" Tercalon
"Selagi Ada Cinta" Tercalon
Lagu Terbaik "Kembali" Tercalon
"Selagi Ada Cinta" Menang
2005 Anugerah Industri Muzik ke-12 Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) Dirinya sendiri Tercalon
Album Pop Terbaik Erti Pertemuan Menang
Kulit Album Terbaik Menang
Video Muzik Terbaik "Awan Yang Terpilu" Menang
"Senang Tari" Tercalon
Lagu Terbaik "Awan Yang Terpilu" Menang
"Erti Pertemuan" Tercalon
Album Terbaik Erti Pertemuan Tercalon
2006 Anugerah Industri Muzik ke-14 Lagu Terbaik "Drama" (bersama Nikki Palikat & Yanie Julkarim) Tercalon
2011 Anugerah Industri Muzik ke-18 Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu "Beribu Sesalan" (bersama Jaclyn Victor & Shila Amzah) Menang
Lagu Pop Terbaik Tercalon
Album Terbaik 3 Suara Tercalon
Anugerah Juara Lagu ke-26 Naib Juara Keseluruhan "Beribu Sesalan" Menang
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 Artis Duo/Berkumpulan Popular 3 Suara Menang

Rujukan sunting

  1. ^ a b Ardini Sophia Sina (16 Mei 2018). "Jatuh bangun jadikan Ning cekal". Harian Metro. Dicapai pada 8 Ogos 2018.
  2. ^ Hafidah Samat (4 Februari 2004). "Ning stays in the pink". New Straits Times. Dicapai pada 8 Ogos 2019.
  3. ^ Arif Fadli Mohd Sori (17 Mei 2018). "Jiwa matang Ning Baizura". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Ogos 2018. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  4. ^ Geraldine Jeremiah; Khairunnisa Hussin; Peter Yap (21 Januari 1994). "Ning aspires to be a superstar". New Straits Times. Dicapai pada 12 Oktober 2020.
  5. ^ Farihad Shalla Mahmud (17 Februari 2015). "Ning beri motivasi". Berita Harian. Dicapai pada 8 Ogos 2019.
  6. ^ Zubairi Zabidin (11 November 1993). "Ning Baizura mahu terkenal sebagai Ratu Soul". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  7. ^ Shuib Taib (15 April 2012). "Very, very happen-Ning!". New Sunday Times. Dicapai pada 8 Ogos 2019.
  8. ^ "Ning Baizura, Hasnol anggap pencalonan sebagai dorongan". Berita Harian. 5 April 1994. Dicapai pada 8 Ogos 2019.
  9. ^ Zul Husni Abdul Hamid; Nurulhisham Abdul Latiff (1 Mei 2005). "Spider raih album terbaik, Ning menang empat trofi". Berita Minggu. Dicapai pada 8 Ogos 2019.
  10. ^ Syahirah Mokhtazar (7 Julai 2017). "Family is everything to Ning". New Straits Times. Dicapai pada 14 Ogos 2017.
  11. ^ a b Cynthia Ng (18 February 2014). "Daripada Mona Fandey kepada Ning Baizura dan Safee Sali, apa persamaan mereka?". Astro Awani. Dicapai pada 7 October 2018.
  12. ^ Budiey (14 Jun 2007). "Biodata Pelakon Filem DIVA". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 7 October 2018.
  13. ^ G. Shanti (25 Oktober 1994). "How Ning Baizura got her name!". The Malay Mail. Dicapai pada 18 Mei 2022.
  14. ^ Saharudin Musthafa (17 Mac 2002). "Hidup baru Ning Baizura". Utusan Malaysia. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  15. ^ "Ning sanggup hadapi risiko". Berita Harian. 6 Oktober 1993. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  16. ^ "Curiga dapat sambutan peminat". Berita Harian. 31 Januari 1994. Dicapai pada 24 Oktober 2019.
  17. ^ Mohd Lazim Endut (9 Disember 1993). "Ning calon favourite". "Utusan Malaysia". Dicapai pada 13 Disember 2013.
  18. ^ Jenney Juanis; Azman Samsudin (17 Disember 1993). "Penyanyi baru menang dua anugerah". Berita Harian. Dicapai pada 19 Oktober 2020.
  19. ^ Suraya Al-Attas (26 Januari 1994). "A rare songbird, that's Ning Baizura". New Straits Times. Dicapai pada 12 Oktober 2020.
  20. ^ Zubairi Zabidin (16 Julai 1994). "Ning Baizura pilih pencipta luar". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  21. ^ "Kejayaan Ning tidak datang bergolek". Berita Harian Singapura. 23 Januari 1994. m/s. 9. Dicapai pada 23 Ogos 2018.
  22. ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed (23 April 1998). "Ning, Freedom bersatu". Harian Metro. Dicapai pada 14 Ogos 2018.
  23. ^ Saniboey Mohd Ismail (4 Mei 1998). "Bertenaga". Harian Metro. Dicapai pada 14 Ogos 2018.
  24. ^ Ellyna Ali (9 Februari 2003). "Citarasa Ning untuk Selagi Ada". Berita Minggu. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  25. ^ Hanim Mohd Salleh (11 Februari 2003). "Lahirlah album 'Selagi Ada... Ning'". CyBerita. Dicapai pada 13 Ogos 2010.
  26. ^ Zubir Mohd Yunos (19 Oktober 2003). "Giliran Ning benamkan Siti, Sarah". Berita Minggu. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  27. ^ Hanisah Selamat (12 Oktober 2003). "Ning Baizura menang anugerah Vokal Wanita Terbaik". Berita Minggu. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  28. ^ Zul Husni Abdul Hamid (22 Jun 2004). "Ning kongsi peribadi dengan peminat". Berita Harian. Dicapai pada 14 Ogos 2010.
  29. ^ "Najib lancar Suluhkan Sinar". Berita Harian. 14 Januari 2005. Dicapai pada 16 Mac 2020 – melalui KLiK.
  30. ^ Khadijah Ibrahim (1 Ogos 2005). "Ning Baizura - Atur siri promosi di Eropah". Utusan Malaysia. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  31. ^ Zul Husni Abdul Hamid (29 Julai 2005). "Ning Baizura bersedia pikat orang Eropah". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  32. ^ Tengku Khalidah Tengku Bidin (22 Januari 2006). "Ning didik Yanie dan Nikki". Utusan Malaysia. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  33. ^ Budiey (25 Mac 2008). "Profil album terbaru dari Ning "East to West"". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 8 Ogos 2010.
  34. ^ Wanda Idris (1 Jun 2008). "Malaysian Artistes For Unity". Utusan Malaysia. Dicapai pada 19 Mac 2014.
  35. ^ Siti Azira Abd. Aziz (24 Februari 2011). "'3 Suara' gabungan tiga bintang ternama". mStar Online. Dicapai pada 13 Ogos 2011.
  36. ^ "3 Suara buat Ning Baizura kembali ke AJL". Perak Today. 10 Januari 2012. Dicapai pada 13 Ogos 2017.
  37. ^ Norliza Mohamad Zakaria (3 Januari 2011). "Penantian enam tahun Ning". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Januari 2011. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  38. ^ Mohd Khairul Mohd Ali (2 Januari 2012). "Pernah terfikir bersara". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Januari 2012. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  39. ^ "Konsert Pelangi Untukmu Ning Baizura ditunda". Berita Harian. 16 September 2013. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  40. ^ Rudy Imran Shamsuddin (17 Ogos 2014). "Ning mahu gegar". Metro Ahad. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  41. ^ Farihad Shalla Mahmud (21 Jun 2017). "'Syawal Ini' lagu raya pertama Ning". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2017.
  42. ^ Farihad Shalla Mahmud (19 Ogos 2020). "Ning sebak dendang lagu Perwira". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
  43. ^ Farihad Shalla Mahmud (25 Julai 2020). "Ning balas dendam". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2020.
  44. ^ Dennis Chua (20 Julai 2020). "#Showbiz: Ning banking on 'Perwira' to mark her return to active singing". New Straits Times. Dicapai pada 13 Ogos 2020.
  45. ^ Suraiya Mohd Nor (22 September 2003). "Malaikat di Jendela". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2010.
  46. ^ Jamliah Abdullah (28 September 2003). "Sengsara Hamidah harapan Ning". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Oktober 2003. Dicapai pada 13 Ogos 2010.
  47. ^ Suraiya Mohd Nor (19 Mei 2005). "Apek, Ning gamatkan Lady Boss". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  48. ^ Shakilawati Abdul Rahman (24 Jun 2007). "Kartika refleksi Ning". Metro Ahad. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  49. ^ Jade Yoong (3 April 2006). "Ning plays the diva" [Ning memegang watak diva] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 15 Januari 2021.
  50. ^ Rudy Imran Shamsudin (29 Ogos 2006). "Ning dah jatuh cinta!". Harian Metro. Dicapai pada 15 Januari 2021.
  51. ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed (24 Januari 2020). "Gagal dekati Marina, Ning cuba sehabis baik". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2020.
  52. ^ Zaara Talita (1 April 2022). "Ning Baizura okay ja bawa watak mak". Harian Metro. Dicapai pada 22 April 2022.
  53. ^ Wanda Idris (22 Februari 2009). "Ning Baizura di dunia fesyen". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Februari 2009. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  54. ^ Arif Fadli Mohd Sori (15 Mei 2018). "Ning Baizura buka Tudung Periuk, lancar single terbaharu". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Julai 2018. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  55. ^ Farihad Shalla Mahmud (16 Mei 2018). "Ning teruskan legasi arwah bapa". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  56. ^ Farihad Shalla Mahmud (1 April 2019). "Ning Baizura tutup restoran selepas tiga bulan beroperasi". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2019.
  57. ^ "Ning selamat bertunang". CyBerita. 20 Julai 2007. Dicapai pada 13 Ogos 2010.
  58. ^ "Episod baru Ning-Omar". Utusan Malaysia. 1 Februari 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Jun 2008. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  59. ^ Teropong (4 Februari 2008). ""Ning Baizura & Omar Sharif Wedding Reception"". misstarhil.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-09-19. Dicapai pada 2008-09-29.
  60. ^ "2,000 at Ning's reception". New Sunday Times. 3 Februari 2008. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  61. ^ "Ning Baizura: Inilah bayi saya". CyBerita. 22 Mei 2013. Dicapai pada 13 Ogos 2013.
  62. ^ Serimah Mohd Sallehuddin (6 Julai 2009). "Cinta baru Ning". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Julai 2009. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  63. ^ Zaidi Mohamad (1 September 2017). "Ayah Ning Baizura meninggal dunia atas sejadah". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  64. ^ Hardi Effendi Yaacob (20 Julai 2008). "Kes saman Ning dalam Billboard". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Mac 2009. Dicapai pada 9 Oktober 2010.
  65. ^ "Tikai Ning-Sony berakhir". Berita Harian Singapura. 14 Julai 1995. m/s. 6. Dicapai pada 12 Oktober 2018.
  66. ^ "Ning tunjuk taring". Berita Harian Singapura. 10 Mei 1995. m/s. 6. Dicapai pada 12 Oktober 2018.
  67. ^ Faizal Fadzil (2 Ogos 2000). "Media hiburan patut bantu pulih imej artis". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  68. ^ "Mengapa Ning saja dipersalahkan?". Masyarakat Prihatin. Berita Harian. 4 Ogos 2000. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  69. ^ "Jangan kutuk Ning: Mufti". Berita Harian. 29 Julai 2000. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  70. ^ "Kenyataan Ning keterlaluan". Utusan Malaysia. 18 Julai 2000. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  71. ^ "Hidup Ning dikongkong". Utusan Malaysia. 13 Ogos 2000. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  72. ^ "Ning mencetus kontroversi". Utusan Malaysia. 26 Disember 2000. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  73. ^ Farihad Shalla Mahmud (24 Oktober 2013). "Ning bukukan fantasi seks". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  74. ^ Akmal Abdullah (22 Julai 2000). "Ning hantar surat minta maaf". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  75. ^ a b c "Pengurusan kes saman Ning Baizura ditetapkan 12 Okt". Utusan Malaysia. 2 Ogos 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Julai 2018. Dicapai pada 13 Ogos 2010.
  76. ^ Nor Afzan Mohamad Yusof (30 Jun 2004). "Ning kini duta Imedeen". Berita Harian. Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  77. ^ Khadijah Ibrahim (29 April 2004). "Ning Baizura - Belajar dari kesilapan". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Mei 2004. Dicapai pada 13 Ogos 2010.

Pautan luar sunting