Dayang Nurfaizah

Penyanyi dan pelakon wanita Malaysia

Dayang Nurfaizah Awang Dowty (lahir 20 Julai 1981) ialah seorang penyanyi wanita Malaysia. Dilahirkan di Kuching, Sarawak, beliau dikenali dengan kelunakan vokalnya yang bernada tinggi dan kebolehan luar biasanya menyanyikan lagu-lagu Melayu asli dan R&B. Beliau telah dipetik oleh media tempatan sebagai "Ratu R&B" negara.[1]

Dayang Nurfaizah
Dayang mengadakan persembahan dalam rancangan MeleTOP pada 9 Februari 2016.
Latar belakang
Nama lahirDayang Nurfaizah binti Awang Dowty
Juga dikenali sebagai
DN
Kelahiran (1981-07-20) 20 Julai 1981 (umur 42)
Kuching, Sarawak, Malaysia
GenrePop, R&B, Balada
PekerjaanPenyanyi, penerbit rakaman, penulis lagu, pelakon
InstrumenVokal
Tahun aktif1998-kini
Syarikat rakaman
Delima Records (1999)
Broadway Entertainment (2000–2002)
DNAD (2003–kini)
New Southern Records - edaran (2005–2009)
Universal Music Malaysia - edaran (2011–kini)
Pengkarya berkait
Hael Husaini

Dayang mula membuat persembahan di pelbagai pertandingan nyanyian di usia belasan tahun, dan mula meraih perhatian sebagai pemenang pertandingan nyanyian Golden Teen Search pada tahun 1997. Beliau menandatangani kontrak rakaman bersama Delima Records dan muncul bersama album sulungnya yang mengambil namanya sebagai judul album (1999), yang memuatkan single "Hakikat Cinta". Beliau kemudian menandatangani kontrak dengan Broadway Entertainment pada tahun 2001 dan muncul bersama album Seandainya Masih Ada Cinta, yang memuatkan lagu bertajuk sama, yang memenangi Lagu Pop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-9.

Beliau menubuhkan syarikat rakamannya sendiri, DN & AD Entertainment yang turut berkhidmat sebagai pasukan pengurusannya. Di bawah labelnya, beliau muncul dengan album Dayang Sayang Kamu (2004), yang menerima ulasan positif daripada pengkritik muzik. Pada tahun 2006, beliau menyertai One in a Million, pertandingan nyanyian yang dianjurkan oleh 8TV. Dayang akhirnya menjadi salah satu daripada empat finalis dalam pertandingan itu yang ditentukan oleh sistem undian teks pesanan ringkas sebanyak 50%. Antara anugerah yang diterimanya termasuk Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

Kehidupan dan kerjaya sunting

1981–1997: Kehidupan awal dan Golden Teen Search sunting

Dayang Nurfaizah dilahirkan pada 20 Julai 1981 di Kuching, Sarawak. Bakat besar yang dimiliki oleh Dayang mula dikesan sejak kecil lagi bila mana beliau telah berjinak-jinak dalam bidang nyanyian sejak dari sekolah rendah. Di zaman persekolahannya, beliau dikenali sebagai penyanyi undangan pada setiap majlis sekolah diadakan sehingga namanya begitu terkenal. Dengan kebolehan luar biasa menyanyikan lagu-lagu asli Melayu serta lagu bergenre R&B, Dayang mula mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan nyanyian di negeri kelahirannya sendiri antaranya memenangi Bintang Asli Remaja 1996 dan ke peringkat akhir dalam pertandingan Bintang Remaja Sarawak 1996 dan akhirnya muncul juara dalam edisi 1997. Bertitik tolak daripada itu, beliau memberanikan diri untuk meninggalkan kampung halamannya di Kuching dan menyertai pertandingan nyanyian anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Golden Teen Search di Auditorium Besar, Angkasapuri, Kuala Lumpur.[2] Penyertaannya dalam pertandingan bakat nyanyian lagu-lagu Bahasa Inggeris ini ternyata mengakui kehebatan Dayang hingga berjaya meraih gelaran juara ketika beliau baru berusia 17 tahun.

1998–2000: Penampilan sulung dan album pertama sunting

Selepas memenangi Golden Teen Search, nama beliau mula meniti di bibir peminat dan berjaya menambat hati maestro muzik terkenal, Adnan Abu Hassan (Allahyarham) untuk menerbitkan album studio sulung beliau di bawah naungan Delima Records milik Adnan.[3][4] Album sulung Dayang yang mengambil namanya sebagai tajuk album telah dikeluarkan pada 7 Mei 1999.[5][6] Album ini berkonsepkan pop dengan majoriti lagu dalam album ini dicipta oleh Adnan, yang mengenal pasti kekuatan Dayang menerusi pop Melayu dan tanda dagangnya dalam muzik R&B.[7] Single pertama yang dikeluarkan untuk album ini ialah "Hakikat Cinta" yang memperkenalkan Dayang kepada peminat. Lagu ini berjaya memanjat anak tangga carta muzik biarpun wajah dan namanya masih tidak begitu dikenali dengan meluas.[8][9][10] Single keduanya, "Rindu", yang bernada rancak bagaimanapun tidak berjaya menyambung hayat populariti Dayang apabila lagu itu jarang diputar dan ditambah pula dengan masalah pengedaran album oleh Delima Records. Syarikat itu tidak berjaya mencetak dan mengedar album terbitannya hingga terpaksa ditutup biarpun baru setahun jagung penubuhannya. Berikutan itu, kerjaya seni Dayang mula tidak mempernampakkan sinarnya.

Atas kepercayaan dan keyakinan Adnan bahawa Dayang mampu pergi dengan lebih jauh, beliau akhirnya ditampilkan dalam projek khas sebuah album berjudul Jelita Hebat yang diterbitkan pada September 1999.[11] Menerusi album ini, Dayang bekerjasama dengan penyanyi tersohor Ziana Zain untuk berduet dalam lagu ciptaan penggubah lagu-lagu R&B iaitu Azalea yang berjudul "Pusaka Rimba".[12][13][14] Gandingan hebat antara Dayang dan Ziana membuahkan hasil apabila lagu ini dicalonkan dalam kategori Lagu Sepanjang Tahun di Anugerah Industri Muzik ke-7 pada tahun 2000. Dayang turut disenaraikan sebagai finalis untuk kategori Artis Baru Terbaik. Ketika berlangsungnya malam penganugerahan, Dayang dipanggil untuk membuat persembahan solo menerusi sebuah lagi lagu ciptaan Azalea yang pernah dimuatkan dalam album sulungnya berjudul "Kembalilah Sayang". Persembahan beliau yang menjadi titik mula kerjaya seni Dayang.[15] Penyanyi wanita Indonesia, Krisdayanti mengakui terpaku menonton nyanyian secara langsung Dayang yang disifatkan sebagai menakjubkan dan penuh jiwa.[16] Lagu ini mula berkumandang di stesen radio sebagai keluaran siaran radio ekoran ketiadaan album sulung beliau di pasaran.[17] Dayang, bagaimanapun, tewas dalam kategori Artis Baru Terbaik di tangan penyanyi irama latin Shawn Baharin yang memenangi kategori tersebut.[18]

2001–2003: Seandainya Masih Ada Cinta, Di Sini Bermula dan Hembusan Asmara sunting

Dayang menyertai syarikat rakaman Broadway Entertainment di bawah kelolaan penerbit Boon Tan daripada kontrak yang terbengkalai dengan Delima Records. Broadway bernaung edarannya di bawah EMI Music Malaysia ketika itu namun menerbitkan 100% album solo kedua Dayang.[19][20] Album keduanya yang pada awalnya bertajuk Ikatan Kita sempena single pengenalan pada hujung tahun 2000 itu, dikeluarkan pada 8 Februari 2001 dengan judul rasmi Seandainya Masih Ada Cinta (SMAC). Nama Dayang mula meledak dengan lagu bertajuk sama yang menjuarai hampir kesemua carta muzik kebangsaan dan serantau.[21][22][23][24] Lagu ciptaan Ajai dan Syed EnV ini turut disiarkan di stesen radio di Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam. Lagu ini akhirnya menjadi lagu pengenalan beliau dan meraih banyak anugerah hebat seperti di Anugerah Juara Lagu, Anugerah Planet Muzik dan memenangi anugerah Lagu Sepanjang Tahun di Anugerah Industri Muzik ke-9 pada tahun 2002 serta meraih kedudukan keempat dalam senarai 100 Terhangat di stesen radio Era.

Susulan daripada kejayaan SMAC,[25] album tersebut berjaya terjual sebanyak 65,000 unit serta mengeluarkan keseluruhan 6 single dan paling diingati ialah lagu pop "Bahagia" juga ciptaan Ajai dan Syed EnV yang mara ke peringkat akhir AJL ke-16 serta lagu R&B seperti "Sekali Lagi" dan "Sedingin Mana Cintamu" yang juga mendominasi carta-carta muzik.[26] Dalam masa setahun, Dayang meraih kedudukan selesa sebagai penyanyi wanita terkenal di Malaysia hinggakan pernah dikatakan hanya satu langkah di belakang Siti Nurhaliza apabila Siti sendiri mengakui Dayang ialah pesaing terdekatnya ketika itu. Persaingan antara Siti dan Dayang dapat dilihat daripada pertandingan-pertandingan di majlis-majlis anugerah yang mana silih berganti diraih oleh kedua-dua penyanyi tersebut.[27][28] Dayang tewas kepada Siti dalam merebut anugerah Persembahan Vokal Terbaik Wanita (AIM) dan Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001.

Pada masa yang sama, Dayang menjadi salah seorang peserta Bintang Penghibur HMI 2001. Peserta lain termasuk Syura, Shawn Baharin dan Fazley Yaakob.[29] Beliau dinobatkan sebagai juara pertadingan itu.[30][31]

Ekoran populariti yang begitu hebat ketika menjengah tahun 2002, Broadway mengambil keputusan untuk menerbitkan semula album sulung Dayang selepas syarikat itu mendapat kesuluruhan hak cipta penyiaran lagu-lagu dalam album tersebut. Album bungkusan semula, Di Sini Bermula dikeluarkan pada 3 Februari 2002 dengan lagu bertajuk sama dikeluarkan sebagai single.[32][33][34][35] Ternyata album itu berjaya terjual 10,000 unit dalam tempoh sebulan pertama. Dayang dan Boon Tan mula bersiap untuk menerbitkan album ketiga beliau dengan pengumpulan material namun album itu mengambil tempoh lama untuk diterbitkan memaksa Broadway mengeluarkan sebuah single promosi. "Rindu Bayangan", lagu asal nyanyian kumpulan Carefree, dinyanyikan secara duet oleh Dayang bersama abang kandungnya, Dino. Lagu ini menjadi popular dan sering diputarkan di radio-radio hingga dicalonkan di Anugerah Era 2002 untuk kategori Duo/Kumpulan Pilihan.

Beliau ialah antara artis yang menyumbangkan suaranya untuk sebuah lagu tema promosi untuk kempen Kempen Membaca Kebangsaan 2002 anjuran Perpustakaan Negara Malaysia, yang bertajuk "Membaca Gaya Wawasan". Selain Dayang, artis lain yang terlibat ialah Amy Mastura, Fazley, Maya Karin, Afdlin Shauki, Syafinaz Selamat, Jeslina Hashim dan Siti Nurhaliza.[36]

Pada 20 Disember 2002, album keempat Dayang, Hembusan Asmara dikeluarkan. Album ini menjadi kejayaan komersial apabila ia terjual sebanyak 8,000 unit dan dikenang sebagai album gelap dalam sejarah industri muzik Malaysia. Selepas single pertama yang berentak jazz berjudul "Hanyalah Kasihmu" gagal di radio, Broadway mempertaruhkan lagu "Pintaku Yang Terakhir" ciptaan Efendi dan balada "Hembusan Asmara" ciptaan Adnan Abu Hassan. Kedua-dua lagu tersebut meledak di stesen-stesen radio namun Dayang tidak dapat sepenuhnya mempromosikan albumnya itu.[37][38]

Biarpun album tersebut terjual dengan baik tetapi Dayang tidak sepenuhnya terlibat dalam mempromosikan lagu-lagu dalam album tersebut sebaliknya hanya bergantung kepada promosi di radio.[39][40][41] Single daripada album tersebut seperti "Jangan Datang Lagi" dan "Bahaya" (menampilkan Mizz Nina) bagaimanapun secara tidak langsung memperkenalkan arah muzik Dayang ke pasaran yang lebih urban sekaligus menyaksikan Dayang bersiap sedia untuk merakamkan album studio keempatnya secara bebas ekoran beliau tidak dapat memilih untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman biarpun banyak yang hadir menawarkan kontrak yang lumayan. Album Hembusan Asmara dicalonkan dalam dua kategori termasuk Album Pop Terbaik di AIM 2003. Pada penghujung 2003, Broadway menerbitkan album kompilasi The Best of Dayang Nurfaizah yang memuatkan lagu-lagu popular penyanyi itu sepanjang bernaung sekaligus memperkenalkan lagu "Mana Mungkin" yang mendominasi carta pada penghujung tahun itu.[42][43][44][45]

2004–2006: Kesuraman kerjaya, "Dayang Sayang Kamu" dan One in a Million sunting

Pada 20 hingga 22 Februari 2004, Dayang berpeluang membuat konsert khas selama tiga hari berturut-turut di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur bersama penyanyi Adibah Noor. IB memilih kedua-dua penyanyi itu menjayakan Konsert Putera Puteri yang mempersembahkan karya hasil ciptaan Jimmy Boyle, P. Ramlee, Pak Lomak, Yusoff B, Ahmad Jaafar, Osman Ahmad, Zubir Said, Saiful Bahri, Ahmad C.B. dan Abu Kassim. Konsert tersebut bukan sahaja bertujuan untuk mengetengahkan karya penggubah-penggubah terbabit malah ia turut memberi peluang kepada penggubah semasa antaranya Ruslan Mohd. Imam, Danny Francisco dan Ayub Ibrahim menyusun kembali lagu-lagu yang dipilih. Konsert yang menampilkan lagu-lagu popular di era komposer terbabit bukan sekadar mengembalikan nostalgia silam, sebaliknya bertujuan untuk menarik perhatian generasi muda. Antara lagu yang diperdengarkan dengan iringan 68 anggota pemuzik orkestra ialah "Putera-Puteri, "Kweek Mambo", "Jauh-Jauh", "Ibu", "Malamku Bermimpi", "Seri Mersing", "Seri Dewi Malam", "Senjakala" dan "Cincin Belah Rotan".[46][47] Biarpun rakaman konsert ini tidak dapat disiarkan, namun ia menjadi titik mula kepada inisiatif Dayang untuk menerbitkan sebuah album khas yang memuatkan lagu-lagu klasik seperti yang dijelmakan dalam album Kasih pada tahun 2005.[48][49]

Kemudian, Dayang diberi penghormatan menyanyikan lagu kebangsaan "Negaraku", pada majlis pembukaan Asian X Games VI yang berlangsung di Stadium Tertutup Bukit Jalil pada 19 Februari.[50]

Biarpun tidak lagi bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman dan terikat dengan kes mahkamah, Dayang tetap meneruskan niatnya untuk merakamkan album solo keempat.[51][52] Beliau terpaksa mengeluarkan duitnya sendiri untuk proses rakaman album terbarunya. "Kau Pergi Jua" (nyanyian asal Adam Ahmad) dan "Biar Akhirnya Di Sini" ciptaan Afdlin Shauki merupakan dua lagu pertama yang dirakamkan oleh Dayang. Menerusi lagu ciptaan Afdlin itu, Dayang menjemput pemain biola tersohor Indonesia iaitu Henry Lamiri untuk mengiringinya. Apabila album itu sudah siap, Dayang mencari dan memilih syarikat rakaman yang sesuai untuk menerbit serta mengedarkan album keempatnya itu nanti. Dalam album terbarunya itu, Dayang bukan sahaja mengekalkan konsep R&B, tetapu beliau turut terbabit secara langsung dalam pembikinannya memandangkan sebelum ini, Dayang hanya menyanyikan sahaja lagu yang diberikan. Namun selepas setahun disiapkan dengan bajet yang tinggi, album tersebut tidak dapat dipasarkan ekoran kes saman yang belum selesai. Akhirnya Dayang menjual sendiri album berjudul Dayang Sayang Kamu tersebut secara 'bawah tanah' di mana-mana persembahan tertutupnya.[53][54] Lagu berbahasa Inggeris berjudul "Need A Break/Seketika" mula meraih sokongan pendengar bandar sementara lagu "Erti Hidup yang dijadikan modul dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mula meniti bibir peminat. Dayang sendiri mencetak dan mengedarkan CD kepada peminat-peminat hingga berjaya terjual 5000 unit pada sebulan pertama jualan pada Ogos 2004. Dayang juga mempromosikan lagu "Dayang Sayang Kamu" dengan persembahan perdana di Anugerah Era 2004 dengan berduet bersama penyanyi Adam. Akhirnya album tersebut diterbitkan dan diedarkan pada September 2004 di bawah label DNAD Entertainment, syarikat rakaman milik Dayang sendiri.

Album Dayang Sayang Kamu menjadi penyambung hayat buat Dayang biarpun diancam dengan penerbitan album Buat Kamu oleh Broadway yang merupakan album bungkusan semula Hembusan Asmara sebulan sebelum edaran Dayang Sayang Kamu.[55][56][57] Broadway juga menerbitkan album kompilasi The Best of Anuar Zain & Dayang Nurfaizah sebelum itu yang menampilkan single "Melerai Prasangka" yang menerima putaran di radio. Lagu "Erti Hidup" berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu ke-19[58] dan akhirnya memenangi kategori Etnik Kreatif dan menaikkan semula nama Dayang dan memperkenalkan bakat Afdlin sebagai penggubah. Dayang kemudian bernaung di bawah syarikat rakaman New Southern Records (NSR). Ketua Bahagian Melayu NSR, Iman Wan berkata NSR telah mengeluarkan jumlah wang yang besar untuk membeli semula semua kontrak Dayang dengan syarikat-syarikat yang disamannya. Jumlah pembelian kontrak itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Beliau ialah salah seorang daripada beberapa artis Malaysia yang menyumbangkan suara untuk sebuah lagu khas bertajuk "Suluhkan Sinar". Diterbitkan oleh KRU dan dikeluarkan pada Januari 2005, lagu ini ditujukan khas kepada mangsa-mangsa tragedi gempa bumi dan tsunami Lautan Hindi 2004 dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak. Artis-artis lain yang terlibat dalam projek ini ialah peserta-peserta Akademi Fantasia, AC Mizal, Erra Fazira, Alleycats, Jaclyn Victor dan Anita Sarawak.[59]

 
Dayang mengadakan persembahan pada 2005.

Pada 16 September 2005, secara rasminya NSR menjadi pengedar rasmi Dayang Sayang Kamu dan seiring itu album bungkusan semula yang mana memuatkan lagu "Kasih Maafkan" mendapat perhatian peminat. Bersama Iman Wan yang mengelola NSR ketika itu, Dayang bekerjasama menerbitkan album khas lagu-lagu klasik berjudul Kasih pada 25 Oktober 2005 selepas kejayaan konsert Putera Puteri di IB dan populariti lagu "Kau Pergi Jua" dan single pengenalan lagu dodoi berjudul "Suriram".[60][61] Kehebatan Dayang dalam mengalunkan lagu-lagu klasik menyaksikan album tersebut dicalonkan di Anugerah Industri Muzik ke-13 untuk kategori Album Pop Terbaik dan album ini juga memenangi anugerah Rakaman Album Terbaik. Lagu "Kasih" berjaya meletakkan nama Dayang ke kedudukan yang lebih selesa apabila lagu keroncong yang dijazzkan itu meraih populariti berganda di radio dan televisyen.

Dayang mula melihat persaingan berlaku di kalangan penyanyi wanita di Malaysia di saat Siti Nurhaliza mendominasi sebehagian besar pasaran, dengan nama-nama seperti Misha Omar dan Jaclyn Victor sudahpun mengukuhkan nama mereka sebaris dengan Dayang. Dayang juga berdepan dengan lambakan peserta TV realiti yang memasuki pasaran dan menjadi demam baru industri. Menyedari peluang meneroka pasaran baru makin terbatas, akhirnya Dayang memberanikan diri menyertai program realiti anjuran stesen 8TV iaitu One in a Million (OIAM) yang menyaksikan penyanyi amatur dan profesional merebut hadiah bernilai RM1 juta berserta kontrak rakaman Monkey Bone Records.[62] Penyertaan Dayang menimbulkan polemik tersendiri di kalangan pemerhati seni kerana kedudukan Dayang sebagai penyanyi yang sudah kukuh sedangkan beberapa peserta lain ialah penyanyi profesional yang gagal di pasaran.[63][64] Di samping itu, keberanian Dayang menyertai program yang 100% bersandarkan undian peminat juga menimbulkan konflik tersendiri.[65][66][67] Namun Dayang tekad dengan keputusannya dan akhirnya berjaya mara ke peringkat Top 4 sebelum tersingkir seminggu sebelum malam konsert akhir.[68][69][70][71] Biarpun tewas kepada peserta lain yang kini popular seperti Alif Satar dan Faizal Tahir, Dayang positif kerana setidak-tidaknya beliau telah berjaya meneroka pasaran baru.[72][73] Perkara pertama yang dilakukan Dayang apabila tersingkir daripada saingan OIAM ialah mengukuhkan pasaran Singapuranya dengan berkolaborasi dengan penyanyi negara Kota Singa seperti Imran Ajmain dan kumpulan Bhumiband.[74]

Berikut ialah senarai persembahan Dayang dalam 'One in a Million:

2007–2010: "20 07" sunting

Pada tahun 2007 bersama Iman Wan, Dayang menerbitkan album solo keenamnya yang berjudul "20 07" pada 21 Julai 2007. Album pop ini menampilkan lagu-lagu hits seperti "Ingin Ku Miliki" , "Hilang" dan "Tiga" yang mana kesemuanya menyaksikan kolaborasi bersama penggubah Audi Mok. Ketika album ini dipasarkan Dayang mengambil keputusan untuk menyertai sebuah program TV pencarian "Ikon Malaysia'"yang mana pemenangnya akan mewakili Malaysia ke pertandingan "Ikon Asean". Sekali lagi Dayang dikritik kerana berani memperjudikan kedudukannya sebagai penyanyi profesional apabila terpaksa bersaing dengan angkatan penyanyi lain seperti Jaclyn Victor dan Mawi. Akhirnya tuah sekali lagi tidak memihak kepada Dayang apabila sekadar meraih hadiah Naib Johan Ikon Malaysia 2007 apabila tewas kepada Jaclyn. Dalam pada itu, Dayang boleh tersenyum bangga kerana album "20 07" telah dicalonkan dalam 4 kategori di AIM 2008 menerusi kategori vokal, album pop, susunan muzik dan juga kulit album. Biarpun tewas namun setidak-tidaknya album tersebut masih menjadi bukti keutuhan Dayang dalam industri.

Meraikan sedekad pembabitan beliau dalam Industri, Dayang mengadakan konsert mini yang dirakamkan di dalam sebuah album yang diberi judul Live!. Ia memuatkan rakaman persembahan live beliau di Planet Hollywood pada tahun 2008. Semasa ia dipasarkan pada 18 April 2009, Dayang terlibat dalam projek Global One Music yang menyaksikan nama Dayang tersenarai sebagai wakil Malaysia dalam sebuah album yang menggabungkan hampir 36 orang penyanyi dari seluruh dunia. Dayang berkolaborasi bersama rapper Singapura, Daly merakamkan lagu berjudul "Lately / Tanpamu" dalam dua versi – bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Dayang meraih kejayaan manis apabila album "Live" berjaya meraih anugerah Album Pop Terbaik menewaskan dua buah album Siti Nurhaliza. Sebagai peringatan, sebelum itu Dayang sudah 4 kali dicalonkan dalam kategori tersebut.

2011–2014: "Sayang & Cahaya" sunting

Pada tahun 2011, Dayang melancarkan album studio ketujuhnya berjudul "Sayang & Cahaya" pada 2 Mei.[75] Ia merupakan album kedua yang diterbitkan sendiri oleh syarikat DNAD sendiri manakala ia tidak lagi dipasarkan oleh NSR sebaliknya Dayang menyerahkan hak edaran kepada Universal Music. Sebelum itu Dayang berkolaborasi bersama Alibi Music menghasilkan dua buah single pengenalan iaitu "Sayang" dan "Ku Temu Cahaya". Lagu "Sayang" menyaksikan Dayang berduet bersama penyanyi Indonesia Marcell. Lagu tersebut berjaya mara ke pencalonan Anugerah Planet Muzik 2011 untuk kategori Duo/Kolaborasi Terbaik. Di samping single terbaru berjudul "Saat Itu", Dayang juga berkolaborasi bersama penyanyi veteran Ramli Sarip dalam lagu "Musafir Rindu" dalam album penyanyi tersebut juga bersama penyanyi Indonesia Harvey Malaiholo dalam lagu rakaman semula "Gerimis Mengundang" untuk projek filem usahasama Malaysia-Indonesia.

Lebih sedekad berada dalam bidang seni suara nama Dayang Nurfaizah menjadi sebuah jenama yang kukuh dengan jualan album keseluruhan mencecah 200,000 unit sekaligus menjadikan beliau sebagai salah seorang artis wanita terlaris dekad 00-an. Pelbagai kejayaan telah diraih oleh penyanyi yang digelar sebagai Diva R&B Alaf Baru ini. Ternyata bukan mudah untuk Dayang mencapai kedudukan selesa kini, di saat rakan penyanyi seangkatan mula beransur hilang nama beliau masih kukuh dan diminati ramai. Dayang mempunyai pengikut tersendiri dan tidak mustahil suara Dayang akan terus berkumandang selama mungkin.

2015–kini: Kesinambungan kejayaan sunting

Dari 20 hingga 22 November 2015, Dayang menjadi sebahagian daripada pementasan semula Malam Terang Bulan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Dianjurkan oleh Khazanah Nasional untuk kali kedua, orkestra konsert yang berlangsung tiga hari dengan penceritaan ialah bagaimana lagu cinta menjadi lagu kebangsaan Malaya. Beliau mempersembahkan lagu Jauh-Jauh dan Tanah Pusaka.[76]

Dayang merakamkan lagu bertajuk "Lelaki Teragung" hasil nukilan komposer baharu, Natasya dan Iman Imran. Dayang berkongsi bahawa bapanya menjadi sumber inspirasi dalam kehidupannya.[77] Lagu ini merupakan antara 12 lagu yang bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-31 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), KL. Beliau menyanyikan lagu itu sebagai tanda penghargaan untuk Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak yang meninggal dunia pada 11 Januari 2017.[78] "Lelaki Teragung" muncul sebagai Juara Lagu ke-31 (AJL 31), menewaskan 11 lagu lain di pentas akhir, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi serta baucar bernilai RM10,000.[79]

Beliau diberi kepercayaan menyanyikan lagu tema Sukan SEA 2017 yang bertajuk "Bangkit Bersama".[80] Dayang muncul sebagai artis jemputan untuk acara seni persembahan Universiti Teknologi Petronas, "Tapestry of Colours 2017", di Dewan Filharmonik Petronas pada 29 Julai. Beliau juga menyertai barisan penyanyi terkenal termasuk Faizal Tahir dan Azlan Rosle, penyanyi Indonesia Cakra Khan, Judika dan Syahrini di Konsert Nova di Stadium Malawati Shah Alam pada 5 Ogos.[81]

Pada Januari 2018, Dayang mengadakan konsert solo pertamanya di Esplanade, Singapura. Konsertnya berjaya menarik perhatian 1,500 penonton.[82][83][84]

Dayang muncul dengan single terbaru, "Sebentar" hasil nukilan Faizal Tahir, Mage, Mike Chan dan Romeo. Beliau menjayakan Konsert Dayang Dua Dekad di Istana Budaya yang berlangsung pada 21 Julai 2019, iaitu sehari selepas sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-38.[85][86]

Kehidupan peribadi sunting

Kehidupan peribadi Dayang banyak diperkatakan di media, terutamanya hubungannya dengan penyanyi dan penerbit rakaman Hael Husaini.[87][88][89]

Beliau ialah seorang yang tidak begitu aktif di media sosial.[90]

Dayang juga meminati K-Pop biarpun beliau bukanlah peminat tegar, namun mengagumi Big Bang dan 2NE1.[91]

Diskografi sunting

Anugerah dan pencalonan sunting

Status Anugerah Utama
Anugerah Industri Muzik Anugerah Juara Lagu Anugerah Planet Muzik Anugerah Era
Menang 6 3 2 1
Jumlah Pencalonan 23 4 11 6

Anugerah Industri Muzik sunting

Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM)
Tahun Kategori Karya Tercalon Album Keputusan
1999

(AIM 7)

Artis Baru Terbaik Dayang Nurfaizah Tercalon
Lagu Terbaik Pusaka Rimba (duet Ziana Zain)
(Azlan Abu Hassan / Azalea)
Jelita Hebat Tercalon
2001

(AIM 9)

Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) Seandainya Masih Ada Cinta Tercalon
Album Pop Terbaik Tercalon
Lagu Terbaik Seandainya Masih Ada Cinta
(Ajai / Syed EnV)
Menang
2002

(AIM 10)

Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) Hembusan Asmara Tercalon
Album Pop Terbaik Tercalon
2005

(AIM 13)

Rakaman Album Terbaik Kasih Menang
Album Pop Terbaik Tercalon
2007

(AIM 15)

Kulit Album Terbaik Pereka: Nizam Rahmat 20 07 Tercalon
Album Pop Terbaik Tercalon
Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita) Tercalon
Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu Inginku Miliki
Penggubah: Audi Mok
Tercalon
2009

(AIM 17)

Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Wanita) Hilang (Live Version) Live! Tercalon
Rakaman Album Terbaik Tercalon
Album Pop Terbaik Menang
Album Terbaik Tercalon
2010-2011

(AIM 18)

Persembahan Vokal Duo/Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu Sayang (dengan Marcell Siahan) Sayang & Cahaya Tercalon
Album Terbaik Tercalon
2012-2013

(AIM 20)

Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu Bila Resah
Penggubah: Jenny Chin
Anuar & Dayang Live at Dewan Filharmonik Petronas Menang
Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik di Dalam Lagu Sedetik Lebih (dengan Anuar Zain) Menang
Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Wanita) Seandainya Masih Ada Cinta (live) Menang
Album Terbaik Tercalon
2014-2016

(AIM 22)

Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Wanita) Lelaki Teragung Tercalon

Anugerah Juara Lagu sunting

Anugerah Juara Lagu (atau AJL) merupakan acara tahunan yang mengiktiraf komposisi muzik lagu yang berdasarkan kerjasama tiga pihak – penulis lirik, penggubah lagu dan artis. Program mingguan akan mengumpulkan perseorangan dan pencalonan lagu daripada pelbagai artis di mana mereka akan bertanding sehingga lagu-lagu mereka disenarai pendek sebagai finalis sebelum akhirnya dicalonkan untuk dihakimi oleh juri profesional. Dari tahun 1986 sehingga 1991, peserta akhir dipilih berdasarkan pemenang bulanan, dan dari 1992 hingga 2008, lagu-lagu telah dipisahkan kepada tiga kategori utama – Balada, Irama Malaysia dan Etnik Kreatif dan Pop Rock. Walau bagaimanapun, dari 2009 dan seterusnya, persembahan anugerah yang telah diberi nafas baru dan semua 12 peserta akhir telah dibuat untuk bersaing antara satu sama lain tanpa mengira kategori.

Anugerah Juara Lagu (AJL)
Tahun Lagu Album Pencipta Lagu Penulis Lirik Kategori Keputusan
2001 (AJL 16) Seandainya Masih Ada Cinta Seandainya Masih Ada Cinta Ajai Syed ENV Balada Menang

Juara Kategori

Bahagia Pop Rock Tercalon
2004 (AJL 19) Erti Hidup Dayang Sayang Kamu Afdlin Shauki & Aji Afdlin Shauki Etnik Kreatif Menang

Juara Kategori

2014 (AJL 29) Di Pintu Syurga Dayang Nurfaizah Tam Spider Iman Imran Terbuka Menang

Tempat Ketiga

Vokal Terbaik Menang
2015 (AJL 30) Tak Pernah Menyerah Akid Pojie Samad Terbuka Tercalon
Vokal Terbaik Menang
2016 (AJL31) Lelaki Teragung Natashah Iman Imran Terbuka Menang

Juara Keseluruhan

Vokal Terbaik Menang
2017 (AJL 32) Separuh Mati Ku Bercinta Ajai Ajai Terbuka Tercalon
2018 (AJL 33) Haram (duet bersama Hael Husaini) Hael Husaini & Ezra Kong Hael Husaini & Ezra Kong Terbuka Menang

Juara Keseluruhan

Anugerah Planet Muzik sunting

Tahun Kategori Karya tercalon Album Keputusan
2002 Lagu Paling Popular APM Seandainya Masih Ada Cinta Seandainya Masih Ada Cinta Menang
Album Terbaik Tercalon
2011 Kolaborasi Terbaik (Artis) Sayang (duet bersama Marcell) Menang
2012 Kolaborasi Terbaik (Artis) Perlukan cinta (duet bersama Tompi) Tercalon
2014 Artis Terbaik (Wanita) Di Pintu Syurga Dayang Nurfaizah Tercalon
2015 Artis Terbaik (Wanita) Tak Pernah Menyerah Tercalon
2016 Artis Terbaik (Wanita) Langit Cinta Tercalon
2017 Artis Terbaik (Wanita) Lelaki Teragung Dayang Nurfaizah Menang
Lagu Terbaik Malaysia Menang
Lagu Paling Popular APM Tercalon
Artis Paling Popular APM Tercalon
2018 Artis Terbaik (Wanita) Separuh Mati Ku Bercinta Dayang Nurfaizah Tercalon
Lagu Terbaik Malaysia Tercalon

Anugerah Bintang Popular Berita Harian sunting

Tahun Anugerah Kategori Keputusan
2014 Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-28 Penyanyi Wanita Popular Tercalon
2015 Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-29 Penyanyi Wanita Popular Tercalon
2018 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017 Penyanyi Wanita Popular Tercalon
Artis Kolaborasi Duo/Berkumpulan Popular (bersama Malique) Tercalon
2019 Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-32 Artis Kolaborasi Duo/Berkumpulan Popular (bersama Hael Husaini) Menang
2023 Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 Penyanyi Wanita Popular Tercalon

Lain-lain sunting

  • Finalis Bintang Remaja Asli 1996 (Kunching, Sarawak)
  • Finalis Golden Teen Search 1996 (Radio Televisyen Malaysia)
  • Juara Bintang Remaja Asli 1997 (Kuching, Sarawak)
  • Juara Golden Teen Search 1997 (Radio Televisyen Malaysia)
  • Juara Bintang RTM 1998 (Radio Televisyen Malaysia)
  • Juara Bintang Penghibur HMI 2000 (Radio Televisyen Malaysia)
  • Lagu Paling Popular - Anugerah Planet Muzik 2002 - "Seandainya Masih Ada Cinta"
  • Anugerah Lagu Global Pilihan (Erti Hidup- Anugerah Era 2005)
  • Persembahan Kolaborasi Terbaik - Anugerah Planet Muzik 2011 - Lagu "Sayang" bersama Marcell Siahan

Rujukan sunting

  1. ^ Ramlah Zainal (20 April 2013). "Dayang pukau bos". Harian Metro. Dicapai pada 22 Julai 2021.
  2. ^ Marina Abdul Ghani (5 September 1997). "Ten in finals of song contest" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 30 Jun 2021.
  3. ^ "Dayang bentuk imej sendiri". Harian Metro. 20 April 1999. Dicapai pada 30 Jun 2021.
  4. ^ Saniboey Mohd Ismail (23 April 1999). "Dayang resah menanti". Harian Metro. Dicapai pada 30 Jun 2021.
  5. ^ "(Seorang lagi penyanyi dari...)". Berita Harian. 12 Mei 1999. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  6. ^ Azman Ahmad (16 Mei 1999). "Bright new sound of Sarawak" (dalam bahasa Inggeris). Sunday Mail. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  7. ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed (28 Mei 1999). "Adnan didik Dayang". Harian Metro. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  8. ^ "Tuah Dayang bersama Adnan". Harian Metro. 10 Jun 1999. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  9. ^ Ellyna Ali (20 Jun 1999). "Dayang suka berlenggok". Berita Minggu. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  10. ^ Sani Salleh (29 Jun 1999). "Dayang mampu senyum". Harian Metro. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  11. ^ Akmal Abdullah (19 Oktober 1999). "Himpunan lagu 11 penyanyi jelita". Berita Harian. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  12. ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed (4 September 1999). "Pusaka Rimba gabung Ziana, Dayang". Harian Metro. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  13. ^ Roslen Fadzil (23 September 1999). "Ziana, Dayang beradu vokal". Harian Metro. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  14. ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed (3 Ogos 1999). "Dayang, Ziana berduet". Harian Metro. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  15. ^ Zul Husni Abdul Hamid (14 September 2000). "Dayang - Dalami lagu Inggeris". Berita Harian. Dicapai pada 2 Julai 2021.
  16. ^ Norhadiani Baharom (2 Oktober 2001). "Kris minat Dayang". Harian Metro. Dicapai pada 7 Julai 2021.
  17. ^ Zul Husni Abdul Hamid (16 April 2000). "Kegagalan album tidak patahkan semangat Dayang". Berita Minggu. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  18. ^ "Dayang tewas tetapi dipuji". Harian Metro. 19 April 2000. Dicapai pada 1 Julai 2021.
  19. ^ Zul Husni Abdul Hamid (18 Januari 2001). "Dayang kembali bersama album baru". Berita Harian. Dicapai pada 2 Julai 2021.
  20. ^ Jad Mahidin (19 Januari 2001). "Stunned into silence". The Malay Mail. Dicapai pada 2 Julai 2021.
  21. ^ Abie Abdullah (4 Februari 2001). "Dayang bertapak semula". Metro Ahad. Dicapai pada 3 Julai 2021.
  22. ^ Abie Abdullah (14 Februari 2001). "Penantian Dayang berbaloi". Harian Metro. Dicapai pada 3 Julai 2021.
  23. ^ Zul Husni Abdul Hamid (17 Februari 2001). "Dayang resah nanti album dipasarkan". Berita Harian. Dicapai pada 3 Julai 2021.
  24. ^ Zainal Alam Kadir (26 Februari 2001). "Bowled over by Dayang". New Straits Times. Dicapai pada 3 Julai 2021.
  25. ^ Hanisah Selamat (25 Julai 2001). "Dayang Nurfaizah 'main perasaan' di Bali". Berita Harian. Dicapai pada 7 Julai 2021.
  26. ^ Mohd Roji Abdullah (14 Mac 2001). "Dayang bangga diterima peminat". Berita Harian. Dicapai pada 3 Julai 2021.
  27. ^ Hartati Hassan Basri (8 November 2001). "Tak niat saing Siti". Harian Metro. Dicapai pada 7 Julai 2021.
  28. ^ Hanisah Selamat (8 November 2001). "Dayang pencabar terdekat Siti". Berita Harian. Dicapai pada 7 Julai 2021.
  29. ^ Suzan Ahmad (14 Julai 2001). "Lapan finalis berentap malam ini". Berita Harian. Dicapai pada 7 Julai 2021.
  30. ^ Hardi Effendi Yaacob; Suzan Ahmad (18 Julai 2001). "Malam bertuah buat Dayang". Berita Harian. Dicapai pada 7 Julai 2021.
  31. ^ Ricky Yap (17 Julai 2001). "Nurfaizah's the star" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 7 Julai 2021.
  32. ^ Suzan Ahmad (15 Februari 2002). "Dayang sedia hadapi cabaran baru". Berita Harian. Dicapai pada 8 Julai 2021.
  33. ^ Haswari Ali (8 Februari 2002). "Paksi Dayang". Harian Metro. Dicapai pada 8 Julai 2021.
  34. ^ Suzan Ahmad (7 Februari 2002). "Penangan peminat Dayang". Berita Harian. Dicapai pada 8 Julai 2021.
  35. ^ Haswari Ali (5 Februari 2002). "Bermula Di Sini dilancar semula". Harian Metro. Dicapai pada 8 Julai 2021.
  36. ^ Zul Husni Abdul Hamid; Suzan Ahmad (9 Julai 2002). "Artis tarik peminat cintai budaya membaca". Berita Harian. Dicapai pada 14 Ogos 2016.
  37. ^ SS (16 Disember 2002). "Mengapa tiada lagu Ajai dalam album Dayang?". Harian Metro. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  38. ^ "Hembusan Dayang berapi". Harian Metro. 16 Disember 2002. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  39. ^ Tati (23 Disember 2002). "Album baru Dayang kurang promosi". Harian Metro. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  40. ^ Zul Husni Abdul Hamid (3 Januari 2003). "Krisis tidak patah semangat Dayang". Berita Harian. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  41. ^ Ellyna Ali (5 Januari 2003). "Album Dayang ringkas". Berita Minggu. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  42. ^ "Dayang Nurfaizah mantap". Metro Ahad. 5 Oktober 2003. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  43. ^ "(Kompilasi dari penyanyi kelahiran...)". Berita Harian. 9 Oktober 2003. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  44. ^ "Dayang kekal hebat". Harian Metro. 4 November 2003. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  45. ^ Hafidah Samat (25 November 2003). "Dayang breaks out in song" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 15 Julai 2021.
  46. ^ Hartati Hassan Basri (10 Februari 2004). "Dayang, Adibah bersatu". Harian Metro. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  47. ^ "Tribute to legends". The Malay Mail. 10 Februari 2004. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  48. ^ Zul Husni Abdul Hamid (1 Disember 2005). "Erti Kasih buat Dayang". Berita Harian. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  49. ^ Rudy Imran Shamsudin (12 November 2005). "KASIH DAYANG PENUH NOSTALGIA". Harian Metro. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  50. ^ Suraiya Mohd Nor (25 Februari 2004). "Lagu Negara Ku Dayang Nurfaizah bakar semangat". Berita Harian. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  51. ^ Suraiya Mohd Nor (24 Februari 2004). "Dayang Nurfaizah bangkit semula". Berita Harian. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  52. ^ Joe Lee (27 Mac 2004). "Dayang will survive". The Malay Mail. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  53. ^ "Dayang loves you". New Straits Times. 27 September 2004. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  54. ^ Jad Mahidin (19 Disember 2004). "Dayang's personal cut". Sunday Mail. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  55. ^ Zul Husni Abdul Hamid (16 Disember 2004). "(Dayang Nurfaizah kembali bersama...)". Berita Harian. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  56. ^ Joe Lee (2 Disember 2004). "Dayang is all smiles again". The Malay Mail. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  57. ^ Ellyna Ali (23 November 2004). "Dayang lega". Harian Metro. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  58. ^ Norhayati Nordin (10 Januari 2005). "DAYANG MANTAP MUTU VOKAL". Harian Metro. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  59. ^ "Najib lancar Suluhkan Sinar". Berita Harian. 14 Januari 2005. Dicapai pada 16 Mac 2020.
  60. ^ Haswari Ali (31 Disember 2005). "Vokal Kasih Klasik Dayang". Berita Harian. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  61. ^ "Pengaruh Kasih Dayang". Metro Ahad. 25 Disember 2005. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  62. ^ Mazreena (4 Jun 2006). "Baik, buruk penyertaan Dayang". Berita Minggu. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  63. ^ SS (25 Julai 2006). "Dayang masuk One In A Million". Harian Metro. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  64. ^ John Tiong (25 April 2006). "Dayang Nurfaizah joins the race". The Malay Mail. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  65. ^ Rudy Imran Shamsudin (26 April 2006). "'Apa salahnya saya mencuba'". Harian Metro. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  66. ^ Suraya Al-Attas (29 April 2006). "Dayang's got lots of guts trying out". New Straits Times. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  67. ^ Abie Abdullah (14 Mei 2006). "Salahkah Dayang masuk?". Harian Metro. Dicapai pada 18 Julai 2021.
  68. ^ Hartati Hassan Basri (11 Ogos 2006). "Dayang dalam bahaya". Harian Metro. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  69. ^ Zul Husni Abdul Hamid (16 September 2006). "Dayang Nurfaizah tersingkir One In A Million". Berita Harian. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  70. ^ Nor Akmar Samudin (16 September 2006). "Dayang sebak". Harian Metro. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  71. ^ "Dayang Nurfaizah in shock exit". New Straits Times. 16 September 2006. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  72. ^ "Dayang's hard at work". The Malay Mail. 8 Disember 2006. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  73. ^ Ellyna Ali (30 Oktober 2006). "Fazley hasil buku motivasi, Dayang hasil album". Harian Metro. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  74. ^ "Bhumiband undang Dayang". Berita Minggu. 7 Januari 2007. Dicapai pada 19 Julai 2021.
  75. ^ Budiey (16 Jun 2011). Showcase Sayang & Cahaya Dayang Nurfaizah Sensasi Selebriti. Dicapai pada 14 Februari 2012.
  76. ^ Bibi Nurshuhada Ramli (6 November 2015). Dayang returns to perform in Malam Terang Bulan New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2016.
  77. ^ Kemalia Othman (5 Julai 2016). Bapa Simbolik 'Lelaki Teragung' Dayang Nurfaizah mStar Online. Dicapai pada 5 Julai 2016.
  78. ^ Adib Povera (15 Januari 2017). Dayang Nurfaizah to dedicate Anugerah Juara Lagu performance to Tok Nan New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2017.
  79. ^ Nadia Azam (22 Januari 2017). Lelaki Teragung dinobat juara AJL31 Malaysiakini. Dicapai pada 7 Februari 2017.
  80. ^ "Song #BangkitBersama". Official website. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-08-08. Dicapai pada 8 August 2017.
  81. ^ Dennis Chua (15 Jun 2017). Dayang honoured to sing Sea Games New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2018.
  82. ^ Tahir Alhamzah (2 Januari 2018). (Showbiz) Dayang Nurfaizah wows 1,500 of her fans at Singapore's Esplanade Concert Hall New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2019.
  83. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-04. Dicapai pada 2018-01-04.
  84. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-04. Dicapai pada 2018-01-04.
  85. ^ Zaidi Mohamad (8 Julai 2019). Dayang hargai doa peminat Berita Harian. Dicapai pada 1 Ogos 2019.
  86. ^ Tahir Alhamzah (29 Januari 2019). #Showbiz: Dayang to perform solo concert in July New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2019.
  87. ^ "Selagi tiada pengumuman kahwin, selagi itu boleh kenal" - Dayang Nurfaizah tak tutup peluang lelaki lain mStar Online (9 September 2019). Dicapai pada 10 September 2019.
  88. ^ Feride Hikmet Atak (17 Ogos 2019). Salahkah kami berkawan? - Dayang Nurfaizah Berita Harian. Dicapai pada 1 September 2019.
  89. ^ Syahrul Ramadan (9 September 2019). Dayang Nurfaizah Talks About Her Special Relationship With Hael Husaini Hype.my. Dicapai pada 10 September 2019.
  90. ^ Dayang’s not a fan of social media: "I don't need to share my personal life online" The Star Online (10 Ogos 2018). Dicapai pada 10 Ogos 2018.
  91. ^ Dennis Chua (28 Februari 2018). (Showbiz) Dayang Nurfaizah, a fan of BigBang and 2Ne1 New Straits Times. Dicapai pada 7 Februari 2019.

Pautan luar sunting