Negeri Sembilan

negeri di Malaysia
(Dilencongkan dari Negeri Sembilan, Malaysia)


Negeri Sembilan (juga dikenali sebagai Negeri Sembilan Darul Khusus) ialah sebuah negeri di Malaysia yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadankan Selangor di sebelah utara, Pahang di sebelah timur, Johor di sebelah tenggara dan Melaka di sebelah selatan.[2] Ibu negerinya Seremban. Bandar Diraja ialah Seri Menanti yang terletak di dalam daerah Kuala Pilah di tengah-tengah negeri. Negeri ini kelima terkecil keluasannya di Malaysia (tangga ke-10), serta di Semenanjung (tangga ke-8), serta mempunyai kependudukan ketiga terkecil (tangga ke-12) di Malaysia, serta di Semenanjung (tangga ke-10).

Flag of Malaysia.svg Negeri di Malaysia
نڬري دمليسيا
نڬري سمبيلن دار الخصوص
Negeri Sembilan Darul Khusus
Bendera Negeri Sembilan Lambang Negeri Sembilan
Bendera Lambang
Lagu negeri: Berkatlah Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan
Lokasi Negeri Sembilan

      Negeri Sembilan di       Malaysia

Ibu negeri Seremban
Bandar diraja Seri Menanti1
Parti memerintah Pakatan Harapan (PKR)
 - Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz
 - Menteri Besar Aminuddin Harun
Sejarah  
 - Pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu 1895 
 - Penaklukan Jepun 1942 
 - Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948 
Keluasan
 - Jumlah 6,686 (2,581 sq mi) km²
Populasi
 - banci 2010 997,071 [1]
 - Kepadatan 150/km²
IPM  (2010) 0.739 (tinggi)
Kod panggilan kebangsaan 06
Poskod kebangsaan 70xxx to 73xxx
Huruf pertama plat kenderaan N
Laman sesawang: www.ns.gov.my

Masyarakat Negeri Sembilan merupakan perantau asal Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia yang telah tiba sejak abad ke-14. Kemudian masyarakat yang bermukim pada sembilan negeri seperti Johol, Jelebu, Klang, Sungei Ujong, Naning, Rembau, Jelai, Segamat dan Pasir Besar membentuk persekutuan yang disebut lembaga dan dinamakan Negeri Sembilan. Selanjutnya sebagai penyatuan masyarakat maka diangkatlah seorang raja yang pada awalnya mereka minta dari Yang Dipertuan Pagarruyung.[3]

Etimologi dan sejarahSunting

Nama Negeri Sembilan dipercayai diperoleh daripada sembilan kawasan petempatan atau "nagari" yang didiami oleh perantau Minangkabau (kini dikenali sebagai luak). Sembilan luak[4] tersebut ialah Segamat (sebahagian kawasan kini di Johor), Naning (kini menjadi sebahagian dari Melaka), Rembau, Sungai Ujong (sebahagian kawasan kini memasuki negeri Selangor), Johol, Jelebu, Ulu Pahang (sebahagian kawasan kini di Pahang), Jelai (sebahagian kawasan kini di Pahang), dan Kelang (sebahagian kawasan kini di Selangor). Saiz Negeri Sembilan kini lebih kecil berbanding saiz asal Negeri Sembilan.

 
Sembilan luak asal di Negeri Sembilan semasa pemerintahan Raja Melewar pada 1773

SejarahSunting

Sebelum kedatangan orang Minangkabau, daerah-daerah Negeri Sembilan telah pun mempunyai penduduk asli dari kumpulan Melayu-Proto. Menurut cerita tempatan, penduduk awal Negeri Sembilan ialah orang asli atau juga disebut ‘orang darat’. Kegiatan seharian mereka ialah berburu, memungut hasil hutan dan bercucuk tanam khususnya padi bukit. Mereka duduk secara berkelompok kecil dan diketuai oleh seorang ketua bergelar ‘Batin’. Mereka mengamalkan kepercayaan animisme’.12 Ketua bagi setiap daerah ini mereka dikenali sebagai Batin.

Penduduk awal Negeri SembilanSunting

Dalam Zaman Sakai antara tahun 1450 hingga 1600 Masihi, terdapat empat buah negeri Sakai iaitu Klang, Sungai Ujong, Jelebu dan Johol. Kesemua daerah ini terletak di bawah naungan Kerajaan Melayu Melaka dan kemudiannya kerajaan Johor. Pada tahun 1450 Masihi daerah Kelang mempunyai seorang Penghulu bernama Tun Perak. Manakala Sungai Ujong diketuai oleh Tun Tukal[5].

Sekitar abad ke-16 Masihi, orang Minangkabau dari Sumatera datang dan mendiami di kawasan pesisir pantai yang terletak di selatan Negeri Sembilan (Sungai Linggi). Orang Minangkabau membawa dan memperkenalkan amalan dan adat mereka iaitu adat Perpatih. Sejak itu mereka memperkenalkan sistem sosial, politik, ekonomi dan agama kepada masyarakat orang asal. Mereka membawa sistem adat yang berteraskan kepada ‘matrilineal’. Dalam tempoh di antara abad ke-17, 18 dan 19 Masihi, orang Minangkabau bergerak atau merantau lebih dalam lagi ke kawasan pedalaman Negeri Sembilan[5].

Kedatangan perantau Minangkabau telah menyebabkan berlakunya perkahwinan campur antara masyarakat Minangkabau dengan orang asli[5]. Daripada percampuran ini telah mewujudkan suku Biduanda. Pembesar tempatan yang menjadi Undang dan Penghulu—ketua bagi luak-luak yang lebih kecil—akan dipilih daripada suku Biduanda. Masyarakat Minangkabau yang datang kemudian adalah dari suku kampung-kampung asal mereka di Minangkabau seperti Tanah Datar dan Payakumbuh.

Pembentukan awal Negeri SembilanSunting

Zaman pembentukan Negeri Sembilan dipercayai berlaku di antara tahun 1640 hingga 1760. Tempoh tersebut ialah ruang untuk orang Minangkabau menyatukan sembilan negeri yang mereka kuasai. Bermula tahun 1639, kerajaan Johor menjalinkan kerjasama erat dengan Belanda. Ketika itu Johor diperintah oleh Sultan Abdul Jalil II. Kerjasama Johor-Belanda adalah bertujuan untuk menjatuhkan kekuasaan Portugis di Melaka. Kerajaan Johor mula menjalinkan hubungan baik dengan orang Minangkabau di pedalaman Melaka dan mula menguasai Negeri Sembilan. Ini merupakan era baharu bagi orang Minangkabau.

Pada tahun 1705, pembesar Minangkabau di Naning iaitu Penghulu Naning menerima pengiktirafan dan gelaran dari Sultan Johor yang turut dipersetujui oleh pihak Belanda. Pada tahun yang sama, Rembau juga mendapat pengiktirafan melalui pengurniaan cap mohor dan gelaran ‘Bendahara Seri Maharaja’. Beberapa tahun selepas itu, Dato’ Bandar Sungai Ujong juga menerima pengiktirafan yang sama dari Johor. Pada tahun 1760, Penghulu Jelebu, Dato’ Moyang Salleh menerima cap mohor dan gelaran Sultan Jelebu daripada Sultan Johor, Sultan Abdul Jalil Muadzam Syah. Begitu juga Inas yang turut menerima pengiktirafan yang sama. Orang Minangkabau juga dipercayai terus mengukuhkan kedudukan mereka di Inas, Johol, Gemenceh, Terachi, Gunung Pasir, Jempol dan Ulu Muar. Kekacauan politik yang dihadapi oleh kerajaan Johor di antara tahun 1700 hingga 1760 Masihi telah menyebabkan Johor menganugerahkan cap mohor dan gelaran bagi mendapatkan sokongan daripada orang Minangkabau. Bagaimanapun, kelemahan kerajaan Johor telah menyebabkan berlakunya peningkatan populasi penghijrah Minangkabau di Negeri Sembilan[5].

Ekoran kemeruduman zaman kesultanan Johor pada kurun ke-18, yang diserang Bugis, memaksa masyarakat Minangkabau mencari perlindungan daripada tanah air mereka. Pemerintah Minangkabau, Sultan Abdul Jalil Pagaruyung menghantar anaknya, Raja Melewar untuk memimpin masyarakat. Apabila baginda tiba, baginda mendapati seorang lagi kerabat, Raja Khatib telah terlebih dahulu mengisytiharkan diri sebagai pemerintah. Raja Melewar kemudiannya menyatakan perang terhadap Raja Khatib dan kemudiannya menjadi pemerintah bagi Negeri Sembilan. Sultan Johor mengesahkan kedudukan Raja Melewar sebagai pemerintah dengan memberikan gelaran Yamtuan Seri Menanti pada 1773.

Negeri Sembilan semasa pemerintahan Raja Melewar, meliputi kawasan yang lebih besar daripada sempadan Negeri Sembilan moden sekarang. Sembilan luak asal pada 1773 yang telah membentuk nama Negeri Sembilan ialah Sungai Ujong, Jelebu, Rembau, Johol, Jelai, Ulu Pahang, Naning, Segamat dan Klang. Kemudiannya, empat luak telah dimasukkan ke negeri-negeri jiran pada kurun ke-19. Naning telah menjadi sebahagian daripada negeri selat, Melaka pada 1832 diikuti Perang Naning; Ulu Pahang telah bertukar menjadi daerah Bera di Pahang; Segamat menjadi sebahagian daripada Johor dan Klang menjadi daerah Kuala Langat di Selangor.

Selepas kematian Raja Melewar, berlakunya siri pertelingkahan dalam proses mendapatkan pengganti. Untuk tempoh yang lama, pembesar tempatan menjemput pemerintah Minangkabau di Sumatera sebagai Yamtuan Besar. Walau bagaimanapun, persaingan kepentingan dalam menyokong calon berbeza kadangkala menyebabkan ketidakstabilan dan perang dingin. Yamtuan Besar hanya berkuasa di kawasan Seri Menanti dan luak-luak yang di sekitarnya sahaja, manakala luak-luak yang besar dipimpin oleh Undang yang membentuk kerajaan sendiri.

Pembentukan Negeri Sembilan modenSunting

Pembentukan Negeri Sembilan yang ada sekarang ialah berasaskan kepada satu perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1887. Perjanjian tersebut dimertai di antara Gabenor Negeri-negeri Selat dengan Yang di-Pertuan Seri Menant, Penghulupenghulu luak kawasan ini hingga membentuk sebuah persekutuan yang dikenali sebagai Negeri Sembilan. Satu lagi perjanjian telah dibuat pada tahun 1898 di antara Yang di-Pertuan Seri Menanti iaitu Tuanku Muhammad dengan Dato’-Dato’ Undang Yang Empat kerana melantik baginda sebagai ketua pemerintah bagi seluruh Negeri Sembilan yang bergelar Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pada 1874, British telah mencampur tangan dalam pertikaian kepimpinan di Sungai Ujong bagi menjaga kepentingan ekonomi British, dan meletakkan kepimpinan di bawah kawalan Residen British. Selepas Sungai Ujong, ia diikuti oleh Jelebu pada 1883 dan Rembau pada 1887. Pembentukan Negeri Sembilan moden bermula pada 1889, apabila kepimpinan Seri Menanti di bawah Tuanku Muhammad ibni Yamtuan Antah bergabung dengan kepimpinan dari Tampin dan Rembau bagi membentuk Persekutuan Seri Menanti sebagai sebuah entiti tunggal. Pemimpin dari Sungai Ujong dan Jelebu turut menyertai persekutuan ini pada 1895, akhirnya membentuk Negeri Sembilan dengan sempadan yang baharu sebagaimana sekarang.[6] Martin Lister dilantik menjadi Residen British pertama dan Negeri Sembilan menyertai pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun yang sama.

Negeri Sembilan mengalami pendudukan Jepun dalam Perang Dunia II antara tahun 1942 dan 1945, bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, dan menjadi sebuah negeri Malaysia pada tahun 1963.

Kependudukan dan demografiSunting

Anggaran jumlah penduduk di Negeri Sembilan pada tahun 2020[7] adalah sebanyak 1,162,644 (1.16 juta) orang. Bilangan lelaki lebih tinggi daripada perempuan iaitu 605.8 ribu orang dan 556.8 ribu orang. Dari segi komposisi kaum, Bumiputera mencatatkan 663.4 ribu orang. Diikuti kaum Cina adalah sebanyak 244.6 ribu orang dan kaum India adalah 162.4 ribu orang. Bagi kaum lain-lain mencatatkan 6.1 ribu orang.

PendudukSunting

Negeri Sembilan mempunyai tujuh buah daerah. Daerah Seremban menjadi salah satu bandar yang menjadi pilihan dan tumpuan penduduk tinggal kerana lokasinya hampir dengan Lembah Klang dan sebahagian daripada kawasan Kuala Lumpur Raya

# Daerah Penduduk 2010 Penduduk 2020[7]
1 Seremban 555,935 630,999
2 Jempol 116,576 133,186
3 Port Dickson 115,361 131,764
4 Tampin 84,889 96,440
5 Kuala Pilah 66,092 75,168
6 Rembau 43,011 49,410
7 Jelebu 39,200 45,677

Agama dan KepercayaanSunting

Agama di Negeri Sembilan - Bancian 2010[8]
agama peratus
Islam
  
60.3%
Buddha
  
21.2%
Hinduisme
  
13.4%
Kristian
  
2.4%
Tidak diketahui
  
1.1%
Tidak beragama
  
0.8%
Agama masyarakat Cina
  
0.5%
Lain-lain
  
0.3%

Dalam bancian pada tahun 2010, kependudukan Negeri Sembilan terdiri daripada 60.3% orang Islam, 21.2% Buddha, 13.4% Hindu, 2.4% Kristian, 1.1% agama yang tidak diketahui, 0.8% tidak beragama, 0.5% Tao atau pengikut ajaran tradisi masyarakat Cina, dan 0.3% mengikuti agama-agama lain.

Statistik bancian 2010 juga menyatakan semua masyarakat Melayu ialah orang Islam. 92.9% daripada masyarakat Cina di Negeri Sembilan merupakan penganut Buddha, dan selebihnya minoriti sebagai Kristian (3.6%), pengikut ajaran tradisi masyarakat Cina (1.9%) dan Muslim (0.8%). Majoriti masyarakat India beragama Hindu (89.0%), dan selebihnya merupakan Kristian (5.0%), Islam (3.2%) dan Buddha (1.4%). Masyarakat bumiputera bukan Melayu pula lebih banyak tidak beragama (39.7%), dan selebihnya merupakan Kristian (28.3%) dan Islam (20.2%).[9]

GeografiSunting

Negeri Sembilan terletak di bahagian barat Semenanjung Malaysia, iaitu di bahagian selatan negeri Selangor. Negeri ini bersempadan dengan Pahang di bahagian timur dan Melaka serta Johor di bahagian selatan. Bandar Seremban, iaitu ibu negeri Negeri Sembilan, terletak kira-kira 60 km dari Kuala Lumpur dan kira-kira 40 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor.

Negeri Sembilan, bersama-sama dengan tujuh daerahnya meliputi keluasan 6,645 km persegi atau 664,591 hektar. Kawasan ini terdiri daripada lembah-lembah dan dataran yang begitu indah mata memandang dalam dakapan alunan bukit-bukau dan pergunungan. Sambil Banjaran Titiwangsa semakin menirus menghala tanah rendah Johor, rupa bumi bergunung-ganang dan hutan belantara beransur berubah menjadi ladang-ladang getah dan kelapa sawit di sebelah barat dan selatan, kecuali di bahagian tengah yang terdiri dari hutan belantara yang belum diterokai.

Pemerintahan dan politikSunting

PerlembagaanSunting

Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan telah berkuat kuasa pada 26 Mac 1959. Ia dibahagikan kepada dua bahagian. Perlembagaan ini menyatakan bahawa bentuk pemerintahan negeri ini ialah Raja Berperlembagaan dan satu-satunya raja yang dilantik melalui pemilihan. Sistem ini sebahagiannya menjadi asas bagi sistem beraja di peringkat persekutuan Malaysia.

PemerintahSunting

 
Istana Lama Seri Menanti kini Muzium Diraja Seri Menanti pernah menjadi tempat bersemayam Yamtuan Besar Negeri Sembilan.

Perlembagaan negeri menyatakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Sungei Ujong, Undang Jelebu, Undang Johol, Undang Rembau dan Tunku Besar Tampin diberi kuasa eksekutif negeri, menjadi ketua kepada agama Islam dan sumber kepada segala kehormatan dan keadulatan negeri. Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang terkini ialah Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Tidak seperti pemerintah diraja negeri-negeri di Malaysia, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dipilih oleh ketua luak. Ketua bagi luak digelar Undang. Hanya empat Undang yang mempunyai hak untuk memilih pengganti Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Mereka ialah Undang Sungei Ujong, Undang Jelebu, Undang Johol, dan Undang Rembau.

Undang tidak boleh menjadi calon bagi pemilihan ini, dan mereka perlu memilih pemerintah bercirikan seorang lelaki, beragama Islam dan merupakan pewaris keturunan Raja Radin ibni Raja Lenggang.

Gelaran rasmi bagi pemerintah-pemerintah negeri ialah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Yang Teramat Mulia Undang Sungei Ujong, Yang Teramat Mulia Undang Jelebu, Yang Teramat Mulia Undang Johol, Yang Teramat Mulia Undang Rembau dan Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin dan mereka memegang jawatan tersebut sepanjang hidup, kecuali sebab-sebab tertentu seperti pemecatan dan peletakan jawatan.

Badan eksekutifSunting

Perlembagaan negeri 1959 telah membolehkan terbentuknya badan eksekutif atau majlis mesyuarat kerajaan negeri. Fungsinya sama sebagaimana kabinet menteri. Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Negeri Sembilan terdiri daripada Menteri Besar sebagai pengerusi dan sembilan orang anggota yang lain. Menteri Besar dan anggota yang lain dilantik oleh Yang di-Pertuan Besar daripada kalangan anggota dewan undangan negeri. Menteri Besar yang terkini ialah Aminuddin Harun.

Badan perundanganSunting

Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan yang menggunakan sistem satu dewan yang mempunyai 36 kerusi, mempunyai anggota yang digelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bersidang di Bangunan Dewan Undangan Negeri yang ikonik di Seremban. Negeri Sembilan mengamalkan sistem Westminster yang mana ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dilantik dalam kalangan ahli dewan undangan negeri. Pembubaran Dewan Undangan Negeri yang akan mengakibatkan berlakunya pilihan raya negeri, memerlukan keizinan daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

.

 
Gabungan Pemimpin Status Jumlah wakil
Pilihan raya 2018 Semasa
     Pakatan Harapan Aminuddin Harun Parti Pemerintah 20 20
     Barisan Nasional Mohamad Hassan Pembangkang 16 16
Jumlah 36 36
Majoriti kerajaan 4 4

Kerajaan tempatanSunting

Di Negeri Sembilan, terdapat tujuh buah pihak berkuasa tempatan (atau kerajaan tempatan). Sebuah pihak berkuasa tempatan telah mencapai taraf bandar raya, iaitu Majlis Bandaraya Seremban. Dua buah pihak berkuasa tempatan bertaraf perbandaran iaitu Majlis Perbandaran Port Dickson dan Majlis Perbandaran Jempol, manakala empat lagi bertaraf majlis daerah iaitu Majlis Daerah Kuala Pilah, Majlis Daerah Jelebu, Majlis Daerah Tampin dan Majlis Daerah Rembau.

 
Daerah-daerah terkini yang terdapat di Negeri Sembilan Darul Khusus, iaitu 1. Seremban; 2. Port Dickson; 3. Rembau; 4. Jelebu; 5. Kuala Pilah; 6. Jempol; dan 7. Tampin.

Setiap pihak berkuasa tempatan diketuai oleh seorang Datuk Bandar bagi Bandaraya, atau Yang Dipertua bagi yang bukan bertaraf bandar raya. Ketua-ketua ini dilantik untuk tempoh dua tahun, manakala ahli majlis pula dilantik untuk setahun tempoh perkhidmatan.[10] Tiada pilihan raya bagi kerajaan tempatan di Negeri Sembilan sejak kali terakhir diadakan pada 1965.

Negeri Sembilan juga dibahagikan kepada tujuh daerah pentadbiran, iaitu Jelebu (جلبو), Jempol (جمڨول), Seremban (سرمبن), Kuala Pilah (كوالا ڨيله), Rembau (رمباو), Port Dickson (ڨورت ديكسون), dan Tampin (تمڨين). Setiap daerah diketuai oleh seorang Pegawai Daerah yang merupakan penjawat awam. Pentadbiran daerah melibatkan pentadbiran tanah di daerah-daerah, berbeza dengan pihak berkuasa tempatan yang menyelenggara pembangunan dan kemajuan bandar dan pekan.[11]

Pentadbiran adatSunting

Pentadbiran adat pula dibahagikan kepada empat kategori luak, iaitu Luak Berundang, Luak Tampin, Luak Tanah Mengandung dan Luak Beradat[12]. Luak Berundang ialah luak yang diketuai oleh Undang, iaitu Sungai Ujong, Johol, Rembau dan Jelebu. Luak Tampin diketuai oleh Tunku Besar Tampin. Luak Tanah Mengandung ialah luak yang melingkungi wilayah diraja Seri Menanti dan diketuai oleh Penghulu Luak yang bernaung di bawah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, iaitu Gunung Pasir, Inas, Jempol, Terachi dan Ulu Muar. Luak Beradat pula ialah luak-luak kecil yang mempunyai ketua masing-masing iaitu Gemencheh, Air Kuning dan Linggi. Luak Gemencheh yang diketuai Dato’ Penghulu Pesaka Gemencheh dan Luak Air Kuning yang diketuai Dato’ Penghulu Pesaka Air Kuning bernaung di bawah Undang Johol, manakala Linggi yang dketuai Dato' Muda Linggi, bernaung di bawah Sungai Ujong.

Badan kehakimanSunting

Mahkamah tertinggi di Malaysia ialah Mahkamah Persekutuan diikuti dengan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak. Mahkamah Rendah pula terdiri daripada Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret. Di Negeri Sembilan, selama 72 tahun Mahkamah Tinggi mendiami pejabat lama yang terletak di Jalan Dato' Hamzah dan Mahkamah Sesyen dan Majistret terletak di Jalan Campbell iaitu sejak tahun 1932 hingga tahun 2004[13].

Ketika awal penubuhan Mahkamah Negeri Sembilan, Tanah Melayu masih lagi diperintah oleh kerajaan British sehinggalah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Hampir keseluruhan Pegawai Perundangan ialah pegawai berketurunan Inggeris, dan hanya selepas tahun 1950-an barulah seorang dua pegawai dari Tanah Melayu dilantik sebagai Presiden (Hakim)[13].

Kompleks Mahkamah Seremban di Seremban 2 telah dibina dan mula digunakan pada tahun 2005. Ia menempatkan semula Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Seremban. Reka bentuk kompleks ini berasaskan ciri-ciri Minangkabau. Kompleks tersebut kini menjadi pusat mahkamah di Negeri Sembilan dan bertukar nama kepada Mahkamah Negeri Sembilan mulai tahun 2011. Bangunan mahkamah lama di Jalan Campbell telah diambil alih menjadi Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan, manakala bangunan mahkamah di Jalan Dato' Hamzah pula diambil alih oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Mahkamah Syariah Negeri Sembilan[13].

Hubungan luar negeriSunting

Negeri Sembilan tidak mempunyai konsulat khusus yang ditempat di negeri tersebut. Disebabkan faktor sejarah adat dan kebudayaan, Seremban telah menjadi bandar kembar kepada Bukittinggi. Indonesia[14][15] sejak 6 Disember 1986. Hubungan ini meningkatkan pesefahaman budaya dan menjadi tarikan pelancongan antara kedua-dua pihak.

EkonomiSunting

Sektor pembuatan di Negeri Sembilan menyumbang hampir separuh daripada keluaran dalam negara kasar negara (KDNK), diikuti oleh sektor perkhidmatan dan pelancongan (40.3%), pertanian (6%), pembinaan (2.2%) dan perlombongan (0.3%). Aktiviti pembuatan termasuk elektrik dan elektronik, tekstil, perabot, bahan kimia, jentera, kerja-kerja logam dan produk getah. Kawasan perindustrian utama ialah Senawang, Sungai Gadut, Taman Perindustrian Tuanku Jaafar, Nilai dan Tanah Merah di Port Dickson. Coca-Cola, dimana ianya menubuhkan kilangnya yang bernilai berbilion ringgit di Bandar Enstek.

Negeri Sembilan secara umumnya merupakan sebuah pertanian. Walau bagaimanapun, penubuhan beberapa kawasan industri meningkatkan sektor perkilangan sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negeri.

Aktiviti pertanian termasuk getah dan kelapa sawit, perladangan, penternakan, buah-buahan dan sayur-sayuran. Kira-kira sebanyak 3,099 kilometer persegi digunakan untuk aktiviti getah dan kelapa sawit.

KebudayaanSunting

Masyarakat Melayu di Negeri Sembilan sememangnya terkenal dengan kesenian Negerinya seperti Randai yang dibawa oleh masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat, Indonesia.

SejarahSunting

Negeri Sembilan mempunyai adat, kebudayaan, sejarah, tradisi dan sistem politiknya yang agak unik. Peribahasa "biar mati anak, jangan mati adat" telah menjadi pegangan hidup rakyat yang berketurunan Minangkabau. Adat Perpatih telah wujud di Tanah Melayu sejak kurun ke-14, kekal menjadi adat yang unik di Negeri Sembilan sehingga kini. Ia amat jelas diterangkan dalam pembahagian harta pusaka, gelaran dan juga suku yang memihak kepada kaum wanita. Menurut sejarah, rombongan awal yang datang terdiri daripada kaum lelaki, tetapi susur galur keturunan seseorang itu ialah "mengikut perut" iaitu tertakluk kepada suku ibunya. Melalui persemendaan ini jugalah masyarakat Negeri Sembilan terpecah kepada 12 kumpulan yang dikenali dengan nama "suku".

Adat Perpatih Di Negeri SembilanSunting

Keunikannya adat ialah berdasarkan kepada sumber adat tersebut dan sistem nasab ibu yang diamalkan oleh masyarakatnya. Sistem ini tidak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia. Disebabkan itu, ia merupakan peraturan atau undang-undang dalam masyarakat orang Melayu di Negeri Sembilan dan kata-kata yang diungkapkan dalam adat perpatih iaitu "perpatah-pertitih" mempunyai nilai-nilai kesenian yang tinggi. Para sarjana pernah mencatatkan hasil sastera lama Melayu ialah pancaran masyarakat Melayu pada zaman tersebut. Oleh itu, perpatah-petitih ini dapat menyingkap tentang pandangan hidup masyarakat Melayu secara umum dan etos Melayu khususnya. Adat Perpatih yang diwarisi masih dipertahankan oleh masyarakat Negeri Sembilan kerana adat itu boleh menerima perubahan semasa ke semasa. Ini boleh dilihat daripada segi politik di mana sistem Yamtuan Besar dan Dato'-dato Undang masih meneruskan kelangsungan tanpa digugat termasuklah institusi Dato' Lembaga dan buapak-buapak. Daripada aspek sosial, ia masih bercirikan hidup kekeluargaan seperti budaya bekerjasama, bermuafakat, saling hormat-menghormati dan semangat kejiranan. Selain itu, upacara nikah kahwin, kenduri dan sebagainya masih mempunyai ciri-ciri tradisi yang unik.

Suku dan PerutSunting

Masyarakat Melayu Negeri Sembilan dikelaskan mengikut nenek moyang mereka. Pengkelasan ini dikenali sebagai suku. Suku dalam pengertian adat ialah anggota masyarakat yang terbentuk daripada kelompok keturunan yang daripada sebelah ibunya. Dalam konteks masyarakat Adat Perpatih terdapat 12 suku iaitu Biduanda, Batu Hampar, Mungkal, Sri Lemak, Paya Kumboh, Tiga Nenek, Sri Melenggang, Batu Belang, Tanah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka, dan Tiga Batu

Seseorang yang membuat tafsiran mengenai nilai-nilai yang terdapat dalam adat sehubungan dengan ungkapan "biar mati anak, jangan mati adat" ini hanya melihat dari sudut kategori yang keempat di atas sahaja. Pepatah "biar mati anak jangan mati adat" yang menjadi prinsip asas sistem hidup bermasyarakat dalam Adat Perpatih ini sering disalah tafsir bukan sahaja orang biasa tetapi juga pemimpin-pemimpin Melayu. Semua ini berlaku adalah disebabkan mereka kurang memahami maksud sebenarnya yang dikatakan mengenai adat tersebut.[16]

PendidikanSunting

Negeri Sembilan mempunyai beberapa buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Kebanyakan pusat institusi pengajian tinggi lebih tertumpu di bandar-bandar utama di Negeri Sembilan. Berikut merupakan beberapa buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta:

Institusi pengajian tinggi awamSunting

Nama panjang Nama pendek Diasaskan Lokasi
Politeknik Port Dickson PPD 1990 Port Dickson
Universiti Sains Islam Malaysia USIM 1998 Nilai
Universiti Teknologi MARA UiTM 1999 Kuala Pilah,Seremban,Rembau&Nilai
Politeknik Nilai PNS 2007 Bandar Enstek, Nilai
Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik IPG KPT 2013 Bandar Enstek, Nilai

Institusi pengajian tinggi swasta dan kolej universitiSunting

Nama panjang Nama pendek Diasaskan Lokasi
Kolej Universiti Antarabangsa INTI INTI-IU 1998 Nilai
Manipal International University MIU 2011 Nilai
Kolej Antarabangsa Nilai NU 1997 Nilai
Universiti Mayfield MFU 2005 Bahau
Kolej Universiti Linton UCL 1995 Mantin
Malaysia Theological Seminary STM 1979 Seremban
UCSI International School UCSI 1986 Bandar Springhill
Kolej Unniversiti Teknologi Islam UNITI 1997 Pasir Panjang, Port Dickson

HospitalSunting

Berikut merupakan beberapa buah hospital awam dan hospital swasta yang terdapat di Negeri Sembilan:

Hospital AwamSunting

Hospital SwastaSunting

MakananSunting

Makanan tradisi Negeri Sembilan adalah panas dan pedas sebagai salah satu daripada bahan-bahan yang digunakan ialah cili padi, iaitu cili yang paling pedas. Hidangan yang terkenal termasuklah rendang, (kepingan daging lembu dimasak dengan santan dan cili). Jika seseorang merasai gaya Minangkabau yang agak unik dalam memasak, dengan menyaksikan mereka sering menggunakan 'cili padi' (cili kecil dan sangat panas) dalam setiap masakannya. Dengan memasak "Masak Lemak Cili Padi - ikan, daging, atau sayur masak dalam santan dicampur dengan kunyit dan cili padi tanah.

Satu lagi keistimewaan Negeri Sembilan ialah "Lemang", pulut dimasak dengan santan dalam batang buluh di atas api terbuka. Ia dihidangkan dengan Rendang, kari daging yang lazat serta tebal dan kering.[17]

PengangkutanSunting

Lokasi di Negeri SembilanSunting

Dari segi fasiliti pengangkutan, Negeri Sembilan mempunyai rangkaian jalan raya sepanjang 3,000 km. Pembinaan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya LEKAS dan Lebuh Raya ELITE telah banyak memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya merentasi negeri termasuk ke Negeri Sembilan. Selain itu, sektor pengangkutan awam yang semakin pesat membangun memberi kesan yang positif terhadap masyarakat tempatan terutamanya dalam memberi keselesaan sewaktu melakukan perjalanan. Selain itu, terdapat juga kemudahan rangkaian jalan kereta api yang menghubungkan bandar-bandar di dalam Negeri Sembilan dengan negeri-negeri di pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia. Namun, Negeri Sembilan merupakan salah satu daripada dua buah negeri di Malaysia yang tidak mempunyai kemudahan lapangan terbang selain dari negeri Perlis. Walau bagaimanapun, kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hanya terletak sejauh 30 minit perjalanan dari bandar Seremban melalui Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya ELITE.

SerembanSunting

Di ibu negeri, Seremban merupakan hab pengangkutan awam bagi Negeri Sembilan. Terdapat pelbagai jenis pengangkutan awam boleh didapati di pusat bandar serta terdapat banyak pemilikan kenderaan persendirian seperti bas dan keretapi.

BasSunting

Seremban mempunyai sebuah stesen bas utama iaitu Terminal One yang menghubungkan Seremban dengan bandar-bandar utama di Negeri Sembilan seperti Kuala Pilah, Bahau, Rembau dan Malaysia seperti Alor Setar, Ipoh dan Melaka. Semua syarikat bas yang menyediakan perkhidmatan bas berpusat di sini.

Kereta apiSunting

Stesen KTM Komuter Seremban ialah salah sebuah stesen komuter untuk Laluan Batu Caves - Tampin. Dahulunya menjadi stesen penamat untuk perkhidmatan KTM Komuter tetapi jajaran aliran telah dipanjangkan menjangkau hingga stesen komuter Sungai Gadut. Stesen ini menjadi nadi kepada penduduk Seremban yang bekerja dalam pelbagai sektor di Lembah Klang yang menjadikan komuter sebagai alternatif mengelakkan kesesakan di lebuh raya sekitar Kuala Lumpur pada waktu puncak. Terdapat juga penduduk yang bukan berasal dari kawasan Negeri Sembilan menetap di Seremban namun bekerja di kawasan Lembah Klang seperti dari Selangor dan Kuala Lumpur.

GemasSunting

Gemas juga merupakan salah satu tempat yang mempunyai kemudahan Stesen kereta api yang menghubungkan antara laluan pantai barat (Padang Besar-Woodlands) dan laluan pantai timur (Tumpat-Gemas).

TampinSunting

Bandar Tampin berjiran dengan Bandar Pulau Sebang, Melaka. Lampu isyarat di kedua-dua bandar yang berjiran itu merupakan sempadan antara Negeri Melaka dan Negeri Sembilan. Tampin boleh dihubungkan dengan Melaka, Seremban dan Johor Bahru melalui jalan persekutuan. Lebuh raya utama tidak melalui daerah Tampin tetapi boleh menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dan keluar melalui Tol Simpang Ampat Alor Gajah. Daerah Tampin mempunyai Stesen keretapi iaitu Gemas, Batang Melaka dan Air Kuning Selatan. Namun stesen Air Kuning Selatan telah ditutup. Projek landasan kereta api berkembar antara Seremban ke Gemas turut menggantikan Stesen Kereta Api Batang Melaka yang sedia ada di lokasi yang baru. Walau bagaimanapun lokasi Stesen KTMB Batang Melaka yang baru akan dipindahkan dalam kawasan Negeri Melaka. Stesen keretapi terdekat bagi bandar Tampin ialah Stesen Keretapi Pulau Sebang, Alor Gajah Melaka yang terletak hanya 1 kilometer sahaja dari Pusat bandar Tampin.

SenawangSunting

Senawang yang mempunyai kemudahan pengangkutan rel juga dikenali sebagai Senawang halt, merupakan sebuah stesen kereta api yang menyediakan perkhidmatan sebagai perhentian di garisan Stesen keretapi Rawang. Ia kini dalam pembinaan sebagai sebahagian daripada projek landasan berkembar dan berelektrik antara Seremban dan Gemas, diambil alih oleh IRCON International, sebuah anak syarikat Indian Railway. Stesen tersebut memulakan perkhidmatannya sejak 14 Mei 2011.

Jenis pengangkutanSunting

BasSunting

Stesen bas Terminal One di Seremban merupakan pusat tumpuan bas utama di Negeri Sembilan yang menawarkan perkhidmatan bas ekspres harian ke semua bandar dan bandaraya utama di Semenanjung Malaysia dan Singapura. Terminal One juga menyediakan perkhidmatan bas perbandaran biasa ke Port Dickson, Tampin, Kuala Pilah, Bahau dan bandar-bandar lain di negeri tersebut.

TeksiSunting

Teksi juga mudah diperolehi di Stesen Teksi Seremban di Jalan Tuanku Munawir. Dengan mengenakan tambang yang munasabah, seseorang boleh menggunakan perkhidmatan teksi untuk ke bandar-bandar utama di Negeri Sembilan dan juga ke Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Bahru.

KeretapiSunting

Seremban dihubungkan ke Kuala Lumpur melalui perkhidmatan tren komuter pantas yang begitu selesa dan berlepas setiap 15 minit (Waktu puncak) dan 45 minit (Luar Waktu Puncak). Seremban juga mudah dihubungkan melalui rangkaian jalan keretapi utama di Semenanjung Malaysia yang menghubungkannya dengan kebanyakan bandar-bandar utama.

Kereta sewaSunting

Kereta sewa boleh didapati di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk membolehkan seseorang memandu ke seluruh pelosok Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang sudah berada di Negeri Sembilan, urusan sewaan kereta boleh dijalankan melalui beberapa agen pelancongan.

Agen pelanconganSunting

Sesetengah agen pelancongan utama mempunyai pejabat tersendiri di bandar Seremban. Lawatan ke seluruh negeri boleh diuruskan melalui hotel-hotel utama.[18]

MediaSunting

TelevisyenSunting

 
Media Prima

Saluran televisyen di Negeri Sembilan sebagaimana saluran televisyen di Malaysia yang mempunyai siaran percuma dan siaran berbayar. Siaran percuma disediakan melalui myFreeview dan mempunyai 31 saluran. Perkhidmatan siaran berbayar pula ditawarkan oleh Astro dan Unifi TV. Terdapat pemancar televisyen di Gunung Telapak Buruk untuk meliputi Seremban, Jelebu, Kuala Pilah, Port Dickson, manakala Rembau, Tampin dan Jempol menerima siaran dari Gunung Ledang.

CetakSunting

 
Akhbar The Star

Akhbar-akhbar yang terdapat di Negeri Sembilan antaranya:

RadioSunting

Berikut merupakan frekuensi stesen radio yang terdapat di Negeri Sembilan, sama ada dimiliki oleh kerajaan ataupun swasta.

Frekuensi Stesen Pengendali Bahasa
88.3 One FM Media Prima Mandarin, Kantonis
88.7 TraXX FM RTM Inggeris
88.9 GoXuan Astro Radio Mandarin, Kantonis
89.7 Ai FM RTM Mandarin, Kantonis, Hokkien
89.9 BFM BFM Media Inggeris
90.5 Minnal FM RTM Tamil
91.1 Asyik FM RTM Semai, Temiar, Jakun, Temuan
92.6 Negeri FM RTM Melayu
93.3 988 FM Star RFM Radio Mandarin, Kantonis
94.2 Mix FM Astro Radio Inggeris
94.8 Best FM Suara Johor Melayu
95.0 Hitz FM Astro Radio Inggeris
96.9 Sinar FM Astro Radio Melayu
97.9 Melody Astro Radio Mandarin, Kantonis
98.6 Fly FM Media Prima Inggeris
99.5 Hot FM Media Prima Melayu
100.6 My FM Astro Radio Mandarin, Kantonis
101.1 Klasik FM RTM Melayu
101.3 Kool FM Media Prima Melayu
101.5 THR Raaga Astro Radio Tamil
102.7 Radio IKIM IKIM Melayu, Inggeris, Arab
103.6 Era FM Astro Radio Melayu
104.6 Lite FM Astro Radio Inggeris
104.9 Zayan Astro Radio Melayu
106.0 CITYPlus FM Cense Media Mandarin, Kantonis
107.0 Suria FM Star RFM Radio Melayu

Lihat jugaSunting

RujukanSunting

  1. ^ "Laporan Kiraan Permulaan 2010". Jabatan Perangkaan Malaysia. m/s. iv. Diarkib daripada yang asal pada 2010-12-27. Dicapai pada 2011-01-24.
  2. ^ http://maps.google.com/maps?f=q&hl=en&q=Negeri+Sembilan%2C+Malaysia
  3. ^ de Josselin de Jong, P. E., (1951), Minangkabau and Negri Sembilan, Leiden, The Hague.
  4. ^ Mohd Shah bin Mohd Said al-Haj, Tambo Alam Naning, DBP, 2000, ms 164
  5. ^ a b c d Rosiswandy bin Mohd Salleh. "Pengamalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan" (PDF). Jabatan Muzium Malaysia. Diarkib (PDF) daripada yang asal pada 30 Disember 2020. Dicapai pada 22 Januari 2021.
  6. ^ "Colonial Reports--annual, Issues 1570-1599". Dicapai pada 9 January 2021.
  7. ^ a b "Newsletter" (PDF). Jabatan Perangkaan Malaysia. Diarkib (PDF) daripada yang asal pada 21 Januari 2021. Dicapai pada 21 Januari 2021.
  8. ^ "2010 Population and Housing Census of Malaysia" (PDF). Department of Statistics, Malaysia. Diarkib daripada yang asal (PDF) pada 13 November 2013. Dicapai pada 17 Jun 2012. p. 13
  9. ^ "Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010" (PDF) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. m/s. 87. Diarkib daripada yang asal (PDF) pada 16 Januari 2013. Dicapai pada 20 Januari 2021.
  10. ^ "Local government in Malaysia: Types, functions, organisation, members and budget". Penang Monthly. November 2014.
  11. ^ Ganason, Anesh. "Land Administration System in Malaysia: Building Institutional and Organisational Capacity for Coordinating Land Administration between the Federal and State Authorities" (PDF). Universiti Kebangsaan Malaysia.
  12. ^ Korporat SUKNS (1 Disember 2019). "Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Menjunjung Duli". Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan. Diarkib daripada yang asal pada 23 Januari 2021. Dicapai pada 24 Januari 2021.
  13. ^ a b c "Latar Belakang Mahkamah Malaysia dan Mahkamah Negeri Sembilan". Portal Rasmi Mahkamah Negeri Sembilan. Diarkib daripada yang asal pada 28 September 2020. Dicapai pada 22 Januari 2021.
  14. ^ Wirani Fadhilah. "Kerjasama Sister City Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia dengan Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia 2011-2017" (PDF). Universitas Komputer Indonesia. Diarkib (PDF) daripada yang asal pada 22 Januari 2021. Dicapai pada 22 Januari 2021.
  15. ^ "Kota Kembar Kota Bukittinggi". Pemerintahan Kota Bukittinggi. Diarkib daripada yang asal pada 31 Oktober 2020. Dicapai pada 22 Januari 2021.
  16. ^ http://lmns.ns.gov.my/index.php/component/content/article/9-uncategorised/200-adat-perpatih
  17. ^ http://go2travelmalaysia.com/tour_malaysia/ns_historical.htm
  18. ^ Kemudahan pengangkutan di Negeri Sembilan

Pautan luarSunting