Ella (penyanyi)

penyanyi Malaysia
(Dilencongkan dari Ella)

Nor Zila binti Haji Aminuddin (lebih dikenali sebagai Ella; dilahirkan pada 31 Julai 1966) merupakan seorang Penyanyi, Pelakon, Pemuzik dan Model yang terkenal di Malaysia. Sehingga kini, beliau masih mempertahankan gelarannya sebagai Ratu Rock Malaysia.[1]

Ella
Kelahiran
Nor Zila binti Aminuddin

(1966-07-31) 31 Julai 1966 (umur 56)
PekerjaanPenyanyi, Pelakon, Pemuzik, Model
Tahun aktif1985–kini
Kampung asalGelugor, Pulau Pinang
PangkatRatu Rock Malaysia
PasanganAzhar Husaini Ghazali (k. 2012)
IbuYang Asmah Yong
BapaAminuddin Manap
SaudaraKaka Azraff (Anak Saudara)
KeluargaMohd. Nor Izam Aminuddin (Abang)
Nor Azraff Aminuddin (Abang)
Saidatulnisa Aminuddin (Kakak)
Rozita Jojie Aminuddin (Kakak)
Shahrizan Aminuddin (Kakak)
Azahari Korie Aminuddin (Adik)
Kerjaya muzik
GenreRock
InstrumenVokal
Syarikat rakaman
WEA (sekarang Warner Music Malaysia)
EMI Music Malaysia
Pengkarya berkait
Ella & The Boys, Spider

BiografiSunting

Ella dilahirkan di Gelugor, Pulau Pinang dan telah dibesarkan di Klang, Selangor. Pada zaman persekolahannya, beliau sering diundang menyanyi dan membuat persembahan pada setiap majlis yang diadakan di sekolahnya. Ella telah menamatkan pengajiannya sehingga tingkatan lima di SM Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. Sebelum beliau menceburi bidang seni, beliau banyak membuat persembahan di kelab malam dan lounge yang terdapat di sekitar Lembah Klang. Setelah mengadakan persembahan di beberapa kelab tersebut, Ella telah dilamar oleh salah satu kumpulan iaitu kumpulan The Boys yang juga merupakan penyanyi kelab malam. Setelah berbincang, akhirnya Ella bersetuju untuk bergabung dengan kumpulan mereka dan diberi nama Kumpulan Ella & The Boys.

KerjayaSunting

Kerjaya awal (1983-1985)Sunting

Ella bukanlah seorang yang berjaya dalam bidang akademik sewaktu di zaman persekolahannya. Beliau juga mengakui bahawa beliau gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pada tahun 1983. Namun, beliau tekad mengambil peperiksaan sekali lagi dan masih lagi gagal mendapat keputusan yang memuaskan. Tetapi semua itu bukan halangannya untuk terus berjaya dalam hidupnya. Sebaik saja selepas beliau menduduki peperiksaan SPM 1983, beliau telah bergabung dengan band Moonracker. Namun, ia hanya bertahan selama dua tahun sahaja. Ella tetap meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian dengan mengadakan persembahan di hampir semua lounge dan kelab malam di seluruh Lembah Klang. Setelah mengadakan persembahan di serata tempat, beliau akhirnya telah menemui sekumpulan Band iaitu The Boys. Ketua Band The Boys, Lokman Idris atau nama samarannya Lord telah tertarik dengan suara dan gaya persembahan Ella. Beliau telah bercadang dengan Ella untuk mengambil Ella sebagai vokalis utama The Boys. Setelah mereka berbincang, Ella akhirnya menerima lamaran Lord dan terciptalah kumpulan Ella & The Boys.

Zaman kegemilangan Ella & The Boys (1985-1988)Sunting

Tahun 1985 adalah bermulanya era kegemilangan Ella & The Boys apabila berjaya mencipta populariti dalam masa yang singkat sekaligus berjaya meletakkan nama Ella & The Boys setaraf dengan Search, Lefthanded, Sofea dan Rusty Blade. Nama Ella telah mula meniti di bibir peminat di Malaysia dan menjadikan beliau penyanyi rock wanita terunggul ketika itu walaupun ada nama-nama penyanyi wanita baharu yang muncul. Pada 1987, Ella telah diberi gelaran Ratu Rock Malaysia oleh para wartawan dan juga peminat oleh kerana beliau merupakan satu-satunya penyanyi wanita Malaysia yang berjaya menguasai muzik rock ketika itu. Tahun demi tahun, Ella & The Boys terus unggul di persada muzik rock tanah air. Pelbagai undangan diterima di seluruh tempat dan juga beberapa konsert yang telah diambil alih oleh Ella & The Boys sehinggalah kelab malam yang sentiasa menjadi tempat mereka mengadakan persembahan telah hangus terbakar. Punca terbakarnya kelab malam tersebut adalah disebabkan oleh sikap iri hati seseorang terhadap kejayaan yang dikecapi oleh mereka. Namun, mereka tetap tabah sehinggalah Ella telah mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan The boys dan bergerak solo pada 1988. Pada mulanya, sedikit pertelingkahan terjadi apabila menyuarakan hasratnya itu kepada anggota kumpulan the Boys yang lain. Akhirnya Lord telah bersetuju untuk membenarkan Ella bergerak solo dalam persada muzik tanah air. Meskipun Ella tidak lagi bersama The Boys, tetapi Lord dan ahli anggota yang lain tetap terus bekerjasama dengan Ella tanpa ada konterversi, buktinya album pertamanya juga terdapat beberapa buah lagu hasil sumbangan The Boys. Pada 1988, Ella telah berhijrah ke syarikat rakaman WEA (kini Warner Music) dan telah menghasilkan album solo pertamanya, Pengemis Cinta. Album tersebut telah berjaya mencapai jualan melebihi 100,000 unit.

Bintang mula bersinar (1989-1993)Sunting

Nama Ella semakin hari semakin bersinar dan setiap album yang dihasilkan pasti berjaya menjadi sebuah album yang laris di pasaran. Pada tahun 1989, beliau telah bekerjasama dengan beberapa artis dalam menjayakan sesebuah konsert. Antara konsert yang telah dijayakan oleh Ella ialah Konsert Kotaraya, Konsert Seni Dan Suara dan Konsert Rock Salem. Pada 1990, Ella telah menghasilkan album solo keduanya, Puteri Kota yang telah mengetengahkan dua Single popular iaitu Tiada Tangis Lagi dan Puteri Kota. Dua lagu yang menjadi Single daripada album tersebut telah dijadikan lagu yang dipilih untuk dinyanyikan Ella menerusi filem pertama Ella, Bayangan Maut. Pada tahun yang sama, Ella juga telah menghasilkan album ketiganya iaitu Identiti . Lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah adalah merupakan Single paling popular daripada album tersebut dan sekaligus telah melonjakkan nama Ella sebagai penyanyi wanita rock paling popular. Ella juga telah berjaya menyertai pertandingan Anugerah Juara Lagu 1991 dan berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan tersebut menerusi lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah. Ella bukan saja berjaya mencipta populariti di Malaysia, malah namanya juga telah berjaya menembusi industri muzik di Indonesia apabila album duet beliau bersama penyanyi terkenal Indonesia, Deddy dores telah berjaya terjual sebanyak 100000 unit di Indonesia. Mungkin keunikan yang ada pada suara dan bakat yang dimiliki Ella telah menarik perhatian peminat di Indonesia. Pada 1992, Ella telah berhijrah ke EMI Malaysia dan telah menghasilkan album keempatnya yang berjudul Ella 30110. album Ella 30110 adalah antara album Ella paling berjaya yang pernah dihasilkan kerana album tersebut telah berjaya mencipta sejarah sebagai album pertama yang mencapai jualan tertinggi dalam masa yang singkat. Hampir kesemua lagu dalam album tersebut telah berjaya menjadi Single popular. Album tersebut sedikit sebanyak telah memberikan impak yang besar terhadap karier Ella sepanjang bergelar anak seni. Sebagai penghargaan dan hadiah bagi peminatnya yang telah memberi sokongan terhadap albumnya itu, Ella telah mengadakan konsert solo pertamanya iaitu Konsert Ella 30110 di Stadium Negara. Konsert tersebut telah berjaya meninggalkan impak besar apabila berjaya menarik seramai 10000 peminat yang hadir bagi memberi sokongan terhadap Ella. Ia sekaligus meletakkan Ella sebagai penyanyi wanita terlaris pada tahun tersebut. Ella juga berjaya menggondol anugerah Artis Wanita Popular menerusi Anugerah bintang Popular 1993 berdasarkan kejayaan album tersebut.

Zaman kegemilangan (1994-1995)Sunting

Tahun 1994 adalah tahun yang paling bermakna dalam karier Ella selepas hampir sedekad bergelar anak seni. Ia adalah merupakan kemuncak dalam kerjaya seni Ella apabila beliau telah berjaya merakamkan sebuah album Killer iaitu Ella USA. Album Ella USA adalah album yang dirakamkan penuh di Amerika Syarikat. Ia sekaligus telah menjadikan Ella sebagai penyanyi Malaysia pertama yang berjaya merakamkan album penuh di Amerika Syarikat. Pelbagai ujian dan cabaran yang dihadapinya sepanjang menjalankan proses rakaman di Amerika Syarikat tetapi segala-galanya dapat diatasi dengan semangat dan jiwa kental penyanyi kecil molek ini. setelah sebulan Ella berada di sana, akhirnya beliau berjaya pulang ke tanah air dengan membawa hasil yang membanggakan. Album Ella USA telah berjaya menduduki tempat pertama dalam Carta RIM sebagai album paling laris di pasaran. Kesemua lagu daripada album Ella USA telah menjadi Single yang popular. Album tersebut berjaya mencapai jualan melebihi 350,000 unit dengan hanya seminggu berada di pasaran sahaja (kemudian angka itu tidak lagi dikemaskini). Oleh itu, album tersebut sekaligus menjadikan Ella sebagai penyanyi wanita paling laris penjualan albumnya. Kejayaan album yang dikecapi Ella juga telah menjadikan Ella sebagai penyanyi muda yang berstatus Jutawan dan juga merupakan penyanyi paling kaya bagi tahun 1994. Pada masa yang sama, Ella juga merupakan Duta kepada Badan Kebajikan Yayasan Kebajikan Negara dan beliau mengadakan Konsert Ella USA Jelajah Malaysia yang bertujuan untuk mengumpul dana yang akan disalurkan ke Badan Kebajikan tersebut. Pada 1995, Ella telah mengadakan konsert iaitu Konsert Ella Ten Years yang bertujuan untuk menyambut ulangtahun yang ke - 10 Ella dalam bidang seni. Menerusi konsert tersebut, Ella telah berjaya menyanyi sebanyak 40 buah lagu tanpa henti. Perkara tersebut adalah pencapaian yang sungguh hebat pernah dikecapi Ella.

Populariti suram (1996-1998)Sunting

Pada tahun 1996, Ella telah menghasilkan album kompilasi iaitu Demi yang mempunyai lagu-lagu daripada album terdahulu dan sebuah lagu baru, Demi. Populariti Ella mula suram apabila ketika itu ramainya kehadiran artis-artis baru seperti Nurul, Datuk Siti Nurhaliza, Nora, Amy Mastura dan ramai lagi yang sedikit sebanyak telah menggugat populariti Ella. Namun, Ella terus memperjuangkan karier seninya dengan penuh teguh dan tabah dalam meneruskan minatnya yang begitu mendalam terhadap dunia muzik. Pada tahun yang sama, Ella juga telah mengadakan Konsert Demi Jelajah Malaysia yang bertujuan untuk mempromosikan album Demi. Pada tahun berikutnya, Ella telah menghasilkan album kompilasinya yang berjudul Kompilasi - Lagi Gempaq yang mempunyai sebuah lagu baru, Jalan Ke sisimu yang menjadi Single pada tahun itu. Tetapi populariti Ella tetap suram meskipun mempunyai single yang agak popular ketika itu.

Zaman kebangkitan semula (1998-1999)Sunting

Populariti Ella mula menyinar kembali apabila beliau telah dipilih untuk menjadi penyanyi lagu tema Sukan Komanwel 1998 yang berjudul Standing in the Eyes of the World kerana Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah ketika itu. Ella merupakan satu-satunya artis Malaysia yang dipilih untuk menjadi penyanyi bagi lagu tema tersebut.[2]

Cabang lainSunting

Setelah berjaya mencipta nama di bidang seni, akhirnya beliau berjaya menceburi bidang perniagaan yang menjadi impiannya selama ini. Beliau telah berjaya membuka beberapa syarikat hasil usaha beliau sendiri. Antaranya ialah seperti Ella's Production, Ella Inc's Sdn Bhd. dan Syarikat Ombak Warna Sdn Bhd. Sehingga kini, beliau merupakan antara usahawan yang berjaya di Malaysia sekaligus menjadikan beliau antara artis usahawan paling berjaya. Sebelum ini, Ella telah menguruskan pelbagai perniagaan seperti mengimport dan mengeksport sesuatu barang yang telah diuruskan oleh syarikat miliknya sendiri. Secara terkini, beliau telah mengeluarkan sejenis produk kecantikan dan kesihatan yang menggunakan nama beliau sendiri iaitu ELLA. Produk tersebut telah mendapat sambutan hangat sekaligus telah membawa produk beliau hinggalah ke negara jiran seperti Singapura, Indonesia, dan juga Brunei.[perlu rujukan]

Kehidupan peribadiSunting

Pada 7 Julai 2012, Ella (46 tahun) sah bergelar isteri kepada Juruterbang Firefly, Azhar Husaini Ghazali (30 tahun). Mereka dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Telok Gadong, Klang, Baharudin Abu Bakar. Abang sulung Ella, Mohd Nor Izam Aminuddin menjadi wali. Pengantin perempuan menerima RM50,300 sebagai mas kahwin dan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang dari pihak perempuan. Majlis resepsi pasangan pengantin baru diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 1 Disember 2012.[3]

Pada 14 Februari 2017 beliau bertudung sepenuhnya.

Profil vokalSunting

Vocal Type: Soprano
Vocal Range: 3 Octaves 1 notes and a semitone F#2-A5 Approx F6

DiskografiSunting

Album studioSunting

  1. Pengemis Cinta (1989)
  2. Puteri Kota (1990)
  3. Identiti (1990)
  4. 30110 (1992)
  5. Ella USA (1994)
  6. El (1998)
  7. Ilham Bicara (2001)
  8. Simbiosis (2003)
  9. Rama-Rama (2007)
  10. Peace.Love.Rindu (2017)

Album repackSunting

Album mini (EP)Sunting

Album LiveSunting

Album kompilasiSunting

Album pasaran IndonesiaSunting

FilemografiSunting

FilemSunting

Tahun Tajuk Watak Catatan
1991 Bayangan Maut Ella Filem pertama
1993 Pemburu Bayang
1997 Hanya Kawan
2013 KIL Jiran Penampilan khas

TelefilemSunting

Tahun Tajuk Watak Saluran TV
2002 Les Sekinchan Ella VCD

TelevisyenSunting

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV
2020–kini The Masked Singer Malaysia Juri Astro Warna

Anugerah dan pencapaianSunting

  • Memenangi Pertandingan Battle Of The Bands (BOTB) anjuran Radio Televisyen Malaysia.
  • Artis Malaysia Pertama mengeluarkan album video iaitu 'Ella-Mood' (1991).
  • Pernah menjadi duta untuk beberapa jenama terkenal seperti L.A Gear, Levi's, dan Canon.
  • Artis Malaysia Pertama paling laris penjualan albumnya iaitu album 'Ella USA' yang mencatat jualan sebanyak 350000 Unit.
  • Satu-satunya artis rock wanita yang bertahan sehingga kini.
  • Menjadi duta Muhibbah Persatuan Bulan Sabit Merah sebelum Siti Nurhaliza yang turut menjadi duta bagi persatuan ini.
  • Ella adalah antara Artis Rock yang terkenal dan dikenali oleh peminat di seluruh Asia sekaligus telah menjadikan dirinya sebagai Artis Rock tersohor Asia.
  • Ella pernah muncul di Stesen Televisyen terkenal di Amerika Syarikat iaitu 'Music Television (MTV)'. Ella juga merupakan satu-satunya artis Malaysia yang pernah ditemu bual oleh stesen televisyen tersebut selepas Datuk Sharifah Aini.
  • Artis Malaysia Pertama merakamkan album penuh di Amerika Syarikat.
  • Dipilih sebagai 'Role Model' oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi mempromosikan pemikiran positif di kalangan belia dan muda-mudi.
  • Memenangi Anugerah Artis Wanita Popular 1993 (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1993).
  • Nama tercatat dalam 'Malaysia Book Of Records' sebagai 'Artis Wanita Pertama Yang Mempunyai Penjualan Album Terbanyak' (1998).
  • Album 'Ella 30110' pernah mencatat sejarah sebagai album pertama mencatat jualan terbanyak dalam tempoh masa yang singkat.
  • Pernah menerima sijil MBR (Edisi Emas) sebagai penghargaan kepadanya yang telah mengekalkan rekodnya selama sepuluh tahun. Artis lain yang juga menerima sijil ini ialah seperti Datuk Sharifah Aini, Siti Nurhaliza, Raihan dan ramai lagi.
  • Satu-satunya artis Malaysia yang dipilih menyanyi lagu tema Sukan Komanwel iaitu 'Standing In The Eyes Of The World'.
  • Memegang watak utama dan watak sampingan dalam empat buah filem iaitu Bayangan Maut (1990), Pemburu Bayang (1992), Hanya Kawan (1997), dan KIL (2013).
  • Artis pertama yang menerima Anugerah Platinum Berkembar sebanyak Lima kali.
  • Ella merupakan antara Artis Terkaya dan mampu mengekalkan status jutawannya hingga kini. Artis lain yang juga bergelar jutawan ialah seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk Yusof Haslam, Anita Sarawak, Tan Sri Dato' SM Salim, Sheila Majid, Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura, Siti Nurhaliza, dan ramai lagi.
  • Ella pernah menjadi penyampai anugerah di Anugerah MTV Asia pada tahun 2003. Beliau juga pernah berduet dengan ahli kumpulan terkenal dari Barat iaitu The Blues.
  • Ella adalah antara artis yang menerima bayaran tertinggi dan termahal bagi suatu undangan nyanyian. Selain beliau, artis lain yang juga merupakan artis yang menerima bayaran tertinggi ialah seperti Datuk Sharifah Aini, Anita Sarawak, Sheila Majid, Fauziah Latiff, Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura, Siti Nurhaliza dan ramai lagi.
  • Ella dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian ( PJK ) oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 17 Februari 2003 sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-57.
  • Ella dikurniakan Pingat Setia Mahkota Pahang ( SMP ) oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar pada 30 Mac 2010 sempena ulang tahun hari keputeraan ke-79 Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.[4]

KonsertSunting

- Konsert Terbuka Ella & The Boys dan bersama Artis Nike Ardilla di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur (1 Mei 1990)

- Konsert Hari Valentine Bersama Ella dan Nike Ardilla di Stadium Negara, Kuala Lumpur (14 Februari 1993)

- Konsert Tahun Baru Bersama Zainal Abidin,Ella dan Nike Ardilla(1Januari 1994)

RujukanSunting

  1. ^ It’s the Awie and Ella show! the Star online. 8 Januari 2012
  2. ^ Dass, Francis (16 Julai 1998). "Standing In The Eyes Of The World". New Straits Times. m/s. 23. Dicapai pada 2013-06-03.
  3. ^ Ratu Rock Ella sah bergelar isteri Sinar Harian
  4. ^ Selasa Mac 30, 2010, Malek Noor Kini Bergelar Datuk

Pautan luarSunting