P. Ramlee

Penyanyi, pelakon, pengarah filem, pemuzik dan penulis lagu Malaysia (1929-1973)
(Dilencongkan dari Tan Sri P. Ramlee)

Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh (Jawi: تاوكو زكريا بن تاوكو ڽق ڤوتیه;‎ 22 Mac 1929 – 29 Mei 1973),[1] atau lebih dikenali sebagai P. Ramlee,[2][3] merupakan seorang penyanyi, pelakon, pengarah, pemuzik dan penulis lagu Malaysia. Dianugerahkan "Seniman Agung Negara" kerana jasanya yang amat besar dalam industri filem dan muzik dan hasil karya sasteranya,[4][5][6] yang mana kerjaya lakonannya bermula di Singapura pada 1948 semasa di puncak kerjayanya, sehingga berhijrah ke Malaysia pada 1964 sehingga kematiannya, beliau dikenang sebagai ikon terkemuka dalam industri hiburan Malaysia. Kemasyhuran beliau juga berkembang sehingga ke rantau Asia Tenggara, termasuk Brunei, Indonesia serta Hong Kong dan Jepun.[7][8][9][10]


P. Ramlee

P. Ramlee pada Mei 1954.
Kelahiran
Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh

(1929-03-22)22 Mac 1929
40A, Counter Hall Road, George Town, Pulau Pinang, Negeri-negeri Selat (kini Malaysia)
Meninggal dunia29 Mei 1973(1973-05-29) (umur 44)
Sebab kematianSerangan jantung
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur
MonumenPustaka Peringatan P. Ramlee
Nama lain
  • Ramli Puteh
  • Remy
Pendidikan
Pekerjaan
  • Penyanyi
  • pelakon
  • pengarah
  • pemuzik
  • penulis lagu
Tahun aktif1945–1973[nota 1]
Organisasi
Majikan
Karya
Senarai penuh
Pasangan
Anak-anak
Ibu bapa
  • Teuku Nyak Puteh Teuku Karim
  • Che Mah Hussein
SaudaraSyeikh Ali (abang seibu)
Kerjaya muzik
GenrePop, Irama Malaysia
Instrumen
Syarikat rakaman
EMI
Tandatangan

Sepanjang hayatnya, beliau telah berlakon dalam 66 filem, 35 daripadanya ialah arahannya, mengarang 250 lagu dan menyanyikan hampir 30 daripadanya.[11][12] Antara filem-filem terkenal P. Ramlee sebagai pelakon ialah Chinta (1948), Abu Hassan Penchuri (1955), Anak-ku Sazali (1956), Antara Dua Darjat (1960) dan Masam-Masam Manis (1965). Sebagai pengarah, antara filem-filem arahan beliau ialah Penarek Becha (1955), Pancha Delima (1957), siri filem Bujang Lapok (1957–1961), Tiga Abdul (1964) dan Jangan Tinggal Daku (1971). Laxmana Do Re Mi (1972) menandakan penampilan layar lebar terakhirnya dalam hayatnya. Kemudian dalam kerjayanya, Ramlee berlakon dalam drama Intan (1970) dan Rantau Selamat (1972). Sebagai penyanyi, antara lagu-lagunya yang terkenal ialah "Azizah", "Getaran Jiwa", "Aci Aci Buka Pintu", "Di Mana Kan Ku Cari Ganti", "Jeritan Batinku" dan "Air Mata di Kuala Lumpur" yang merupakan lagu terakhir yang dirakamkannya sebelum kematiannya.[13][14]

P. Ramlee telah berkahwin sebanyak 3 kali dan dikurniakan 10 anak, yang mana 2 daripadanya ialah anak kandungnya. Beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1973 akibat serangan jantung. Beliau menerima pelbagai anugerah dan penghargaan sepanjang kerjayanya, memperoleh beberapa kemenangan dari pelbagai badan pemberi anugerah. Antaranya ialah pengiktirafan antarabangsa seperti Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik Ke-4, Tokyo dan Bakat Paling Pelbagai di Festival Filem Asia Pasifik Ke-10, Tokyo.[15][16][17][18]

Kehidupan awal

Beliau dilahirkan pada 22 Mac 1929 bersamaan 1 Syawal 1347, iaitu selepas khutbah selesai pada pagi Hari Raya Aidilfitri di Pulau Pinang.[19][20] Beliau ialah anak kepada pasangan Teuku Nyak Puteh bin Teuku Karim (1902–1955) dan Che Mah binti Hussein (1904–1967).[15] Sebelum Che Mah melahirkannya, Che Mah telah mengadu sakit perut pada sebelah paginya. Tetapi, bapanya harus menunaikan sembahyang raya. Mujurlah ibu Che Mah tinggal bersama-sama dengannya. Ibu Che Mah telah memanggil bidan dan orang ramai mula berkumpul di rumah mereka. Selepas pulang daripada menunaikan solat, Teuku Nyak Puteh mendapati anaknya telah selamat dilahirkan. Ibu Che Mah telah memanggil cucunya dengan panggilan "Ramlee" kerana kesukaran memanggil nama "Teuku Zakaria".[19][21]

Teuku Nyak Puteh merupakan anak tunggal yang berasal dari Lhokseumawe, Acheh. Bapanya mengembara untuk menjadi pelayar kerana merajuk kepada salah seorang ahli keluarganya. Akhirnya, beliau berkenalan dengan ibu P. Ramlee, Che Mah yang berstatus seorang janda. Che Mah pula berasal dari Kampung Kubang Buaya, Butterworth, Pulau Pinang.[22][23][24][25] Perkenalan ini telah menyebabkannya berkahwin dengan Che Mah pada tahun 1925. P. Ramlee mempunyai seorang adik-beradik tiri melalui perkahwinan pertama ibunya, iaitu Syeikh Ali. Ibunya meninggal akibat penyakit barah gusi, ketika Ramlee dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang.[19]

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan Francis Light English School. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua.[15][26] Ketika beliau masih bersekolah di Penang Free School, beliau dikenali sebagai pelajar yang kemas dari segi tulisan dan mempunyai bahasa yang menarik. Pada waktu tengah hari, beliau mempelajari pendidikan Islam dan pada sebelah malamnya, beliau aktif bersukan. Guru beliau, Encik Hashim adalah bapa kepada Ahmad Daud. Setiap hari, beliau akan disuruh oleh Encik Hashim untuk menghantar buku-buku pelajar ke rumahnya. Sebelum pulang ke rumah, beliau seringkali dipelawa untuk makan di rumah Encik Hashim.[19][26] Ketika zaman pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, beliau belajar di Japanese Navy School (Kaigun Gakko) sebelum kembali ke Penang Free School apabila perang tamat.[15][11][27] Semasa perang, Ramlee mempelajari asas muzik dan menyanyikan lagu Jepun. Sebaik sahaja perang tamat, beliau mengambil pelajaran muzik yang membolehkannya membaca notasi muzik.[26][28]

Kerjaya

1945–1949: Penglibatan awal

Beliau mula meminati bidang muzik apabila melihat rakan-rakannya bermain muzik di kampungnya. Beliau mula mengumpul duit hasil upahan orang dalam usaha untuk membeli sebuah biola. Ketika beliau bersekolah di Japanese Navy School, beliau pernah menjadi ketua dalam satu batalion seramai 150 orang. Apabila pertunjukan pentas diadakan pada setiap malam minggu, beliau seringkali diundang untuk menyanyi beberapa buah lagu. Sistem pendidikan Jepun telah menyebabkan beliau menguasai bahasa Jepun dalam masa yang singkat. Pihak Jepun telah menghantarnya ke merata-rata tempat untuk mengasah kemahirannya.[19]

Selepas selesai menunaikan solat pada waktu malam, beliau berlatih bermain muzik bersama pancaragam Sinaran Bintang Sore. Seterusnya, beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung sebagai pemain biola, penyanyi, dan pencipta lagu.[29] Encik Kamaruddin telah menyedari bakatnya dan menawarkan kelas bermain piano di rumahnya. Oleh kerana beliau tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya ketika sesi pengajaran, Normah iaitu anak Encik Kamaruddin telah membawa secawan kopi sebagai galakan.[19][30][31]

Beliau mula mencuba nasib dengan menyertai sebuah pertandingan nyanyian anjuran Radio Malaya bahagian utara. Pada tahun 1945, beliau memperoleh tempat ketiga manakala tahun seterusnya, beliau disenaraikan dalam tempat ketiga. Pada tahun 1947, beliau berjaya mendapat tempat pertama sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya.[11][26] Sejak dari itu, namanya dan Orkes Teruna Sekampung dikenali ramai di kawasan utara. Kumpulan Rayuan Asmara yang terdiri daripada pelakon-pelakon pentas bangsawan telah mengadakan pertunjukan di Pulau Pinang. Pada ketika itu, beliau berhasrat untuk melihat persembahan tersebut walaupun tidak mempunyai wang. Hasil pendapatan beliau yang diperoleh daripada majlis keramaian dan pertunjukan pentas telah dibelanjakan untuk membeli pakaian. Pernah suatu ketika, beliau terpaksa memakai baju koyak dan menutupnya dengan sehelai kot di sebelah luarnya.[19]

Akhirnya, beliau memberanikan diri dengan memanjat pagar untuk melihat persembahan oleh kumpulan Rayuan Asmara. Kasma Booty menjadi penyanyi dalam kumpulan tersebut dan belum dikenali sebagai pelakon filem. Ahmad C.B. telah berjumpa dengan ketua Orkes Teruna Sekampung dan mencadangkan mereka bergabung dengan kumpulan Rayuan Asmara. Pada suatu pertunjukan hasil gabungan kedua-dua kumpulan, P. Ramlee telah berjumpa dengan Kasma Booty buat kali pertama. P. Ramlee juga mula berkenalan dengan pemain saksofon, Jaafar yang merupakan bapa tiri Kasma. Untuk suatu ketika, beliau tidak lagi berjumpa dengan Kasma kerana kumpulan Rayuan Asmara sentiasa berpindah dalam mengadakan pertunjukan.[19]

Dalam tahun 1948, B.S. Rajhans, pengarah yang bekerja untuk Shaw Brothers mengesan bakat Ramlee semasa mengadakan persembahan di persembahan keroncong di Pulau Pinang.[28][32] Setahun kemudian, iaitu pada 1949, Rajhans kemudian menjemput Ramlee untuk menyertai Malay Film Productions (MFP) sebagai penyanyi latar.[28][33] Ramlee tidak berganjak dan berangkat ke Singapura dengan membawa bersama biolanya. Beliau menghadiri uji bakat yang diadakan di studio yang terletak di Jalan Ampas dengan menyanyikan lagu pertama ciptaannya, "Azizah".[34][35] Lagu itu kemudian menjadi karya tandatangannya dan digunakan sebagai lagu latar dalam filem sulung arahannya, Penarek Becha (1955).[36][37]

Filem pertama lakonan P. Ramlee ialah Chinta (1948) yang mana beliau memegang peranan sebagai penjahat dan menyumbangkan nyanyian latar.[36] Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakon dan menyumbangkan suaranya dalam filem seperti Nasib (1949) dan Nilam (1949)[33] sebelum menjayakan peranan utama dalam Bakti (1950) dan Takdir Ilahi (1950).[38] Biarpun populariti Ramlee sebagai pelakon meningkat, kerjaya muziknya juga bermula. Suaranya yang merdu melayakkan Ramlee menerima kontrak rakaman bersama Hemsley & Co.[39][40][41] "Azizah" memperoleh keuntungan yang lumayan untuk Hemsley, yang memberi Ramlee wang sebanyak $3,000 untuk lagu-lagunya. Ramlee juga menyanyi bersama Orkestra HMV (His Master's Voice) di bawah bimbingan pengarah muzik, Yusoff B., orkestra itu beraksi untuk Radio Malaya, yang pernah disiarkan di Bangunan Cathay.[42]

1950–1957: Kejayaan awal dan puncak populariti

Kerjaya filem Ramlee melonjak naik setelah Takdir Ilahi ditayangkan. Menurut rakan karibnya ketika itu, beliau meninggalkan MFP setelah studio itu tidak memenuhi permintaannya untuk kenaikan gaji, sementara rancangan untuk menyertai syarikat perfileman lain, Nusantara Productions, gagal. Kemudian timbul rusuhan Maria Hertogh pada Disember 1950, mendorong Ramlee untuk bertolak ke Johor Bahru di semenanjung Tanah Melayu untuk sementara waktu. Selepas itu, menerusi rakan karibnya dan pengarah Melayu pertama MFP, A. Mahadi, Ramlee menyertai semula MFP untuk membintangi filem Penghidupan, yang dikeluarkan pada akhir Mei 1951.[42][43]

Selepas kembali bekerja dengan MFP, Ramlee membintangi rentetan filem terbitan studio itu - seperti Sejoli (1951), Juwita (1951), Antara Senyum dan Tangis (1952), Hujan Panas (1953) dan Panggilan Pulau (1954) - sehingga beliau mendapat kejayaan besar pertama sebagai pengarah.[44] Pada tahun 1955, Ramlee mengarahkan filem pertamanya, Penarek Becha, di mana beliau juga turut berlakon, digandingkan bersama Saadiah. Filem ini berjaya secara komersial, mendapat ulasan dari majalah hiburan Majalah Filem dan Sukan: Pada tahun 1956, filem ini mendapat penghargaan untuk Filem Melayu terbaik, pengarah terbaik, lagu terbaik (untuk "Inang Baru") dan pelakon terbaik. Hasil arahannya seterusnya memenangi banyak anugerah di Festival Filem Asia.[45]

Bekerja di bawah arahan pengarah filem India, Phani Majumdar, Ramlee berlakon di samping Saadiah dan Ahmad Mahmud dalam filem Hang Tuah yang berdasarkan dari kisah legenda Hang Tuah.[46] Ditayangkan pada 28 Januari 1956, ia menjadi filem Melayu pertama yang difilemkan dalam format warna Eastmancolour. Beliau seterusnya bekerja sekali lagi bersama Majmudar dengan membintangi filem Anak-ku Sazali yang mana Ramlee melakonkan dua watak iaitu Hassan, seorang bapa penyayang dan Sazali, seorang anak yang memberontak. Menerusi filem ini, beliau memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia keempat di Tokyo, Jepun.[47]

1958–1963: Pengiktirafan kritis

 
P. Ramlee dalam filem Madu Tiga.

Pada tahun 1958, beliau muncul dengan filem ketenteraan Sarjan Hassan yang mana Ramlee melakonkan watak senama. Filem ini pada asalnya diarahkan oleh pengarah filem Filipina, Lamberto Avellana, namun Avellana menarik diri dan Ramlee mengambil alih tugas pengarahan. Ia turut dibintangi oleh Jins Shamsuddin, Salleh Kamil dan Saadiah.[48] Dua tahun kemudian, beliau menulis, mengarahkan dan membintangi filem Antara Dua Darjat (1960) yang mengisahkan tentang hubungan percintaan Ghazali (lakonan Ramlee) dan Tengku Zaleha (Saadiah) yang menerima tentangan daripada keluarga Tengku Zaleha yang mementingkan darjat. Antara barisan pelakon filem ini ialah S. Kadarisman, Yusof Latiff, Ahmad Nisfu dan Kuswadinata.[49][50] Selain filem, Ramlee turut mengarahkan penerbitan teater seperti Sultan Mahmood Mangkat Di Julang (1959), Kachip Mas (1961) dan Damaq (1952), yang dipentaskan di Happy World dan New World serta di Teater Victoria.[51][52][53][54]

Ramlee juga paling menyerlah dalam komedi, ini terbukti apabila beliau mengarahkan siri filem Bujang Lapok, yang dibintangi oleh beliau sendiri bersama S. Shamsuddin dan Aziz Sattar, memjadi filem komedi beliau yang paling disukai kerana tema kesedaran sosial. Kejayaan Bujang Lapok turut membawa kepada 3 filem susulannya – Ali Baba Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok.[55] Pada tahun 1962, beliau mendapat ilham daripada kebahagiaannya bersama isterinya, Saloma dengan mengarahkan filem Ibu Mertua-ku di mana Ramlee turut menulis skrip dengan melakonkan watak sebagai Kassim Slamat.[56][57] Filem ini bukan sahaja menjadi kejayaan komersial,[58] bahkan lagu temanya, "Di Mana Kan Ku Cari Ganti" mengatasi populariti filem itu. Dalam filem ini juga, Ramlee menunjukkan kemahirannya meniup saksofon.[56] Ibu Mertua-ku memenangi anugerah bagi kategori Pelakon Paling Serba Boleh yang diperkenalkan khas di Festival Filem Asia ke-10 yang berlangsung di Tokyo, Jepun.[56] Setahun berikutnya, beliau dan isterinya membuat penampilan khas dalam filem Hong Kong, Love Parade yang dibintangi oleh Lin Dai dan Peter Chen Ho.[59][60]

1964–1973: Kesinambungan kejayaan dan penghujung kerjaya

Beliau kemudian mengarahkan, menulis dan membintangi dua filem dalam tahun 1964 – Madu Tiga dan Tiga Abdul (ditulis bersama S. Kadarisman) yang menjadi filem terakhirnya bersama Shaw Brothers sebelum berpindah ke Studio Merdeka (dimiliki oleh Ho Ah Loke dan H.M. Shah) di Kuala Lumpur pada April tahun yang sama.[61][62] Keluarga Shaw bagaimanapun, tidak memutuskan hubungan mereka dengan P. Ramlee apabila mereka membeli saham besar di dalam Studio Merdeka.[63] Pada November 1964, Ramlee dan isterinya, Saloma diundang menjayakan persembahan anekawara di Persatuan Kwong Tong bagi tabung Kaum Ibu dan Muslim UMNO.[64]

Beliau mengarahkan filem pertamanya bersama Studio Merdeka, Sitora Harimau Jadian yang mana beliau turut menulis skrip dan berlakon.[65][66][67] Untuk filem ini, Ramlee cuba menggunakan kesan khas, namun dengan belanjawan kecil dan bantuan sokongan yang lemah, beliau melakukan pelbagai tugasan termasuk penyuntingan. Semasa sesi pratonton filem ini di Singapura, dihadiri oleh pelakon Ahmad Daud dan Saadiah, Shaw bersaudara keluar hanya selepas 15 minit.[65] Ia menjadi satu-satunya filem Melayu yang telah hilang dari peredarannya.

Ramlee kemudian mengarahkan 18 lagi filem bersama Studio Merdeka seperti Masam-Masam Manis dan siri filem Do Re Mi sehingga 1972.[68] Pada tahun 1967, susulan kegagalan 3 filem terakhir selepas pemergian P. Ramlee, Malay Film Productions menamatkan operasi mereka.[69] Setahun kemudian, syarikat rakaman yang dinaungi Ramlee, EMI memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya apabila ia tamat. Ini memberi kejutan besar kepada Ramlee, namun beliau memutuskan untuk tidak lagi bekerja dengan EMI dalam apa jua keadaan.[70]

Pada 21 Jun 1969, Ramlee dan isterinya, Saloma berlepas ke Medan, Indonesia bagi menyertai rombongan kebudayaan Malaysia yang berada di sana. Turut berlepas ke Medan ialah Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, isteri Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang telah diundang khas oleh Pemerintah republik itu.[71]

Filem terakhir beliau ialah Laxmana Do Re Mi (1972) yang merupakan filem terakhirnya bersama Studio Merdeka, manakala lagu dan lirik terakhirnya ialah "Air Mata di Kuala Lumpur" yang dinyanyikan oleh isterinya, Puan Sri Saloma selepas kematiannya.[13][14] Di penghujung kerjayanya, Ramlee berlakon dalam dua siri drama televisyen, iaitu Intan (1970) dan Rantau Selamat (1972), ditulis oleh Abdullah Hussain.[72] Ramlee bersama-sama H. M. Shah dan 3 yang lain telah menubuhkan Perusahaan Filem Malaysia atau PERFIMA, sebuah pertubuhan filem yang bertujuan untuk memajukan industri perfileman tanah air. Bagaimanapun pada akhir Februari 1973, Ramlee dan H. M. Shah dipecat dari PERFIMA berikutan perbezaan pandangan dengan pucuk pimpinan. Sebelum kematiannya, Ramlee berhasrat untuk menubuhkan syarikat perfileman sendiri untuk bersaing dengan Shaw Brothers suatu hari nanti.[73]

Menjelang akhir hayatnya, Ramlee mengetuai rombongan artis-artis Malaysia ke Pesta Filem Asia yang berlangsung pada 14 sehingga 18 Mei 1973 di Singapura.[74]

Kehidupan peribadi

Perkahwinan dan keluarga

 
P. Ramlee & Saloma

P. Ramlee telah berkahwin sebanyak tiga kali. Kali pertama beliau berkahwin dengan Junaidah Haris pada 17 September 1947[75] tetapi perkahwinan mereka menemui kegagalan pada 17 Oktober 1953. Perkahwinan kedua beliau ialah dengan Noorizan Mohd. Noor pada 6 Februari 1955 yang merupakan seorang kerabat diraja bagi Negeri Perak yang sanggup meninggalkan kehidupan di istana demi cintanya itu. Walau bagaimanapun, Noorizan mengharapkan sesuatu yang lebih dari perkahwinan mereka tetapi beliau lebih menumpukan hidupnya kepada kerjaya seni yang menyebabkan perkahwinan mereka berakhir pada 16 Oktober 1961. Kali terakhir ialah dengan Saloma pada 21 November 1961 dalam satu majlis yang sangat sederhana bersama rakan-rakan terdekatnya.[76]

Wanita yang mencintai beliau mempunyai sebab-sebab yang berbeza. Isteri pertama beliau, Junaidah, menyintainya ketika masih belum terkenal. Seterusnya, Noorizan pula mencintainya sebagai seorang seniman dan pembikin filem yang terkenal. Walau bagaimanapun, Saloma mencintainya dengan seadanya iaitu sebagai seorang seniman dan sebagai seorang yang biasa. Perkara ini yang menyebabkan Saloma menjadi teman hidup sehati sejiwa beliau sehingga ke akhir hayat.

Anak-anak

P. Ramlee mempunyai ramai anak yang dijaga beliau dan tetapi hanya dua orang sahaja yang merupakan anak kandungnya hasil perkahwinan beliau dengan Junaidah. Anak-anak beliau banyak membantu beliau dalam kerja seperti menjadi penyanyi latar kanak-kanak (contohnya lagu Tolong Kami Bantu Kami daripada filem Tiga Abdul) dan pelakon kanak-kanak tambahan (contohnya Sazali yang berlakon sebagai anak pekerja ladang dalam Anak Bapak). Berikut merupakan anak-anak yang pernah dijaga beliau:

  1. Mohd Nasir: Anak kandung bersama Junaidah (1953-2008)
  2. Arfan: Anak kandung bersama Junaidah (1955-1998)
  3. Sazali P. Ramlee: Anak angkat (lahir 1958)
  4. Abdul Rahman: Anak tiri (anak Junaidah)
  5. Norma: Anak tiri (anak Noorizan)
  6. Armali: Anak tiri (anak Saloma dan A.R. Tompel)
  7. Betty: Anak angkat
  8. Zakiah @ Zazaloma: Anak angkat (lahir 1963)
  9. Sabaruddin @ Badin: Anak angkat (1965-2007)
  10. Salfarina @ Dian P. Ramlee: Anak angkat (keturunan Cina) juga merupakan seorang pelakon terkenal Malaysia.

Kematian dan legasi

 
Tan Sri P. Ramlee menerima Pingat Kebesaran Ahli Mangku Negara (A.M.N.) daripada Tuanku Syed Putra Jamalullail (Yang di-Pertuan Agong Ke-3)
 
Pusara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa, 29 Mei 1973 pada usia 44 tahun akibat sakit jantung semasa mahu tiba di Hospital Kuala Lumpur dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.[77][78][79][80] Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir kepadanya ialah bekas Perdana Menteri, Abdul Razak Hussein yang menyifatkan pemergian P. Ramlee sebagai "satu kehilangan seorang tokoh seni yang ulung yang sukar dicari ganti".[81] Turut hadir ialah Aziz Sattar, S. Sudarmaji dan M. Amin.[74]

Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, beliau menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) pada 1963 sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Ini menjadikan P. Ramlee sebagai bintang filem Melayu pertama menerima anugerah pingat tertinggi negara.[82] Selain itu, beliau juga telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 6 Jun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran "doktor". Beliau juga diberi penghormatan oleh Pemerintah Negeri Sarawak dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak atau Datuk Amar Bintang Kenyalang (Anumerta) (DA (P)) pada 2009. Anugerah tersebut telah disampaikan kepada anak angkat beliau iaitu Dian P. Ramlee.

Pada 15 Ogos 1973, iaitu hampir tiga bulan selepas kematiannya, sebuah pawagam yang dinamakan sempenanya, yang diberi nama Pawagam P. Ramlee telah dibuka secara rasmi dan beroperasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Ia dimiliki oleh Rumpun Filem Melayu dan dirasmikan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Harun Idris.[83][84][85]

Pada tahun 1982, namanya turut diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan P. Ramlee (dahulunya Jalan Parry) di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur. Di Kuching, Sarawak juga terdapat sebatang jalan yang dinamakan Jalan P. Ramlee.

Pada 22 Mac 1986, bersempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-57, kediaman terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak telah diubahsuai dan dijadikan sebagai Pustaka Pustaka Peringatan P. Ramlee telah dibuka kepada umum secara rasmi. Pada asalnya ia merupakan bekas kediamannya, pustaka ini ditubuhkan bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau terhadap industri seni tanah air. Ia mempamerkan memorabilia dan bahan-bahan yang berkaitan dengan P. Ramlee.[86][87][88][89]

Kemudian, sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia iaitu pada tahun 2007, beliau telah terpilih sebagai 10 calon terakhir bagi program Anak Gemilang Malaysia yang mengiktiraf rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan kepada negara dan kejayaan dalam menaikkan nama negara di mata dunia. Pada tahun yang sama, kisah hidup beliau juga telah dipentaskan dalam satu pementasan teater muzikal dengan tajuk P. Ramlee the Musical... Hidup, Cinta dan Inspirasi.[90][91] Pada tahun 2010, sebuah filem dokumentari mengenai beliau telah disiarkan di The History Channel (ASTRO Saluran 555) dan diarahkan oleh Shuhaimi Baba.[92][93]

Pada 22 Mac 2017, sempena ulangtahun kelahirannya ke-88, Google Malaysia memberikan penghargaan kepada P. Ramlee dengan mengabadikan beliau dalam imej Doodle yang mana ia dipaparkan di bahagian depan enjin carian Google.[94][95][96][97][98]

Pada tahun 2021, Kentucky Fried Chicken (KFC) memberi penghargaan khas kepada beliau dengan memperkenalkan Burger P. Ramlee — gabungan antara KFC Zinger dan makanan kegemaran Tan Sri P. Ramlee, Nasi Kandar yang mana boleh didapati melalui pelbagai pilihan À'la Carte, Kombo, Set Legenda dan Kombo Ikon.[99][100][101][102][103]

Dari 14 April sehingga 31 Julai 2022, Fahrenheit 88 dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Arkib Negara Malaysia telah mengadakan pameran khas yang dinamakan Galeri P. Ramlee yang didakan di pusat beli-belah itu. Pameran ini terdiri daripada sekian banyak gambar bersejarah serta riwayat hidup mereka dalam bidang kesenian sehinggalah kepada pakaian yang asli pernah digunakan dalam filem dan pertunjukan pentas.[104][105][106][107][108]

Bakat dan reputasi

Selain mengarah dan berlakon, P. Ramlee juga telah menggubah dan mencipta lebih daripada 250 lagu. Dikenali dengan gaya muzik yang versatil, beliau membawakan pelbagai genre termasuk jaz dan joget.[13][109] Salah seorang pendorong dan guru beliau dalam dunia perfileman Melayu ialah Tan Sri L. Krishnan yang merupakan pengarah bagi filem Melayu sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an. Gaya lakonan beliau yang amat berjaya itu ialah hasil inspirasi daripada dua pelakon yang terkenal dari India Selatan iaitu M. G. Ramachandran dan Sivaji Ganesan. Dom Moraes, yang menulis mengenai P. Ramlee dalam Asia Magazine keluaran April 1972, telah menyifatkan Ramlee sebagai "John Wayne dalam dunia perfileman Melayu".[110]

Karya dan anugerah

Sepanjang kerjayanya, P. Ramlee telah terlibat dalam pelbagai aspek bagi filem-filemnya. Beliau telah mengarang 250 lagu dan menyanyikan hampir 30 daripadanya. Ramlee telah terlibat dalam 62 filem sepanjang kerjayanya sebagai pelakon, serta beberapa filem lain dalam kapasiti lain. Beliau juga telah menerima pelbagai anugerah dan penghargaan bagi hasil kerjanya.[111]

Catatan

  1. ^ Beliau memenangi tempat ketiga dalam Peraduan Menyanyi Radio Malaya Pulau Pinang (kini Mutiara FM) pada tahun tersebut.

Rujukan

  1. ^ Susan Tam (29 Mei 2012). "P. Ramlee". The Star Online. Dicapai pada 22 Mac 2014.
  2. ^ "P. Ramlee, Malaysian Films' True Legend". The Malay Mail. 28 Disember 2016. Dicapai pada 22 Mac 2017.
  3. ^ Ellyna Ali (30 Januari 2000). "Mengenal P Ramlee". Berita Minggu. Dicapai pada 17 November 2021.
  4. ^ "Majlis peringati bakti P. Ramlee". Berita Harian Singapura. 21 Mac 1998. m/s. 6. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  5. ^ "P Ramlee ... sukar ditandingi". Berita Minggu. 4 September 1994. Dicapai pada 17 November 2021.
  6. ^ Adam Salleh (26 Mac 2000). "P Ramlee segar dalam ingatan". Metro Ahad. Dicapai pada 17 November 2021.
  7. ^ A.T. Ciecko 2006, m/s. 72–73.
  8. ^ A.N. Weintraub 2010, m/s. 44.
  9. ^ Alyssa Lee (21 Ogos 2018). "Icon for the ages, P. Ramlee". Buro247. Dicapai pada 1 Jun 2020.
  10. ^ Aqil Syakir (9 September 2022). "P. Ramlee: Pernah dibenci ketika era kejatuhannya, disanjungi selepas kematiannya". Soscili. Dicapai pada 4 Disember 2022.
  11. ^ a b c Arkib Negara 2004, m/s. ii.
  12. ^ Abu Talib 2014, m/s. 192.
  13. ^ a b c Clare Suet 2012, m/s. 16–32.
  14. ^ a b "Ramlee's last song brings tears..." The Straits Times. 30 Ogos 1973. m/s. 9. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  15. ^ a b c d Zaedi Zolkafli (2011). Koleksi P. Ramlee. Felix Entertainment. m/s. 14. ISBN 978-967-10012-0-2. Dicapai pada 22 Februari 2014.
  16. ^ Roslen Fadzil (18 Mac 2017). "10 Filem Teragung P. Ramlee". Harian Metro. Dicapai pada 22 Mac 2017.
  17. ^ Sakini Mohd Said (24 January 2016). "A daily dose of P. Ramlee". The Star Online. Dicapai pada 22 April 2017.
  18. ^ Muhd Azrul Radi (5 April 2016). "Fakta salah tentang P. Ramlee". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-20. Dicapai pada 22 April 2017.
  19. ^ a b c d e f g h Ramli Ismail dan Zakiah Hanum (1998). "Bab 4-5, 21". Kenangan Abadi P. Ramlee. Adhicipta Sdn. Bhd. m/s. 28–41, 169. ISBN 983-9113-15-1.
  20. ^ Israr Khalid (22 Mac 2022). "#PeristiwaHariIni: Seniman agung Tan Sri P Ramlee dilahirkan". Astro Awani. Dicapai pada 1 November 2022.
  21. ^ Murtado, Ali (22 March 2019). "P. Ramlee: Seniman Jenius Keturunan Indonesia yang Terpinggirkan". kumparan (dalam bahasa Indonesia). Dicapai pada 2021-03-30. Mungkin sedikit yang tahu, jika huruf P di depan nama P. Ramlee adalah singkatan dari ‘Puteh’.
  22. ^ "P. Ramlee lives on". The Straits Times. 30 Julai 1990. m/s. 7. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  23. ^ Norehan Hamzah (26 Jun 2015). "Bangunan bersejarah yang dipilih adalah rumah kelahiran Tan Sri P. Ramlee". Kerja Khusus Sejarah. m/s. 2.
  24. ^ "Nasir P. Ramlee temu nenek di Aceh". Berita Harian Singapura. 21 April 1985. m/s. 8. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  25. ^ "Humble home". The Straits Times. 31 Mac 1992. m/s. 8. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  26. ^ a b c d Abu Talib 2014, m/s. 195.
  27. ^ "Dari penyanyi kapada pengarah filem". Berita Harian Singapura. 9 Oktober 1965. m/s. 9. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  28. ^ a b c "Ramlee di-punchak kejayaan-nya maseh lagi mendaki". Berita Harian Singapura. 27 Disember 1957. m/s. 7. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  29. ^ Abu Talib 2014, m/s. 194.
  30. ^ "Azizah 'cinta rahsia' seniman P. Ramlee". Berita Harian Singapura. 15 Mei 1983. m/s. 7. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  31. ^ "Azizah Hassan Baghdad ialah 'Azizah' yang sebenar, kata guru P. Ramlee". Berita Harian Singapura. 10 Julai 1983. m/s. 7. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  32. ^ S. Barrie (9 Mei 1958). "Biduan kronchong jadi seniman ulong". Berita Harian Singapura. m/s. 7. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  33. ^ a b Yusnor Ef (22 November 2001). "Peranan penyanyi latar dalam layar perak Melayu". Berita Harian Singapura. m/s. 13. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  34. ^ "More than 1 Azizah in Ramlee's life". The Straits Times. 1 Julai 1983. m/s. 19. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  35. ^ "Found: P. Ramlee's mystery girl". The Straits Times. 28 Jun 1983. m/s. 16. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  36. ^ a b "P. Ramlee hanya berbekal beg kecil dan biola". Berita Harian Singapura. 10 Disember 1995. m/s. 11. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  37. ^ "Seniman Agung: Tan Sri P. Ramlee - Yang Pertama Darinya". Perpustakaan Negara Malaysia. 12 Ogos 2016. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  38. ^ R. Ferroa (12 Oktober 1948). "From clerk to star". The Singapore Free Press. m/s. 4. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  39. ^ "The Singapore scene". The Straits Times. 13 Mei 1951. m/s. 6. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  40. ^ "Great demands for Malay star records". The Straits Times. 25 Mei 1951. m/s. 4. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  41. ^ Felix (2 Mei 1951). "Boom in sale of Malay records". The Singapore Free Press. m/s. 4. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  42. ^ a b A.R. Budiman (29 Mei 1983). "Kenangan penuh erti utk dunia filem Melayu". Berita Harian Singapura. m/s. 7. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  43. ^ "Rokiah's chance". The Straits Times. 22 April 1951. m/s. 13. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  44. ^ "Hal ihwal film". Berita Harian Singapura. 5 Julai 1957. m/s. 6. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  45. ^ "Action from Ramlee". The Straits Times. 23 Januari 1959. m/s. 11. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  46. ^ "Hang Tuah wins award". Indian Daily Mail. 18 Jun 1956. m/s. 4.
  47. ^ History Asia 2010, 30:05—30:48.
  48. ^ "P. Ramlee bashes naughty nips-deep in the jungle". The Straits Times. 31 Ogos 1958. m/s. 13. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  49. ^ "Lebeh banyak filem2 drama masharakat". Berita Harian Singapura. 11 Disember 1959. m/s. 7. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  50. ^ "Pengambaran-nya lewat". Berita Harian Singapura. 15 Januari 1960. m/s. 7. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  51. ^ "Karya Ramlee akan di-pentaskan". Berita Harian Singapura. 29 Ogos 1962. m/s. 7. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  52. ^ "P. Ramlee filem-nya yg ke-2 di-Merdeka Studio". Berita Harian Singapura. 7 November 1964. m/s. 7. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  53. ^ "Pementasan 'Damak' di Johor". Berita Harian Singapura. 9 Jun 1964. m/s. 7. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  54. ^ Yusnor Ef (31 Mei 1983). "Seniman aneka bakat". m/s. 4. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  55. ^ "Luchu, tapi mengandong tiga pengertian besar". Berita Harian. 16 Januari 1959. m/s. 7. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  56. ^ a b c History Asia 2010, 45:26—48:14.
  57. ^ "Ramlee melangkah ka-lapangan baru dlm cherita-nya - Ibu Mertua". Berita Harian Singapura. 26 Ogos 1961. m/s. 7. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  58. ^ "Filem yg pechah rekod jualan tiket". Berita Harian Singapura. 17 Mac 1962. m/s. 7. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  59. ^ "Ramlee, wife in 'Love Parade'". The Straits Times. 7 Jun 1962. m/s. 6. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  60. ^ Zainuri Misfar (29 Disember 1993). "P Ramlee, Saloma bintangi Love Parade". Berita Harian. Dicapai pada 17 November 2021.
  61. ^ "P. Ramlee akan pindah ka-Studio Merdeka pada awal April ini". Berita Harian Singapura. 22 Februari 1964. m/s. 7. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  62. ^ "Studio Shaw mengadakan jamuan perpisahan untuk P. Ramlee". Berita Harian Singapura. 25 April 1964. m/s. 7. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  63. ^ History Asia 2010, 53:53—54:06.
  64. ^ "Ramlee, Saloma in show". Straits Budget. 11 November 1964. m/s. 10. Dicapai pada 7 November 2018.
  65. ^ a b History Asia 2010, 54:53—55:43.
  66. ^ "Filem Si-Tora akan membuktikan maju mundor P. Ramlee". Berita Harian Singapura. 28 November 1964. m/s. 7. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  67. ^ Ishak Din (16 Mei 1964). "Si-Tora Harimau Jadian - Filem sulong P. Ramlee di-Merdeka Studio". Berita Harian Singapura. m/s. 11. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  68. ^ History Asia 2010, 56:21—56:32.
  69. ^ History Asia 2010, 60:23—60:35.
  70. ^ History Asia 2010, 64:37—65:19.
  71. ^ "P. Ramlee, Saloma ka-Medan sertai rombongan". Berita Harian. 20 Jun 1969. m/s. 10. Dicapai pada 7 November 2018.
  72. ^ Shamsul (28 November 1971). "'Dagang Perantau' drama yg berjaya". Berita Harian Singapura. m/s. 10. Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  73. ^ History Asia 2010, 68:15—69:32.
  74. ^ a b Saadon Ismail (30 Mei 1973). "Ramlee: Ramai seniman S'pura ke KL". Berita Harian Singapura. m/s. 6. Dicapai pada 8 November 2018.
  75. ^ Utusan Film & Sport keluaran 6 Januari 1954
  76. ^ "Two Malay stars wed in quiet ceremony". The Straits Times. 21 November 1961. m/s. 18. Dicapai pada 7 November 2018.
  77. ^ "Malay movie idol Ramlee dies after heart attack". The Straits Times. 30 Mei 1973. m/s. 17. Dicapai pada 17 Ogos 2018.
  78. ^ Shafie Noor (30 Mei 1973). "Dunia filem terkejut". Berita Harian. m/s. 1. Dicapai pada 31 Ogos 2018.
  79. ^ H. Hashim Hassan (2 Jun 1993). "Ramlee, master of the acting game". New Straits Times. Dicapai pada 17 November 2021.
  80. ^ Mokhtar Alias (16 Oktober 1992). "P Ramlee temui ajal dalam sepi". Berita Harian. Dicapai pada 17 November 2021.
  81. ^ "Kehilangannya sukar diganti". Berita Harian. 30 Mei 1973. m/s. 1. Dicapai pada 7 November 2018.
  82. ^ Zainuri Misfar (12 Mei 1993). "Bintang filem Melayu pertama terima pingat". Berita Harian. Dicapai pada 17 November 2021.
  83. ^ "Panggung tajaan P. Ramlee siap akhir Jun". Berita Harian Singapura. 31 Mei 1973. m/s. 6. Dicapai pada 7 November 2018.
  84. ^ "Nama P. Ramlee kini diabadikan oleh projek terakhir". Berita Harian Singapura. 10 Jun 1973. m/s. 11. Dicapai pada 7 November 2018.
  85. ^ "'Dan Bunga2 Berguguran' membuka Pawagam P. Ramlee". Berita Harian Singapura. 19 Ogos 1973. m/s. 7. Dicapai pada 7 November 2018.
  86. ^ Yusnor Ef (30 Mac 1986). "Bekas rumah seniman P. Ramlee dijadikan Pustaka Peringatan". Berita Harian Singapura. m/s. 3. Dicapai pada 17 November 2018.
  87. ^ Anuar Othman (5 Jun 1986). "Pustaka mengenang jasa P. Ramlee". The Straits Times. m/s. 7. Dicapai pada 17 November 2018.
  88. ^ Hanisah Selamat (22 April 2019). "EKSKLUSIF SIRI SATU: Laporan khas Pustaka Peringatan P Ramlee - Memori legasi seni seniman agung". Berita Harian. Dicapai pada 17 November 2019.
  89. ^ Hanisah Selamat (23 April 2019). "Eksklusif: Siri Akhir Laporan Khas Pustaka Peringatan P Ramlee - Memori Legasi Seni Seniman Agung". Berita Harian. Dicapai pada 17 November 2019.
  90. ^ Azyyati Ahmad (17 September 2014). "Nafas baru dalam P.Ramlee The Musical janji persembahan mantap". Astro Awani. Dicapai pada 22 September 2014.
  91. ^ "Nafas baru dalam P.Ramlee The Musical janji persembahan mantap". Inspirasi. 10 Oktober 2014. Dicapai pada 22 Oktober 2014.
  92. ^ Azhariah Kamin (29 October 2010). "A documentary on the life and work of P. Ramlee". The Star Online. Dicapai pada 22 Mac 2014.
  93. ^ "P Ramlee: A tragedy that no Talent Corp could have saved". Malaysiakini. 8 November 2010. Dicapai pada 22 Mac 2014.
  94. ^ "Google Doodle today honours P. Ramlee". The Star Online. 22 Mac 2017. Dicapai pada 22 Mac 2017.
  95. ^ "Google Doodle honours arts legend P Ramlee on 88th birthday". Today Online. 22 Mac 2017. Dicapai pada 22 Mac 2017.
  96. ^ "Google pays tribute to P. Ramlee via special Doodle on his 88th birthday". New Straits Times. 22 Mac 2017. Dicapai pada 22 Mac 2017.
  97. ^ "Google Doodle honours national treasure P. Ramlee on 88th birthday". The Malay Mail. 22 Mac 2017. Dicapai pada 22 Mac 2017.
  98. ^ Nur Azreen Ariffin (22 Mac 2017). "Google Doodle memberi penghormatan kepada P. Ramlee". Utusan Malaysia. Dicapai pada 22 Mac 2017.
  99. ^ Mohd Zaky Zainudin (27 Oktober 2021). "KFC perkenal Burger P. Ramlee". Berita Harian. Dicapai pada 22 November 2021.
  100. ^ "KFC perkenalkan Burger P. Ramlee". Bisnes HM. Harian Metro. 26 Oktober 2021. Dicapai pada 22 November 2021.
  101. ^ "KFC perkenal menu unik Burger P. Ramlee". Kosmo!. 28 Oktober 2021. Dicapai pada 22 November 2021.
  102. ^ Ong Li Ping (28 Oktober 2021). "KFC MY pays tribute to P. Ramlee's favourite dish Nasi Kandar with new inspired burger". Makreting Interactive. Dicapai pada 22 November 2021.
  103. ^ Anne Dorall (29 Oktober 2021). "The New P. Ramlee Burger Is Supposed To Taste Like Nasi Kandar… Does It?". The Rakyat Post. Dicapai pada 22 November 2021.
  104. ^ Nazeri Nong Samah (26 Jun 2022). "Pameran koleksi P. Ramlee, Saloma di Fahrenheit". Bebas News. Dicapai pada 11 November 2022.
  105. ^ Siti Murni (20 April 2022). "Pameran Khas P. Ramlee & Saloma Di Fahrenheit88, Bukit Bintang, KL. Nostalgik!". The Rakyat Post. Dicapai pada 11 November 2022.
  106. ^ "Rebut peluang dekati khazanah P. Ramlee, Saloma dalam pameran 'Aku, Dia dan Lagu' di Fahrenheit88". mStar Online. 24 April 2022. Dicapai pada 12 November 2022.
  107. ^ Serimah Mohd Sallehuddin (30 Mei 2022). "Koleksi peribadi P Ramlee, Saloma dipamer". Berita Harian. Dicapai pada 12 November 2022.
  108. ^ "Pameran khas memperingati P Ramlee, Saloma". Media Permata. 30 Mei 2022. Dicapai pada 30 November 2022.
  109. ^ Zieman (28 Mei 1993). "P. Ramlee's timeless music". New Straits Times. Dicapai pada 17 November 2021.
  110. ^ "P. Ramlee dalam kenangan". Berita Harian Singapura. 30 Mei 1973. m/s. 10. Dicapai pada 8 November 2018.
  111. ^ "Karya P. Ramlee tetap 'hidup'". Harian Metro. 29 Mei 2022. Dicapai pada 4 Disember 2022.

Bibliografi

  • Ramlee, P. (1965). Nasib Si-Labu Labi. Penerbitan Pustaka Antara.
  • Ramlee, P. (1965). Sitora Harimau Jadian. Penerbitan Pustaka Antara.
  • Pogadaev V. A. Malaysian Cinema and P. Ramlee. Aziya i Afrika segodnya (Asia and Africa Today). N 10, 2001, p. 65.
  • Pogadaev V. A., Pogadaeva P. V. P. Ramlee dan Leonid Utesov: Parallels of Creativity. P. Ramlee di Cakera Nusantara. Editor Awang Azman Awang Pawi, Khor Chooi Lian. Universiti Malaysia Sarawak, Kota Samarahan, 2005, p.239-249
  • Pogadaev V. A., Pogadaeva P. V. P. Ramlee & Leonid Utesov: Kesejajaran Kreativiti Dua Seniman Dunia. In: “Pentas”, Jil. 3, Bil. 1, 26-29, 70.
  • Pogadaev V. A., Pogadaeva P. V. The Great Actor of Malaysia. Aziya i Afrika segodnya (Asia and Africa Today). 2009, N 4, p. 71-74.

Bacaan lanjut

Pautan luar