Noraniza Idris

Penyanyi dan pelakon wanita Malaysia

Nor Aniza binti Idris (lahir 27 Ogos 1968) lebih dikenali sebagai nama pentasnya, Noraniza Idris merupakan seorang penyanyi, pelakon, penerbit rakaman, penulis lagu di Malaysia.[1][2][3] Noraniza merupakan salah seorang penyanyi Malaysia terbaik yang berjaya melahirkan album solo di setiap 4 dekad berturut selain M. Nasir, Anita Sarawak, Sharifah Aini, Khadijah Ibrahim, Jamal Abdillah dan Ramlah Ram. Memulakan kerjaya nyanyian sejak 1985, Noraniza lebih mesra disapa Kak Ani cukup sinonim dengan lagu-lagu yang berentak irama Malaysia dan etnik kreatif sehingga beliau mendapat jolokan Ratu Irama Malaysia.

Noraniza Idris
Noraniza ketika pembikinan kulit album Seri Balas pada tahun 1999
Kelahiran
Nor Aniza binti Idris

(1968-08-27) 27 Ogos 1968 (umur 55)
Nama lainKak Ani
Pekerjaan
  • Penyanyi
  • penulis lagu
  • penerbit rakaman
  • ahli perniagaan
  • pelakon
Tahun aktif1985–kini
PasanganFareez Tajuddin (k. 1988; c. 2006)

Datuk Muhamad Mustafa Idrus (k. 2008; c. 2008)

Jeffri Iman (k. 2011)
Anak-anak2
Kerjaya muzik
Genre
InstrumenVokal
Syarikat rakaman
Pengkarya berkait

Sepanjang kerjaya muziknya, beliau telah menerbitkan 13 buah album solo, beberapa buah album kompilasi dan duet. Pada masa yang sama, Noraniza telah banyak meraih kejayaan di anugerah-anugerah besar muzik tanah air melalui albumnya, lagu dan persembahan pentas. Sehingga kini beliau masih kukuh di persada seni memperjuangkan irama budaya. Semangatnya tidak pernah mati memperjuangkan muzik tradisional dan lebih suku abad, Noraniza belum mahu berhenti malah melajukan gerakan bagi memastikan elemen kebanggaan Melayu ini terus bernafas di alaf digital.

Kehidupan awal sunting

Nor Aniza binti Idris dilahirkan pada 27 Ogos 1968 di Kampung Melayu, Kluang, Johor. Anak kepada penyanyi boria dan qariah Al-Quran, ialah anak keenam daripada 12 adik-beradik. Berpendidikan rendah di Sekolah Tengku Mahmud 1, Kluang dan seterusnya melanjutkan pengajian di Sekolah Tinggi Kluang. Noraniza juga turut dikenali sebagai Kak Ani yang merupakan nama panggilannya. Noraniza telah menyertai Bintang RTM pada tahun 1983 dan 1985 sebelum merakamkan lagu dalam album. Ketika menjalani rakaman peringkat awal Bintang RTM 1985, Hamidi Rashid, pengurus artis dan reportaire Life Records pada masa itu, tertarik dengan kelunakan suara Noraniza Idris, dia lalu mendekati Noraniza dan bapanya, Idris Ahmad ketika kedua-dua anak beranak itu menikmati juadah di kantin Angkasapuri. Hamidi menawarkan Noraniza menjadi artis syarikat rakamannya, ia merupakan peluang keemasan biarpun pertandingan Bintang RTM belum selesai, selepas difikir semasak-masaknya lalu bapa Noraniza pun bersetuju anaknya menjadi artis rakaman. Pada peringkat separuh akhir Bintang RTM 1985, Noraniza sekali lagi gagal ke peringkat seterusnya namun ia tidak patah semangat sebagaimana beliau gagal di Bintang RTM 1983. Mungkin dia sudah dewasa, tambahan pula, kehadiran Hamidi bagaikan ubat yang dicari selama ini.

Kerjaya muzik sunting

1985–1997: Melayu Deli, Mengemis Rindu dan Ala Dondang sunting

Noraniza dianggap beruntung kerana dapat merakam suara untuk album lagu-lagu daripada filem bersama penyanyi terkenal lain berjudul Melayu Deli. Sejak itu, Noraniza terus diberi peluang merakamkan satu demi album bersama Life Records. Bermula dari situ, Noraniza Idris telah membentuk imej dan personalitinya sebagai seorang penyanyi.

Setelah Melayu Deli, Noraniza Idris merakamkan album 10 Pujaan Malindo sebanyak 2 volume pada tahun 1986 dan 1987. Popularitinya semakin meluas apabila beliau merakamkan pula lagu-lagu sendiri menerusi 3 buah album pop Melayu Mengemis Rindu, Inginku Sandarkan Harapan dan Masihkah Dirimu Menyayangiku. Noraniza mula mengikat kontrak bersama syarikat rakaman antarabangsa Sony Music pada 1991 sekaligus berpeluang bekerjasama dengan penerbit terkenal Ramli M. S. Album perdananya bersama Sony Music adalah sebuah album duet bersama penyanyi pop terkenal Ibnor Riza yang berjudul Seindah Budimu.

Setelah itu beliau mula merakamkan lagu-lagu dari filem Melayu klasik menerusi album Lagu-lagu dari Filem dan Kenangan Lama, sebanyak 9 Volume bersama Abdullah Chik setelah gandingan bersama Ibnor tidak mendapat sambutan menggalakkan berbanding dengan Abdullah Chik. Sony Music seterusnya menerbitkan album pop etnik berjudul Noraniza Idris pada tahun 1992 terbitan Ramli M.S bersama Jimmy Ali yang mula membuka jalan kepada Noraniza untuk mencuba muzik etnik kontemporari. Walau bagaimanapun, album ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan ekoran pasaran muzik tradisional masih berada di tahap konvensional.

Selepas album tersebut, Noraniza masih aktif menyanyi bersama Abdullah Chik tambahan beliau telah keluar dari Sony Music. Namun pada 19 September 1995 ketika bersama menjayakan sebuah pertunjukan pentas di Kota Bharu, Kelantan, Abdullah Chik jatuh di belakang pentas lalu menghembuskan nafas terakhir, yang kemudiannya disahkan akibat serangan jantung. Jenazah Abdullah Chik dibawa ke Kuala Lumpur dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Petaling Jaya. Sejak itu Noraniza sedikit murung dan tidak bersemangat untuk terus memperjuangkan irama tradisional Melayu.

Setelah tiga tahun menyepi kerana memberi perhatian terhadap keluarga, akhirnya pada tahun 1997, Noraniza Idris telah melahirkan album eksperimental yang bercorak pop tradisional, Pertemuan beliau bersama penerbit album tradisional terkenal Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah ternyata memberi tuah. Maka lahirlah album Ala Dondang yang diterbitkan atas kepercayaan Suria Records (SRC). Oleh kerana sambutan yang menggalakkan, album itu mencecah jualan melebihi 200,000 ribu unit. Noraniza menerima banyak pengiktirafan antaranya memenangi Album Pop Etnik Terbaik untuk Anugerah Industri Muzik 1998.

1998–2001: Masyhur, Seri Balas dan Iktiraf sunting

 
Noraniza Idris (kanan) bersama Siti Nurhaliza menyampaikan lagu “Hati Kama” di Anugerah Juara Lagu ke-14

Selepas kelahiran album Ala Dondang, Noraniza terus kekal merakamkan album-album yang berirama pop tradisional seperti Masyhur dan album duet bersama penyanyi Siti Nurhaliza, Seri Balas. Noraniza diiktiraf sebagai pelopor kepada lagu-lagu Pop Etnik dan Tradisional kerana berani menerbitkan album tradisional secara tidak konvensional seperti sebelum ini. Pada masa itu, lahirlah lagu-lagu yang telah menjulang nama Noraniza Idris dengan lagu-lagu pop tradisional seperti Dikir Puteri, Dondang Dendang, Zapin Pusaka serta lagu duet bersama Siti Nurhaliza menerusi lagu Hati Kama.

Selepas diberi penghargaan mempersembahkan lagu Dikir Puteri di acara Sukan Komanwel 1998 bersama Siti Nurhaliza yang turut menyampaikan lagu popularnya, Cindai. Mereka berdua disatukan untuk bergandingan dalam satu album duet istimewa berkonsepkan pop tradisional yang berjudul Seri Balas. Setelah berjaya mengangkat muzik pop tradisional di mata masyarakat, menerusi album duet ini, Noraniza dan Siti telah mengumpul lebih ramai peminat lagu-lagu pop tradisional daripada semua lapisan masyarakat sehingga mencetuskan fenomena. Kolaborasi mereka berdua memberi impak yang sangat besar dalam industri muzik Malaysia ketika itu bukan sahaja di Malaysia tapi di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia. Tuah menyebelahi Noraniza dan Siti apabila lagu Hati Kama berjaya memasuki pencalonan akhir bagi kategori Lagu Terbaik dan album Seri Balas pula memenangi Album Pop Etnik Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2000. Selain itu, persembahan hebat Noraniza dan Siti menerusi Hati Kama juga berjaya merangkul Juara kategori Etnik Kreatif di Anugerah Juara Lagu 2000. Pada album yang berikutnya, Noraniza Idris telah membuat satu pembaharuan pada album beliau dengan menyelitkan lagu-lagu yang berunsurkan peribumi tradisional. Maka terbitlah lagu Ngajat Tampi ciptaan Rosli Selasih yang dimuatkan dalam album Bekaba, selain itu turut dimuatkan lagu yang berkonsepkan hadrah, Tinting yang merupakan single pertama daripada album Bekaba hasil ciptaan Pak Ngah. Kedua-dua lagu tersebut berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 2000. Noraniza telah menjadi artis pertama yang mara dengan dua lagu.

Seterusnya Noraniza terus melahirkan album-album yang banyak bereksperimen dengan muzik sejagat hingga diberi gelaran Ratu Pop Tradisional. Pada tahun 2000, lahir pula album bercorak pop tradisional berjudul Iktiraf. Album kali ini Noraniza sekali lagi mendapat sentuhan Pak Ngah. Album Iktiraf berjaya menembusi pencalonan untuk Album Pop Etnik Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) dan Lagu Terbaik untuk lagu Iboq (Kita) di Anugerah Industri Muzik 2001.

2002–2009: Aura, Sawo' Matang dan projek lain sunting

Pada tahun 2002, menyaksikan Noraniza tidak lagi bekerjasama dengan komposer, Pak Ngah menerusi album Aura. Kali ini Noraniza melantik Fareez Tajudin yang juga suaminya ketika itu menggalas tanggungjawab sebagai penerbit dan menjadi tunjang utama dalam album ini. Album Aura menjadi titik permulaan untuk peminat seni tanah air menilai kemampuannya berdiri kukuh di landasan tersendiri dalam dunia seni tanah air. Noraniza mahu menjadi dirinya sendiri dan kerana itu dia rela menghabiskan masa berbulan-bulan di studio untuk memastikan rakaman album Aura berjalan lancar. Kata Noraniza, dia melibatkan diri secara total untuk pembikinan album itu bermula daripada mencari lagu dan membuat kajian mengenai muzik etnik yang diketengahkan. Menurutnya, apabila dia membuat keputusan untuk terlibat secara 100% dalam pembikinan album itu, dia perlu menunjukkan komitmen yang tinggi. Noraniza tidak mahu ada pihak yang menganggapnya sebagai hangat-hangat tahi ayam. Oleh kerana terlalu teliti, Noraniza dan suami berhadapan dengan pelbagai dugaan dan ujian,

Perasaannya ibarat seperti orang yang mahu beranak sulung. Noraniza begitu berdebar-debar menanti respons peminat terhadap album ini. Dalam Aura, peminat tidak dapat lagi mendengar Noraniza menyampaikan lagu ciptaan Pak Ngah. Sebaliknya, kali ini peminat berpeluang menilai sejauh mana kemampuan komposer tersohor Adnan Abu Hassan yang selama ini terkenal dengan lagu-lagu berentak pop mainstream. Dalam album Aura, Adnan menghasilkan lagu masri berjudul Layar Batutta. Noraniza juga memberanikan diri mempertaruhkan komposer Eddie Hamid yang mengilhamkan lagu berirama muzik Timur berjudul Hala Timur. Beberapa buah lagu lain yang dimuatkan dalam album itu turut menerima sentuhan lirik daripada penulis lirik muda berbakat besar, Hairul Anuar Harun. Kata Noraniza, album Aura yang berkonsepkan 'fusion ethnic' merupakan album yang amat istimewa. Noraniza yakin, ia tidak akan menghampakan para peminatnya.

Pada tahun 2003, Noraniza telah mengumumkan beliau telah tamat kontrak daripada syarikat rakaman Suria Records. Noraniza telah menubuhkan syarikat rakaman sendiri yang dinamakan Gerak Budaya Sdn Bhd dan turut bekerjasama dengan syarikat rakaman ternama di Malaysia iaitu Universal Music Malaysia untuk pemasaran album seterusnya, Sawo' Matang pada tahun 2004. Album Sawo' Matang telah beri satu impak yang besar dalam industri muzik ketika itu apabila meraih pelbagai anugerah besar di Malaysia dan Singapura. Album Sawo' Matang telah diiktiraf sebagai Album Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-12 dan turut tercalon untuk kategori Kulit Album Terbaik dan Album Terbaik. Album tersebut juga berjaya menembusi pencalonan akhir Album Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2005. Sawo' Matang mempertaruhkan Hatinya Tak Tahan sebagai single pertama yang berkonsepkan etnik kontemporari yang menyelitkan elemen jawa di dalamnya. Lagu lain yang turut dimuatkan dalam album ini adalah Sama Tak Serupa, Ayuh Juragan, Rajuk Rindu, Zapin Beradat dan banyak lagi. Noraniza mempersembahkan buat kali pertamanya lagu Hatinya Tak Tahan di hadapan penonton yang dihadiri melebihi 16,000 ribu di Konsert Countdown KLCC 2004 yang berlangsung di KLCC Park, Kuala Lumpur. Ternyata lagu yang dicipta oleh Noraniza sendiri membawa tuah apabila lagu Hatinya Tak Tahan berjaya meraih anugerah Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-19 dan memenangi Lagu Global Pilihan di Anugerah Era 2004.

Selepas tamatnya era Sawo' Matang, Noraniza Idris telah menerbitkan sebuah album kompilasi khas untuk menandakan 20 tahun penglibatan beliau dalam industri muzik ini, iaitu Lenggok 20 Tahun yang diterbitkan pada tahun 2006. Album ini memuatkan dua buah lagu baru, Racau Sang Khalifah dan Asyik Bisikan Hubah. Album ini juga memuatkan sebuah lagu lama yang diolah semula, Dayung Sampan, menampilkan pemain erhu, He Yun yang didatangkan khas dari negara China dan Mengemis Rindu yang dirakam semula dalam nafas baru.

Pada tahun 2008 pula, Noraniza Idris telah melancarkan sebuah lagu hari raya berjudul Cinta Lebaran menampilkan kumpulan Akasia yang dicungkil bakat mereka dalam satu program realiti TV, Gangstarz. Noraniza berkata, single tersebut merupakan single pertamanya selepas beliau bertudung litup. Selain itu, pada tahun yang sama juga menyaksikan Noraniza Idris diberi penghormatan apabila lagu-lagu nyanyiannya dipilih untuk mewakili konsep muzik Melayu Kontemporari dalam pertandingan realiti Sehati Berdansa Musim 2. Lagu-lagunya dipilih untuk persembahan tarian oleh kesemua peserta program tersebut yang terdiri daripada pasangan selebriti Malaysia. Noraniza turut menjadi juri jemputan pada malam itu.

Setelah sekian lama tidak mengeluarkan sebarang album mahupun lagu. Pada tahun 2009, Noraniza kembali mengubati kerinduan peminatnya dengan melancarkan sebuah single berkonsepkan ethnic fusion yang berjudul Enjut. Lagu Enjut merupakan hasil ciptaan Cat Farish, Illegal, Adeeb serta Ahmad Fedtri Yahya sebagai penulis liriknya. Ia sebagai pengenalan single pertamanya sebelum beliau melancarkan album studionya yang ke-13, Cintaku Satu pada tahun 2010. Walaupun ada sedikit kontroversi yang mengatakan lagu tersebut diselitkan unsur lucah, Enjut berjaya diiktiraf sebagai Lagu Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM17) dan turut tercalon dalam kategori Lagu Terbaik. Lagu Enjut juga berjaya mara ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 24 tetapi gagal ke peringkat akhir.

2010–2014: Pasca zaman kegemilangan sunting

Pada tahun 2010, Noraniza Idris merakamkan sebuah lagu raya berjudul Selamat Hari Raya ciptaan Jasnie Mohd Yaakob. Lagu tersebut dimuatkan dalam sebuah album kompilasi hari raya eRama Aidilfitri: Menjelang Syawal keluaran eRama Records. Seterusnya pada 30 Disember 2010, setelah lima tahun menyepi tanpa mengeluarkan sebarang album, Noraniza kembali menerbitkan album studio yang ke-13, Cintaku Satu yang menyaksikan beliau bekerjasama dengan penyanyi-penyanyi baru seperti Jaclyn Victor, Marsha Milan Londoh, Bob AF, Dior, Black dan ramai lagi. Memuatkan 10 buah lagu seperti Enjut, Kuasa Cinta, Hari Demi Hari, Endang Endong, Menarik Hati dan banyak lagi. Adik kepada Noraniza iaitu Zahid Idris selaku penerbit album ini.

Pada April 2016, menyaksikan beliau kembali dengan persembahan khas Konsert Lentera Muzika Noraniza Idris Masyhur 30 tahun yang diadakan selama satu jam setengah sempena ulang tahun ke-30 Noraniza Idris di arena bidang muzik, kehadiran ratusan peminat memenuhi Auditorium Angkasapuri, Kuala Lumpur, ternyata aura Noraniza Idris masih berbisa sehingga kini, dengan gerak tarinya yang memukau, Noraniza masih mengekalkan konsep yang sama iaitu membawa segerombolan penari di atas pentas. Pada masa yang sama, beliau mengimbau semula perjalanan awal kerjaya seni beliau serta jatuh bangunnya dalam memartabatkan serta memperjuangkan irama Etnik Kreatif Tradisional sehingga dia diangkat serta diiktiraf sebagai Ratu Etnik Kreatif atau Ratu Irama Tradisional.[4]

Di samping itu, beliau juga telah menampilkan beberapa buah lagu etnik peribumi yang berjaya membawa nama Malaysia ke mata dunia. Antara lagu-lagu yang dipersembahkan pada malam itu adalah Enjut, Hatinya Tak Tahan, Ayuh Juragan, Hati Kama, Dondang Dendang, Ngajat Tampi dan banyak lagi. Noraniza turut perkenalkan dua buah lagu baharunya, Puncak Gapura menampilkan Ihab Ismail dan #MohonTerasa duet bersama penyanyi baru, L'Zzay.

Pada pertengahan bulan Ramadhan, Noraniza Idris berkesempatan menghadiahkan buah tangan terbaru untuk peminatnya sempena pembabitannya dalam industri muzik selama 30 tahun dengan melancarkan sebuah album khas hari raya berjudul Ria Aidilfitri. Konsep album ini lebih menjurus kepada sketsa pendek yang diselang-seli lagu-lagu raya nyanyian beliau bersama artis-artis baharu dibawah produksinya sendiri, Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd.

Noraniza berkata, dia ingin mengangkat tema berkenaan kerana karya berbentuk demikian sudah lama tidak diterbitkan selain memberi peluang kepada generasi baharu mengenali maksud album yang mempunyai konsep seperti itu.

"Kali terakhir saya dengar album seperti ini sewaktu berusia 7 tahun menerusi sebuah karya melibatkan artis-artis popular ketika itu seperti Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Latif Ibrahim Hail Amir, Uji Rashid dan Datuk Khadijah Ibrahim. Sehingga sekarang saya sangat merindui album itu kerana mesej disampaikan mendorong saya untuk menghasilkan sketsa bermesej yang diselang seli dengan lagu-lagu nyanyian kami. Menerusi Ria Aidilfitri ia turut dimeriahkan dengan ucapan khas penyanyi jemputan terlibat mengikut lagu yang turut dilakonkan secara santai," katanya.

Album memuatkan 12 buah lagu, lapan buah lagu baharu manakala empat daripadanya nafas baharu. Melibatkan artis-artis seperti Mimi Fly One Nation Emcees, Royce Sa'ayan, L'Zzay, Azmir Arif, Razis Ismail, Ihab Ismail dan dua orang anak Noraniza sendiri iaitu Fee Haiqal dan anak tirinya, Fadzlee Sufri. Antara lagu-lagu yang terkandung adalah Rewang Raya, Angin Cinta Di Aidilfitri, Ahlan Wasahlan Ya Syawal, Nostalgia Aidilfitri, Kalimah Lebaran, Akar Kita Zapin Aidilfitri, Linangan Syawal dan Ria Aidilfitri.

2015–kini: Siri Jelajah Akar Kita Zapin, 3 Juara dan perkembangan terkini sunting

Program Jelajah Budaya dalam membentuk jati diri dengan penerapan cinta diri, agama, bangsa, budaya & negara menerusi apresiasi Rukun Negara dan aspirasi budaya 6 etnik utama Malaysia: Melayu, Cina, India, etnik Sabah, etnik Sarawak & Orang Asli. Program ini telah dilancarkan pada tahun 2012.

Sebagai tunjang utama dalam program tersebut, pada tahun 2015, Noraniza Idris memperkenalkan tarian zapin ke seluruh negara melalui program Siri Jelajah Merdeka Aeon Akar Kita Zapin 2015 bermula 1 Mei sehingga 30 Ogos 2015. Siri jelajah itu melibatkan Zon Utara di Taiping; Zon Timur di Seri Manjung, Perak; Zon Tengah di Rawang, Selangor, Zon Selatan di Johor Bahru.

Uniknya mengenai program berkenaan ialah ia memperkenalkan konsep battle seperti dalam tarian moden yang menuntut peserta mereka tarian zapin yang tidak mampu ditumpaskan pasukan lawan. Walaupun begitu, Noraniza menjelaskan, peserta di setiap zon diberikan tema tarian zapin tertentu supaya mereka mempelajari dan menghayati nilai estetika dalam sebuah tarian zapin.

Katanya lagi, setiap negeri di Malaysia mempunyai tarian zapin yang tersendiri sekali gus memberi peluang kepada pasukannya mengumpul maklumat dan merekodkan tarian itu sebagai rujukan pada masa akan datang. Noraniza telah melantik Dr Ihab Ismail sebagai ikonnya sekaligus menjadikan Ihab sebagai artis pertama di bawah naungan produksinya.

Bersempena kedatangan Aidiladha, Noraniza telah menerbitkan sebuah program khas takbir hari raya bersempena Aidiladha. Seramai 60 penyanyi lelaki daripada pelbagai genre muzik berganding bahu menjayakan rakaman takbir Hari Raya Aidiladha yang diadakan di IDCC Shah Alam pada 27 Ogos 2016 yang mana hari itu juga merupakan hari kelahiran Noraniza yang ke-48.

Noraniza Idris selaku penerbit program ini berkata, kesudian mereka yang terlibat dalam rakaman berkenaan bukti mereka sanggup mengenepikan tugas masing-masing demi menyumbang sesuatu kepada agama dan bangsa. Noraniza melahirkan rasa syukur kerana rakaman dibuat berjaya biarpun masing-masing sibuk dengan tugas namun mereka sudi meluangkan masa. Beliau rasa berbesar hati kerana dapat menunaikan hajat untuk merakamkan takbir hari raya ini bersempena dengan hari lahirnya yang jatuh pada hari rakaman tersebut. Antara selebriti yang terlibat pada rakaman itu adalah Aris Ariwatan, Mel Wings, Rozz Bloodshed, Afee Utopia, Ezam EYE, Nash, Saleem dan Raymie Febians. Manakala penyanyi generasi baharu juga turut memberi sokongan seperti Aweera, Ihab Ismail, Firman, Azmir Arif, Fadzlee Sufri, Fee Haiqal dan Qody. Ia adalah kerjasama di antara IDCC Shah Alam, Persatuan Belia Kota Gagasan dan Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd. Rakaman tersebut disiarkan menerusi saluran TV Alhijrah pada Hari Raya Aidiladha, 12 September 2016.

Dalam pada itu, Noraniza berkata, menerusi rakaman takbir raya bersama selebriti itu juga ia dapat mengubah persepsi sesetengah masyarakat terhadap golongan selebriti. Ini kerana artis Malaysia juga berperanan dalam menyampaikan mesej berunsurkan Islamik dan nilai-nilai murni sebagai ikon kepada generasi hari ini dan juga sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial artis kepada masyarakat yang bersifat mendidik dalam membentuk akhlak mulia. Selain itu, menerusi program seumpama ini ia juga dapat mengeratkan kembali silaturahim di antara rakan-rakan artis yang mungkin sebelum ini pernah terputus hubungan.

Pada pertengahan Oktober pula, Noraniza Idris bertindak sebagai juri tetap untuk program realiti terbaru terbitan TV3, 3 Juara yang bermula bersiaran pada 16 Oktober 2016 setiap hari Ahad. TV3 memperkenalkan program ini adalah untuk mencungkil bakat baharu sebagai pelapis kepada tiga genre muzik iaitu Rock, Balada dan Irama Malaysia. Menampilkan 24 peserta yang akan dibimbing oleh komposer yang cukup berpengalaman dan tidak asing lagi di Malaysia yang akan mewakili setiap genre lagu iaitu Dato' Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah akan mewakili bagi kategori Irama Malaysia, Ajai pula mewakili kategori Balada manakala Edrie Hashim mewakili untuk kategori Rock. Selain Noraniza, turut sama menjadi juri tetap adalah Dato' Rossa dan Awie.

Pada 15 Januari 2017, Noraniza Idris kembali mewarnai industri muzik dengan mengeluarkan sebuah lagu terbaharu berjudul Wangikanlah Hatimu yang berkonsepkan pop etnik dan tradisional yang menggabungkan elemen dikir barat dan siam serta sunda. Lagu ini menampilkan konsep duo dengan gabungan dua karakter vokal iaitu dari Noraniza Idris dan penyanyi Tyka yang dicungkil bakatnya daripada program realiti 3 Juara. Lagu yang dicipta oleh Amir Jahari dan AG Coco manakala liriknya pula ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya. Lagu ini telah dilancarkan serentak pada malam akhir Pentas Epik 3 Juara yang mana pada malam tersebut Noraniza turut mempersembahkan buat kali pertamanya lagu terbarunya itu bersama Tyka. Mengulas mengenai single tersebut, Noraniza Idris berkata proses persediaan lagu 'Wangikanlah Hatimu' ini sangat kemas dan tidak mengambil masa terlalu panjang untuk disiapkan. Sepanjang 2 bulan bermula daripada perbincangan dengan Amir Jahari, penyesuaian melodi telah dibuat mengikut keserasian vokal nyanyian dan karakter dalam lagu. Wangikanlah Hatimu adalah sebuah penerbitan pertama bagi syarikat Noraniza Idris Production Ventures bagi tahun 2017. Bait-bait lirik lagu ini mempunyai mesej berunsur nasihat dan ingatan. Majlis pelancaran single Wangikanlah Hatimu telah berlangsung di Restoran L’Clasico, Publika, Kuala Lumpur pada 21 Februari 2017.

Pada 9 Mei 2017, selepas kejayaan single Wangikanlah Hatimu, Noraniza Idris tampil melancarkan single kedua yang berjudul 'Permata Saadah'. Single bergenre 'Zapin Fusion' yang diterbitkan syarikat rakamannya Noraniza Idris Production Ventures ini ditaja sepenuhnya oleh syarikat perkhidmatan penyediaan katering perkahwinan iaitu Permata Saadah (M) Sdn Bhd. Menurut Noraniza, kolaborasi ini terhasil daripada pertemuan beliau dan pengarah katering Permata Saadah dalam satu program keusahawanan.

"Ketika itu Permata Saadah menaja makanan untuk program tersebut dan ketika melihat 'bunting' mereka, Kak Ani rasa tertarik dengan perkataan Permata Saadah dan memanjangkan hal tersebut kepada penulis lirik lagu ini, Fedtri Yahya sehinggalah Fedtri menciptakan lirik yang membuatkan kak Ani sangat teruja," ujar Noraniza semasa majlis pelancaran single ini.

Beliau berasa terharu setelah mengetahui yang pemilik syarikat katering Permata Saadah merupakan seorang yang kurang upaya dan nama syarikat itu diambil bersempena nama ibunya. Bagi Pengarah Katering Permata Saadah, Mohd Syahid Abdal Kamerudin pula beliau bersetuju untuk menaja lagu 'Permata Saadah' kerana perkataan itu sendiri yang membawa maksud kebahagiaan yang tidak ternilai.

"Lagu itu ada maksudnya yang tersendiri sebab penuh dengan penghargaan pada ibu, dan wanita iaitu isteri saya," tambahnya lagi.

Selain itu, Syahid juga memberitahu yang beliau sangat teruja dengan lagu ini yang membawa maksud yang sangat mendalam serta mengangkat tinggi martabat seorang wanita istimewa iaitu ibunya sendiri, Saadah. Selain Fedtri Yahya sebagai penulis lirik, lagu ini turut melibatkan Rosli Selasih sebagai komposer. Menurut Noraniza lagi, iramanya menjadi inspirasi kepada lambang keunikan dan kekuatan semangat seorang wanita secara luaran dan dalaman yang sentiasa cekal dan bijak serta keunikan wanita timur yang dalam lembut ada tegasnya. Semasa majlis pelancaran single Permata Saadah, turut menyaksikan pelantikan Noraniza sebagai duta rasmi kepada syarikat Katering Permata Saadah.

"Kak Ani berasa sangat bersyukur dilantik menjadi duta kepada katering Permata Saadah dan akan sama-sama membangunkan produk ini dalam jangka masa panjang," katanya.

Permata Saadah Wedding & Event merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan katering untuk majlis perkahwinan yang mengangkat nilai dan tradisi warisan melayu melalui sajian dan hidangan yang berkonsepkan melayu tradisional.

Pada 22 September 2020 telah berlangsungnya sidang media pengumuman barisan peserta Gegar Vaganza untuk musim ketujuh (GV7). Noraniza Idris merupakan salah seorang bintang yang berentap di pentas Gegar Vaganza kali ini. Penganjuran musim ketujuh yang mengangkat tagline ‘Mara Suara Membara’ GV7 ini dilaksanakan mengikut SOP berikutan penularan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia dan rutin kelaziman baharu ini juga turut mencatatkan rekod bilangan penyertaan terbanyak sepanjang sejarah penganjuran edisi sebelum ini. Gegar Vaganza kali ini menyaksikan Noraniza berentap bersama 13 lagi bintang yang menghangatkan pentas GV7 ialah Mus May, Yantzen, Ayu Damit, Linda Nanuwil, Indigo, Ashira, Rozita Izlyn, Haslinda, Eva, Cliff Umar (vokalis Projek Pistol), Oja, Nomad dan Aju (vokalis Success). Gegar Vaganza 2020 bersiaran selama 10 minggu bermula 11 Oktober 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Bagi meneruskan lagi momentum kerjaya seninya selepas Gegar Vaganza, Noraniza telah melancarkan single terbaharunya berjudul “Intan Payung” yang menggandingkannya dengan penyanyi rap remaja, Bunga.

Intan Payung merupakan ciptaan bersama Bunga dan penerbit muzik, pencipta lagu dan penyanyi rap yang semakin meningkat naik, Luca Sickta. Susunan muzik Intan Payung diberikan elemen muzik Gamelan oleh penerbit Luca Sickta yang sememangnya cukup dikenali di atas kecenderungannya mengangkat seni muzik Melayu dalam karya-karya popularnya seperti ‘Gong Nekara’, ‘Zuhud’ dan ‘7 Nasihat’. Lirik yang ditulis oleh Bunga ini menceritakan tentang peri pentingnya mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi cabaran menuju kejayaan.

Bunga menceritakan tentang bagaimana Ratu Pop Etnik Malaysia, Noraniza Idris terlibat dalam lagu ini, Bunga berkata, "Saya sangat teruja dan merasa bertuah kerana diberi peluang untuk berkolaborasi dengan Kak Ani dalam 'Intan Payung'. Kehadirannya menyerikan lagi lagu ini dan menaikkan lagi nuansa Melayu lagu ini dengan gaya nyanyian tradisional Melayunya.”

Intan Payung terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 12 Februari 2021. Muzik video 'Intan Payung' telah dilancarkan secara rasmi di laman sosial YouTube pada 8 April 2021. Muzik video ini dilaporkan berjaya mencecah 23 ribu tontonan di YouTube dalam masa 24 jam ia dilancarkan. Sambutan luar biasa itu disebabkan kualiti, konsep moden klasik pada muzik video itu serta tarian yang ditampilkan menarik untuk ditonton. Setelah empat bulan dilancarkan, muzik video Intan Payung berjaya meraih lima juta tontonan di YouTube dan telah mendominasi carta-carta radio di Malaysia. Lagu Intan Payung berjaya melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-36 yang berlangsung pada 6 Mac 2022. Meskipun Noraniza tidak dapat memberi komitmen ketika separuh akhir kerana mengerjakan ibadah umrah, persembahan Intan Payung pada malam pertama separuh akhir itu digantikan oleh penyanyi baru, Amsyar Leee.

'Lagu Intan Payung tiada cacat cela'

Ketua juri Separuh Akhir Muzik Muzik 36, Datuk Mokhzani Ismail menjelaskan pemilihan lagu Intan Payung nyanyian Noraniza Idris dan Bunga yang diumumkan layak ke pentas Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36) adalah kerana kreativiti komposernya yang mengolah elemen tradisional, adunan dengan rap serta hip hop juga membawa satu kelainan dalam lagu bertemakan nasihat itu.

"Kreativiti komposer menggunakan elemen tradisional itu diolah dengan penyanyi rap dan (muzik) hip hop yang membawa satu bentuk perjalanan lagu yang berbeza serta ada kelainan," katanya kepada Harian Metro.

Pelancaran single terbaharu, "Penawar Kita"

Pada 9 November 2023, Noraniza Idris telah melancarkan single terbaharunya bertajuk Penawar Kita dan kali ini Noraniza tampil berkolaborasi dengan penyanyi, Hazama. Lagu hasil ciptaan Kmy Kmo dan Luca Sickta ini telah menggabungkan elemen tradisional dan moden yang sinonim dengan perwatakan nyanyian Noraniza dan Hazama. Penawar Kita merupakan projek julung pertama kalinya Hazama merakamkan sebuah lagu bergenre Irama Malaysia kerana sebelum ini beliau tampil dengan lagu-lagu bergenre rock.

Hazama berkata, "Tanpa tawaran ini, saya tidak mungkin berpeluang untuk merakamkan lagu yang berunsurkan Irama Malaysia, kali pertama saya dapat tawaran untuk projek ini, saya terus bersetuju kebetulan pula saya memang peminat Kak Ani sejak kecil lagi", Lagu ini menggabungkan elemen muzik tradisional yang terpilih dengan hikmah pantun nasihat, mencipta perpaduan menawan antara tradisi dan moden. Lirik yang ditulis membawa pendengar dalam perjalanan yang menyentuh hati, di mana ujian dan cabaran kehidupan berfungsi sebagai pengajaran praktikal dalam memahami hakikat hubungan manusia. Penawar Kita adalah terbitan bersama Luncai Emas Sdn Bhd dan Noraniza Idris Production Ventures Management Sdn Bhd dan kini boleh didapati di semua platform muzik utama seperti Spotify, Apple Music, Itunes manakala muzik video telah dilancarkan di saluran YouTube pada 10 November 2023.

Gegar Vaganza 2020 sunting

Noraniza Idris merupakan salah seorang bintang yang menyertai program Gegar Vaganza untuk musim ketujuh (GV7) terbitan Astro bagi tahun 2020. Beliau telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir bersama enam bintang GV yang lain. Noraniza telah menduduki tempat keempat dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 berserta trofi.

Persembahan dan keputusan Gegar Vaganza 2020
Konsert Tema Lagu tugasan Penyanyi asal Keputusan Markah
Minggu 1 Grand Konsert Medley

"Dondang Dendang"

"Dikir Puteri"

Noraniza Idris 1 90.90%
Minggu 2 Sama Naik "Akulah Kekasihmu" Francissca Peter 8 64.50%
Minggu 3 Cuba Try Test "Akan Ku Tunggu" Candy 2 73.40%
Minggu 4 Lagu Berhantu "Saat Ku Idamkan" Amy Search 3 72.00%
Minggu 5 Tahu Tahu Sampai "Nakal Nakal Nakal" Ayda Jebat 4 72.60%
Minggu 6 Double Special "Bolehlah Boleh" (duet bersama Amelina) Mas Idayu 1 79.60%
Minggu 7 Take Over "Canggung" Wany Hasrita 3 69.60%
Minggu 8 GV Throwback "Anak Kampung" One Nation Emcees ft. Jimmy Palikat 4 60.60%
Separuh Akhir Outstation Medley

"Bisikkanlah Cinta"

"Chaiyya Chaiyya"

Anita Sarawak

Sukhwinder Singh dan Sapna Awasthi

6 55.10%
Akhir Konsert Akhir Pusingan 1: Duet

"Empat Dara" (duet bersama Aishah)

S. Radziah dan Orkes Gambos Penambang Tempat ke-4 64.23%
Pusingan 1: Solo

"Hutang"

Floor 88
Pusingan 2: Battle

"Eh" (battle bersama Ashira)

Zizi Kirana

Kehidupan peribadi sunting

Perkahwinan sunting

Noraniza mendirikan rumah tangga buat kali pertama pada 31 Mac 1988 bersama rakan seperjuangannya dalam bidang nyanyian iaitu penyanyi Mohd Fauzi Mohd Tajuddin atau Fareez dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki yang kini sudah beranjak dewasa, Aliff Haiqal dan Alfeeq Haiqal. Namun jodoh mereka berakhir pada sekitar April 2006. Kemudian beliau bertemu jodoh buat kali kedua pada tahun 2008 dan bernikah dalam satu majlis tertutup. Khabarnya suaminya merupakan ahli perniagaan namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama 45 hari.[5][6]

Selepas dua tahun hidup solo, pada 29 September 2011, Noraniza kembali menamatkan zaman solonya dengan berkahwin buat kali ketiga dengan seorang bilal yang juga duda anak empat bernama Jeffri Iman yang berasal dari Singapura. Sehingga kini suaminya menjadi tulang belakang dalam menguruskan kerjaya seni Noraniza sendiri.

Penghijrahan sunting

Noraniza mula berhijrah dengan penampilan bertudung litup sejak 2008 setelah Noraniza berkahwin buat kali kedua, Noraniza mengambil keputusan untuk berhijrah kerana hasrat beliau untuk bertudung sudah lama diimpikan. Dalam pada itu, rata-rata netizen gembira dan memuji penampilan terbaru Noraniza dan tidak kurang juga mendoakan agar Noraniza terus istiqomah.

Diskografi sunting

Filemografi sunting

Filem sunting

Drama sunting

  • Mama (1997)
  • Taman Sri Selasih (1997)

Teater/Muzikal sunting

  • Kuala Lumpur! Kuala Lumpur! (1996) [7]
  • Konserto Terakhir (1996)
  • Dendang Warisan (2000)

Anugerah dan pencalonan sunting

Anugerah utama sunting

Anugerah Industri Muzik
Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM)
Tahun Kategori Karya Tercalon Album Keputusan
1998 Album Terbaik Ala Dondang Ala Dondang Tercalon
Album Pop Etnik Terbaik Menang
1999 Album Terbaik Masyhur Masyhur Tercalon
Album Pop Etnik Terbaik Menang
Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) Noraniza Idris Tercalon
2000 Lagu Terbaik "Hati Kama" (duet bersama Siti Nurhaliza)
Pak Ngah / Hairul Anuar Harun
Seri Balas Tercalon
Album Terbaik Seri Balas Menang
Album Pop Etnik Terbaik Menang
Bekaba Bekaba Tercalon
2001 Lagu Terbaik "Iboq (Kita)"
Indra / Siso
Iktiraf Tercalon
Album Pop Etnik Terbaik Iktiraf Tercalon
Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) Noraniza Idris Tercalon
2003 Album Pop Etnik Terbaik Aura Aura Tercalon
2005 Album Terbaik Sawo' Matang Sawo' Matang Tercalon
Album Pop Etnik Terbaik Menang
Kulit Album Terbaik Tercalon
2010 Lagu Terbaik "Enjut" (menampilkan Cat Farish & Adeeb)
Cat Farish, Illegal / Ahmad Fedtri Yahya, Adeeb
Cintaku Satu Tercalon
Lagu Pop Etnik Terbaik Menang
2012 Lagu Terbaik "Kuasa Cinta" (duet bersama Black)
Edrie Hashim / Ahmad Fedtri Yahya
Tercalon
Lagu Pop Etnik Terbaik Menang
"Endang Endong (Versi Cintaku Satu)" (menampilkan Bob AF, Marsha, Jaclyn Victor, Elji Enava, Dior & Karen Tan)
Wan Mohd Logan, Noraniza Idris / Ahmad Fedtri Yahya
Tercalon
"Hari Demi Hari" (menampilkan Dior & Karen Tan)
Dior Shaari, Noraniza Idris / Ahmad Fedtri Yahya
Tercalon
"Mahligai" (duet bersama Jaclyn Victor)
Helen Yap / Ahmad Fedtri Yahya
Tercalon
"Menarik Hati" (duet bersama Marsha)
Asmin Mudin / Ahmad Fedtri Yahya
Tercalon
2013 "Selamat Datang" (duet bersama Ihab Ismail)

Ihab Ismail / Ihab Ismail

Gagasan Anak Merdeka Tercalon
2014 "Kalimah Lebaran" (menampilkan Razis Ismail & Azmir Arif)

Pak Ngah / Ahmad Fedtri Yahya

Ria Aidilfitri Tercalon
2022 "Intan Payung" (menampilkan Bunga)

Luca Sickta, Bunga, Amzar Razqa / Bunga, Siqma

Non-album single Tercalon
Anugerah Juara Lagu
Anugerah Juara Lagu (AJL)
Tahun Lagu Album Pencipta Lagu Penulis Lirik Kategori Keputusan
1997 "Awallah Dondang" Ala Dondang Anak Sarawak Hairul Anuar Harun Irama Malaysia/Etnik Kreatif Tercalon
1998 "Dikir Puteri" Masyhur Pak Ngah Menang
  • Persembahan Terbaik
1999 "Dondang Dendang" Menang
  • Persembahan Terbaik
"Hati Kama" (duet bersama Siti Nurhaliza) Seri Balas Menang
  • Juara Kategori
2000 "Tinting" Bekaba Tercalon
"Ngajat Tampi" Rosli Selasih Siso Menang
  • Persembahan Terbaik
2002 "Hala Timur" Aura Eddie Hamid ND Lala Tercalon
2003 "Tandang Bermadah" Noraniza Idris & Narawi CD Raja Kobat & Noraniza Idris Tercalon
2004 "Hatinya Tak Tahan" Sawo' Matang Noraniza Idris Siso Menang
  • Persembahan Terbaik
2005 "Ayuh! Juragan" Ahmad Fedtri Yahya Tercalon
2021 "Intan Payung" (menampilkan Bunga) Non-album single Luca Sickta, Bunga & Amzar Razqa Bunga & Siqma Tiada Tercalon
Anugerah Bintang Popular Berita Harian
Anugerah Bintang Popular/Berita Harian (ABPBH)
Tahun Kategori Keputusan
1988 Penyanyi Wanita Popular Tercalon
1989 Pelakon Pembantu Wanita Popular Tercalon
1997/98 Penyanyi Wanita Popular Tercalon
1998/99 Penyanyi Wanita Popular Tercalon
2000 Penyanyi Wanita Popular Tercalon
2023 Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular (menampilkan Bunga) Tercalon

Pengiktirafan lain sunting

  • Anugerah Media Hiburan 2000: Penyanyi Etnik Sensasi
  • Pingat Ahli Mahkota Pahang (AMP) kurniaan Sultan Pahang
  • Wanita Pertama Pelopor Pop Tradisional pengiktirafan MAWAR Johor (2000)
  • Parti Cit Cat 2001: Anugerah Khas - Ratu Pop Tradisional
  • Parti Cit Cat 2001: Persembahan Terbaik
  • Anugerah Platinum Berkembar untuk album Ala Dondang (jualan melebihi 100,000 unit)
  • Anugerah ERA 2001: Lagu Pilihan Etnik - "Manira" (Tercalon)
  • Anugerah ERA 2003: Lagu Etnik Pilihan - "Hala Timur" (Tercalon)
  • Anugerah ERA 2004: Lagu Global Pilihan - "Hatinya Tak Tahan" (Menang)
  • Anugerah ERA 2004: Muzik Video Pilihan - "Hatinya Tak Tahan" (Tercalon)
  • Anugerah Planet Muzik 2005: Album Terbaik - Sawo' Matang (Tercalon)
  • Anugerah ERA 2006: Irama Global Pilihan - "Racau Sang Khalifah" (duet bersama Liza Hanim) (Tercalon)
  • Anugerah Jasa Bakti Seniman (JBS): Pengiktirafan Yayasan Insan Melaka (YIM) (2010)
  • KaryaOne Wave Awards 2016: Anugerah KaryaOne Legend
  • Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2018: Tokoh Usahawan Budaya
  • Pemenang tempat ke-4 Gegar Vaganza musim ketujuh (2020)
  • Best Traditional Music Performance, Malaysia Tourism Council Gold Award 2021
  • Excellence Achievement Award In Creative Ethnic Music Industry, Woman of Excellence Award 2021/22
  • Malaysia Book of Records - Penglibatan Persembahan Irama Malaysia teramai di Negara (2022)

Penglibatan sunting

  1. Pelakon utama dalam filem Sayang Ibu (Filem Malaysia - 1989)
  2. Pengacara dokumentari Artistik Asia (TV12 Singapura - 2002)
  3. Pengacara dokumentari Dondang Sayang (terbitan RTM Malaysia)
  4. Salah seorang penyanyi lagu tema Majlis Kanser Nasional (MAKNA) Malaysia - 'Bantu Mereka'
  5. Salah seorang mentor kepada protege, Biella untuk program realiti Mentor musim pertama terbitan TV3 (2005)
  6. Salah seorang juri tetap untuk program realiti terbitan TV3, 3 Juara yang mula bersiaran pada 16 Oktober 2016 (2016)
  7. Salah seorang peserta program Gegar Vaganza musim ke-7 terbitan Astro (2020)

Persembahan Khas

  1. Pertunjukan kebudayaan di Tokyo & Osaka, Jepun anjuran Jabatan Pelancongan Malaysia pada Mei 1998.
  2. Persembahan khas sempena perasmian pembukaan Sukan Komanwel ke 16 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada September 1998, di mana lagu beliau, Dikir Puteri telah dipersembahkan secara dwibahasa dan diringi lebih daripada 1000 orang penari. Noraniza diberi penghormatan membuat persembahan bersama-sama Siti Nurhaliza, Anuar Zain dan penyanyi lagu-lagu patriotik, Roy.
  3. Pertunjukan kebudayaan dan pesta makanan di Karachi, Lahore & Islamabad, Pakistan semperna mempromosikan Malaysia pada Jun 2005.
  4. Persembahan kebudayaan di Negara China sempena Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2006.
  5. Persembahan khas sempena meraikan 30 tahun kembara seni Noraniza Idris yang telah diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur. Konsert yang berdurasi selama 90 minit itu dinamakan "Masyhur 30 Tahun... Noraniza Idris".
  6. Noraniza Idris antara penyanyi yang terpilih untuk menjayakan Konsert Voices of Ladies yang menampilkan enam penyanyi wanita terkenal lain seperti Ella, Aishah, Nora, Elda Susanti & Yuka Kharisma. Konsert itu telah diadakan pada 11 Ogos 2018, dan persembahan artis diiringi oleh Orkestra Kuala Lumpur.

Rujukan sunting

  1. ^ Syafil Syazwan Jefri (25 Februari 2020). Tak ada niat nak provoke Harian Metro. Dicapai pada 22 Oktober 2020.
  2. ^ Amirul Haswendy Ashari (6 Mac 2019). Noraniza peruntukkan RM200,000 untuk showcase Harian Metro. Dicapai pada 22 Oktober 2019.
  3. ^ Nor Akmar Samudin (13 Oktober 2015). Noraniza tak jemu martabat lagu etnik Harian Metro. Dicapai pada 22 Oktober 2015.
  4. ^ Nor Akmar Samdin (8 April 2016). Air mata menitis di pentas Harian Metro. Dicapai pada 22 Oktober 2016.
  5. ^ Mahkamah sahkan Noraniza Idris bercerai[pautan mati kekal]
  6. ^ Sukar Ani lari daripada Fareez[pautan mati kekal]
  7. ^ https://www.klik.com.my/item/story/3008053/noraniza-tercabar

Pautan luar sunting